Monday, 27 June 2016 By: Naemah

IBU: GUNAKAN KELEBIHAN YANG ADA



Sebagai seorang ibu, pasti mahu berikan yang terbaik untuk anak anak. Pasti mahu menjadi ibu yang terbaik untuk anak anak. Namun ibu tetap insan biasa yang tak sempurna, terkurang di sana sini. Apa yang ibu lain mampu berikan pada anak anak mereka, kita belum tentu. Lantas segala rasa kekurangan dan rasa bersalah datang menghantui diri. Begitu jua diri ini..

Aku menyedari hakikat aku adalah seorang ibu yang biasa biasa saja. Tiada kelebihan atau kemahiran khusus, dalam dunia pendidikan anak anak. Aku melakukan sekadar yang mampu, bersama sedikit kelebihan (mungkin) yang ada pada diri.

Ada ibu yang dikurniakan kelebihan bercerita, mampu mendidik anak anak melalui cerita yang menarik. Ada ibu yang sangat kuat sabarnya, pandai psikologi dan membaca hati anak kecil, mampu mengawal emosi anak anak. Ada ibu yang pandai banyak bahasa, mampu mengajarkan anak bahasa yang berbeza di usia kecil mereka, ada ibu yang bijak ilmu agama, setiap masa mengaitkan kehidupan dengan agama, ada ibu yang bijak berkata dan menyusun kata, setiap kata nasihatnya mudah melekat ke hati si anak, ada ibu yang akhlaknya sangat terbaik, mendidik anak anak hanya melalui akhlak dan peribadinya yang mulia, dan berbagai lagi kelebihan yang Allah kurniakan buat seorang ibu. Kelebihan yang berbeza, kelebihan yang pelbagai.

Aku merenung diri, setiap apa yang aku sebutkan di atas satu pun aku tak punya :D Kadang hadir rasa rendah diri berbanding mereka yang punya. Namun satu yang perlu aku ingatkan pada diri, setiap kita dikurniakan dengan kelebihan tersendiri sebagai seorang ibu. Ditambah dengan usaha memanfaatkan kelebihan tersebut, dan mencari ilmu lagi untuk menjadi yang lebih baik.

Aku sendiri, mungkin kelebihan pada diriku adalah kerana punya masa yang banyak dengan anak anak. Boleh dikatakan 24jam sehari, aku ada bersama mereka. Aku punya masa yang sangat cukup untuk mendidik mereka sebaik mungkin, di samping melaksanakan tugasan lain sebagaimana biasa seorang suri rumahtangga :)

Namun ya, jika ini satu kelebihan, aku tetap perlu berusaha untuk memanfaatkan kelebihan ini. Tiada gunanya juga masa yang banyak dengan anak anak, namun masaku berlalu tanpa berbuat apa apa untuk mereka. Namun jika masa itu aku manfaatkan sebaiknya, pasti aku mampu menjadi guru terbaik buat anak anakku. Dan pasti lebih berbahagia andai apa yang anak anak dapat adalah hasil dari tangan dan usahaku sendiri.

Namun tetaplah diri ini belum mampu memberikan terbaik. Dalam memberikan pendidikan yang terbaik pada anak anak, perlu juga ada kemahiran dan persediaan yang cukup. Nak mengajar anak mengenal huruf, membaca, menulis, termasuk juga mengajar mereka menjadi manusia berakhlak dan memahami agama, tidak dapat tidak aku terlebih dahulu perlu menjadi ibu yang berilmu dan berakhlak. Rupanya bukan mudah juga..

Kesimpulannya, seorang ibu pasti mahu memberi yang terbaik buat anak anak, mahu menjadi yang terbaik buat anak anak. Setiap ibu juga, dalam kekurangan pasti ada kelebihan tersendiri yang membantu ibu untuk mendidik anak anaknya. Di samping kelebihan, tetap perlu ada usaha agar kelebihan itu mampu dimanfaatkan sebaiknya dalam pendidikan anak anak. Ibu ibu juga, dalam menyedari hakikat kekurangan diri, perlu mencari ilmu dan sentiasa belajar untuk menambah nilai yang ada pada diri seorang ibu.

Hakikatnya bukan mudah, tetap perlu lebih berusaha. Namun yang pasti, Allah pasti membantu. Insya Allah segalanya akan dipermudahkan demi untuk kebaikan anak anak syurga kita.

Wahai ibu, gunakan kelebihan yang kita ada sebaiknya, di samping usaha dan doa untuk mendidik anak anak kita dengan sebaiknya. Ingatlah ibu, sesungguhnya ibu adalah madrasah pertama buat anak anak :)

0 comments:

Post a Comment