Tuesday, 21 June 2016 By: Naemah

ANAK LELAKI VS ANAK PEREMPUAN



Setiap pasangan mengimpikan kehadiran seorang anak dalam kehidupan mereka. Namun bukan semua pasangan dapat menggapai impian tersebut. Ada pasangan bahagia dengan kehadiran cahaya mata, namun ada juga yang diuji dengan penantian yang belum berakhir. Walau apa jua takdirNya, semoga kita memilih untuk redha dan bersyukur. Kerana pastinya Allah sudah mengaturkan yang terbaik buat kita :)

Begitu juga pasangan yang sudah dikurniakan cahaya mata. Seorang, dua orang, dan seterusnya... lelaki dan juga perempuan. Ada di kalangan kita yang sedang mengharapkan kehadiran anak lelaki, ada pula yang sedang merindui kehadiran anak perempuan. Namun semoga tetap bersyukur dan menghargai apa yang sudah kita miliki, baik lelaki atau perempuan.

Alhamdulillah aku dan suami sudah dikurniakan 2 anak lelaki. Tak lama lagi bakal menyambut kehadiran anak ketiga pula. Belum pasti lelaki atau perempuan. Pasrah di atas takdirNya yang terbaik.

Aku tahu suamiku sangat berharap dikurniakan anak perempuan pula. Aku juga teringin, tapi aku sejujurnya tak kisah lelaki atau perempuan. Cuma yang pasti, jika ianya perempuan aku tahu suamiku yang paling gembira. Jika lelaki??? Aku pasti, aku dan dia tetap akan bersyukur dan menerima amanah ini dengan hati yang tak kurang bahagia. Kerana kehadiran si kecil ini memang sentiasa dinantikan selepas abang abangnya :)

Aku tiada pengalaman menjaga anak perempuan yang mungkin sedikit berbeza cara jagaan dan didikannya. Sudah biasa dengan anak anak lelaki, itupun belum sempurna dan perlu banyak belajar lagi. Aku pasti, anak lelaki atau anak perempuan, pasti ada cabarannya tersendiri. Barangkali aku dan suami belum layak untuk mendidik anak perempuan, kerana itu Allah masih belum mengurniakan anak perempuan buat kami. Lelaki atau perempuan, hanya Allah yang berhak menentukan pada siapa untuk Dia kurniakan. Maka aku memilih untuk redha dan bersyukur di atas nikmatNya.

Anak lelaki atau anak perempuan, ada keistimewaannya tersendiri, dan ada cabarannya tersendiri dalam mendidik mereka. Kerana bukanlah saja saja Allah mengurniakan kita seorang anak. Bukan hanya untuk kita gembira dan terhibur dengan kehadiran mereka. Malah lebih dari itu, ia adalah satu amanah yang perlu dijaga dan dididik dengan sebaiknya.

Mereka bak kain putih yang perlu dicorak. Baik corakannya, maka cantiklah ia. Buruk corakannya , maka tiada bernilailah ia. Sesungguhnya, kita ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Anak lelaki atau anak perempuan, usahakanlah sebaiknya agar anak anak ini mengenal Allah dan Rasulnya. Mencintai al Quran dan hadis, serta berakhlak dengan akhlak yang mulia sebagaimana ajaran Islam yang sebenarnya. Bekalkan mereka dengan ilmu agama yang secukupnya. Insya Allah..

Anak lelaki atau anak perempuan...aku redha dan syukur di atas kurniaan Allah yang tak ternilai harganya. Semoga Allah menunjukkan jalan dan memberi kekuatan buat kami untuk mendidik anak anak syurga ini. Aameen.

0 comments:

Post a Comment