Thursday, 30 June 2016 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: ABI JUGA SAYANG

Genap 25 minggu usia kandunganku. Juga sudah 25 hari aku berpuasa tanpa sebarang masalah walaupun dalam keadaanku yang sedang berbadan dua ini. Alhamdulillah, segala syukur kupanjatkan pada yang Esa.

Hari ini juga masuk hari yang ke-11 berjauhan dengan suamiku yang tercinta. Belum pernah ditinggal dalam tempoh yang lama begini sepanjang pengalaman mengandung anak pertama dan kedua kami. Tapi aku tahu, bukan dia sengaja mahu meninggalkan kami, dia pergi atas tuntutan kerja dan mencari nafkah. Aku redha dengan perpisahan sementara ini. Insya Allah.

Jika diimbas kembali, pengalaman mengandungkan Anas (anak pertama) adalah yang paling istimewa, kerana hampir setiap hari dan setiap masa suami ada bersama. Dari awal mengandung, hingga lahirnya Anas. Setiap kali temujanji di klinik juga, suamiku akan pasti menemani. Maklumlah, ketika itu dia masih bekerja dengan MISC. Ketika awal mengandung, aku bersamanya di atas kapal, kemudian dia bercuti lama sehingga aku melahirkan anak. Memang ketika itu dia tiada komitmen lain.

Ketika mengandungkan anak kedua pula, kami sekeluarga sudah berhijrah ke Melaka. Suami sudah meninggalkan MISC dan kemudian berkhidmat di Petronas Sg. Udang. Juga, boleh dikatakan setiap hari suami ada bersamaku yang sedang mengandung. Ke klinik juga, meskipun tidak selalu dapat menemani, akan sentiasa menghantar dan mengambilku. Selain perlu menunggu lama, suami juga perlu menjaga Anas yang ketika itu baru berusia setahun lebih. Jadi, tak sepanjang masa dia dapat menungguku di klinik. Pun begitu, hingga kelahiran anak keduaku Mussaab, suamiku tetap ada di sisi.

Kini mengandungkan yang ketiga pula. Kerja suamiku bertukar lagi. Kini bersama Xilog. Kerja yang memerlukan dia selalu travel jauh. Sudah setahun setengah dengan company ini, dan kami anak beranak juga sudah biasa ditinggalkan. Mengandung kali ini, suamiku tidak selalu ada di sisi. Kali ini perginya pula lebih lama dari biasa. Pasti anakku ini rindu pada suara abinya. Agak berbeza dari abang abangnya yang setiap hari merasakan kehadiran abinya ketika di dalam kandungan.

Tapi hakikatnya bukan abi tidak sayang, bukan abi tidak pedulikan anaknya yang bakal lahir ini, hanya kerana situasi kerja dan komitmen abi yang berbeza dari sebelum ini. Abi tak dapat selalu bersama, tetapi percayalah abi tetap sayang, dan abi sangat menantikan kehadiran zuriat ini. Abi sering bertanya keadaan ummi, abi sedaya upaya cuba memastikan ummi penuhi temujanji klinik dan doktor, hanya ketika abi ada. Tapi ya, abi hanya akan menghantar dan mengambil ummi. Tak boleh juga nak menemani ummi kerana abang berdua tu perlu dijaga :)

Bersyukurlah, meski masa dan keadaan berbeza, ummi percaya abi tetap abi yang penuh dengan cinta dan faham erti tanggungjawab. Abi gembira dengan kehadiran anak ketiga ini, sebagaimana abi gembira untuk menyambut anak pertama dan keduanya dulu.

Insya Allah, 15 minggu lagi penantian ummi dan abi untuk menyambut kelahiran cahaya mata yang sangat dirindui ini. Semoga abi akan ada di sisi di hari ummi melahirkan anak ummi ini. Semoga segalanya dipermudahkan untuk kita semua..aameen.




0 comments:

Post a Comment