Sunday, 4 September 2016 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: PERSEDIAAN MENTAL

Alhamdulillah, kandungan genap 34 minggu. Penantian lebih kurang 6 minggu lagi. Hadir pelbagai rasa. Rasa tak sabar menanti kelahiran si kecil, gembira, gentar dan takut juga. 

Walaupun sudah melalui 2 pengalaman melahirkan, tetap rasa takut itu hadir. Apatah memikirkan kesakitan yang bakal dilalui. Aku bersedia untuk menempuhnya, namun aku tetap perlu membina kekuatan diri. 

Di samping berdoa pada Allah, dan mengharapkan redha suami, aku kembali menyelak helaian buku membaca hal berkaitan dengan saat menempuh kelahiran. Aku ingin mencari motivasi dan kekuatan, agar rasa takut terhapus dan terpujuk. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketenangan untuk menempuh detik itu. 

Antara buku yang menjadi pilihan ialah buku tulisan seorang ibu yang berpengalaman melahirkan anak seramai 9 orang (Nikmatnya Sakit Bersalin; Isyah Radhiah Idris). Pernah khatam sekali buku ini. Cuba hadam untuk kali kedua, membaca perkongsian dan tips yang diberikan sepanjang menempuh saat bersalin. Saat saat menanti kelahiran seperti ini, feel dia pun lain sikit ketika membaca :)

Antara buku lain yang menjadi rujukan, Ibu Dibelai Anak Dibuai oleh Dr Ariza Mohamed (pakar O&G). Buku dari seorang doktor berpengalaman yang penuh dengan informasi. Dah banyak kali mengulang baca buku ini. Bersemangat nak melahirkan si kecil ini :)

Memikirkan tentang sakit bersalin, tak dapat tidak, sakit itu menjadi 'syarat' untuk bertemu anak yang sedang dikandung ini. Mahu atau tidak, tetap perlu melalui kesakitan ini sebelum dapat menatap wajah suci yang dirindui :)

Kerana proses bersalin itu umpama pertarungan hidup dan mati, aku tak terlepas dari memikirkan tentang kematian. Banyak kita mendengar berita gembira sebuah kelahiran. Ada ketika terdengar juga berita sedih yang membawa kepada kematian kerana sebuah kelahiran. Na'uzubillah.. Aku mohon Allah melindungiku dan anak yang sedang kukandung ini. Aku mengharapkan segalanya akan mudah dilalui.

Pengalaman lepas, melahirkan anak kedua dirasakan lebih mudah berbanding anak pertama. Diharapkan yang ketiga ini akan lebih mudah lagi. Insya Allah. 

Menanti hari... Dalam kegelisahan, tetap tidak sabar menanti. Semoga detik itu dapat kulalui dengan tenang dan mudah. Aameen.




antara bahan bacaan yang menjadi pilihan di saat menanti kelahiran cahaya mata :)

0 comments:

Post a Comment