Saturday, 3 September 2016 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: MENGANDUNG SELEPAS KEGUGURAN

Aku pernah mengalami dua kali keguguran. Dan dua kali juga mengandung selepas keguguran. Keguguran pertama, diganti dengan kehadiran anak sulungku Anas Zaydan yang kini berusia 4 tahun lebih. Keguguran kedua, kini diganti dengan anak ketiga yang sedang kukandung ini. Alhamdulillah, di atas sebuah kehilangan yang diganti. Insya Allah, yang lebih baik. 

Tak dinafikan, keguguran adalah sebuah cerita duka bagi seorang ibu. Apatah lagi pada yang sangat mengharapkan kehadiran si kecil. Aku juga sama. Kandungan pertama lebih melukakan, kerana ketika itu aku dan suami sangat mengharapkan hadirnya zuriat selepas kami diijabkabulkan. Keguguran kedua juga, menyedihkan kerana ketika itu juga aku dan suami sedang bersedia untuk mempunyai anak lagi. Namun lukanya tak seperti kehilangan yang pertama dulu, kerana hati terubat melihat dua permata hati yang sudah ada di depan mata :)

Ada ibu, yang diduga dengan keguguran berkali kali sebelum akhirnya menikmati kandungan yang selamat. Ada juga yang masih menanti dan terus menanti, dengan penuh harapan. Aku pula, penuh syukur aku panjatkan kerana Allah cepat menggantikan sebuah 'kehilangan' itu.

Setiap orang ujiannya berbeza. Kerana Allah tahu sejauh mana kekuatan kita. Keguguran itu juga 'sakit'. Hanya yang pernah mengalaminya saja yang faham. Sakit fizikal, dan sakit emosi juga :) namun percayalah, Allah takkan sia siakan segala kesakitan yang kita tempuh itu. Simpati Allah pasti ada bersama. Kita perlu belajar untuk redha menerima, dan sabar dengan ujian ini.

Saat menanti kelahiran yang ketiga ini, terimbas kenangan mengandungku yang lepas lepas. Termasuk kandungan yang membawa kepada keguguran. Ada rasa sayu menyusup ke hati. Aku pernah melalui detik sedih itu. Namun hati tak lepas dari rasa syukur. Hakikatnya hari ini aku sudah punya 2 anak yang sudah diganti. Malah akan hadir lagi seorang anak tidak lama lagi. Allah.. Sungguh besar nikmatMu. Nikmat hari ini jauh lebih besar dari cebisan kenangan sedih yang lalu. Allah sudah ganti.. Allah sudah memberikan yang terbaik!!

Nasihatku pada wanita yang berhadapan dengan kisah sedih kerana sebuah keguguran, percayalah Allah pasti memberikan yang lebih baik pada kita di masa yang akan datang. Walau diuji dengan keguguran berkali kali, tetaplah tabah menerima dugaan ini. Allah takkan biarkan kita terus bersedih. Pasti ada berita gembira di masa yang akan datang. Insya Allah. Yakinilah bahawa Allah tak akan biarkan kita sendiri menempuh kesedihan ini. Pasti simpatiNya ada bersama. Pasti ada perancangan yang lebih hebat dariNya buat kita, seorang ibu :)



0 comments:

Post a Comment