Thursday, 8 September 2016 By: Naemah

MULIA LAYAK UNTUK IBU

Merenung kedutan di wajah tuanya. Hati dihimpit sayu. Semakin tua dan uzur, seiring usiaku yang semakin dewasa dan bakal menyusul tua.

Terasa menggunung dosaku padanya. Pada dia yang melahirkan, yang mengganti tempat ayah membanting tulang menyaraku, belanja yang bukan sedikit untuk makan pakai dan pengajianku, yang mendoakan saban hari, yang sentiasa merestui tiap langkah dan pilihan hidup ini.

Apa jasaku padanya? Apa usahaku untuk membahagiakan hati tuanya? Apa yang mampu aku balas untuk setiap jerih payahnya? Tiada... Langsung tiada... 

Dia, seperti ibu lain juga, hanya manusia dan wanita biasa. Tak pernah sempurna. Namun layaknya seorang ibu, tempatnya tetap mulia. Semoga keampunan Allah sentiasa ada di atas setiap dosa dan khilafnya sebagai hamba dan insan biasa.

Aku hari ini, bukan juga seorang yang sempurna dan terlalu baik. Namun aku hari ini, membesar dewasa, dikurnia ilmu dan kehidupan yang baik, hasil dari penat lelah dan berkat doanya. 

Dia yang ikhlas berkorban. Dia yang tak minta balasan. Dia yang tak menagih  simpati. Hingga kini, selagi kudrat ada, selagi itu dia akan berdiri sendiri. 

Maafkan aku ibu. Aku kurang cakna pada keperluanmu. Aku selalu jauh, tak punya masa untukmu. Aku pandang ringan akan kesukaranmu. Aku buat tak dengar segala nasihat dan pesananmu. Aku tak berusaha untuk penuhi permintaanmu. Aku endah tak endah akan kebajikanmu. Aku juga tak punya wang untuk hulurkan padamu. 

Aku tak pasti entah berapa kali hatimu terguris kerana sikapku. Cuma yang aku tahu, hati muliamu sering bersedia memafkanku meski tanpa aku memintanya. Aku sedar betapa mulianya hati seorang ibu yang tak rela anaknya berdosa. 

Aku juga seorang ibu yang mencintai anak anakku. Aku tahu cintaku pada anak anak melebihi cintaku pada ibuku. Sanggup berkorban apa saja buat anak anak, tapi bukan buat ibu. Betapa aku tidak adil pada ibuku.

Ibu, setelah apa yang telah ibu lalui selama ini, berkorban setiap masa, sehingga hari ini, usia sudah semakin lanjut, namun episod pengorbanan seorang ibu masih belum berakhir...

Ibu, mulia itu layak buatmu. Meski ibu juga manusia biasa yang tak lepas dari dosa, namun semoga cinta dan keampunan Allah sentiasa ada untuk ibu yang sentiasa ikhlas mencintai anaknya. 

Ketika jauh, aku merasa berdosa kerana tidak mampu berbakti padamu. Ketika dekat, aku masih anak yang berdosa kerana sering memperlaku kasar denganmu. Entah bila aku benar benar akan menjadi anak yang baik untukmu. 

Aku takut kehilanganmu memberi penyesalan dan kesedihan yang tak tertanggung. Dek sikapku hari ini yang banyak melukakan hatimu.

Ampunkan anakmu ibu. Moga ibu akan sentiasa mulia di sisi Allah.

0 comments:

Post a Comment