Friday, 30 September 2016 0 comments By: Naemah

GROUP WHATSAPP: BBM QURANIC



Whatsapp: antara medium komunikasi yang paling popular pada hari ini. Boleh dikatakan semua orang berhubung melalui medium ini. Aku juga tak terkecuali :)

Selain personal whatsapp, kita juga boleh buat group whatsapp. Antara group whatsapp yang paling aku suka ialah group whatsapp family, semestinya. Tak lupa juga group kawan-kawan sepengajian dahulu. Meski dah lama tak berjumpa, ruang ini menjadi tempat kami bertanya khabar dan mengukuhkan ukhuwwah. Alhamdulillah. 

Antara group whatsapp yang menjadi kesayanganku ialah group whatsapp BBM Quranic yang telah 2 tahun aku join. Lupa bagaimana boleh 'termasuk' dalam group yang kebanyakan ahlinya adalah wanita hebat itu :) namun banyak mutiara ilmu yang dapat aku kutip dari perkongsian mereka sebagai isteri dan ibu, juga sebagai hamba Allah. 

Aku seperti biasa, hanya seorang silent reader. Bukan kedekut ilmu ke apa, cuma rasa aku ni macam tak ada apa apa nak kongsi. Maklumlah, ramai di kalangan mereka lebih senior dariku, dan bukan calang orang pula. Ada motivator, pensyarah, pakar kaunseling, guru, dan macam macam lagi. Antara mereka ialah Puan Lina (ibu darwisy n darwisya), Puan Maznah Ibrahim (pakar kaunseling), Puan Cahaya (motivator), Puan Aminah (anakku al hafiz), dan ramai lagi yang dikenali dan tak dikenali, namun hebat hebat semuanya :)

Kenapa aku sayang sangat group ni walaupun hanya sebagai silent reader? Dah tentu kerana banyak ilmu yang aku dapat di sini. Group ini boleh dikatakan sangat aktif. Ada saja perkongsian yang baik dan bermanfaat untuk dijadikan rujukan dan peringatan buat diri. Lebih lebih lagi ilmu tentang pendidikan anak anak. Maklumlah, aku masih baru dalam dunia parenting ni. Ilmu pun tak banyak. Banyak yang aku dapat di group ini untuk dijadikan rujukan sepanjang perjalanan sebagai seorang ibu. 

Di sini tercetus idea untuk memulakan hafazan al Quran Anas, di sediakan juga rujukan dan bahan bantu mengajar, idea kreatif, hebahan seminar keibubapaan, dan sebagainya. Boleh dikatakan sangat sangat bermanfaat. Bukan sekadar berbual kosong. Thanks to puan Irina selaku admin group yang add saya ke group ini :)

Sampai ke hari ini, aku masih lagi seorang isteri dan ibu biasa, namun masa demi masa, banyak belajar dari pengalaman sendiri, dan nasihat mereka yang sudi berkongsi. Tak lupa, pada suamiku yang sering berpesan, menasihati, mendorong dan mendoakan. Aku menyimpan azam untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik. Tambahan pula tak lama lagi bertambah amanah dari Allah untuk aku jaga dan didik sebaiknya. Semoga Allah sentiasa memberikan petunjukNya. Aameen
Thursday, 29 September 2016 0 comments By: Naemah

UJIAN SEMALAM

Semalam genap 38 minggu usia kehamilanku. Semalam diuji dengan sakit dan lenguh sendi yang lebih kuat dari biasa. Entah apa sebabnya. Di siang hari, aku ok saja. Boleh buat banyak kerja juga, sambil uruskan anak anak. 

Malamnya, tak sangka pula terasa sakit seluruh badan terutamanya di bahagian pinggang ke bawah. Tak daya nak melangkah. Mujur juga dah malam. Anak anak pun dah bersedia untuk tidur. Aku yang menanggung sakit, sukar nak lelapkan mata. Perut juga terasa sakit memulas. 

Jam 12 lebih, dapat lelapkan mata selepas kerapkali bertukar posisi badan ke kiri dan ke kanan. kemudian terjaga jam 3 pagi nak buang air. Sakit badan masih terasa. Rasa nak menggelupur. Perut juga masih memulas. Tiada pilihan lain, aku mencapai minyak mastika dan mengurut paha ke kaki, dan baring untuk tidur semula. Peritnya ketika ini Allah saja yang tahu. Kalau ada suamiku, mungkin boleh minta dia tolong urutkan. Namun apakan daya, dia tiada di sisi. Aku akhirnya lena hingga ke pagi.

Hari ini, masih terasa lenguh kaki dan badan. Namun cuba sedaya upaya untuk bangkit, uruskan anak anak dan lakukan sedikit kerja. Selebihnya hanya duduk dan baring saja. Alhamdulillah, anak anak pun ok je. Masih sempat melayan mereka, lakukan apa yang sepatutnya.

Setiap ujian pasti terkandung hikmah. Semoga Allah ampunkan segala dosaku. Semoga keadaanku akan lebih baik. 

Aameen

CATATAN KEHAMILAN: TRIMESTER KETIGA





Alhamdulillah kini berada di trimester ketiga dan terakhir kehamilan. Sambungan catatan kehamilan: Trimester Pertama dan Trimester Kedua

Usia kehamilan kini 38 minggu. Masih berbaki 2 minggu lagi, hingga sampai ke tarikh jangkaan bersalin anak ketigaku (14/10/16). Insya Allah.

Namun begitu, aku perlu sentiasa bersedia kerana bila bila masa saja aku akan melahirkan si kecil yang dirindui ini :) 

Di sini ingin aku catatkan sedikit pengalaman sepanjang menempuh trimester ketiga kehamilan ini. 

Tidak terlalu banyak beza dengan keadaan di trimester kedua, melainkan berat badan yang semakin bertambah tambah, perut semakin sarat membesar, juga langkah dan pergerakan yang dirasakan semakin sukar dan perlahan.

Masih berhadapan dengan masalah biasa, seperti kerap sakit kepala (hingga minggu ke-33), lenguh-lenguh badan dan kaki, dan juga masalah keputihan yang sering mengganggu.

Di trimester ini, aku perlu memenuhi temujanji klinik setiap 2 minggu, juga melakukan bsp dan temujanji doktor. Bacaan bsp boleh dikatakan baik, dan masalah gdm masih di tahap terkawal. Minggu ke-37 merupakan bsp terakhirku, dan tidak perlu lagi melakukannya sehingga menanti hari melahirkan anakku. Tetapi tetap tidak boleh melebihi tarikh jangka bersalin. 

Masalah biasa juga ialah, bacaan hb yang selalu rendah (9-10). Pernah juga sekali dikesan kencing kotor, tapi tak serius sangat. Doktor memberikan ubat antibiotik, dan nasihatkan untuk lebih banyak minum air kosong. Insya Allah tiada lagi masalah itu. 

Ditakdirkan minggu ke 31-33, aku diserang batuk dan selesema. Lama juga tempohnya untuk kembali sihat. dah sihat, datang lagi selesema pada minggu ke-36. Seminggu lepas tu dah ok. 

Lagi satu ujian, ialah pada minggu ke-34, ditakdirkan terjatuh di lantai yang licin. Alhamdulillah kandunganku baik baik saja, hanya jari kakiku yang sakit dan bengkak. Masih terasa sakitnya hingga ke hari ini. Sabarlah, sikit saja ujiannya. 

Sesekali diuji dengan kepenatan melampau, hingga tak daya nak lakukan kerja yang biasa, nak melayan anak pun terasa malas, hanya fikir nak baring dan rehat saja. Adakala juga datang rasa kontraksi yang kadang kadang menyakitkan, juga rasa cramp di bahagian rahim dan perit di laluan bersalin. Sama seperti pengalaman lepas :). 

Pada trimester ini sudah mula mengira pergerakan baby. Alhamdulillah anak ummi aktif dan sihat, insya Allah. 

Dua kali melakukan scan, dan mungkin yang terakhir. Keduanya dibuat di Klinik Kesihatan Ayer Lanas. Pertama di minggu ke-29, dan kedua, di minggu ke-37. Teruja melihat anakku yang sihat dan aktif bergerak. Alhamdulillah, tiada masalah dengan pembesarannya, uri juga dah naik ke atas. Keduanya doktor menyatakan anakku kemungkinan 'lelaki'. Alhamdulillah.. mana mana sajalah. Lelaki atau perempuan, tetap anugerah dari Allah yang sangat ummi syukuri :)

Jika sebelum ini dah memang kerap balik kampung, di akhir akhir trimester ini pula banyak berada di kampung ketika suami bertugas di Bintulu atau Labuan. Malah, sepanjang Sepetember hingga kini sudah lebih sebulan berada di kampung, menyambut Aidiladha dan seterusnya menanti kelahiran anakku. Rindu pula rasanya pada rumah sewa kami :)

Sampai di sini saja catatan kehamilan di trimester ketiga ini. Masih berbaki kurang 2 minggu, saat penantian kami suami isteri. Tak sabar menatap wajah suci yang sangat dirindui. 

SEMOGA DIPERMUDAHKAN
Wednesday, 28 September 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 280916

Hari ini Anas dan Mussaab masih di kampung. Hari ini juga tanpa abi yang bertolak ke Bintulu hari ini. 

Anas bangun jam 6.30, Mussaab pula bangun jam 7 pagi. Breakfast dengan nasi lemak yang cik beli. Lepas tu mandi. Anas kemudian mencapai buku kamus bergambar arab-English- melayu dan tekun membaca seorang diri. Mussaab pula minta ummi ambilkan mainan yang tersimpan di atas almari. Asyik juga dengan mainannya.



Jam 10 pagi, Anas minta mak buat aktiviti. Ummi cadangkan Anas melukis. Kertas, permainan vehicles, pensel warna, dan buku diangkut keluar ke beranda memandangkan Anas nak melukis di situ. Mussaab juga ikut sekali. Anas melukis vehicles, Mussaab membaca buku, ummi juga join bersama melukis dan membaca. Dah bosan melukis, makan keropok dan minum air. Lepas tu turun berjalan di halaman rumah. Mussaab pula terpijak tahi ayam. Ummi bersihkan Mussaab dan cuci lantai yang kotor itu. Anas tolong ummi. Lepas tu naik ke atas rumah. Ummi dah rasa penat nak bergerak.










Jam 11, baring baring di atas karpet. Buat hal masing masing. Anas tengok video di hand phone, Mussaab pula dengan iPad. Abi juga sudah bertolak ke Bintulu, penerbangan 11 pagi. Kemudian Anas on laptop dan mula menonton video. Asyik seketika dengan video. 

Jam 12, Ummi panggil makan nasi. Anas makan dengan berselera, kerana dari tadi mengadu lapar. Mussaab pula leka dengan mainan yang bersepah di luar. Bermain mengikut imaginasinya. Puas Ummi panggil makan, akhirnya masuk juga ke dapur dan makan sedikit. Kemudian keluar dan sambung bermain. Ummi tunggu hingga Anas selesai makan. Lepas makan, Anas juga keluar dan main bersama Mussaab. Ummi perhatikan saja Anas dan Mussaab yang bermain dan menyusun blocks.




Pukul 1, mandi dan main air. Selesai mandi dan berpakaian, kembali menonton video. Ummi mandi dan solat zohor. Anas kemudian masuk dan minta nak makan lagi. Hai, baru je lepas makan nasi. Ummi minta nak rehat dulu, dan janji akan bagi Anas makan lepas Ummi  bangun. Ummi terjaga dari tidur jam 3.30, Anas dan Mussaab keduanya sedang lena di kiri dan kanan Ummi.

Ummi solat Asar, Anas dan Mussaab masih lena. Anas bangun kemudiannya, minta nak makan roti dan sosej. Ummi masakkan untuk Anas. Kemudian Mussaab pula bangun dan makan bersama Anas. Lepas tu aktiviti bermain pula, hingga jam 6.30 petang. Lepas main, mandi. Ummi juga bersiap untuk solat maghrib. Anas on laptop dan menonton video lagi. Lepas tu baca al Quran, dan sambung menonton lagi. 

Lepas isyak, Ummi ke dapur dan masak nasi goreng. Anas dan Mussaab makan roti lagi. Tak nak makan nasi. Habis 2 keping roti setiap sorang. Lepas tu keluar dan menonton video lagi. Keduanya masih cergas dan tak mengantuk. Maklumlah dah tidur banyak siang tadi.  Jam 10 malam, masih belum teringatkan tidur. Sempat lagi Anas buka buku, buat aktiviti maze dan membaca. Mussaab juga turut serta. 




Jam 10.30, Ummi tutup lampu dan semua bersiap tidur. Jam 11 malam, keduanya sudah lena. Alhamdulillah.

Syukur di atas kehidupan hari ini. Anak anak Ummi sihat dan baik baik saja. Sentiasa Ceria dan cergas. Syukur Ummi panjatkan pada Allah yang Maha Memberi. Semoga hari esok Akan lebih  baik buat kita semua. Insya Allah.
Saturday, 24 September 2016 0 comments By: Naemah

MARI MEMBACA



Tiada sangat aktiviti homeschooling yang nak di update. Hari ni just nak review one of the books yang digunakan untuk mengajar anak solehku, Anas Zaydan (4 tahun 8 bulan), juga Abdullah Mussaab (2 tahun 8 bulan). 

Buku untuk Anas dan Mussaab banyak kami beli di pesta buku 'Big Bad Wolf' yang saban tahun diadakan di MIECC. Di samping harga murah, ianya juga sangat menarik dan mampu menarik perhatian anak kecil seperti Anas dan Mussaab. Tapi of course lah, kita sebagai ibubapa perlu bersama mereka, dalam memancing minat mereka pada buku :)

Buku yang baru diulangkaji bersama Anas semalam: The Big Body Book. 

Pernah baca bersama sebelum ini. Anas juga sering membelek buku ini sendirian. Makanya, sedikit sebanyak dia sudah ada kefahaman dalam topik yang dibincangkan dalam buku ini. Kefahaman yang pastinya belum menyeluruh. Dan kefahaman yang sesuai dengan usianya sekarang :)

Namun kunci pada kefahaman sesebuah topik, ialah 'pengulangan'. Banyak kali baca, akan lebih faham dan jelas. Begitu juga dengan Anas. Dah ulang baca dan diterangkan beberapa kali, hingga sekarang dia boleh describe sendiri, menggunakan word dan sentence sendiri. Alhamdulillah untuk pencapaian itu. 

Apa bab yang dibincangkan dalam buku ini? It's all about our body, how body works, and what's inside our body. Plus, the fun facts about our body. 

Keseluruhan tajuk ada pada setiap gambar di bawah:




















(maafkan pada gambar yang tunggang terbalik :))


Menarikkan? Yang penting senang faham, dan senang pula nak explain balik kat anak anak. 

Itu sajalah tentang buku: The Big Body Book. Setakat diberi kesempatan. Kalau ikut nak review, memang banyak lagilah buku yang menarik untuk anak anak. 

Yang penting,kita sebagai ibubapa tak berkira untuk keluarkan sedikit belanja untuk buku dan apa jua bentuk pendidikan untuk anak anak. Ya, ikut sekadar kemampuan, dan yang penting juga, perlu terlibat sama dalam aktiviti belajar anak anak. 

Pesanan untuk diriku juga, kerana kadang kadang hanya biarkan anak anak sendirian meneroka tanpa tunjuk ajar. Takut lama lama anak pun bosan dan tak excited lagi untuk terus meneroka dan belajar. 


Friday, 23 September 2016 0 comments By: Naemah

MENSYUKURI JODOH

picture: here


Berapa ramai yang bersyukur kerana dikurniakan jodoh pasangan seperti dia yang kini ada di sisi? 

Tak kira kita menikahinya kerana cinta atau sebaliknya, tidakkah kita bersyukur, kerana dia ditakdirkan menjadi jodoh kita?

Tak kira baik atau buruk pandangan orang pada dia, namun dia yang terbaik di pandangan kita. Tak kira dia pendiam atau banyak cakap, namun bersamanya, kita rasa sangat terhibur. Tak kira taraf pendidikannya tinggi atau rendah, namun sepanjang hidup bersamanya, banyak mutiara ilmu yang dapat dikutip dalam sedar atau tidak. Tak kira dia berharta atau sebaliknya, bersamanya terasa segalanya telah dicukupkan :)

Mencari kesempurnaan, tak mungkin dia sempurna. Mencari persamaan, tetap akan ada perbezaan. 

Bersyukur, dia yang telah ditakdir sebagai jodoh. Bersyukur, dia yang menemani hari hari yang berlalu. Bersyukur, ada teman bicara, berbisik, bercerita, bersandar, dan meluah segala rasa. Bersyukur, bersamanya hadir zuriat yang pernah dirindu. Bersyukur, bersama kekurangan dan kelebihan, dia hadir sebagai pelengkap hidup ini.

Banyak sebab untuk bersyukur. Jika hanya kerana hati melihat pasangan sebagai anugerah yang paling indah dan membahagiakan dari Allah yang Maha Memberi. 


MENANGISLAH

Untuk apa air mata diciptakan??

Aku tertanya.. Adakah insan yang hidupnya tak pernah menangis??Sepertinya mustahil. Sama ada menangis gembira, atau menangis sedih, pastinya semua insan pernah merasainya. 

Tangisan itu bukti betapa kerdilnya diri. Tidak salah menangis, kerana hakikatnya kita insan yang lemah. Saat rasa terhimpit dan tersepit, di ketika tidak tahu untuk bertindak bagaimana, tidak tahu pada siapa ingin mengadu, menangislah, mudah mudahan kekalutan hati akan menjadi lebih reda. 

Sering selepas sebuah tangisan yang panjang, hati menjadi lebih terpujuk. Masalah yang menggunung dilihat kian mengecil, lantas hati menjadi lebih tenang.

Tetapi hanya jika tangisan itu hadir bersama pengaduan dan pengharapan hanya pada Allah. Hanya ketika seluruh hati dipasrahkan padaNya. Hanya di ketika hati ingin terus bersangka baik di atas segala takdirNya. Hanya ketika sepenuh keyakinan dan doa dipanjatkan buatNya.

Menangislah, jika hanya itu yang kita terdaya di saat dan ketika itu :,)


picture: here

CATATAN KEHAMILAN: PERLU KUAT FIZIKAL DAN MENTAL

Masuk minggu ke-38 kehamilanku. Saatnya makin tiba :) 

Dalam sarat mengandung, masih ada dua lagi anak kecil yang perlu diberi perhatian. Seorang berumur 4 tahun 8 bulan, dan seorang lagi 2 tahun 8 bulan. Masih kecil dan masih perlukan ummi untuk uruskan hal diri mereka. Mengandung, dan menjaga anak kecil. Satu pengalaman dan cabaran baru yang perlu ditempuh :)

Kerana abi selalu jauh, maka yang ada hanya ummi. Sesekali dan seringkali abi balik, masa tu ummi rasa, wah, best sangat :D

2 minggu terakhir ini, suamiku tak berada di sisi kerana tuntutan kerjanya. Aku dan anak anak pula, tinggal di kampung di rumah ibuku. Meskipun di kampung, tetap aku juga yang perlu uruskan segala hal tentang anak anak. Nak harapkan siapa? Ibuku sudah sangat tua. Cukup untuk uruskan hal dia sendiri saja. Itupun kadang kadang aku tak perlu memasak, jika ada masakannya yang menepati selera anak anak. Kalau tak, kena masak juga la :) nak harapkan orang lain?Mereka pastinya ada tugas dan tanggungjawab masing masing. So, tetaplah aku perlu berdiri di kaki sendiri. Cuma bila berada di kampung, senang sikitlah nak minta tolong jika terdesak atau dalam kecemasan :)

Anak anak, kerana masih kecil, mana nak fikir ummi penat ke apa. Selalu je berkejar bila nak mandi. Nak pakaikan baju pun sama juga.  Nak makan, selain masak kena kemas juga makanan yang tertumpah sana sini. Mainan, kertas, buku, nak kena kutip dan kemas setiap hari juga. Bila ada yang tak kena, adalah yang akan bad mood, tantrum, nangis nangis, tanpa ummi tahu kenapa dan sebab apa. Masuk bab tidur, tak sah kalau tak dikepit dan dihimpit, sebab dua dua nak tidur tepi ummi. Ummi nak gerak pun tak boleh. Dengan ruang yang sempit, dengan perut yang besar ni, memang lenguh walaupun baring je. Kena tunggu keduanya lelap baru boleh cari ruang di sudut lain. Fuh, lega boleh tukar posisi badan sesuka hati. Time solat juga, masih ada lagi yang cuba nak panjat atas belakang sampai ummi tak larat nak bangun. Belum masuk lagi hal dan bab yang tak terduga, yang mana ummi perlu berkejaran dan lekas bertindak walau dalam berat nak mengusung badan ,:)

Dalam kebanyakan masa, tetap aku cuba bersabar. Dah memang anak anak masih kecil dan belum mengerti kepayahan kita.  Malah kita yang perlu faham mereka. Namun, dalam cuba bersabar itu, adakala tak lepas juga dari menjadi 'singa', tika rasa penat tak terkata, tika mood tengah tak berapa ok. Masa tu tiba tiba jadi ummi yang tak boleh beza budak kecik dengan orang besar. Kesian, anak anak jadi mangsa :(

Hanya tinggal 2 minggu lebih, saat penantian yang bakal berakhir, insya Allah. Tak lama lagi juga suamiku akan pulang. Maka hal anak anak akan dibahagikan bersama. Anak anak pun nanti akan lebih seronok bila abi ada bersama. 

Beginilah, kisah di ketika sarat mengandung ini. Dalam masa yang sama, perlu menguruskan dua anak kecil sendirian kerana suami yang jauh mencari rezeki. Ye, bukan aku seorang melalui pengalaman ini. Cuma ini yang pertama kali buatku. Pengalaman lepas, dah tentu lain ceritanya. Anak pertama paling releks kerana tiada komitmen lain. Anak kedua, penat sikit, tapi masa tu anak baru sorang, dan suami pula setiap hari pulang ke rumah selepas masa bekerja. Yang ketiga ini, anak dah dua, tengah lasak pula. Tambahan suami pula sering merantau jauh kerana kerja, maka mengandung kali ini amat memerlukan kekuatan fizikal dan emosi ':)  

Kekuatan datang bila diri terpaksa menempuhnya, dan kita tiada pilihan lain. Tapi benarlah, Allah tak datangkan dugaan atau ujian, jika Dia tahu kita tak mampu menanggungnya. Dalam usaha untuk menempuh semua ini juga, ia adalah satu bentuk tarbiyyah untuk mendidik diri menjadi seorang ibu yang lebih kuat dan sabar. Tapi tetap ada masa lemah juga, namun tetap berusaha untuk bangkit dan bertahan. Gagal itu biasa, kerana kita bukan manusia sempurna. 

Hari ini, masih dalam situasi yang sama. Suami masih jauh, anak anak perlu diuruskan seperti biasa. Kandungan juga kian sarat :) Namun tetap perlu kuat dan jalan terus :) Insya Allah pertolongan Allah sentiasa ada. Anak kecil berdua itu bukanlah beban, malah harta dan saham,  asbab ummi menjadi lebih kuat dan terus membina sabar. 

Pun begitu, buat Anas dan Mussaab, ummi tetap ingin memohon ampun dan maaf, kerana dalam mencuba untuk memberi yang terbaik, masih lagi banyak kekurangan dan ketidakmampuan ummi. Maafkan ummi  sayang. 



2 hero yg sedang lasak membesar



Tuesday, 20 September 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 210916


Hari ini Anas dan Mussaab masih di kampung. Masih di rumah mek. Hari ini juga tanpa abi. Semalam seharian bersama abi. Hanya untuk satu hari, kerana abi perlu kembali bekerja. Hari ini abi ke Bintulu lagi untuk menyambung tugas.

Anas bangun jam 7.30 pagi. Anas kejutkan ummi yang terlelap selepas solat subuh tadi. Terus masuk ke dapur untuk sarapan. Anas minta nugget. Tak nak makan yang lain. Ummi gorengkan untuk Anas. Sedang makan, Mussaab pula bangun dari tidur. Mussaab tidak terus ke dapur, sebaliknya bermain dulu di luar. Lepas tu baru masuk ke dapur. 

Untuk Mussaab, ummi masakkan roti bakar. Alhamdulillah Mussaab makan. Lepas tu keluar, kemaskan tempat tidur dan mandikan Mussaab. Mandi ala kadar saja. 




Ummi angkut kain yang diangkat dari jemuran semalam. Duduk di luar untuk lipat kain yang bertimbun. Anas dan Mussaab bermain basikal dan guli. Ummi biarkan Anas dan Mussaab bermain sendiri. Lepas tu Anas dan Mussaab duduk bersama ummi. Tak jadi ummi nak lipat kain. Layan Anas dan Mussaab dulu. Baca buku 'The Big Body Book' bersama. Alhamdulillah dapat baca dan faham bersama, dari page awal hingga akhir. Dah lama tak 'membaca' kan? Lepas tu Anas baca buku 'siri buku pantas membaca'. Alhamdulillah dapat juga la 2 page. 




Sempat juga ummi whatsapp abi yang dalam perjalanan ke airport. Seperti biasa abi akan bertanya khabar anak anaknya. 

Anas dan Mussaab minta nak menonton video pula. Cuba alihkan perhatian pada benda lain dulu. Kalau dah buka video, akan melekat saja di depan laptop. Ummi minta Anas baca surah, Anas tak nak. Nampaknya Anas kurang excited dengan surah baru (an Naazi'at). Tak seperti ketika membaca surah Abasa. Mungkin ke kerana ayatnya lebih susah? Akhirnya ummi sekadar buka mp3 untuk surah tersebut untuk Anas dengar sambil tampal sticker. Mussaab pula main guli dan dump truck sambil berguling di karpet. Ummi selesaikan kerja ummi. 

Jam 10.30, ummi jemur kain. Anas dan Mussaab turun ke halaman rumah dan cuba memanjat pokok rambutan. Juga dapat whatsapp dari abi yang sudah menaiki flight. Semoga Allah menjaga abi. Selesai menjemur, ummi turun mendapatkan Anas dan Mussaab di bawah. Duduk lepak bersama di bawah pokok, sambil Anas dan Mussaab makan aiskrim. Best juga lepak kat situ :)




Jam 11 pagi, masuk ke dalam rumah. Ummi on kan laptop dan Anas buka video 'Dibo'. Ummi masuk ke dapur dan masak. Tinggalkan Anas dan Mussaab menonton. Lepas masak, makan sama sama. Lepas tu Anas keluar dan buka video 'Tayo' pula. Menonton lagi. 

Jam 12.30, Anas dan Mussaab masuk ke bilik air untuk mandi. Seperti biasa, mandi dan main. Dah puas main baru keluar. Abi juga dah selamat sampai di Bintulu. Alhamdulillah.

Ummi solat zohor, Anas dan Mussaab sambung menonton video. Kemudian masuk dapatkan ummi. Mussaab dah start tantrum. Ada saja yang tidak kena. Menangis dan sukar dipujuk. Ummi biarkan hingga Mussaab berhenti menangis. Lepas tu ok. Ummi tak tahu apa yang Mussaab mahu. Nak dukung, memang ummi dah tak larat sangat. 

Jam 2 petang, ummi ajak tidur. Mussaab baring sambil pegang ipad. Anas masih kat luar, menonton video. Ummi yang terlena dulu. Kejap kejap terjaga juga. Anas dan Mussaab masih tak tidur, asyik keluar masuk bilik. Lepas tu Anas tertidur di sebelah ummi. Ummi sambung tidur lagi. Mussaab main sorang sorang. Jam 3.45 ummi bangun, Mussaab juga dah lena di atas bantal Anas. Tidur juga akhirnya. Ummi dah tak mengantuk. Buka whatsapp, ada masej dari abi yang baru balik shopping di Bintulu. Hai, sempat lagi dia shopping mainan untuk anak anak. 

Ummi solat asar. Anas dan Mussaab masih tidur. Sempat juga ummi baca al Quran. Hujan turun dengan sengat lebat hari ini. Tengah baca al Quran,  Anas bangun menangis dan mendapatkan ummi. Panjang tangisnya. Kemudian Mussaab pula bangun, juga menangis. Ummi memangku Mussaab dan meriba Anas. Baby lagi kat dalam perut ':). Tahan sajalah walau rasa lenguh. Mussaab tidur lagi di pangkuan ummi. Anas masih tiada mood, dan masih nak menangis. Ummi tanya kenapa, tak berjawab juga. Ummi letak Mussaab di atas sofa. Layan Anas seketika. Menangis lagi, dan tak nak jawab segala soalan ummi.

5.30, ummi ke dapur. Anas juga ikut, lepas tu keluar lagi. Masih tak nak bercakap. Tak lama kemudian baru bagitau nak makan nugget. Ummi gorengkan untuk Anas. Nugget lagi petang ni nampaknya. Mussaab pula bangun, dan makan bersama Anas. Ummi goreng nasi, tapi Anas dan Mussaab makan sedikit saja. Lepas makan, mood pun dah ok, main basikal pula. Riuh seketika di dapur. Mek dan cik juga ada bersama.

Jam 6.45, mandi. Lepas tu keluar dan tengok video lagi. Ummi solat maghrib, kemudian ajar Anas al Quran. Mussaab pula minta nak makan keropok. Ummi gorengkan keropok lekor untuk Mussaab. Banyak juga Mussaab makan. Lapar agaknya. Nasi goreng tadi dah habis. Lepas makan, main dan main lagi. Anas juga sama. Nak menonton video pun dah bosan. 

Jam 9.30, abi cal dari Bintulu. Anas dan Mussaab bercakap dengan abi. Lepas tu siap siap untuk tidur. Ummi tutup lampu dan semuanya berbaring untuk tidur. Mussaab terlebih dahulu lena, kemudian Anas dan akhirnya ummi.

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Ummi masih lagi belum berupaya menjadi ummi yang sempurna. Banyak kekurangan ummi pada Anas dan Mussaab. Maafkan ummi sayang. Semoga esok akan lebih baik untuk kita semua. Insya Allah.





SEHARI CUMA

190916(8malam)-200916(6.30 petang)

Tempoh aku dan anak anak melepaskan rindu pada yang tersayang setelah hampir seminggu tak berjumpa. 

Tempoh masa yang sangat singkat, namun tetap bersyukur di atas pertemuan ini. Suamiku berusaha memandu balik demi untuk bertemu anak anak yang dirinduinya. Walaupun perjalanan memakan masa 6-7 jam, tetap dia gagahkan diri meski hanya untuk satu hari. Kemudian memandu balik pula kerana esoknya perlu kembali bekerja. Aku pula yang risau fikirkan dia ,:>

Jam hampir 11 malam, aku masih belum mampu pejamkan mata. Anak anak sudah lena. Mengharapkan perjalanan suamiku lancar dan mudah urusan musafirnya. Juga mendoakan agar dia selamat sampai ke rumah.

Kesian pada dia yang terpaksa ulang alik sendirian. Aku yang sedang sarat mengandung memang rasa tak berdaya nak bermusafir jauh bersama dia. Hanya tunggu masa untuk lahirkan si kecil ini :)

Kepulangan dia, meski untuk satu hari cuma, cukup untuk mengubat rindu anak isteri. Terima kasih sayang... 






~DIA YANG TAK SELALU ADA,NAMUN SENTIASA BERUSAHA UNTUK SELALU BERSAMA KETIKA ADA~
Sunday, 18 September 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: MENGANDUNG 9 BULAN

Melepasi trimester pertama, kedua dan kini di hujung trimester ketiga, selama 9 bulan lamanya :) bukan satu tempoh yang singkat. Inilah realiti seorang ibu yang mengandungkan anak anak mereka. Setiap trimester memberikan rasa dan pengalaman yang berbeza. 

Di trimester pertama (hingga kandungan 3 bulan), ketika ini ada ibu yang releks je mengandung tanpa sebarang alahan. Tak kurang juga yang mengalami alahan di awal kehamilan mereka. Makan tak selera, pening, muntah dan mabuk, alah pada bau tertentu, dan macam macam lagi. Pendek kata, alahan yang teruk menyebabkan badan jadi sangat lemah dan tidak bertenaga. Apa kerja pun tak mampu nak buat. Syukurlah pada yang tak mengalami alahan. Boleh jalani kehidupan seperti biasa, di samping bahagia mendapat tahu diri berbadan dua. Tapi di trimester ini juga masih terselit rasa bimbang dan risau, kerana sering terjadi keguguran di awal kehamilan pada kebanyakan wanita. Kesimpulannya, dalam suka ada gusar juga :)

Trimester kedua, masa ni memang betul betul menikmati masa mengandung. Alahan beransur pergi. Badan lebih sihat bertenaga. Makan pun dah kembali berselera. Sedikit demi sikit, perut ibu mengandung dah mula nampak. Orang sekeliling pun dah tahu, yang kita ni sedang mengandung :) di trimester ini juga, ibu dah mula rasa lega dan releks, kerana boleh dikatakan sudah terselamat dari ancaman keguguran. Masalah lain mungkin ada, tapi mungkin sekadar masalah biasa bagi seorang ibu yang mengandung.

Masuk trimester ketiga, iaitu fasa yang terakhir dalam tempoh kehamilan. Masa ni perut dah semakin sarat membesar. Langkah dah semakin perlahan, mengusung perut yang semakin berat. Sakit pinggang, sakit belakang, lenguh kaki, dan semacam rasa tak selesa kian mengganggu. Di ketika ini, meskipun dalam takut nak menghadapi sakit bersalin, dalam masa yang sama tak sabar nak melahirkan si kecil yang sedang dikandung. Tambahan badan dah rasa tak berdaya, biarlah ia cepat berakhir. Biar segala penat lelah ibu berakhir dengan sebuah kelahiran yang selama ini dinantikan. Tak sabar menatap wajah si kecil, dan tak sabar nak kembali sihat dan cergas dengan badan yang dulu :) 

Begitulah sedikit coretan tentang tempoh dan pengalaman kehamilan yang ditempuh setiap ibu mengandung. Setiap orang berbeza pengalaman , namun sedikit sebanyak ada persamaannya. Setiap orang menempuh kesukaran yang berbeza, namun dalam rasa sukar dan susah itu, tetap tersimpan bahagia yang tak terungkap mengenangkan anak yang bakal lahir. Pengalaman ini juga sangat berharga, dan tersimpan kemas dalam memori seorang ibu yang sangat mencintai anak anaknya :)

AKU STRESSSS

Bila stress...
Satu kerja pun tak menjadi.
Fokus hilang entah ke mana.
Hal sekeliling tak dipeduli.
Insan di sisi tidak terlayan.
Ada ada saja yang tidak kena.
Mudah nak marah, mudah nak menangis.
Sering yang terdekat menjadi mangsa.
Tekanan yang satu ini dirasa kuat menghimpit.

Tengah stress ke ni??
Ye. Hidup tak lepas dari tekanan.
Yang berjiwa kecil merasakan tekanan ini terlalu besar.
Yang berjiwa besar merasakan tekanan ini hanyalah satu jentikan yang tak perlu difikirkan sangat pun.

Jiwaku yang mana satu??
Jiwa yang sedang sedang saja. Berperang menjaga sabar, masih tak lepas dari beremosi.
Jika orang ambil seminit untuk tenangkan hati, aku pula mungkin satu jam :)

Disaat terhimpit dengan tekanan, terlupa Allah ada untuk mendengar dan sedia membantu.
Ketika diri diasak tekanan, tak sedar insan lain lebih besar tekanan hidupnya.
Sebaik hati menjadi lebih tenang, fikiran juga kembali rasional.
Takde apa sangat pun. Masih boleh berusaha untuk keluar dari kekusutan itu.

Sekali lagi peringatan buat diri;
Allah menguji kerana Allah sayang.
Allah menguji kerana Dia tahu kita mampu mengharunginya.
Allah menguji untuk kita kembali ingat pada Dia.
Sesungguhnya setiap kesusahan akan diiringi dengan kesenangan.
Sesudah kesusahan, akan hadir kesenangan.

LA TAHZAN!!!'
Friday, 16 September 2016 0 comments By: Naemah

KUPILIH DIA

Tak siapa dapat menduga bila jodoh akan tiba. Cepat atau lambat, segalanya menjadi rahsia Allah.

Aku juga begitu. Suatu ketika, soal jodoh menjadi satu perkara yang kabur buatku. Menjadi manusia yang paling pendiam, rupa pun tiada, rasa rasanya tak ada lelaki yang sedar kewujudanku. Aku tak punya kawan lelaki, kekasih hati apatah lagi. 

Melihat pasangan berkahwin ketika belajar, hati juga teringin untuk dicintai. Teringin nak punya suami juga :D tapi hasrat dilupakan begitu saja. Nak kahwin dengan siapa??? 

Hingga tamat belajar, akhirnya jodoh tiba. Risikan pertama dari 'dia'. Dia yang tak pernah aku kenal. Pernah sekali dua perihal dirinya disebut adiknya ketika di alam pengajian. Tak sangka pula, dia adalah dia yang akhirnya ditakdir sebagai jodohku. Jatuh cinta?? Belum lagi. Bagaimana wajahnya, langsung tak terbayang dalam ingatan. Yalah, tak pernah bersua. Hanya tahu kerjanya saja. Lepas tu umurnya. Itu saja.

Pertama kali melihat wajah, ketika dia datang ke rumah bersama mak, adik, abang dan kakak iparnya. Yes, aku mencuri pandang wajahnya. Aku tak pasti apa perasaan ketika itu. Yang pasti, sejak istikharah semalam, aku tenang untuk menerima risikannya. Cukup...

Tak lama lepas tu, tak sangka hadir risikan yang kedua. Terus menolak dengan baik. Dah tersangkut pada yang pertama tadi :) Tiba tiba juga ada teman di zaman pengajian yang bertanya khabar. Eh, tak pernah bertegur sapa pun. Hanya kenal nama dan sama kelas/kumpulan saja... Aku jadi hairan. Dia bertanya khabar dan berani merisik melalui sms. Layan... Tak layan. Terus terang saja, diri sudah menjadi tunangan orang. Habis cerita di situ..

Pada tahun yang sama, habis pengajian, merisik, bertunang dan bernikah. Allah takdirkan bagai sekelip mata saja. Jodoh bukan lagi misteri. Kalau dulu mampu bermimpi, kini ianya sebuah kenyataan yang paling indah. Benarlah, takdir Allah adalah yang terbaik. Di waktu tak terduga, dengan jalan yang tak terduga.

Kenapa tekad memilih 'dia'?? Tak mampu nak beri jawapan. Yang jelas, Allah sudah ikat hati untuk terima dia, tanpa perasaan berbelah bagi. Walau tak mengenalinya. Walau kabur tentang akhlak dirinya. Walau melihat wajahnya hanya dengan sekilas pandang. Hati kuat untuk memilih dia.

Apakah dia yang terbaik?? Insya Allah, dia yang terbaik untukku. Dia yang kupilih bersama petunjuk Allah dan restu orang tua kami. Dia yang paling membahagiakan. Dia yang tertulis sebagai jodohku sejak azali.

Hari ini, hampir 6 tahun membina mahligai bahagia bersama. Aku dan dia, tetap tak sempurna dan punya banyak kekurangan. Namun insya Allah, kami cuba untuk saling melengkapi. Dia insan terbaik yang telah Allah hadirkan dalam hidupku :,)

Cebisan kenangan, saat dia ku pilih..
Syukur dan takjub, pada takdir Allah yang  paling indah dalam hidup ini :)  


~ MY HEART IS PERFECT BECAUSE...
YOU ARE INSIDE~



CATATAN KEHAMILAN: MEMILIH TEMPAT BERSALIN DAN BERPANTANG


Antara perkara penting yang perlu diambil kira; nak bersalin di mana, dan berpantang di mana?? 

Nak bersalin di mana??
Pastinya mahu memilih hospital yang selesa, lengkap peralatan, disambut doktor wanita, dan boleh ditemani suami. Kalau berduit, pilih saja hospital swasta mana yang rasa terbaik. Pasti dapat layanan 1st class. 

Pengalaman lepas, kedua anakku dilahirkan di hospital kerajaan (HRPZ dan HUSM). Dua pengalaman yang hampir sama. Walau mungkin layanan tak seperti bersalin di klinik swasta, namun bersyukur semuanya selamat dan baik baik saja. 

Kini menanti kelahiran anak ketiga pula. Hospital kerajaan masih menjadi pilihan suamiku. Aku hanya akur pada pilihan suamiku yang aku rasakan terbaik. Dari segi kewangan mungkin suamiku masih mampu untuk memilih hospital swasta, namun kerana dia merasakan pilihan bersalin di hospital kerajaan lebih baik, maka aku yakin ia adalah terbaik, untukku.

Cuma kali ini tak pasti akan bersalin di hospital mana. Jika sebelum ini di Kota Bharu, adakah kali ini di Jeli pula? Pada pendapatku di mana saja aku tak kisah. Bila dah sampai masanya, akan aku tuju ke mana hospital yang terdekat. Cuma harapanku, segalanya akan dipermudahkan. Semoga lebih mudah dari yang sebelum ini. Insya Allah.

Bab berpantang pula.. Di mana aku bersalin (kb atau jeli), di situ aku akan berpantang. Sama ada di rumah ibu mertua di kota bharu, atau di rumah ibu sendiri di jeli. Sebelum ini, sudah berpantang di rumah ibu mertua. Tapi takdelah sampai berpantang penuh 40 hari di rumahnya. Anak pertama 2 minggu, anak kedua seminggu. 

Sebenarnya, kalau boleh tak nak menyusahkan ibu dan ibu mertuaku. Mereka bukan sihat sangat. Nak menjaga orang berpantang lagi. Serba salah rasanya. Suamiku pula, tak pasti berapa lama cutinya nanti. Anak yang dua orang tu, pastinya perlukan perhatian dia sepanjang tempoh berpantang. Semoga dipermudahkan. Dan semoga tak membebankan orang tua kami yang sudah uzur. 

Menanti kelahiran anak ketiga, sedikit sebanyak belajar dari pengalaman lepas. Tetap mahu buat pilihan yang terbaik. Apa jua takdirNya nanti, semoga hati pasrah menerima. Nak bersalin dan berpantang, perlu hati yang tenang dan tak kecamuk. Di mana bakal bersalin, semoga dapat bersalin di tempat yang terbaik. Di mana akan berpantang, juga harapnya di tempat yang terbaik, untukku. Semoga hati tenang menerima.




DIARI ANAKKU: 160916




Hari ketiga abi di Bintulu. Anas, Mussaab dan ummi berada di rumah mek. Menunggu masa ummi lahirkan adik Anas dan Mussaab. Dah tak lama. Insya Allah dipermudahkan.

Hari ini Mussaab bangun jam 6.30 pagi. Badan terasa panas. Demam?? Risau ummi jadinya. Mussaab tak meragam, sambung tidur semula bila ummi baring di sebelah Mussaab. Lepas Mussaab tidur ummi masuk breakfast di dapur. Keluar semula, Mussaab pun dah bangun. Badan masih panas. Alhamdulillah tak menangis. Ummi layan Mussaab seketika. Kemudian Anas pula bangun.

Anas masuk bilik air, basuh muka dan gosok gigi. Mussaab sendirian di luar. Kemudian ummi masuk ke dapur dan masak bihun goreng, goreng nuggets dan keropok untuk Anas dan Mussaab bersarapan. Anas on laptop dan buka video train. Menonton bersama Mussaab.

Lepas masak, ummi panggil Anas dan Mussaab sarapan. Mussaab berselera makan bihun goreng. Anas hanya makan nugget dan kemudian keluar menonton video lagi. Ummi kemas apa yang patut. Kemas ruang tamu rumah, bilik dan jemur kain. Banyak kerja yang ummi perlu selesaikan memandangkan semalam dan hari sebelum ini ummi agak penat dan tak mampu nak buat semua kerja. Hari ini rasa bertenaga. Ummi sibuk mengemas, biarkan dulu Anas dan Mussaab buat hal sendiri. Mandikan Mussaab juga. Badan masih panas. Tapi Mussaab kuat, tak merengek dan tak meragam. Cuma sesekali mahu dilayan ummi. 

Lepas kemas, ummi solat dan baca Quran. Anas dan Mussaab masih menonton video. Memang akhir akhir ni banyak menonton video. Buku tak terusik. Mainan, sesekali main juga. Ummi pula selalu tak ada kudrat nak melayan dan mengajar. Kesian Anas dan Mussaab.

Jam 10 pagi, ummi angkut buku yang ada, ajak Anas dan Mussaab belajar sama sama. Anas pilih buku draw and color 'places'. Anas melukis dan mewarna ditemani Mussaab. Lepas tu makan dan sambung melukis lagi. Ummi buka bacaan juzuk amma untuk Anas dan Mussaab dengar. 

Jam 12, ummi makan tengahari. Anas dan Mussaab main air dan mandi. Badan Mussaab masih panas. Ummi biarkan saja Anas dan Mussaab bermain di bilik air hingga puas. Ummi berbalas whatsapp dengan abi. Setelah lebih 1 hari abi tanpa berita, Alhamdulillah dapat berhubung kembali. Abi baru selesai kerja, tapi masih di laut. 

Lepas mandi dan berpakaian, Mussaab minta nak tonton video 'TuTiTu'. Ummi buka video untuk Mussaab. Anas dan Mussaab kembali menonton video.Ummi  mandi, solat zohor dan baca Quran. Lepas tu bersiap nak tidur. Anas dan Mussaab ikut sama masuk ke bilik. Anas ambil ipad pula. Mussaab baring di sebelah ummi. Badan masih panas, dan nampak lemah. Akhirnya terlena sendiri.

Jam 3 petang, ummi bangun dari tidur. Mussaab juga sudah bangun. Hanya diam membisu di sebelah ummi. Anas keluar menonton video lagi. Mussaab terus baring dipangku ummi. Kemudian minta nak keluar. Sekejap kemudian masuk semula ke bilik. Baring lagi. Penat agaknya. Kesian Mussaab. Asyik keluar dan masuk bilik. Kemudian minta nak makan banana. Ummi ambilkan untuk Mussaab, juga untuk Anas. Habis satu, minta lagi. Oklah, masih ada selera nak makan. Sesekali merengek juga. Tapi Mussaab masih kuat melawan rasa lemah. Ummi lapkan badan, tapi sekejap saja. Mussaab tak nak baring dah.

3.40, Anas dan Mussaab turun melihat mek bakar sampah. Mussaab dalam keadaan panas badan, nak ikut Anas juga. Lepas tu masuk rumah bawa sekali coco crunch yang diambil di kedai mel. 

Azan asar, ummi solat dan habiskan bacaan surah al kahfi. Mussaab datang merengek, nak tengok TuTiTu lagi. Selesai baca Quran, ummi penuhi permintaan Mussaab. Menonton video lagi di petang hari. Entah berapa jam sudah habis untuk video. Lepas tu Anas dan Mussaab masuk bilik dapatkan ummi. Anas cuba terangkan tentang 'butterfly life cycle' yang berulangkali ditontonnya, menggunakan sentence sendiri. Senyum dan bangga ummi mendengarnya. Alhamdulillah, Anas learn a lot :) Mussaab baring di riba ummi, sambil ummi lapkan badan Mussaab dengan kain lembap. 

Jam 5.30, ummi ke dapur untuk makan. Perut dah lapar. Anas dan Mussaab tak nak makan nasi. Makan sedikit jemput pisang mek, minum air dan keluar. Mussaab kelihatan lemah dan tidak aktif. Tapi masih kuat, tak menangis pun. Namun hati ummi sayu melihat keadaan Mussaab. Tak lupa ummi mendoakan kesihatan Mussaab.

Jam 6.15, Anas dan Mussaab masuk ke bilik air, main air dan mandi. Mussaab seronok bermain air bersama Anas. Tak lupa bawa dump truck untuk mandi sekali :)

Selesai mandi dan berpakaian, Mussaab request nak tengok video 'chuggington ' pula. Ummi layankan aje. Siap pesan pada Anas jangan tutup video yang adik nak tengok. Kesian, adik demam. Anas layan chuggington bersama Mussaab.

Ummi solat Maghrib. Selesai solat, baca al Quran sekejap. Anas mengadu lapar. Yelah, hari ni tak makan nasi langsung. Ummi nak masak nasi dia tak nak. Nak makan roti. Roti dah la tinggal sikit. Ummi buatkan juga. Lepas tu ummi buat roti pakai breadmaker yang abi beli. Anas setia teman ummi buat kerja. Mussaab, lepas makan sekeping roti terus keluar baring di tempat tidur. Ummi keluar, Mussaab dah tidur. Sayu hati melihat Mussaab yang sangat baik. Tak meragam, meskipun kurang sihat. Meragam time abi ada saja :) Anas masih tak nak tidur. Sambung tengok chuggington. Ummi solat isyak.

Selesai solat, ummi baring bersama Anas. Jam baru 8.30 malam, tapi ummi sengaja mahu Anas tidur awal malam ni. Anas pun dah nampak mengantuk sangat. Jam 9 malam, Anas terlena. Hati ummi sayu merenung wajah Anas. Sejak akhir akhir ini Anas seperti memberontak. Marah marah, kasar dengan adik dan orang lain, dan ada saja yang tidak kena. Mungkin kerana ummi seakan tiada masa nak melayan Anas. Ummi banyak marah, dan kurang sabar. Maafkan ummi ya, Anas. Semuanya salah ummi. Ummi rasa bersalah dan berdosa sangat pada Anas. Puncanya tetap ummi :,(

Ummi harap sangat akan jadi yang lebih baik untuk Anas dan Mussaab. Dalam keadaan ummi yang sering penat ni, sering tak terlayan anak anak ummi yang perlukan perhatian. 

Semoga esok akan lebih baik buat kita semua. Semoga abi baik baik di sana. Dan kita juga baik baik saja di sini. Semoga Mussaab semakin sihat. Semoga Anas akan jadi anak dan abang yang lebih baik. Ummi juga akan menjadi ummi yang lebih penyabar. Insya Allah.

Semoga lena tidur anak anak ummi. Semoga rahmat Allah selalu ada bersamamu.