Saturday, 5 September 2015 By: Naemah

RINDU ABI YANG JAUH

Hari ke 6 suami di kejauhan. Terlalu rindu menanti kepulangannya. Pemergian kali ini lebih lama dari kebiasaan. Balik nanti pun sekejap je... Akan kembali bekerja. Tak mengapalah. InsyaAllah lepas tu dapat bercuti lebih lama dan meluangkan masa untuk anak anak.

Hari seterusnya tanpa abi, anak anak menjalani kehidupan seperti biasa. Hanya bermain di dalam rumah. Main apa yang ada :)




Alhamdulillah dapat bercakap dengan abi pagi tadi. Biasanya anak akan 'ok' dan stabil emosinya lepas bercakap dengan abi. Kerana dia tahu abi ada dan sudi mendengar dan bercakap dengannya. Kerana itu aku biarkan anak anak saja berface time dengan abi. 

Berbeza jika lebih sehari tak bercakap atau mendengar khabar abi, anak anak terutamanya Anas sedikit terusik emosinya. Mudah menangis, muram dan ada saja yang tidak kena. Mungkin dia rindu, mungkin dia rasa ada kekurangan..

Kerana itu seboleh mungkin aku 'wujudkan' abi dalam kehidupan seharian kami meskipun abi tiada di sisi. 

Bagaimana? Call dan facetime itu salah satunya. Anak anak dapat mendengar suara abi, dapat melihat wajah abi, dapat bercerita dan mengadu pada abi, dapat tunjuk hasil kerjanya pada abi, dan seronok mendengar respon abi. Maka tak terasa abi jauh

Di saat jauh juga aku dan suami akan berbalas masej setiap hari. Bertanya khabar, dan melaporkan hal anak anak juga. Di samping itu, tak lupa khabarkan pada anak keadaan abi, abi di mana, buat apa... Whatsapp membantu mendekatkan kami. Boleh saling menghantar gambar, video, dan audio. Jadi anak anak tahu tentang abinya.

Ada ketikanya kami akan terputus hubungan ketika suamiku di laut. Lebih sehari juga tak mendengar khabar berita. Tika anak minta nak cal abi, memang tak dapatlah. Aku terangkan keadaan sebenar, yang abinya sedang bekerja, jauh di lautan dan tak dapat nak cal. Alhamdulillah anak anak faham.

Saat paling sayu bila anak menyatakan rindu pada abi. Aku memujuknya, dengan janji bahawa abi akan balik (insya Allah) tak lama lagi. Nyatakan juga abi merinduinya juga. Dan meminta anak berdoa untuk abi di saat rindu itu.

Dalam aktiviti dan perbualan harian juga aku memastikan abi dekat dengan mereka. Menyebut tentang abi dan kebaikan abi, supaya anak rasa bestnya kalau abi ada. Supaya dalam hati anak anak tetap ada abi. Supaya anak rasa abi tetap sayang mereka meskipun jauh. 

Bila abi balik, masa tulah nak macam macam dengan abi :) ada ada saja demi meraih perhatian abi. Kalau dengan ummi ok, dengan abi tiba tiba je tak ok. Layan sajalah duhai abi... Anak rindu pada abinya dan mahukan lebih perhatian tika abi ada bersama. 

Begitulah situasinya bersuamikan seorang yang bekerja jauh di lautan. Aku masih beruntung suami pergi tidak selama mereka yang belayar. Suamiku juga pernah belayar, maka aku mengerti bagaimana kerinduan itu. Semoga para isteri pelaut sekalian tetap tabah dan kuat menanggung kerinduan, dan tetap perkasa menjaga dan menguruskan anak anak sendirian. Suami keluar mencari rezeki, maka doa yang terbaik untuknya dan untuk rumahtangga kita. Allah lebih tahu bagaimana istimewanya kita dalam keredhaan menerima takdirNya ini :)

0 comments:

Post a Comment