Wednesday, 2 September 2015 By: Naemah

MUHASABAH: DOSA PADA ANAK


Sebagai ibu, kita pastinya mahu menjadi ibu yang terbaik untuk anak anak. Ingin memberikan segala yang terbaik buat mereka.  

Namun kita bukan insan sempurna. Dalam memberi yang terbaik, ada juga terkurang. 

Diriku juga tak terlepas dari menyimpan perasaan bersalah dan berdosa pada anak anak. 

Layanan
Kebanyakan masa anak dilayan dengan baik dan penuh sabar. Ada ketikanya kesabaran hilang, diri menjadi pemarah. Anak anak menjadi mangsa pada kesalahan kecil dan tak seberapa. Lupa mereka hanya anak kecil..maafkan ummi...

Masa
Meskipun hampir setiap masa bersama anak anak, cuba memberi sepenuh perhatian buat mereka, menjadikan masa bersama mereka bekualiti dan bermanfaat, seringkali juga masa berlalu bersama kelekaan dan mereka diabaikan tanpa sedar. Bila handphone di tangan, bila menghadap facebook dan whatsapp, masa berlalu pun tak rasa. Permintaan anak anak untuk dilayan dan bermain dengannya tidak dipedulikan. Maafkan ummi..

Respon
Anak anak kecil yang baru hendak kenal dunia, pastinya banyak persoalan yang hadir di benak fikirannya. Apa, kenapa, mengapa... Semuanya perlukan penjelasan bijak dari seorang ibu sesuai usianya. Kadang mampu memberi jawapan terbaik, kadang buntu mencari jawapan. Sering pula persoalan dibiarkan tanpa jawapan membuat si anak terus hidup dalam tanda tanya..Maafkan ummi..

Makan dan minum
Pastinya semua ibu mahu anak anak menikmati makanan terbaik. Aku juga, mahu anak anak menikmati hidangan dari air tangan sendiri. Kerana makanan yang disediakan sendiri terjamin kebersihannya. Namun ada ketikanya anak anak dihidangkan makanan dari luar, malah adakalanya makanan segera dijadikan santapan. Hati sebenarnya risau kerana makanan itu mempengaruhi kesihatan badan dan kecerdasan anak anak. kesal, perkara ini tidak sepatutnya dipandang remeh.. Maafkan ummi...

Contoh tauladan
Kita mahukan anak anak membesar dengan segala akhlak baik dan mulia. Namun diri sendiri tak mampu memberikan contoh tauladan yang terbaik buat mereka. Mahu mereka menjadi insan penyabar, tapi kita sendiri kurang sabar. Mahu mereka lemah lembut berbicara, kita pula sering menjerit dan marah marah. Nasihat tak seiring perbuatan. Maafkan ummi..

Ilmu keibubapaan
Ilmu yang kurang juga menyebabkan diri sering melakukan kesilapan demi kesilapan dalam mendidik anak anak. Banyak yang tidak tahu, banyaklah salah dan silap. anak anak menjadi mangsa.. Maafkan ummi...

Melihatkan wajah suci si anak terasa sangat bahagia. Namun perasaan bersalah dan berdosa juga sering menerpa. Kerana aku belum mampu memberikan yang terbaik buat mereka.

Anak anakku...
Maafkan ummi yang kurang sabar, yang sering melarang tanpa memberi alasan, yang sering marah dan baran, yang membosankan, yang sering memaksa, yang tak pandai serba serbi, yang kurang cekap mengurus anak anak, yang berbuat silap berulang kali....

Ampunkan segala kelemahan dan kekurangan ummi. Ummi mahu menjadi ibu yang terbaik buat kalian... Semoga Allah memimpin langkah dan perjuangan ummi dalam menjaga dan mendidik amanah Allah ini :')






0 comments:

Post a Comment