Friday, 14 August 2015 By: Naemah

POSITIF ATAU NEGATIF??




Positif dan negatif. Dua perkara yang berbeza, namun saling berkait malah saling melengkapi. Seperti magnet, tercantumnya ia kerana positif dan negatif.

Selalunya yang baik itu positif, yang tak baik itu negatif. Begitu jualah dengan sikap dan pemikiran kita. Pemikiran yang positif insya Allah menghasilkan tindakan yang positif, manakala pemikiran yang negatif menghasilkan tindakan yang negatif.




Ada insan yang sentiasa positif. Bersangka baik, murah senyuman, suka menghulurkan bantuan, suka memberi, berbicara hal yang baik baik saja, dan segala sikap yang positif ada padanya. Insan sebegini pasti kurang tekanan hidupnya, disenangi ramai orang dan insya Allah cinta Allah dekat dengannya :)

Namun ada juga insan yang hidupnya sering negatif. Mudah bersangka buruk, mudah marah, suka nampak buruk orang, mengeluarkan kata kata yang menyakitkan hati, dan seumpamanya. Insan sebegini pula hidupnya sukar untuk tenang. Ada saja yang yang menyakitkan hatinya dan yang disakiti olehnya. Nau'zubillah

Hakikatnya setiap hari kita didatangi perkara yang positif dan negatif. Namun responnya terserah pada diri kita. Positif atau negatif itu pilihan kita. Untuk menjadi  insan yang positif atau negatif, itu juga pilihan kita. Meskipun bukan mudah, namun kita sentiasa diberi pilihan untuk bertindak.

Aku akui, menjadi insan yang sentiasa positif itu bukan mudah. Untuk berfikir dan bersangka yang baik baik saja agak sukar. Kerana hati mungkin tak sesuci itu.  Adakala terburuk sangka, tersilap penilaian. Perangkap syaitan mudah sangat untuk terjerat :(

Aku juga insan tak sempurna dan banyak khilafnya. Ada hari hari yang ceria dan positif. Adakalanya juga negatif memanjang. Argh... Sangat sukar menjadi insan mulia yang baik dan positif sentiasa. Suami dan anak anak dah pasti saksi utama. Mereka pasti lebih memahami :)

Betapa untuk menjadi yang positif itu juga perlukan mujahadah yang panjang. Perlu banyak sabarnya, perlu kuat menahan nafsu dan amarah, perlu banyak istighfarnya. Allah... Sedih dan malu kerana diri sering terlupa. 

Akhir kalam, ayuh kita berusaha dan bermujahadah. Agar diri akan menjadi lebih positif, agar hari hari yang dilalui penuh keceriaan dan ketenangan. Mudah mudahan juga agar tiada penyesalan di atas setiap tindakan.. Insya Allah ;)


0 comments:

Post a Comment