Wednesday, 12 July 2017 By: Naemah

UMMI MENCUBA DALAM KETERBATASAN



Sering terbaca perkongsian sahabat yang berusaha menyediakan hidangan terbaik untuk anak-anak. Berjaya buat anak sukakan sayur dan buahan, menyediakan hidangan sihat dan organik, serta pantang pada makanan segera, proses dan pelbagai lambakan makanan di pasaran yang dilihat 'tidak sihat'.

Ummi juga, mencuba sekadar yang mampu. Ummi cuba masak setiap hari, cuba buat sendiri nuget, patty burger, donat, chicken ball, stok ayam, dll. Ummi cuba masukkan 'dalam diam' sayur/buah dalam masakan sebagai ramuan masakan demi ia berkhasiat untuk anak-anak. Dan antara 'cubaan' lain demi untuk anak mendapat 'makanan sihat'.

 Tapi hari ini, anak-anak ummi masih menjadi picker eater. Tak suka sayur dan buah, suka makanan segera dan proses, dan tertarik pada makanan 'tidak sihat' yang terdapat di luar.

Ummi mencuba, namun ummi sedar ummi masih gagal.

Ummi melihat ibu-ibu yang berusaha mengawal penggunaan gadjet dan pendedahan skrin kepada anak-anak. Ada yang mengambil langkah tidak mendedahkan langsung gadjet dan tv kepada anak-anak kerana bimbang pada ketagihan dan kesan buruk yang mendatang. Ummi akui semua itu, kerana kajian juga ada membuktikan hal yang tersebut.

Ummi juga mencuba dalam keterbatasan. Hanya membenarkan anak-anak menonton video yang sesuai dan berbentuk education sahaja. Di ipad juga hanya ada aplikasi pendidikan. Dan realitinya, gadjet dan tv tetap wujud di rumah, dengan langkah kawalan yang mungkin 'tidak ketat'. Anak-anak ummi, adakala asyik dengan 'aktiviti' lain hingga melupakan tv, video dan ipad. Namun ada masanya pula, melekat pada skrin tv dan ipad. 

Ummi bimbang pada kesan yang tidak baik, namun hari ini, tv dan gadjet masih menjadi sebahagian dari hidup anak-anak ummi. Malahan ia menjadi salah satu medium dalam pendidikan anak-anak.

Ummi juga mengikuti perkongsian ibu-ibu hebat yang rajin melakukan aktiviti pembelajaran dengan anak-anak, especially yang buat homeschooling. Ummi tahu, Anas dan Mussaab juga pasti suka kalau berbagai aktiviti dilakukan di rumah. Apatah lagi aktiviti yang berkaitan dengan apa yang telah dipelajari di buku dan video.

Ummi cuba lakukan juga bersama anak-anak, namun mungkin hanya sesekali di atas kesuntukan masa dan kekurangan material. Malahan kerana aktiviti sering membawa kepada 'rumah bersepah dan kotor', sering ummi berfikir panjang masa dan waktu yang sesuai untuk melakukannya. Hanya apabila ummi bersedia untuk 'kemas kembali'. 

Ummi tahu aktiviti yang dilakukan membuatkan proses pembelajaran menjadi lebih menarik dan menjadikan anak-anak lebih kreatif dan seronok belajar. Namun di atas 'alasan' demi 'alasan', semua itu juga seakan 'tidak sempat' untuk dilakukan bersama.

Satu hal lagi ialah tentang kesabaran dan kebijaksanaan seorang ibu dalam berhadapan dengan pelbagai karenah anak kecil yang adakala sangat mencabar. Ummi kagum pada mereka yang bijak mengendali emosi mereka. Malahan banyak tips yang dikongsikan untuk rujukan para ibu seperti ummi.

Ummi juga mencuba, untuk menjadi ibu yang penyabar, dan tidak mudah marah. Ummi tahu anak-anak ummi sekarang tengah aktif, banyak berfikir, banyak perasaan ingin tahu dan sentiasa ingin mencuba. 

Namun hari ini, ummi masih membuat kesilapan demi kesilapan. Masih belum mampu menahan sabar, masih ada ketikanya marah-marah dan membentak.

Menjadi seorang ibu yang hebat, hakikatnya bukan mudah. Ummi cemburu pada mereka yang ummi lihat sudah mencuba yang terbaik, hingga termasuk di kalangan yang terbaik juga. 

Ummi hari ini, masih mencuba dan ingin terus mencuba. Mencari ilmu dari perkongsian mereka, mencari motivasi untuk bangkit menjadi yang terbaik. Bukan mahu lebih baik dari sesiapa. Hanya mahu jadi yang terbaik untuk anak-anak tercinta.

Janganlah. Satu masa ada perkara yang akan ummi kesali. Lantaran tidak mampu memberi yang terbaik untuk anak-anak ummi. Lantaran tiada ketegasan, tiada usaha, dan bersikap ambil mudah sahaja. 

Semoga Allah memberi kekuatan, kesihatan dan menunjukkan jalan.

0 comments:

Post a Comment