Sunday, 9 July 2017 By: Naemah

HARI ESOK BELUM PASTI




Hari ini hidup dalam kesenangan. Boleh dikatakan senang, walau bukan mewah dan punya serba serbi. Alhamdulillah. Kesyukuran yang jarang dipanjatkan. Mungkin kerana lupa. Mungkin masih berhajat pada kehidupan yang berbeza. Mungkin tak rasa semua ini anugerah yang sangat besar dari DIA. Ya Allah. Ampunkan segala alpa.

Sesungguhnya kehidupan hari ini sangat baik. Terlalu indah dan sempurna ( hakikatnya yang terindah dan sempurna itu hanya di syurga). Namun inilah syurga dunia yang dimiliki hari ini. Alhamdulillah.

Namun dalam senang dan sihat, sering terlupa dan alpa. Betapa anugerah hari ini perlu sentiasa disyukuri. Bukan semua insan berada di tempat seperti kita hari ini. Nikmat sihat, juga nikmat kehidupan yang baik. Bersyukurlah. Jangan alpa dan hanyut.

Hari ini gembira dan bahagia. Esok belum pasti bagaimana. Kadang hati disentap dengan cerita-cerita pilu dan duka insan lain. Ya, insan lain yang dahulunya kehidupan mereka baik dan indah seperti kita. Dulu bahagia bersama pasangan dan anak-anak. Kini, sendirian hilang tempat bergantung. Dulu cantik dan sihat tubuh badan. Hari ini bertarung melawan penyakit. Dulu mewah ada segala. Hari ini teruji dengan kesempitan harta.

Kadang aku terfikir. Allah sedang menegurku dengan penuh kelembutan. Aku yang sering hanyut dengan dunia sendiri. Lupa bersyukur, jarang beringat. Malah banyak mengeluh atas ujian yang sedikit. Tak terbanding pun dengan ujian insan lain yang jauh lebih hebat.

Ya Allah. Aku mohon dipermudahkan perjalanan hidup ini hingga ke akhirnya. Berikan hati yang tenang dan damai, yang tak pernah alpa dan lupa dari mengingatiMu. Teruskan menyentuh dan menjentik hatiku. Kerana aku tahu. Hatiku ini bukan suci hingga sering menjauh dariMu.

Ya Allah. Ampunkan segala dosaku. Pelihara suamiku, anak-anak kami, orang tua kami, keluarga kami dan semua insan yang hadir dalam kehidupan kami. Anugerahkan kami keimanan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Aameen.


0 comments:

Post a Comment