Monday, 25 July 2016 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: PENGALAMAN MENGANDUNG YANG BERBEZA





Kini mengandungkan anak ketigaku. Bermakna sudah ada pengalaman mengandung sebelum ini, dan sudah 'biasa' dalam keadaan berbadan dua :)

Pun begitu, tiga kali mengandung (actually 5kali dah), pengalaman yang ditempuh tetap berbeza. Mengandung anak pertama, anak kedua dan anak ketiga, ternyata ada perbezaan dan cerita tersendiri.


Mei 2011-Januari 2012
Tempoh masa mengandungkan anak sulungku, Anas Zaydan yang kini sudah berusia 4 tahun 6 bulan. Mengandung kali pertama boleh dikatakan satu pengalaman yang sangat baru. Terasa diri begitu dimanja dan diambil berat hampir setiap masa. 

Tiada masalah morning sickness, kira-kira 1-2 bulan pertama aku berada di atas kapal, di lautan luas mengikut suamiku bertugas. Berulang alik Bintulu-Jepun, berehat sepenuhnya bak sebuah percutian yang sangat indah.

Balik ke kampung, juga tidak perlu berbuat apa memandangkan aku tidak bekerja, makan minum biasanya mak dan mak mertua yang uruskan, atau suami yang rajin ke dapur. Malah suami sangat menjaga, apa yang aku makan dan minum (maklumlah sebelum ini pernah keguguran). Sepanjang mengandung, hanya berulang alik KB-Jeli dan banyak berjalan juga.

Ketika ini juga masih bergelar pengantin baru, mengandung anak sulung pula, tiada tanggungjawab lain, terasa diri sangat dijaga dan diberi perhatian. Tambahan pula suami sedang bercuti panjang, hinggalah anak kami dilahirkan. Alhamdulillah :)



Mei 2013-Januari 2014
Ini pula tempoh masa mengandungkan anak kedua kami, Abdullah Mussaab yang kini sudah berusia 2 tahun 6 bulan. Mengandung kali ini juga tiada masalah morning sickness, dan seingatku paling tenang mengandungkan dia. Tidak berhadapan dengan sebarang masalah yang menimbulkan debaran di hati. 

Namun yang sedikit berbeza ialah ketika ini, aku juga perlu menjaga anak sulung kami yang ketika itu berusia 1 tahun lebih. Anas memerlukan perhatian hampir setiap masa, suami pula ketika itu bekerja di Petronas Sungai Udang sebagai pilot kapal. Rutin berulang alik ke tempat kerja setiap hari, dan aku perlu menguruskan Anas sendirian. Tapi tiada masalah sangat, Allah permudahkan segalanya. Mungkin sedikit penat saja :)

Suami juga dah tak terlalu risau seperti dulu lagi. Makan je la, selagi aku lalu nak makan :) Tapi dia seperti biasa banyak membantu urusan rumah dan memasak di dapur. Ini juga kali pertama kami hidup sendiri berjauhan dengan keluarga. Suamiku sudah tidak belayar jauh lagi. Hampir setiap hari dia ada untukku dan Anas.

Di minggu terakhir, kami sekeluarga pulang ke kampung menaiki kereta selama hampir 10 jam perjalanan. Aku selamat melahirkan anak kedua kami dengan mudah, setelah tiba masanya. Alhamdulillah :)



Februari 2016-Oktober 2016
Insya Allah ini tempoh mengandungkan anak ketiga kami. Pengalaman yang sedikit berbeza juga, kerana buat pertama kalinya aku berhadapan dengan simpton morning sickness setelah empat kali mengandung (yang sebelum ini keguguran juga). Tak pernah terfikir untuk menempuh pengalaman seperti ini. Dengan badan lemah tak bermaya, makan tak berselera, alah pada bau tertentu, muntah lagi.. memang pengalaman baru buatku :)

Dalam masa yang sama juga aku perlu menguruskan dua lagi anak yang tengah lasak membesar. Anak lelaki pula tu kan :) Yang berbeza lagi, suamiku kini banyak travel ke sabah dan sarawak meninggalkan aku dan anak anak. Ketika dia ada di rumah, memang dia banyak membantu uruskan rumah dan anak anak, tapi ketika dia tiada, memang aku perlu buat sendiri segala kerja. 

Tapi sehingga hari ini, aku dapat menempuhnya dengan baik. Jika suami perlu pergi lama sehingga seminggu atau lebih, dia akan menghantar kami balik ke kampung. Kandunganku juga Alhamdulillah tidak bermasalah. Anas dan Mussaab juga dapat aku jaga dan uruskan mereka meskipun ketika suami tiada. Cuma mengandung kali ini perlu lebih tenaga, dan tak boleh nak releks sangat :) boleh dikatakan mengandung kali ini lebih mencabar dan lebih penat ':) tapi aku perlu menghadapinya dengan ikhlas dan redha. Insya Allah.

Suamiku pula, dah berpengalaman jadi ayah, dah biasa isteri mengandung, maka keadaan aku tidaklah merisaukan dia sangat. Sesekali bertanya keadaanku, makan minumku juga dia serahkan pada aku untuk memilih sesuka hati :)

2 bulan lebih lagi tempoh masa yang perlu aku tempuh. Semoga kandunganku baik dan sihat, semoga aku sentiasa bertenaga meskipun dah semakin sarat, semoga Anas dan Mussaab dapat aku uruskan dengan baik, dan semoga yang dikandungkan ini akan selamat dan mudah dilahirkan. aameen


0 comments:

Post a Comment