Thursday, 28 July 2016 By: Naemah

MENDIDIK BUKAN MENGHERDIK


picture: here


Marah anak biar berpada. Marah jangan sampai mengherdik/menengking/menjerit atau seumpamanya. Marah untuk mendidik, bukan untuk menghukum. Jangan lupa, dalam marah perlu juga perhatikan kata kata yang keluar, kerana setiap kata dan ungkapan akan menjadi sebuah doa.

Pesanan ini tak lain tak bukan, hanya untuk diriku sendiri. Betapa aku sedar aku ibu yang kurang sabar, mudah sentap dan mudah naik angin. Bukan tak tahu, tak baik marah marah. Bukan tak tahu, marah banyak memberi kesan tak baik pada anak, namun tiba saat yang menguji sabar, kemarahan itu tetap mengatasi segala. 

Namun syukur, diri masih mampu menjaga lisan agar tiada ungkapan yang tidak baik keluar dari bibir. Aku sedar di mana tempat seorang ibu. Betapa kata kata ibu menjadi sebuah doa buat anak anak. Baik ungkapan ibu, maka ia menjadi doa yang baik. Begitulah juga sebaliknya. 

Sebagai ibu yang setiap hari dan saban waktu bersama anak anak, hati sering teruji dengan tingkah mereka yang sedang lasak membesar. Makin besar, makin cerdik, makin banyak akal. Kerana masih kecil, masih belum sepenuhnya mengerti baik dan buruk setiap perlakuan mereka. Maka, di saat inilah hati ibu ini sering teruji. Bila anak banyak akal, banyaklah experiment mereka, maka sering pula la ibu kepenatan dalam berhadapan dengan situasi yang bermacam dan yang tak terduga. 

Kadang kadang ibu yang sedang marah dan beremosi, akan mengeluarkan kata kata yang tidak baik pada anak. Anak tak berguna, menyusahkan, gila, tak dengar kata, dan bermacam kata yang tidak sepatutnya. Istighfarlah... Kata kata ibu itu menjadi satu doa. Sedarilah ibu..Jangan mengulangi kata kata yang buruk dan negatif itu lagi. Takut bila memikirkan di masa akan datang apa yang pernah kita lemparkan pada anak itu akhirnya menjadi kenyataan. Na'uzubillah.

Memang sakit hati melihat ibu marah marah anak di khalayak, sakit hati mendengar kata-kata buruk dan sumpah seranah yang keluar dari mulut ibu, sakit hati bila anak yang silapnya sikit saja dihukum dengan hukuman yang tak sepatutnya.

Ya, aku sendiri sering saja marah pada anak. Aku tahu aku silap. Marah itu hadir selalunya atas niat untuk menegur, namun mungkin tersilap cara. Aku juga tak kisah jika ada orang lain 'marah' pada anak anakku, tapi aku dapat membezakan marah yang mendidik/menegur, atau marah kerana  merasakan hak dan privasi mereka terganggu dek anak kecil ini. 

Bagaimana rasa seorang ibu melihat anak anak dimarah orang? Dah tentu rasa kecil hati. Itu anak kita kan. Ibu mana tak sayang anak? Tapi jika itu sebuah teguran baik dan sesuai, takde masalah pun. Memang kita tahu anak kita masih kecil, masih tak matang, masih buat sesuka hati kerana tak tahu baik dan buruk. Maka tak salah jika ada insan lain yang sudi menegur kesalahan anak kita. 

Pada anak anakku, entah berapa kali termarah, ternaik suara semua... Tapi pada anak orang lain aku cuba untuk berlembut dan menegur secara lebih baik demi menjaga hati ibu mereka. Dalam rasa nak marah sekalipun, berdiam diri adalah menjadi pilihanku. Biasalah.. Budak kecil kan??

Jadi kesimpulannya di sini, ibu ibu cubalah banyakkan bersabar dalam berhadapan dengan karenah anak kecil. Biar mencabar, biar dicabar, jagalah agar tiada lisan yang keluar yang akan membuahkan kekesalan di masa yang akan datang.

Pada insan lain, yang mungkin kerap berhadapan dengan anak kecil, anak saudara, anak jiran, atau anak sesiapa saja, fahamilah anak kecil memang banyak ragam dan sering menguji kesabaran orang dewasa. Tanganilah mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang. 

Jika hari ini anda masih tiada anak, ingatlah satu hari akan ada anak juga. Jika baru ada baby, ingatlah satu hari nanti baby tu akan membesar dan ada karenah tersendiri. Jika perangai anak kita tak sama dengan perangai anak dia, ingatlah setiap orang ujiannya berbeza. Maka tak perlulah nak marah marah dan fed up dengan anak orang :) 

Peringatan buat diriku yang bergelar ibu. Semoga lebih sabar berhadapan dengan anak bijak dan solehku, semoga tak memandang rendah pada anak orang lain meski mereka berbeza dengan anak anakku. Mereka semua anak syurga yang  hadir untuk dibentuk, dilayani dan disayangi.

Insya Allah :)

0 comments:

Post a Comment