Wednesday, 20 July 2016 By: Naemah

MALU PADA MEREKA

Sekadar luahan dan lontaran rasa. Rasa malu dan segan pada orang tua yang banyak berbakti dan berkorban dengan ikhlas dan setulus hati.

Alhamdulillah, setelah hampir 6 tahun mendirikan rumahtangga, kami sekeluarga agak kerap pulang ke kampung. Meskipun perjalanan agak jauh, kos perjalanan juga tak murah, namun Allah izinkan kami untuk pulang, dan sering perjalanan dan perancangan kami dipermudahkan.Anak anak juga, tiada masalah dengan perjalanan jauh, malah sentiasa seronok untuk pulang ke kampung.

Alhamduliilah, ianya mudah untuk kami mungkin kerana aku tidak bekerja, dan anak anak masih belum bersekolah. Tambahan pula, kerja suamiku agak berbeza dengan orang lain. Cutinya juga tak sama. Adakala sehingga 2 minggu cutinya. Maka ke mana lagi ingin kami tuju, kalau bukan ke kampung.

Aku seperti juga suamiku, kami masih mempunyai ibu yang telah melahirkan kami. Ibu yang sudah semakin tua dan uzur pula. Maka di kesempatan yang ada, kami harap akan dapat sering pulang dan menjenguk mereka. Sekurang kurangnya buat hilangkan rindu mereka pada anak yang telah mereka lahirkan ini. Sedikit sebanyak, agar dapat berbakti pada mereka, meskipun takkan mampu membalas jasa dan pengorbanan mereka.

Perasaan malu dan segan... ya, itulah yang aku rasa pada mereka, orang tua kami. Dahulunya mereka hidup susah. Ibuku dan ibu mertuaku, sama saja bukan senang mereka membesarkan kami dan anak anak yang ramai. Mereka pernah bekerja keras, mencari pendapatan, mengerah keringat mencari rezeki. Hingga hari ini, anak anak semuanya sudah dewasa dan berjaya. Hasil usaha dan pengorbanan mereka.

Aku merenung diriku. Betapa beruntung dan bertuah. Meski bergelar isteri dan ibu, gelanggang kehidupanku hanyalah di rumah. Suami mampu menanggung segala, hingga tak perlu aku keluar mencari rezeki seperti sesetengah yang lain. Duniaku hanya anak anak, suami dan rumahtangga. Itupun sering aku rasakan berat untuk menguruskannya. 

Aku malu pada ibuku. Dia dulu sangat susah untuk membesarkan aku dan membiayai pengajianku. DI ketika itu, langsung aku tak peduli pada kepayahannya. Hingga hari ini aku menjadi isteri, aku sedar aku tak mampu menjadi sepertinya, dan tak pernah mampu membalas pengorbanannya, meski dengan apa sekalipun.

Aku malu pada ibu mertuaku. Dari cerita suamiku, aku juga tahu dia dulunya sangat susah membesarkan anak anak termasuk suamiku. Bekerja membantu pendapatan suami, dan gagah membesarkan 10 anak termasuk suamiku. Aku malu, kerana aku hari ini senang lenang di bawah tanggungan anaknya. Aku tak perlu bersusah payah seperti dia.

Namun aku tahu, ibuku malah ibu mertuaku tak pernah cemburu pada anak menantunya. Mereka senang, melihat anak menantu senang. Meski mereka pernah susah, mereka tak sanggup melihat anak menantu menanggung kesusahan yang sama.

Cuma aku... harus sentiasa sedar dan beringat. Kehidupanku hari ini senang, hasil dari kepayahan mereka yang bergelar ibu. Baik suamiku, rezeki yang Allah limpahkan hari ini juga berkat dari doa, usaha dan redha ibu yang sentiasa mengalir.

Maka kami tak boleh sekalipun melupakan ibu yang banyak berkorban. Jasa mereka tak mampu kami balas, namun selagi ada hayat, semoga kami mampu mencurahkan bakti buat mereka.

Bakti pada mereka boleh jadi dalam pelbagai bentuk dan rupa. Jika ada rezeki lebih, tak salah hulurkan sedikit pada mereka atau membeli sesuatu yang boleh menggembirakan hati mereka, meski mereka tak pernah berharap. Jika ada kelapangan masa, seringkanlah pulang menjenguk mereka dan berbicara dengan mereka. Jika ada kekuatan tenaga, bantulah kerja kerja rumah yang tak termampu mereka lakukan, jika ada kesempatan waktu, bawa mereka berjalan ke mana mereka mahu, atau sekadar menziarahi saudara dan teman yang pernah mewarnai hidup mereka, dan berbagai bentuk bakti lagi yang kita termampu meski bakti yang tersembunyi, yang tak pernah mereka tahu.Jangan pernah dilupa doa buat mereka. Kerana tiada yang lebih berharga buat ibu/bapa, selain doa anak yang soleh yang akan menemani mereka meski mereka telah tiada.

Sekadar peringatan buat diriku sendiri, dan pada mereka yang lupa. Tanpa pengorbanan dan doa seorang ibu, siapalah kita ini. Jangan pernah sekalipun melupakan mereka di kala hidup kita senang dan bahagia.


~ONLY MY MOTHER COULD LOVE ME FOR ME~

0 comments:

Post a Comment