Wednesday, 27 July 2016 By: Naemah

DIARI ANAKKU: 270716

Hari ini hari ke-4 tanpa abi di sisi. Semalam seharian Anas dan Mussaab menemani ummi check up baby di klinik desa dan klinik kesihatan. Penat bermain dan bebas berlari, malam tadi tidur lebih awal dari biasa.

Anas bangun jam 8.30 pagi, mandi dan berpakaian. Kemudian Mussaab pula bangun, mandi dan menyertai Anas yang dari tadi minta nak menonton video Tayo. Ummi ajak makan dulu pun tak nak. Ummi buka video Tayo untuk Anas dan Mussaab tonton bersama. Semalam Anas dan Mussaab tak menonton video, jadi hari ini ummi penuhi permintaan Anas walaupun masih pagi.

Ummi suapkan Anas dan Mussaab makan bihun goreng, sambil Anas dan Mussaab menonton. Tadi tak nak makan, dah suap, banyak pula makannya. Lepas suap makan ummi sapu sampah dan kemas ruang tamu dan bilik. Anas dan Mussaab masih di depan laptop. 

Jam 9.30 pagi, ummi duduk di sofa untuk buat kerja ummi mencatat di buku ummi. Bawa bersama buku Anas dan Mussaab. Anas menutup video, dan keduanya datang mendekati ummi. Mussaab minta pen ummi untuk menulis. Anas juga mencari kertas dan pen untuk menulis dan melukis. Anas memang suka menulis sekarang. Buku buku dah banyak dipenuhi tulisan Anas. Tulisan surah juga berjaya ditiru Anas dengan baik. Cantik juga tulisan arabic Anas :)






Ummi siapkan catatan ummi. Mussaab mencapai ipad yang ada di sofa. Ummi biarkan juga, memandangkan dah 2 hari Mussaab 'lupakan' ipad. Anas masih dengan pen dan buku. Ummi mengambil hand bag, teringat nak mengira duit raya Anas dan Mussaab yang dah lama tersimpan di dalam hand bag ummi . Anas dan Mussaab juga tertarik untuk sertai ummi. Tertangguh sekejap urusan ummi bila masing masing dah berminat dan mengambil duit yang ummi dah susun. Ummi biarkan saja, sehingga masing masing puas dan menyerahkan semula duit pada ummi. Anas dan Mussaab sambung buat hal masing masing sambil diperdengarkan surah juzuk amma yang dah banyak hari ummi tak pasangkan.

Jam 10.30 pagi, Anas masuk ke kedai mek dan bermain basikal. Kemudian ambil kek apollo dan makan. Lepas tu keluar dan minta nak makan nuget pula. Ummi minta stop makan dulu. Masing masing sambung main dan buat hal sendiri. Ada juga part mengusik, pukul memukul dan menangis. Ummi cuba tahan dan leraikan. Anas minta hp ummi. Sekarang suka tengok application weather forecast yang ada dalam hp ummi. Lepas tu tengok video video lama.



Jam 11.15, ummi masuk ke dapur untuk perap ayam dan goreng nuget. Ummi suapkan bihun goreng sekali lagi, sambil makan nuget. Cik juga datang sekejap ke rumah mek. Kemudian balik semula, tak boleh nak layan sangat Anas dan Mussaab. Anas dan Mussaab ke ruang tamu, minta ummi ambilkan mainan yang ummi dah kemas dan simpan. Ummi minta Anas janji untuk kemas balik lepas main. Anas iyakan..

Jam 12, masih bermain dengan permainan blok dan kereta. Anas dah bosan bermain, mengacau Mussaab yang sedang menyusun kereta. Bising lagi dengan tangisan Mussaab. Tadi dah kena marah dengan ummi sebab main tekan tekan laptop. Bila kena marah, Anas makin buat perangai. Ummi tarik dan peluk Anas. Ummi nasihat baik baik, baru Anas berhenti mengusik Mussaab. Haish.. Ummi memang tak mampu kawal emosi marah lagi. Padahal ummi tahu reaksi Anas lebih teruk lepas kena marah. Maafkan ummi..

Anas minta hp ummi lagi. Ummi berikan pada Anas. Anas asyik menonton video di dalam hp dan melihat weather seperti biasa. Entah apa yang Anas faham. Ummi cuba jelaskan jadual tu untuk apa, mungkin Anas faham, mungkin kurang faham lagi :) tak mengapalah. Ummi faham benar minat Anas. Anas akan belajar lebih lagi. 

12.40, ummi rasa lapar. Ummi masuk ke dapur dan makan nasi. Mussaab juga sesekali masuk minta suapkan nasi dan menghilang keluar. Anas masih kenyang, katanya. Masih memegang hp ummi hingga ummi selesai makan. Ummi ambil buku 'saya sayang bahasa arab' untuk ajar Mussaab. Mussaab tak beri tumpuan, akhirnya buku berpindah ke tangan Anas yang memang sukakan buku itu sejak dulu lagi. Anas membaca dan menulis. Baca kuat kuat, namun Mussaab tak tertarik juga. Mussaab main kereta lagi, lepas tu kacau Anas yang tekun membaca. Anas pun dah penat membaca, kini bermain dan bergurau dengan Mussaab pula. Anas sporting hari ni jadi tiger untuk Mussaab.




Masuk waktu zohor, ummi solat. Anas dan Mussaab kemas mainan yang bersepah di lantai. Kemudian Anas main basikal dan melukis jalan dan kereta di kertas. Mussaab masih mengemas mainan. Kemudian Mussaab masuk ke bilik melihat lukisan Anas. 

Ummi ajak Anas dan Mussaab tidur, tapi keduanya tak nak tidur. Anas ke dapur nak minum air, Mussaab juga ikut. Lepas tu minta nak makan roti. Ummi dah tak larat nak bangun. Anas ambil roti dan sapu butter dan nutella sendiri. Lepas tu tengok mek buat kerja di luar rumah, sambil main. Ummi suruh masuk tidur, masih tak mahu.

Ummi terlelap sekejap. Bangun jam 3 petang, ke dapur mencari Anas dan Mussaab. Rupanya tengah tengok mek kopek ubi kayu. Bukan saja tengok, basah kuyup bermain air basuhan ubi. Ummi suruh Anas dan Mussaab mandi. Anas dan Mussaab terus ke bilik air. Anas mandikan Mussaab. Ummi tak larat, mujurlah Anas boleh mandikan Mussaab. Lepas tu keluar dan pakai seluar. 

Jam 3.30, Mussaab dah mula mengantuk dan berbaring di sebelah ummi. Akhirnya tertidur juga. Tinggal Anas masih aktif dan tak mahu tidur. Ummi yang masih mengantuk, juga lena bersama Mussaab. Anas sendirian membuat hal sendiri. 

Jam 4 lebih, Anas kejutkan ummi untuk beritahu hujan turun. Ummi cuba bangun, dah hampir masuk waktu Asar. Selepas solat ummi ke dapur mencari Anas. Tengah makan roti nutella lagi. Dah pandai buat sendiri. Ummi rasa lemah badan. Tekak juga rasa tak sedap, batuk saja dua tiga hari ni. Risau juga, dalam keadaan mengandung begini. Ummi makin rasa berat nak bergerak, menukar posisi tidur, dan untuk solat. Namun ummi cuba gagahkan diri juga.

Mussaab masih lena. Ummi goreng pisang untuk Anas. Kak Zana datang selepas balik dari kelas iqra. Anas main dengan kak Zana. Kemudian abang Faiz datang bawa ubat ummi dan sedikit makanan. Anas makan di luar bersama abang Faiz dan kak Zana. Lepas tu mereka balik, tinggal Anas seorang lagi. Mussaab masih belum bangun.

Jam 6 petang, ummi suapkan Anas makan nasi. Makan lagi dengan berselera. P. Long pula datang, ajak Anas ke rumahnya malam ni. Lepas p. Long balik, Mussaab bangun dari tidur. Sudah pukul 6.30. Bangun menangis sekejap, lepas tu ok. Cik pula datang rumah mek. 

Terima whatsapp dari abi yang berada di atas bot menuju ke Bintulu. Seharian tak dengar berita abi. Alhamdulillah selesai tugas abi, dan abi akan balik ke hotel sementara menunggu tugas berikutnya.

6.45 petang, Anas dan Mussaab mandi dan bersiap untuk ke rumah p. Long. Hampir masuk waktu Maghrib p. Long datang jemput untuk ke rumahnya. 

Ummi dan Mek solat maghrib dan isyak di rumah p. Long. Anas dan Mussaab bermain dengan abang Faris dan Kak Zana. 




Selesai solat, abang Loh hantar balik ke rumah mek. Anas dan Mussaab bersiap untuk tidur. Anas yang langsung tak tidur siang tadi, terlebih dahulu lena jam 10.30 malam. Kemudian Mussaab juga terlena.

Alhamdulillah. Anak anak ummi sedang lena tidur. Semoga mimpi yang baik dan indah. Semoga hari esok akan lebih baik untuk Anas dan Mussaab. Tak lupa pada abi yang jauh. Semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa.

Love u all...'


0 comments:

Post a Comment