Monday, 25 July 2016 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: PEMERIKSAAN ULTRASOUND





Ketika sedang mengandung, atau saat bakal menimang cahaya mata, melakukan pemeriksaan ultrasound/scan baby menjadi satu part yang mengujakan dan membahagiakan. Aku juga tak lepas dari perasaan itu. Mengapa tidaknya, melalui ultrasound kita dapat melihat anak kita secara 'live' di dalam rahim kita. Walaupun tidak terlalu jelas, namun ia cukup memberi rasa yang membahagiakan.

Melihat dia bergerak, berpusing, menguap, menendang, dan sebagainya. Benar benar membuai perasaan seorang ibu :)

Aku sendiri telah menjalani pemeriksaan ultrasound sebanyak 4 kali sehingga berakhirnya trimester kedua ini. Kini sudah berada di trimester ketiga, mungkin akan melakukan pemeriksaan ultrasound lagi di klinik.

Pertama kali melakukan scan ialah ketika usia kandunganku sekitar 8 minggu. Suami membawaku ke Klinik Asyifa yang berdekatan dengan rumah. Sekadar untuk memastikan janin ada di kantung rahim dan membesar mengikut saiz yang sepatutnya. Alhamdulillah, dapat melihat gumpalan kecil di dalam rahim, yang membesar mengikut kiraan period terakhirku.

Kali kedua scan ialah selepas membuka buku mengandung di Klinik Desa Rinching Tengah, ketika usia kandungan 9 minggu. Temujanji doktor kali pertama di Klinik Kesihatan Beranang, dan di sini ujian ultrasound dilakukan. Sekali lagi melihat janin di rahim yang sihat membesar meskipun masih belum terbentuk sebarang anggota tubuh. 

Kali ketiga melakukan scan ialah pada trimester kedua, minggu ke-15. Aku yang semakin pulih dari simpton morning sickness mengajak suamiku ke klinik untuk scan anak kami. Masih ada kerisauan, meskipun sudah melepasi trimester pertama. Sekadar untuk memastikan jantungnya berdegup normal dan anakku membesar sihat. Kami ke klinik Asyifa sekali lagi. Dan ini juga kali pertama suamiku melihat anaknya ini melalui imbasan scan. Anas dan Mussaab juga turut serta tengok 'adik' mereka. Alhamdulillah,kandungan membesar sihat, degupan jantung juga dapat dilihat normal. Doktor pula memberi harapan anak aku 'girl' meskipun belum dapat melihat jelas jantinanya :)

Scan kali ke-4, dan yang terakhir ialah pada minggu ke-23 di klinik kesihatan Beranang. Kali ini hanya doktor yang melihat imej di skrin, dan aku tidak dapat melihat sendiri anakku. Kata doktor, anakku kemungkinan 'boy'. Eh.. Boy pulak :) tak kisahlah mana mana pun. Janji anakku sihat. Insya Allah. Kata doktor juga, ketika itu uri masih berada di bawah. Insya Allah akan naik ke atas, dan perlu scan lagi pada masa yang akan datang untuk memastikannya. 

Kini dah masuk trimester ke-3, minggu ke 29. Masih belum membuat scan selanjutnya. Mungkin pada temujanji doktor yang akan datang. Suami ada sebut nak scan 4D, tapi entah bila ada kesempatan. Bila baby dah semakin besar, scan 4D mungkin dah tak sesuai. Lagipun 2 anak sebelum ini pun kami tak pernah buat scan 4D.

Tertanya tanya juga, apa jantina anakku ini. Masih tak puas hati sebab tak tengok sendiri. Tapi hakikatnya, ia tetap menjadi rahsia sehingga anak ini lahir ke dunia. Scan banyak kali pun, kebenarannya hanya jelas selepas kelahirannya sendiri :)

Teringat ketika mengandungkan Mussaab anak kedua kami. Beberapa kali scan, tetap tak nampak jantinanya, sehingga dia dilahirkan barulah tahu kami mendapat anak lelaki :)

Apapun semoga anak yang ku kandung ini sentiasa sihat dan mudah saat dilahirkan. Anak lelaki atau anak perempuan, Allah saja yang lebih tahu mana yang terbaik untukku dan suami. 

Semoga Allah menjagamu sentiasa sayang. Ummi dan abi menanti saat indah kelahiranmu :)


0 comments:

Post a Comment