Saturday, 23 July 2016 By: Naemah

MENJADI IBU YANG HEBAT

Padaku, tugas dan tanggungjawab seorang ibu memang agak mencabar. Anak anak ini adalah amanah Allah buat kita. Tugas menjaga dan mendidik mereka terletak di bahu kita. Tak boleh dipandang remeh, malah bukan sedikit usaha yang perlu kita lakukan demi memastikan anak anak terjaga dan terdidik sempurna dan baik pada penilaian Allah.

Aku bukanlah insan yang layak untuk dijadikan contoh dalam dunia pendidikan anak anak. Aku masih kurang pengalaman, masih banyak buat silap, malah masih teraba raba mencari jalan dan cara yang terbaik dalam mendidik anak anak. 

Yelah, berbanding dengan orang yang anak ramai, siapalah aku yang baru ada dua anak ni. Berbanding dengan ibu yang ada anak yang dah besar panjang, siapalah aku yang anak anak masih kecil lagi ni. Berbanding dengan yang sudah bertahun bergelar ibu, apa sangatlah pengalaman aku yang baru 4 tahun setengah menjadi ibu. Masih panjang proses yang perlu aku lalui dalam dunia keibubapaan ini.

Aku sering menjadikan mereka yang hebat di luar sana sebagai mentor dalam aku bertatih menjadi ibu yang lebih baik buat anak anakku. Dari ibu dan ibu mertua yang tak boleh aku nafikan kehebatan dan kecekalan mereka dalam mendidik dan membesarkan anak anak, hingga keluarga terdekat, juga ibu ibu hebat di luar sana, mereka menjadi sumber dan tempat rujukanku dalam dunia pendidikan anak anak. 

Antara nama ibu hebat yang kukenal dan pernah mengambil ilmu dari perkongsian mereka di blog/fb/ig adalah seperti pn. Lina Karim, pn. Ummu Ilham, pn. Maznah Ibrahim, pn. Adlil Rajiah, ibu Rozita, dan ramai lagi. Perkongsian mereka merangkum pelbagai aspek dalam pendidikan anak anak, dan aku banyak meneguk ilmu dari perkongsian mereka. Malah bukan sedikit buku dan artikel yang berkaitan yang pernah aku baca, boleh dikatakan banyak ilmu parenting yang sudah ada dalam kepala.

Namun cabarannya.. Adalah dalam praktis dan pelaksanaannya. Banyak ilmu, namun jika tiada usaha tetap tak kemana. Banyak ilmu, namun kurang sabar, tak jadi juga. Ada ilmu, tapi sekadar tahu dan tak buat apa apa, pendidikan anak anak takkan berjaya. YES.. peringatan buat diri yang sering gagal dan sering kecewa dengan diri sendiri.

Sesungguhnya, pendidikan anak anak merangkumi berbagai aspek kehidupan mereka. Jika kita berjaya didik mereka mengenal huruf, membaca, mengaji dan mengira, jangan fikir kita sudah sepenuhnya berjaya mendidik mereka. Itu hanya satu juzuk dalam dunia pendidikan anak anak. Malahan hanya juzuk yang kecil dan bukan satu keutamaan.

Banyak perkara yang perlu kita renungkan, senaraikan, dan usahakan dalam menjadikan kita seorang ibu yang berjaya dalam mendidik anak anak. Yang terutama pastilah pendidikan dalam mengenalkan anak anak pada Pencipta, iaitu berkenaan dengan Tauhid dan pembentukan akidah anak anak. Ia menjadi yang paling penting dan asas, kerana ia akan menjadi panduan dan penyuluh pada anak anak dalam proses pendidikan yang lebih panjang. 

Pelajaran akhlaq juga tak kurang penting. Malah lebih penting dari pelajaran akademik dan skill yang lain. Kita boleh bangga jika punya anak yang pandai dan serba boleh, namun masihkah berbangga jika perlakuan mereka langsung tak menggambarkan seorang anak yang berakhlak?? Pelajaran akhlaq yang perlu dibentuk sejak kecil, yang perlu ditegur dari awal, yang perlu dicontohi oleh kita setiap masa.. 

Sebagai ibu, aku memandang semua itu sebagai tugas dan amanah yang sangat berat. Betapa aku perlu sentiasa menyimpan azam dan terus melangkah bersama azam itu. Aku tak boleh sekadar duduk diam dan membiarkan proses pendidikan itu berjalan sendiri tanpa ilmu dan usahaku sendiri. Ya, aku perlu lebih perkasa dalam menjalankan tugas seorang ibu. Tidak hanya memberi mereka makan dan minum, menyediakan pakaian dan bahan belajar, namun lebih dari itu aku perlu sertai mereka dalam proses pembelajaran mereka. Aku perlu perbaiki diriku menjadi yang lebih baik, berilmu dan beradab. Aku tak boleh duduk diam saja, sekadar mengarah dan meletak harapan setinggi yang boleh pada anak anak. Tak mungkin!!

Aku.. Seorang ibu yang sentiasa perlu sedar diri di mana kemampuan dan keupayaan diri. Memperbaiki mana yang kurang. Mendidik dengan penuh hikmah dan bersandarkan ilmu. 

Ya, bukan mudah menjadi ibu yang benar benar berjaya mendidik anak anak. Kita tak lepas dari membuat kesilapan. Namun kita tetap diberi peluang untuk berubah dan membetulkan kesilapan. Jika kita benar benar ikhlas, insya Allah akan ada petunjuk dan pertolongan dariNya.

Bersama kita doakan... Semoga kita mampu mendidik anak anak dengan cara yang terbaik. Insya Allah



0 comments:

Post a Comment