Monday, 21 November 2016 0 comments By: Naemah

ABANG DIN DALAM KENANGAN

Sekadar catatan; sedikit cebisan kenangan sepanjang mengenali arwah abang iparku Mohd Fazarudin b. Abdullah. 

Dia yang aku kenal, bukan jenis yang banyak cakap. Apatah lagi denganku yang sememangnya pendiam ini :) Namun aku tahu dia seorang anak dan abang yang baik, dan dia memang seorang yang baik. Insya Allah.

Abang Din, aku mengenalinya di hari yang sama aku mengenali suamiku (di hari merisik/mei 2010). Dia abang yang sulung, dia abang yang banyak menolong urusan adik-adik, termasuk suamiku. Semoga setiap pertolongannya dikira kebajikan di sisi Allah.

Buat anak-anakku, abang Din dikenal sebagai pak ngah. Pak ngah yang sering menegur dan bergurau di kala berjumpa, meski hakikatnya jarang bersua. Dialah pak ngah, gelaran yang sudah mendapat tempat di hati Anas dan Mussaab. 

Miqdad pula, hanya sekali bersua dengan pak ngah, iaitu pada hari kedua Miqdad dilahirkan. Di usia Miqdad 40 hari, pak ngah akhirnya pergi menemui Pencipta. Lahirnya Miqdad ke dunia, mengiringi pemergian pak ngah.

Hanya sedikit saja kenangan aku bersama abang Din, tapi tiada yang buruk dan tiada juga yang menyakitkan hati. Maka padaku, dia tak pernah berhutang apa-apa, insya Allah.

Yang pasti dirindui, ialah lemang hasil tangan abang Din yang dinikmati saban tahun, di hari terakhir puasa dan di pagi Aidilfitri. Sangat sedap. Namun kini ia hanya sekadar kenangan. 

Semoga arwah tenang di sana, bersama cinta Ilahi. Cepat atau lambat, kita semua juga akan menyusul.


Anas, Mussaab, Miqdad, Umar, Uwais dan Urwah di hari pemergian pak ngah



PERGI JUGA

22 November 2016

Abang iparku Mohd Fazarudin b. Abdullah, akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 3.15 pagi di HUSM. 

Abang ipar yang menghidap kanser kulit, akhirnya pergi juga ke pangkuan Ilahi. Semoga tenang abang Din di sana. Semoga diampunkan segala dosa dan diterima segala amalan. Allah lebih menyayangi abang Din. 

Alhamdulillah, seluruh isi keluarga menerima dengan hati yang redha di atas pemergian abang Din. 

Kami semua juga akan menyusuli abang Din. PASTI..


إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ...
أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّار
Saturday, 19 November 2016 0 comments By: Naemah

HABIS PANTANG 40 HARI



13/10/16-21/11/16

Genap 40 hari berpantang. 40 hari juga usia anakku, Ilham Miqdad. Alhamdulillah.

Kesihatanku dan anakku agak baik. Miqdad juga sudah menerima suntikan di usia sebulannya. Aku pula  perlu penuhi temujanji untuk minum air gula pada minggu hadapan. Semoga tiada masalah. 

Sepanjang tempoh berpantang, nak kata pantang sangat tu tak juga. Bab makan, semua telan. Kecuali, certain makanan yang ditegah oleh ibu/ibu mertua. (Mereka pun tak tegas sangat bab pantang). Cuma tak buat kerja sangat, terutama yang memerlukan tenaga. Cuma akhir- akhir ini, bila suami dah habis cuti, aku perlu buat sendiri kerja-kerja tertentu. Terutamanya yang melibatkan anak-anak. Oleh kerana masih di kampung, aku tidak terlalu dibebankan dengan kerja rumah kerana ada saja yang sudi membantu terutama ibu dan ibu mertuaku.

Hari ini, hari ke-40, rasa kehidupan dah back to the normal. Tapi masih di peringkat permulaan. Agak kelam kabut dan tak terurus lagi. Aku masih di rumah mertua, tapi hari ini tinggal aku dan anak anak je kat rumah. Suami masih di laut. Insya Allah esok akan balik. 

Hari ini, dari pagi perlu siapkan sendiri anak-anak dan memasak. Miqdad, ketika tidurnya ok, ketika jaganya adakala ok adakala menangis minta susu atau dilayan. Anas dan Mussaab, ada ketika ok bermain sama-sama. Ada ketika gamat suara berebut mainan dan menangis. Anas pula sibuk minta nak buat aktiviti itu dan ini bersamanya. Berlarian memasak dan menyahut panggilan anak dan tangisan si kecil. Hidangkan makan dan suap makan, sapu yang tertumpah, menjemur kain, dan lain-lain. Fuh. Ini baru sedikit. 

Memandangkan tempoh berpantang sudah tamat, rasa tak risau sangat nak kembali aktif. Tak boleh asyik duduk dan baring saja. Lagipun rasa dah tak sabar nak kembali ke rumah sendiri. Kesian juga pada Anas dan Mussaab yang macam tak dapat layanan yang sepatutnya dari umminya ini. Mereka juga dah rindu nak kembali ke rumah. Asyik sebut mainan dan apa yang ada di rumah :)

Semoga segalanya baik-baik. Sebenarnya, keadaan tak mengizinkan kami sekeluarga balik ke rumah lagi. Keadaan abang iparku yang tenat di hospital menghalang kami untuk balik. Semoga Allah mentakdirkan yang terbaik untuk keluarga ini. Semoga Allah beri kekuatan pada semua, terutama mak dan kak za, isteri abang iparku. Allah sayang keluarga ini. Semoga sesudah kesulitan ini akn ada kemanisan. 
Monday, 14 November 2016 0 comments By: Naemah

TERIMA KASIH MISI SEMALAYSIA!!

Sepanjang mengandung, ketika melahirkan anak, sesudah melahirkan dan sehingga hari ini (hari ke-34 selepas bersalin), aku banyak berurusan dengan para jururawat yang bertukar ganti. Di KD Rinching Tengah, KK Beranang, KD Legeh, KK Ayer Lanas, KK Kijang, KK Badang, dan HRPZ, urusanku banyak dipermudahkan dengan pertolongan misi yang bertugas. Tujuan post ini adalah untuk menyatakan rasa terima kasih dan penuh penghargaan buat para misi sekalian :)

Bukan apa, banyak sangat aku membaca dan mendengar komen-komen yang tidak baik tentang misi. Misi biadaplah, misi tak buat kerjalah, misi tak hormat oranglah, misi garang dan suka membebellah, dan macam-macam lagi. Biasalah orang sekarang, sikit-sikit nak viral kan? Walau seorang dua yang berperangai bagai dikata, habis misi lain turut tercalit dan rasa terhina. Bila sudah viral, orang mulalah berpandangan negatif. Walhal, yang salahnya seorang dua saja. Majoriti yang lain, ok je! 

Aku dari mengandung anak pertama, kedua dan ketiga, dari buka buku mengandung hingga bersalin dan berpantang, tak terkira dah berapa ramai misi yang handle aku dan anak-anak. Semuanya ok, semuanya baik, semuanya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Bukan tak pernah jumpa yang tak berapa baik tu, tapi seperti yang aku katakan, hanya seorang dua. Maka aku memilih untuk memaafkan, dan melupakan.

Sekiranya benar, ada yang 'melampau' dan tidak professional dalam menjalankan tugas, mungkin ada saluran lain yang boleh digunakan untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Berbanding meluahkan di media sosial, memviralkan, memalukan, dan yang sewaktu dengannya. Yang bersalah cuma seorang, terus yang lain-lain juga dipandang serong. Sedangkan di luar sana, ramai lagi yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Maka, fikir dululah sebelum bertindak.

Akhir kata, jutaan terima kasih aku ucapkan pada semua jururawat yang pernah memberikan khidmat padaku dan anak-anak, dari awal mengandung hingga sekarang. Tak lupa juga terima kasih kepada semua jururawat seluruh malaysia, di mana jua. Special thanks to nurses at KD legeh, KK Ayer Lanas, KK Kijang, KK Badang, KD Bertam Ulu, KK Cheng, KD Rinching Tengah, KK Beranang, HRPZ dan HUSM. Terima kasih di atas perkhidmatan terbaik yang pernah diberikan, dan semoga terus ikhlas dan dedikasi dalam menjalankan tugas kalian. Allah saja yang dapat membalasnya :)

DIARI ANAKKU: 151116





Anas, Mussaab dan Miqdad masih di kampung. Sudah 2 bulan setengah di kampung. Miqdad pula masuk hari ke-34 hari ini. Semalam dah pergi klinik untuk check up dan suntikan 1 bulan :) Alhamdulillah.

Mussaab seperti biasa semalam tidur di rumah cik. Jam 8 pagi, ayah cik hantar balik rumah mek. Anas pula dah bangun lebih awal. Ummi uruskan Miqdad yang menangis minta ditukarkan pampers. Abi di Bintulu, akan menaiki penerbangan jam 11.15 pagi, ke Klia. Insya Allah esok akan jumpa abi.

Pagi ni breakfast dengan burger saja. Itu yang paling cepat yang ummi dapat buat, memandangkan Miqdad tak boleh ditinggal lama. Lepas brekfast, Anas dan Mussaab bermain mainan aeroplane dan ipad. Kemudian buka laptop dan menonton video chuggington dan aeroplanes. Sambil menonton, sambil main juga. Ummi selesaikan sedikit kerja rumah dan mandikan Miqdad. Miqdad tidur sekejap. Dapat ummi menjemur kain. Anas ajak ummi baca buku umizoomi. Dapat jugalah baca sekejap, sementara Miqdad tidur. 

Jam 11 pagi, masih menonton video aeroplane. Masing-masing macam dah boring sangat. Selalunya masa ni pergi ke rumah cik. Tapi hari ni tak dapat pergi kerana cik menoreh. Miqdad pula hanya mahu dipangku ummi. 

Bila Miqdad dah tidur, ummi masuk ke dapur dan masak untuk makan tengahari Anas dan Mussaab. Goreng ayam je, makan dengan gulai daging yang mek dah masak. Berselera Anas makan. Mussaab hanya makan ayam. Ummi layan Anas dan Mussaab makan sambil menyusukan Miqdad yang dah bangun dari tidur. Lepas tu ummi tinggalkan miqdad pada mek. Anas dan Mussaab buat bising pula dekat adik. Miqdad perhatikan saja abang-abang yang riang bergurau senda.

Pukul 1 petang, cik datang ke rumah. Lepas tu Anas dan Mussaab ikut cik balik. Tinggal ummi dan Miqdad. Abi juga dah selamat sampai di klia. Alhamdulillah. Ummi cuba untuk tidur dengan Miqdad. Teringatkan Anas, yang tadi ada berkelakuan yang membuatkan ummi marah. Tapi ummi sepatutnya lebih sabar, dari bertindak tidak matang. Im sorry Anas. Ummi rasa bersalah dan berdosa. Hati ummi merindu tika jauh dengan anak-anak.

Pukul 4, cik hantar gambar whatsapp Anas dan Mussaab tengah tidur. Hai, sempat lagi tidur. Anas yang jarang tidur petang pun tidur jugak. Mungkin sebab pagi tadi bangun awal. Hujan pun turun dengan lebatnya. Lagi best tidur :) 

Pukul 5 petang, ummi bawa Miqdad masuk ke dapur. Mek jaga Miqdad, ummi makan roti dan minum air. Anas dan Mussaab masih di rumah cik. Tengah menonton tv, kata cik. Hujan pun masih turun. Tak dapat balik rumah mek lagi. Abi pula di low yatt, insya Allah akan naik bas malam ni ke kampung. 

Anas dan Mussaab balik jam 5.30 petang menaiki motor cik. Cik masak donat dan nasi goreng. Anas dan Mussaab kenyang makan donat. Lepas makan, main dan menonton video. Cik kat rumah mek sehingga isyak. Lepas isyak, Mussaab ikut cik balik. Malam ni tidur di rumah cik lagi nampaknya. Miqdad sudah lena tidur. Anas sambung menonton video dan melukis. 

Pukul 10 malam, Anas dah lena. Ummi yang mengantuk juga ikut lena bersama Anas dan Miqdad. Entah Mussaab pukul berapa tidurnya di rumah cik. Semoga baik-baik Mussaab di sana. Semoga Allah menjaga anak-anak ummi. Semoga perjalanan abi malam ini selamat. Semoga Allah menyatukan kita sekeluarga pada esok hari. Insya Allah

MUSSAAB SAYANG UMMI KAN??

Sejak suamiku kembali bekerja (selepas bercuti panjang), aku kini tinggal bersama anak-anak di kampung. Selepas sebulan bersalin, masih di kampung.

Mussaab, anak keduaku kini setiap malam tidur di rumah ciknya (kakakku). Pada malam pertama dia tidak bermalam bersamaku, hati ini terasa sayu sangat. Dan berbagai persoalan datang. Mungkin dia rasa aku tak sayang dia, lepas lahir adiknya. Mungkin dia rasa layananku tak seperti dulu, dan segalanya mungkin.. hati sedih tak terkata. Tak pernah dia berjauhan denganku.

Namun kini bila setiap malam dia tiada, perasaan sedih semakin kurang. Aku lepaskan dengan rela, setiap kali dia ingin pergi. Mungkin ada baiknya juga, kerana cik melayannya dengan baik. 

Bila dia balik ke rumah, aku cuba melayaninya dengan baik. Cuba menjadi yang lebih baik, untuk anakku yang seorang ini. Biar dia tahu aku sayangkan dia. Biar dia tahu, aku tetap adalah umminya.

Pada kakakku, aku juga sangat terhutang budi kerana banyak membantu, terutama dalam menjaga Mussaab dan melayan karenahnya yang adakala tak terlayan olehku. Oleh itu aku mengerti, kenapa Mussaab selesa bersama cik. 

Namun Mussaab, ummi tetap sayang Mussaab. Sayang dan rindu sangat. Semoga hati Mussaab juga tidak semakin jauh dengan ummi. Mussaab sayang ummi kan?? :')
Sunday, 13 November 2016 0 comments By: Naemah

AKU INGIN LAHIRKAN ZURIAT LAGI

Hari ke-32 berpantang selepas melahirkan anak ketigaku. Masih belum sihat sepenuhnya. Masih belum dapat menjalani kehidupan seperti biasa lagi. Masih seperti 'bermimpi' dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga ini.

Namun Alhamdulillah, syukur kupanjatkan pada Dia yang Maha Memberi. Aku bersyukur atas kehadiran zuriatku ini.

Alhamdulillah, dalam usia perkahwinan yang sudah hampir 6 tahun, kami dikurniakan 3 cahaya mata yang memang diharapkan dan dinantikan. Tak ku lupa bagaimana sakit dan peritnya saat berjuang melahirkan setiap anakku. Namun sakit itu bagai tak terasa, dek kemanisan yang mengatasi rasa sakit itu saat melihat anak-anak membesar di depan mata. 

Di kala ini, kerana masih baru melepasi saat getir itu, hati masih gerun untuk mengingati kembali kesakitan ketika berjuang melahirkan anak. Namun jika ditanya apakah aku masih mahu mengandung dan melahirkan anak lagi, jawapanku ialah YA, aku masih mahu melahirkan zuriat lagi. 

Aku sedar perjalanan sepanjang mengandung dan sehingga saat melahirkan tak semudah yang difikir. Aku pernah dua kali keguguran. Ditambah pula dengan masalah kencing manis yang dihadapi setiap kali mengandung, kesakitan bersalin, kesukaran sepanjang tempoh berpantang, dan macam-macam lagi. Setiap orang pasti ada cabaran tersendiri. Malah ada insan yang lebih hebat menerima ujian. 

Namun aku, sedari awal, mengimpikan untuk mempunyai ramai zuriat. Tapi memikirkan umur pun dah banyak, tak pastilah berapa ramai yang aku mampu. Sampai masanya mungkin mengandung menjadi perkara yang 'berisiko' buatku. Maka tawakkalku hanya pada Dia.

Merancang tu merancang juga. Cuma buat masa ini hanya merancang sendiri (tidak mengambil ubatan atau suntikan). Kalau boleh, tak nak terlalu rapat umur anak-anak. 2 tahun tu rasanya dah ok. Tapi selepas yang ketiga ni suami kata nak jarakkan sampai selesai ibadah haji (insya Allah tahun 2022). Alasannya, kesian nak tinggal anak masih kecil waktu tu. (atau mungkin kesian pada isterinya, selepas berpengalaman tiga kali menemani isteri di labour room?? Tak pastilah tu :))

Apapun, jika bertanya serik atau tidak melahirkan anak, jawapanku adalah tidak. Aku percaya walau sukar dan payah sekalipun Allah pasti membantu. Aku juga percaya, dosa-dosaku turut gugur bersama kasakitan yang kutanggung itu. Malah, melihat anak-anak yang kian hari membesar di depan mata, langsung kesakitan itu lenyap dari ingatanku. Aku bahagia dengan kehadiran zuriatku. Alhamdulillah :)



Saturday, 12 November 2016 0 comments By: Naemah

MIQDAD: 1 MONTH OLD

13/10/16-13/11/16

Genap sebulan usia Ilham Miqdad. Hari ke-32 Miqdad di dunia ini. Alhamdulillah.

Sepatutnya hari ni nak ke klinik untuk cucuk Miqdad. Tapi rupanya hari ni cuti sempena hari keputeraan sultan kelantan, so klinik pun tutup. Insya Allah esok lah ummi bawa Miqdad ke klinik :)

Hari ini abi di laut, bertugas. Miqdad masih di kampung bersama ummi dan abang-abang.

Alhamdulillah Miqdad sihat dan baik-baik saja sepanjang sebulan ini. Tidur malam juga tiada masalah, hanya berjaga untuk menyusu saja. Tak kuat menangis sangat, kecuali bila lapar, sakit perut atau tak selesa dan minta ditukar pampers. Insya Allah, mudah saja ummi menjaga dan menguruskan Miqdad, sama seperti abang-abang.

Semoga Miqdad, membesar bersama Anas dan Mussaab dengan kasih sayang Allah. Semoga anak anak ummi menjadi manusia yang berjasa pada agama, dan dijauhi dari fitnah akhir zaman ini. 

Aameen.
Wednesday, 9 November 2016 0 comments By: Naemah

BERSALIN INDUCE LEBIH SAKIT KE??

Coretan ini hanya sekadar catatan pengalaman sendiri yang sudah melalui detik bersalin secara sakit semulajadi dan juga diinduce.

Apapun, pengalaman setiap orang pasti tak sama. Memang selalu dengar orang cakap induce lagi sakit dari sakit bersalin yang biasa. Betul ke?

Tak pastilah nak kata betul ke tak. Aku rasa lebih kurang sama je kot. Dua-dua sakit :D dah nama bersalin tu, memang tak dapat tidak, kita akan berhadapan dengan sakit kontraksi. Yang beza mungkin berapa lama kita menanggung kesakitan tu.

Anak yang sulung, aku diinduce dengan ubat tablet dan juga drip. Kerana anak sulung, so tak boleh nak beza yang mana lagi sakit. Yang tahu memang sakit sangat-sangat masa tu. 8jam menanggung sakit kontraksi sehingga selamat melahirkan.

Anak kedua pula, tak sempat induce (sepatutnya kena induce juga) sebab jalan dah buka 3cm, tanpa rasa sakit. Sampai 5cm pun tak sakit lagi. Start sakit bila doktor pecahkan ketuban, makin sakit dan akhirnya bersalin. Masa sakit tu memang rasa sakit sangat. Cuma, tempoh sakit tak lama macam anak 1st. Tapi nak compare pun macam tak sesuai, sebab anak sulung kita tak ada pengalaman bersalin, agak mengambil masa juga untuk laluan mencapai bukaan yang sepatutnya. 

Anak ketiga tak sempat induce juga kerana ketuban dah pecah. Tetapi oleh kerana bukaan serviks lambat dan sakit kontraksi tak kuat, kena induce juga pakai drip. Sakit mula datang, makin kuat dan lebih kuat. Sakit sangat, sama macam sakit bersalin dulu juga. 

So, kalau nak diingat balik, sakit bersalin tu, macam tu jugalah sakitnya. Induce atau tidak, sama je rasa sakitnya (ikut pengalaman sendirilah, orang lain mungkin berbeza). Jadi lepas ni aku tak perlu takutlah kot kalau kena induce lagi. Dan aku nak nasihatkan ibu-ibu lain juga jangan takut sangat kalau kena induce. Induce tak induce, bersalin tu memang sakit. Cuma banyak-banyak berdoa sajalah, agar dipermudahkan urusan bersalin, dan tidak berlaku segala yang tak diingini. Di saat ini, hanya Allah saja tempat kita bergantung.

Akhir kata, kenyataan bahawa induce lebih sakit dari sakit bersalin normal, tak boleh dipegang sepenuhnya. Tak perlu terlalu takut, hanya berserah pada Allah di samping berdoa padaNya agar segalanya akan dipermudahkan. Setiap individu akan melalui pengalaman berbeza, namun yakinlah kita akan mampu mengharungi kesakitan bersalin. Insya Allah.

Tuesday, 8 November 2016 0 comments By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: ILHAM MIQDAD


Catatan pengalaman melahirkan anak ketiga kami, Ilham Miqdad b. Mohd Suzainizam.

Catatan pengalaman yang lepas: ANAS ZAYDAN dan ABDULLAH MUSSAAB



13/10/16

Hari ini aku perlu ke Klinik Kesihatan Kg. Kijang untuk mengambil surat daripada doktor, sekiranya aku masih belum bersalin memandangkan tarikh jangka bersalinku ialah pada 14/10/16. Aku tidak boleh melebihi tarikh jangka tersebut memandangkan aku mempunyai masalah GDM (kencing manis) ketika mengandung. 

Namun dengan takdir Allah, pagi itu sekitar jam 5 pagi aku terjaga dari tidur kerana terganggu dengan kontraksi yang kerap hadir sejak semalam. Saat bangun dari tidur, terasa air turun laju membasahi kain yang kupakai. Agak terkejut juga, kerana tiada pengalaman pecah ketuban di rumah sebelum ini. Namun sudah bersedia, memandangkan dari semalam lagi sudah merasakan kontraksi (seperti senggugut). Aku segera mengejutkan suami dari tidur. Aku ceritakan keadaanku, dan dia bergegas mandi dan bersiap untuk membawaku ke hospital. Aku juga sempat mandi dan menukar pakaian memandangkan aku masih belum merasakan sakit kontraksi yang sebenar. Malah, rasa seperti senggugut juga dah tiada. Kami bertolak ke Hospital Raja Perempuan Zainab, KB. Anak-anak ditinggalkan bersama ibu mertuaku. 

Sampai di hospital, azan subuh berkumandang. Kami menunaikan solat subuh terlebih dahulu di surau hospital. Aku masih tidak rasa sakit. Namun terasa air ketuban yang masih turun sedikit demi sedikit. Mujur juga aku pakai pad. Selepas solat aku ke tandas untuk membuang air besar dan kecil. Kalau boleh nak kosongkan perut sebelum bersalin. Agak terkejut melihat pad yang berwarna kekuningan. Aku jadi takut dan berdebar. Mungkinkah anakku dah berak di dalam perut? Rasa nak menangis, namun cuba bertenang. Lepaskan segala hajat di tandas. Kemudian ke tempat letak kereta, menunggu suami yang belum selesai solat berjemaah. Sempat google 'warna ketuban' untuk kepastian. Hati masih tak sedap dan rasa nak menangis. Sebaik suamiku datang, aku ceritakan padanya hal air ketuban tadi. Dia segera bawa aku ke bilik bersalin yang letaknya tidak jauh dari situ. 

Pendaftaran dibuat sekitar jam 6.15 pagi. Aku masuk ke labor room, sementara suami menunggu di luar. Aku diminta berbaring di atas katil dan dipasang alat ctg untuk memantau denyutan jantung baby dan kontraksi. Hampir satu jam berbaring di situ tanpa ada kontraksi, malah anakku pula releks je tidur pagi-pagi macam ni. Misi suruh aku tepuk-tepuk manja di perut agar anakku bangun dari tidur. Suamiku di luar bertanyakan keadaanku yang sudah lama berada di dalam. Sempat juga dia kirimkan artikel 'teknik meneran ketik bersalin'. Aku baca dan senyum sendiri. Dah dua kali dia menemani aku di bilik bersalin. Dia tahu, 'masalah' aku di mana. Ye, selalunya bab meneran aku selalu gagal :)

Lebih kurang pukul 7.30 pagi, bukaan serviks diperiksa. Hanya 2cm saja. Agak kecewa mendengarnya. Tapi yelah, aku masih belum merasakan sakit kontraksi. Doktor juga menyatakan baby dah terberak di dalam perut. Sangkaan aku benar. Aku risau, namun cuba bertenang. Aku ceritakan pada suami hal keadaanku melalui whatsapp. Dia juga risau dapat tahu baby dah terberak. Dia nasihatkan aku untuk bersabar dan berdoa. Aku juga sedaya upaya untuk bersabar, bertenang dan sepenuhnya bertawakkal pada Allah. 

Jam 8.30 pagi, aku ditolak masuk ke labor room (tadi di bahagian luar saja). Walaupun bukaan hanya 2cm, aku perlu dipantau memandangkan anakku dah berak di dalam perut. Ketika ini, masih belum rasa sakit kontraksi. Hanya sakit ringan seperti semalam saja. Di dalam labor room juga, keadaanku masih sama. Degupan jantung baby ok, cuma kontraksi masih tiada. Agak jemu menanti. Mata juga mengantuk. Perut kosong, tadi hanya sempat makan dua biji kurma di atas kereta dan minum air kosong. Aku harapkan agar cepat bersalin, takut tiada tenaga nanti jika perlu menunggu lebih lama. Nak makan minum dah tak dibenarkan. Hanya air dimasukkan ke badanku. 

Dalam tempoh penantian ini, pengalaman ngeri ialah saat 'diseluk' untuk cek bukaan serviks. Entah kenapa, rasa sakit sangattt.. berbeza dengan pengalaman lepas. Tahan air mata saja, tak mampu nak jelaskan kesakitan macam mana. Tawakkal dan doa saja. Betul-betul berserah pada yang Maha Kuasa. 

Jam 10.30 pagi, suamiku masuk menemaniku di labor room. Ketika ini juga, sakit kontraksi masih belum kuat terasa. Ia datang dalam 5 minit sekali, namun tak terlalu sakit. Masih boleh berbual dengan suamiku. Mata mengantuk, tapi tak boleh nak lelapkan mata. Suamiku membaca al quran di sisi.

Sekitar jam 11.30 pagi, aku diinduce (kaedah drip/pitocin) untuk cepatkan bukaan serviks. Dalam tempoh ini, terasa sakit makin kuat, namun masih dalam sela masa 5 minit sekali dan sakit juga tak lama. Doktor sekali lagi cek bukaan, hanya 4cm. Namun lepas tu sakit makin kuat terasa, semakin lama, dan semakin dekat jarak antara kontraksi. 

Lebih kurang jam 1.30 petang, aku dah rasa gesaan untuk meneran. Bukaan serviks diperiksa, baru 7cm. Aku diminta untuk tidak meneran lagi. Allah.. makin lama makin kuat rasa nak meneran. Seksa sangat bila ditahan-tahan. Masa ni dah start mengalir air mata. Sakit tak tertahan bila datang kontraksi dan gesaan untuk meneran. Aku menarik tangan suami, mencengkam dengan kuat saat kontraksi datang. Rasa  nak gigit pun ada. 

Doktor cek bukaan sekali lagi. Masih 7cm. Namun kali ini doktor minta aku teran bila datang rasa nak meneran. Di sini bermula cabaran seterusnya. Kalau tak silap, tiga kali aku cuba meneran, ketiganya gagal. Aku tak sempat nak tahan nafas. Jadi blurr, tak ingat teknik pernafasan yang sebenar. Padahal inilah yang sering diingatkan suamiku. Aku diberi rehat seketika. Tapi nak rehat macamanalah, kontraksi datang dan pergi. Aku disuruh mengiring ke kiri. Bila datang gesaan untuk meneran, aku diminta meneran, tak perlu tahan lagi. Aku buat seperti yang disuruh, bersama air mata menahan sakit :'( dalam kesakitan itu, aku mendengar suamiku panjang lebar mengajar aku teknik pernafasan yang betul. Aku pasang telinga mendengar sepenuh hati. 

Akhirnya, sekali lagi bila kontraksi datang hingga kemuncak, bertemankan suami, doktor dan jururawat (lupa berapa orang semuanya) aku cuba mengambil nafas sedalamnya dan cuba meneran dengan satu nafas, dan berkali-kali mencuri nafas (seperti yang suamiku ajar). Suami di sisi tak lepas memberi kata semangat dan terus mengajar. Akhirnya... berjaya juga lahirkan anakku tepat jam 1.58 petang. Lega, sebak, bahagia, semua ada saat dia meluncur keluar, dan sebaik mendengar tangisannya. Aku lepaskan tangisan sendu.. tak tergambar rasa itu. Dalam kepayahan berjuang, menanggung sakit tak terperi, akhirnya anakku selamat dilahirkan ke dunia. Anak diletakkan ke dadaku, suamiku mengalunkan azan dan iqamah di telinganya. Hatiku dibuai tenang dan bahagia. Rasa sakit seperti tak terasa lagi. Badan anakku diselaput najisnya, namun dia sangat comel dipandangan mataku. 

Selesai urusan menjahit di tempat bersalin (koyakan agak banyak), anakku yang sudah bersih dimandikan dan diperiksa kesihatannya diberikan kepadaku untuk disusukan. Agak terkejut bila dapat tahu aku melahirkan anak seberat 3.85kg. Wah, tak terjangka. Ingatkan lebih kurang sama je dengan abang abangnya (3.1kg). Patutlah koyakan pun banyak :) namun syukur, segalanya dah berakhir. Anakku selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah. 

Itulah catatan pengalaman melahirkan anak ketigaku, Ilham Miqdad bin Mohd Suzainizam. Agak panjang coretan ini. Yang pasti pengalaman kali ini agak berbeza dengan dua pengalaman lepas. Sudah pasti, setiap anak ada cerita tersendiri :)

Bersalin kali ini, bukaan serviks agak lambat, kerana kontraksi yang tak terlalu kuat (walaupun ketuban dah pecah) . Selepas diinduce, barulah sakit kontraksi semakin kuat dan kerap. 7cm dah tak tahan nak meneran. Menanggung rasa sakit kontraksi (yang kuat) lebih kurang 4jam, sehingga akhirnya melahirkan anakku. 

Alhamdulillah. Hanya pada Allah kupanjatkan rasa syukurku. Rasa sakit yang kutanggung hakikatnya dalam kemampuanku, dan pertolongan dariNya membuatkan aku dapat melaluinya meski dalam kepayahan. Allah sebaik-baik penolong. Aku bersyukur di atas nikmat dan anugerah ini. Aku tak serik untuk melahirkan anak lagi. Insya Allah.

Terima kasih juga buat suamiku yang tak putus berdoa dan memberi sokongan. Anak ini, hadiah istimewa untukku dan untuk dia. Alhamdulillah.

Anas, Mussaab dan Miqdad. Dari dua menjadi tiga. Anugerah dan amanah dari yang Esa. Semoga aku dan suami dapat memikul amanah ini dengan sebaiknya. Semoga anak-anak kami membesar menjadi hamba Allah yang soleh. 

Aameen




Monday, 7 November 2016 0 comments By: Naemah

ALLAH IZINKAN AKU BERSALIN NORMAL

Pertamanya, ingin aku tekankan bahawa bersalin normal atau melalui pembedahan, tiada bezanya. Tidak menggambarkan yang mana lebih baik. Tetap ianya sebuah perjuangan yang dinilai mulia di sisi Allah. Insya Allah.

Namun pada kebanyakan wanita (mungkin), pasti mengharapkan dapat bersalin secara normal. Bagi yang belum ada pengalaman, bersalin c-zer terasa begitu menggerunkan. Namun mungkin tidak pada mereka yang ada pengalaman melaluinya.

Aku juga secara peribadinya 'takut' kalau-kalau berhadapan dengan situasi di mana aku terpaksa dibedah ketika melahirkan anak. Alhamdulillah, belum sampai ke tahap itu. 

Sewaktu melahirkan anak pertama, bukaan serviks sangat lambat. Menanggung sakit hingga 8 jam selepas diinduce. Kemudian, tak pandai nak teran pula ,:) sampai sekali tu dengar 'ugutan' dari doktor pakar yang bertugas: kalau tak berjaya teran lagi, kita c-zer sajalah. Makin takut rasanya. Lepas tu berjaya melahirkan dengan jayanya. Fuh.. Alhamdulillah. 

Anak kedua pula, memang tiada masalah. Sakit tak lama, dan tak berulang kali meneran. Sekejap saja. Alhamdulillah.

Anak ketiga ni pula, ditakdirkan sudah terberak di dalam perut. Cemas juga, sebab selalu dengar pengalaman orang yang sama kes macam ni, end up dengan c-zer. Hati cuba menidakkan, namun perlahan memujuk hati, kalau terpaksa dibedah juga, aku redha dan terima demi keselamatan anakku. Tapi Allah takdirkan aku dapat bersalin dengan normal juga akhirnya, walaupun baby besar (3.85kg). Alhamdulillah :)

Takdir Allah mengatasi segalanya. Allah datangkan kesakitan bersalin yang di dalam kemampuan kita. Allah juga takdirkan kita bersalin normal atau pembedahan, sesuai dengan keupayaan kita juga. Yang pasti, bersalin normal atau c-zer, tiada beza di sisi Allah. Seorang ibu tetap dikurniakan kemuliaan di atas apa yang ditanggungnya, sejak mula mengandung hingga detik menanggung kesakitan ketika melahirkan. 

Moga bersama kesakitan yang ditanggung, akan gugur juga dosa yang bertimbun. Insya Allah


Sunday, 6 November 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 071116






Hari ini masih di rumah mek. Dah lebih 2 bulan di kampung. Abi pula di Bintulu. Sudah hari ke-4. Insya Allah abi akan balik ke Semenyih hari ni, dan akan balik ke kampung.

Miqdad yang pertama bangun, seperti biasa minta susu dan minta ditukarkan pampers. Kemudian Mussaab pula bangun. Main sendirian, menyusun kereta mainan. Ummi tak boleh nak tinggalkan Miqdad, dan nak uruskan diri ummi juga. Mussaab ummi biarkan bermain dulu, sambil tegur-tegur Mussaab juga. 

Pukul 9 pagi, cik datang dan bawa Mussaab ke rumahnya. Anas masih lena. Entah semalam mimpi apa, bersama tangisan yang panjang dan sayu. Sedih ummi mendengarnya. Ummi biarkan Anas tidur dulu. Anas bangun bila jam hampir 10 pagi. Ummi sempat whatsapp dengan abi yang sudah berada di airport Bintulu. Seperti biasa, abi bertanyakan anak-anaknya.

Anas mandi dan makan, sambil ummi mandikan Miqdad. Jam 10.30, Mussaab balik bersama cik. Dah siap mandi, dan ke kedai dengan cik tadi. Mussaab makan roti dan bihun juga. Lepas tu Anas dan Mussaab ke rumah cik lagi. Tinggal Miqdad bersama ummi. Miqdad tidur, dan sesekali terjaga dan menangis.

Jam 12, Anas dan Mussaab balik. Masih tak puas berjalan. Cik bawa ke rumah poklong pula. Masuk waktu zohor, balik semula. Siap bawa balik mainan Muhammad lagi. Sukanya hati :) Alhamdulillah abi juga dah selamat sampai di Klia.

Ummi tidur bersama Miqdad di bilik. Anas dan Mussaab leka dengan mainan dan basikal. Sesekali masuk ke bilik. Ummi pun tidur sekejap saja. Dapat berita tentang pak ngah yang sakit di hospital. Keadaan pak ngah semakin lemah. Semoga Allah memberi kekuatan pada pak ngah dan mentakdirkan yang terbaik untuk pak ngah dan seluruh ahli keluarga.

Pukul 3, ummi gorengkan keropok lekor untuk Anas dan Mussaab. Miqdad masih tidur. Dah kenyang, masuk bermain di bilik. Riang gembira melompat di atas katil. Miqdad nak tidur pun dah tak boleh. Bila ummi letakkan Miqdad di luar, Anas dan Mussaab pun keluar juga. Ummi buka album gambar lama di laptop. Leka seketika melihat gambar masa kecil. 

Jam 5 petang, keluar bermain di beranda. Miqdad juga join sekali walaupun tak boleh main lagi :) tengok aje Anas dan Mussaab main, sambil ambil gambar bersama. Pukul 6 petang, masuk ke dalam rumah. Sambung main kat dalam pula. 

6.30, mandi dan sambung main lagi. Anas menyusun kereta dan blocks. Mussaab juga leka bersama blocks, membina sesuatu mengikut imaginasinya. Abi sudah on the way balik kampung. Sudah hampir separuh perjalanan, mungkin. 

Jam 7 malam, cik datang nak bawa mek ke surau. Mussaab dah mula mengamuk dan minta macam-macam dengan cik. Serba tak kena dan menangis nak ke rumah cik. Hujan dah turun dengan lebat. Cik terpaksa solat di rumah mek sambil melayan Mussaab. Mussaab sejak di kampung ni memang agak manja dengan cik.

Lepas solat cik masak nasi goreng. Anas dan Mussaab makan nasi goreng. Lepas isyak, ikut cik balik. Masih nak ke rumah cik walaupun dah malam. Tinggal Miqdad menunggu masa untuk tidur. Ummi juga menunggu kepulangan abi yang dirindu.

Anas balik ke rumah dihantar ayah cik. Bertanyakan abi yang masih belum sampai. Hampir jam 10 malam, abi akhirnya sampai. Alhamdulillah. Abi bertanyakan Mussaab. Tak dapat lepaskan rindu pada Mussaab. Dengan Anas dan Miqdad sajalah dulu. Insya Allah esok jumpa Mussaab. Cik hantar gambar Mussaab melalui whatsapp. 

Anas, ummi dan abi berborak seketika. Miqdad dah lena tidur. Abi pun dah penat sangat, dari Bintulu kemudian drive pula ke kampung. Langsung tiada rehat. Anas juga dah mengantuk kerana siang tadi bermain saja, langsung tak tidur. Anas dan abi lena akhirnya jam 10.30. Teringat pada Mussaab yang berada di rumah cik. Ummi rindu Mussaab. Semoga baik-baik di sana. Insya Allah esok kita jumpa.

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Anas dan Mussaab ceria berada di kampung bersama insan yang menyayangi. Miqdad juga, sudah 26 hari di dunia. Disayangi dan diraikan oleh semua orang. Alhamdulillah. Semoga hari esok akan lebih baik. Insya Allah :)
Saturday, 5 November 2016 0 comments By: Naemah

KENAPA SAMPAI MEMILIH JANTINA??

Sesekali membaca dan mendengar cerita masyarakat. Ada yang bertahun berkahwin, namun belum direzekikan dengan cahaya mata. Mereka pastinya berdoa dan berharap, namun Allah lebih tahu yang terbaik buat mereka. Maka pada mereka kita doakan agar sentiasa redha dan sabar, dan semoga tetap bahagia meski tanpa kehadiran zuriat.

Namun ada juga cerita dan luahan rasa keinginan untuk mempunyai anak lelaki/anak perempuan. Ye, setakat rasa 'teringin' tak mengapalah. Yang penting tetap redha dan syukur, bila Allah memberi yang sebaliknya.

Yang agak menghairankan, kenapa sampai ada yang tak boleh nak terima kenyataan bila dapat tahu anak yang dikandung berlainan jantina seperti yang diharapkan. Sampai jadi sedih dan murung, sampai tak nak pedulikan kandungan dan tak pedulikan persiapan untuk anak yang bakal lahir, malah hingga tahap memukul perut sendiri kerana tidak suka?? Apa masalah dia?

Allah.. sudah dikurniakan rezeki 'anak', itu sudah lebih dari berita gembira buat seorang isteri/suami. Tak perlu pula sampai nak memilih jantina. Syukurlah, Allah dah beri rezeki terindah ini. Lelaki atau perempuan, tetap ianya satu anugerah. 

Terus terang, sedih mendapat tahu ada insan yang sebegitu. Tak bersyukur dengan takdir. Tak menghargai anak yang dikandung. Apalagi jika luahan rasa kecewa itu didengar oleh mereka yang belum ada rezeki anak, tidakkah itu lebih menyakitkan hati? Kalaulah kandungan itu boleh dipindahkan kepada yang lebih mengharapkannya... 

Syukurlah duhai yang bergelar ibu dan bapa. Kamu bukan Tuhan untuk menentukan jantina anak. Malah kamu mengkufuri nikmat Tuhan, bila memilih untuk kecewa dan tidak redha di atas pemberian Tuhan. Maka bertaubatlah... kesian anak itu lahir dalam keadaan ibu/bapa tidak meraikan kehadirannya, hanya kerana jantina yang berlainan :'(

Aku juga sudah dikurniakan 3 orang cahaya mata LELAKI. Alhamdulillah, aku bersyukur atas kurniaan ini. Bukan tiada keinginan untuk mempunyai anak perempuan, namun buat kami pada masa ini, takdir inilah yang terbaik. Kami bahagia dengan anak-anak lelaki kami. Kami syukur diberi peluang untuk memiliki zuriat, sedang di luar sana masih ramai yang menanti dan mengharap. 

Mempunyai zuriat atau tidak, dikurnia anak lelaki atau perempuan, sesungguhnya Allah lebih tahu yang terbaik buat kita. Syukur dan redhalah, meski apa jua takdirNya buat kita. 

Alhamdulillah :)

MENGUKIR KENANGAN DI KAMPUNG

Sudah 2 bulan lebih berada di kampung. Anas kini berusia 4 tahun 10 bulan, manakala Mussaab berusia 2 tahun 10 bulan. Miqdad? Baru berusia 24 hari :) Alhamdulillah.

Di kampung ini, Anas dan Mussaab belajar berkawan dan cuba rapat dengan orang lain, selain ummi dan abi. Tak sama seperti di rumah sendiri yang boleh dikatakan agak 'terkurung'. Dunia Anas dan Mussaab hanyalah keluarga kecil kita. Hingga tak biasa berkawan dan tak biasa dengan orang lain.

Di kampung yang sudah pastinya ramai saudara mara, hidup Anas dan Mussaab lebih ceria. Di sini belajar berkawan dan menjadi biasa dengan orang lain. 

Di rumah nenek, ada sepupu yang hampir sebaya. Teman bermain dan bergurau. Ada pak cik dan mak cik yang rajin melayan juga. Di rumah mek, kerap ke rumah cik, pak long dan pak ngah. Kalau dulu, tak akan pergi kalau ummi atau abi tak ikut. Kini dah tak kisah, sebab cik dah jadi pengganti ummi dan abi. Best dapat naik motor dengan cik. Ikut cik ke mana saja. Mussaab pula sampai tahap bermalam di rumah cik. Ummi pula yang rindu dan asyik teringat :')

Tak lama lagi, kampung akan ditinggalkan. Akan kembali ke rumah, bersama keluarga kecil kita. Juga akan sedikit berbeza, kerana kini ada adik kecil yang akan menemani hari-hari seterusnya. Semoga keluarga kita akan lebih ceria dan bahagia. 

Kampung ini, dulu tempat ummi belajar jatuh bangun, berkawan dan bermain. Kini turut menjadi tempat anak-anak ummi menyimpan kenangan. Anas dan Mussaab juga pasti akan rindu. Entah bila pula boleh balik lama macam ni :)

Apapun, kehidupan akan diteruskan. Di masa yang masih berbaki ini, semoga Anas dan Mussaab terus ceria dan bahagia, mengikat kasih dan mengukir kenangan terindah di zaman kecil ini.

Alhamdulillah di atas kehidupan dan anugerah hari ini. Semoga di masa yang akan datang akan lebih baik. Insya Allah.

 


 
Thursday, 3 November 2016 0 comments By: Naemah

MUSSAAB DAN CIK

Malam ni terasa sunyi dan sayu sangat hati ummi. Abi sudah kembali ke Semenyih malam ini, kerana esok akan kembali bekerja. Mussaab pula ke rumah cik. Tidur di rumah cik malam ni. Tinggal ummi, Anas dan Miqdad saja di rumah mek. Rindu sangat pada Mussaab. First time bermalam di rumah cik.

Sejak balik ke kampung, Mussaab sangat rapat dengan cik. Cik banyak melayan Mussaab. Sering pula bawa Mussaab naik motor. Apa yang Mussaab minta, cik cuba penuhi. Mussaab nak berdukung pun, cik layan. Sebab tulah Mussaab manja sangat dengan cik. Nak mengamuk menangis pun, cik sabar je layan Mussaab. Haihh..

Allah takdirkan cik tak mempunyai anak. Namun, cik sangat.. sangat baik dengan anak-anak saudara. Semua orang tahu dan akui kebaikan cik. Semoga Allah rahmati cik. Semoga cik juga berbahagia meski tanpa kehadiran zuriat. 

Hati ummi sayu. Rasa bersalah pada Mussaab. Rasa jauh dengan Mussaab. Mungkinkah Mussaab rasa ummi tak sayang Mussaab?? Yelah, ummi asyik dengan baby baru je.

Hakikatnya, ummi sayang sangat anak-anak ummi. Ummi sayang Anas, sayang Mussaab dan sayang Miqdad. Tak berbeza kasih dan sayang ummi. 

Tak mengapalah... ummi tak risau Mussaab baik dengan cik. Dalam keadaan ummi yang masih belum sihat sepenuhnya ini, ummi bersyukur ada cik yang sudi melayan Mussaab. Lagipun abi dah kembali bekerja. Nak harapkan ummi seorang, takut juga ummi tak termampu. Takut juga Mussaab terus rasa terpinggir dan tak dipedulikan.

Tak lama lagi kita sekeluarga akan kembali ke Semenyih. Mussaab akan berpisah dengan cik. Cik pasti sangat rindu. 

Semoga Mussaab tetap kenang kebaikan cik. Hormati dan sayangi cik selamanya. Doakan cik beroleh bahagia di dunia dan akhirat. Insya Allah :)

Tak sabar nak jumpa Mussaab esok. Ummi rindu :'(



Tuesday, 1 November 2016 0 comments By: Naemah

DUA BULAN DI KAMPUNG

September-Oktober

2 bulan sudah berlalu. 2 bulan juga Anas dan Mussaab berada di kampung. Ulang alik kb-jeli, rumah mek dan nenek. Dari berdua, kini dah bertiga. Anas, Mussaab dan Miqdad. Alhamdulillah :)

Bermakna sudah 2 bulan juga meninggalkan bumi Semenyih. Rindu nak balik ke rumah sewa kami di Semenyih. Anas pun asyik sebut nak balik Semenyih. Rindu pada mainannya di rumah :)

Dalam tempoh 2 bulan ini juga, banyak kegembiraan yang Allah berikan, di samping ujian yang pastinya buat hamba yang mampu menempuhNya.

Kegembiraan bersama keluarga dan orang tua :) biasa balik sekejap je, kali ni lebih lama, dan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta, terutama ibu dan ibu mertua. 

Kegembiraan menyambut kelahiran anak ketiga kami :) 9 bulan mengandungkan dia, akhirnya selamat melahirkan dia. Hati syukur dan bahagia tak terkata.

Kegembiraan sebulan penuh bersama suami :) bukan senang untuk suamiku bercuti lama begini. Sempena nak menyambut kelahiran anak kami, dia diberi cuti selama sebulan, Alhamdulillah. Anak-anak happy abi ada bersama hampir setiap hari, melayan segala karenah dan kemahuan mereka.

Kegembiraan mendapat surat dari pemaju perumahan yang meminta kami mengambil kunci rumah baru kami. Alhamdulillah rumah yang dibeli suamiku sudah boleh diduduki akhirnya :)

Kelegaan terlepas dari masalah air yang sedang dihadapi penduduk Semenyih. Dah lebih sebulan rasanya kemelut air di Semenyih masih belum selesai. Alhamdulillah ia terjadi di saat aku dan anak-anak berada di kampung. Kalau tak, susah juga. Namun rasa simpati tetap ada pada mereka yang terpaksa menghadapi ujian ini. Semoga pertolongan Allah sentiasa ada untuk mereka.

Di samping kegembiraan lain, yang tak tercatat di sini :)

Namun, bersama kegembiraan ada juga ujian yang terpaksa ditempuh sepanjang tempoh ini. Antaranya, cabaran menjaga anak-anak ketika sarat mengandung (ketika suami bertugas) terutama bila perlu bawa mereka ke klinik. Pening dan penat jadinya :) namun ianya dah tinggal sebagai kenangan :)

Antaranya juga, berita sedih bila abang iparku dimasukkan ke hospital kerana sakitnya yang mengundang risau dan hiba seluruh ahli keluarga. Sehingga hari ini dia masih di hospital, menerima rawatan yang sewajarnya. Semoga Allah memberikan kesembuhan buat abang iparku. 

Dalam tempoh 2 bulan ini. Banyak cerita suka dan duka. Syukur pada Allah di atas setiap kebaikan yang diberikan. Pada setiap ujian yang datang, aku percaya ia datang kerana kita mampu menghadapinya bersama pertolongan Allah. Dan setiap ujian pasti terkandung hikmah.

Anas, Mussaab dan Miqdad, insya Allah akan kembali ke Semenyih. Namun masih tak pasti bila akan kembali. Mungkin bila ummi dah habis pantang, dan bila krisis air di sana dah selesai.

Semoga dipermudahkan segala urusan. Aameen


SAAT TERLINTAS, TERUS BERDOA

Doa ibu sangat mustajab. Doa ibu tiada hijab. 

Aku percayakan kenyataan itu. Aku simpan kemas keyakinan ini.

Now, aku seorang ibu. Ibu kepada tiga cahaya mata. Bukan ibu yang sempurna. Malah terlalu banyak dosa dan kekurangan.

Namun aku masih percayakan keajaiban doa seorang ibu. Selama ini juga aku diiringi oleh doa seorang ibu. Hidup aku baik (Alhamdulillah), berkat doa seorang ibu.

Seperti ibu lain, aku mengharapkan kebaikan buat anak-anakku. Aku mahu hidup mereka dilimpahkan rahmat, dilapangkan hati, diberi kecerdikan dan kepandaian dalam banyak perkara, diberi kesihatan dan dijauhi segala yang tidak diingini. Dan bermacam perkara yang aku mahukan buat anak-anakku. Terlalu banyak.

Apa yang aku lakukan? Saat terlintas, terus saja berdoa. Kerana keyakinanku pada kelebihan doa seorang ibu. Ya, saat terlintas, di mana saja, tengah buat apa pun. Apa yang aku mahukan untuk anak-anakku, akan aku pohonkan dari Allah.

Aku tahu aku bukan ibu yang baik sangat. Tak layak nak minta macam-macam. Tapi aku percaya Allah sentiasa mendengar doaku (doa seorang ibu).

Untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Sentiasa ummi harapkan kalian dapat melalui kehidupan ini dengan baik. Dipermudahkan perjalanan hidup ini meskipun banyak likunya. Setiap ujian yang mendatang, semoga anak-anak ummi tetap kuat mengharunginya, di samping tak berputus harap pada Allah. Semoga Allah kurniakan kesihatan, kejayaan, kebahagiaan, kemuliaan, dan kecemerlangan buat Anas, Mussaab dan Miqdad di dunia dan akhirat. Aameen.

Wahai ibu, jangan biarkan hari yang berlalu tanpa kita mendoakan anak-anak kita. Doa ibu tiada hijab, dan maqbul. Insya Allah.

Ya, saat terlintas di hati, teruslah berdoa.


MIQDAD MAKAN ANGIN DI PANTAI

011116: Hari ke-20 Miqdad di bumi Allah.

Hari ini ke klinik untuk timbang berat Miqdad. Masya Allah, dah 4.3kg anak ummi. Dah naik sebanyak 4.5kg dalam masa 20 hari. Makin bambam, makin comel :)

Kemudian bertolak ke rumah nenek di Kota Bharu. Tapi sempat lagi melencong ke pantai Bukit Keluang. Abi nak bawa Anas dan Mussaab mandi pantai. Dah lama abang berdua tu tak mandi pantai. Miqdad pun turut sama la makan angin di pantai, walaupun tak dapat mandi :)

Abi, Anas dan Mussaab seronok betul mandi di pantai. Sampai tak nak balik. Tapi hari dah beransur gelap. Tak boleh nak mandi pantai lama sangat. Rumah nenek pun jauh lagi. 

Dalam perjalanan pulang, singgah makan di restoren. Lepas tu terus sambung perjalanan ke rumah nenek. Alhamdulillah dah selamat sampai. Miqdad kini di rumah nenek pula. Tapi tak lama, abi dah nak kembali bekerja, ummi dan anak-anak akan ditinggalkan di rumah mek lagi. Insya Allah segalanya akan baik-baik saja :)