Tuesday, 27 October 2015 By: Naemah

JOM MASAK KAT RUMAH!!


picture: here

Malaysia masih dilanda masalah jerebu. Jerebu yang semakin teruk, tak tahu bila akan berakhir. Satu ujiandan peringatan dari Allah buat seluruh hambaNya.

Tak cukup dengan jerebu, masalah masalah lain turut hadir bersama. Salah satunya ialah masalah wabak kepialu yang sedang merebak di negara kita yang tercinta ini. Satu demi satu wabak penyakit yang melanda dan mengundang rasa takut kita semua. 

Kerana wabak yang sedang melanda ini juga, kita semua dinasihatkan untuk tidak membeli makanan di luar demi menjaga kebersihan dan mengelakkan jangkitan penyakit ini. 

Ya, satu saranan yang sangat baik dan patut diberi perhatian. Kerana kebanyakan kita hari ini suka untuk membeli makanan di luar kerana kesuntukan masa untuk memasak di rumah, terutamanya bagi ibu ibu yang berkerjaya.

Namun tak dinafikan, masih ada ibu bekerja yang rajin ke dapur dan berusaha memasak sendiri makanan untuk keluarga. Dan tak dinafikan juga, isteri yang tak bekerja pun ada juga yang jarang masuk dapur dek kerana lecehnya tugas memasak. Beli kat luar kan lagi mudah :)

Apapun, perlu kita renungkan bersama, mengapa pentingnya untuk kita terutamanya para isteri dan ibu untuk memasak sendiri di rumah, dan tidak bergantung pada makanan luar. 

Ya, yang pertamanya tentang kebersihan, yang menjadi punca tersebarnya pelbagai penyakit termasuk demam kepialu yang sedang kita hadapi hari ini. 

Jika memasak di rumah sudah pasti kita sangat mengambil berat bab kebersihan ni. Kalau bab masakan kita tak jaga, mungkin kita sendiri pun tak lalu nak makan agaknya. 

Tapi bila makan di kedai, kita tak tahu bagaimana penyediaannya. Sejauh mana mereka mengambil berat bab kebersihan makanan yang nak dijual tu. Mereka memasak dalam kuantiti yang banyak, jadi agak meragukan juga la bab kebersihan tu. Namun bukan nak kata makanan di luar tu semuanya tak bagus. Ada juga yang ambil berat bab kebersihan. Kalau kita pasti tempat mana yang terjamin bersih tu, silakanlah. Tak salah pun beli di luar.

Cuma sebagai langkah berjaga jaga, kita digalakkan untuk tidak bergantung pada makanan di luar. Dan yang pasti, masakan sendiri lebih terjamin bersih dan berkhasiat, di samping manfaat manfaat lain buat seluruh ahli keluarga, terutama anak anak kita.

Yang penting cuba dan usahalah untuk memasak sendiri di rumah. Mungkin masakan kita kurang sedap, mungkin kita kurang cekap di dapur, mungkin kita kesuntukan masa, mungkin kita sering buntu nak masak apa, tapi kita tetap perlu mencuba untuk rajin ke dapur demi suami dan anak anak. Sayangi mereka dengan menjaga makan mereka. Cuba untuk menyediakan hidangan terbaik buat santapan mereka. 

Insya Allah bila kerap ke dapur, mutu masakan kita dapat diperbaiki. jika kerap ke dapur, skill kita dapat diimprove, lama kelamaan kita akan jadi biasa. suami dan anak anak juga jadi biasa dengan gaya dan citarasa masakan kita. Air tangan ibu dan isteri pasti lebih bermakna dan dapat menambat hati suami dan anak anak. Yang lebih penting, kita sebagai isteri sudah pasti memasak dengan ikhlas dari hati. Setiap suapan yang masuk ke mulut suami dan anak anak, pasti membuahkan kepuasan dan kebahagiaan dalam hati kita. percayalah!!


0 comments:

Post a Comment