Wednesday, 21 October 2015 By: Naemah

AKU DAN DUNIA LELAKI

Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang boleh dikatakan 'senang'. Makan pakaiku lebih dari cukup. Tak pernah rasa hidup  susah, dan kurang mengerti erti susah dalam mencari rezeki. Segalanya cukup dan tersedia buatku. Alhamdulillah.

Namun di sebalik kelebihan harta itu, pasti ada kekurangan yang melengkapi kehidupanku. Aku kehilangan ayahku di usia 3 tahun. Usia yang terlalu muda untuk mengerti makna sebuah kehilangan. Dia, seorang ayah dan seorang lelaki penting dalam kehidupan seorang anak. Aku telah kehilangannya tika aku masih belum mengerti akan pentingnya 'dia' dalam hidupku. Namun takdir Allah pasti ada hikmahnya.

Hingga aku membesar, tanpa kasih sayang seorang ayah. Ada rasa sedikit kurang dan berbeza dengan orang lain, namun aku ok saja. Hanya sesekali datang rasa sunyi, dan terasa ingin dikasihi ayah. Aku hanya menangis sendiri. Tak pernah siapa tahu hatiku.

Aku punya 3 orang abang pengganti ayah. Usia kami jauh berbeza. Abang sulungku umpama ayah, yang kedua dan ketiga juga sangat bertanggungjawab. Namun dia tetap abang, bukan ayah. Kerana usia yang jauh berbeza juga menyebabkan mereka sentiasa jauh dariku. Mereka ada keluarga sendiri. Sejak aku kecil, mereka sudah berumahtangga. Mereka tidak lagi tinggal bersamaku. Dunia harianku hanya aku dan ibuku. Hingga aku merasakan aku tidak mengerti apa apa tentang lelaki. Kerana aku merasakan insan yang bernama lelaki itu sangat jauh dari kehidupanku.

Kerana tidak pernah memahami seorang lelaki, menjadikan aku 'asing' dari dunia lelaki. Aku tak punya kekasih hati, malah kawan lelaki juga aku tak punya. Berhadapan dengan mereka aku rasa janggal, berbicara dengan mereka aku jadi kelu, apatah mahu senyum atau bergurau mesra. Sangat tidak masuk akal bagiku.

Bukan aku tak mengharapkan kehadiran seorang lelaki dalam hidupku. Malah sangat berharap ada insan yang sudi mengisi kesunyian hatiku. Aku sangat berharap, Allah saja yang tahu bahawa air mata ini pernah tumpah di hadapanNya mengharapkan kehadiran seorang lelaki yang akan menghulurkan bahagia. Aku menanti dengan harapan dan doa, meski aku tidak pasti adakah insan yang sudi.

Takdir Allah menyatukan aku dengan suamiku. Dia lelaki yang pertama aku mula berkenalan dan bercinta. Allah sahaja yang tahu betapa aku amat bersyukur dan berbahagia dengan kehadiran seorang lelaki yang bernama suami ini. Namun sungguh, aku yang sangat asing dengan dunia lelaki ini bertatih untuk mengenal dan memahami hati lelaki yang kini menjadi temanku. Aku tak pandai, aku tidak begitu memahaminya.

Takdir Allah juga, kami dikurniakan 2 orang anak lelaki yang menjadi penyeri hidup. Aku yang dulunya sangat jauh dari dunia lelaki kini hidup brsama 3 orang lelaki. Ia membuatkan aku terfikir akan hikmahnya. Kadang aku bagai terkapai kapai bagaimana untuk membuatkan 3 lelaki dalam hidupku ini bahagia bersamaku yang hakikatnya tidak begitu mengerti akan hati dan dunia lelaki.

Sungguh aku rasa berdosa pada suamiku. Aku tak mampu menjadi seperti yang dia harapkan. Aku berdosa pada anak anakku. Aku tidak tahu untuk membentuk mereka menjadi lelaki yang bagaimana...

Sungguh aku menulis ini dengan air mata. Aku yang dulu merindukan kehadiran seorang lelaki, akhirnya kini dikelilingi 3 lelaki yang sangat aku cintai. Aku bersyukur, namun hatiku diusik sayu. Kerana aku tahu, aku belum mampu menjadi yang terbaik buat mereka. Aku masih cuba untuk mengerti hati dan dunia lelaki yang suatu ketika dulu aku sangat jahil tentangnya.

Aku mengharapkan masih ada ruang untuk aku memperbaiki diri. Aku mohon agar lebih memahami mereka dan memberi yang terbaik buat mereka. Aku tahu aku sangat tak sempurna. Malah ada saja yang tidak kena pada setiap tindakanku. Maafkan aku...kerana aku masih belum sepenuhnya mengerti..

0 comments:

Post a Comment