Tuesday, 20 October 2015 By: Naemah

SETIAP ANAK PASTI BERBEZA



Alhamdulillah direzekikan Tuhan dengan 2 cahayamata yang sihat, cerdas dan soleh :) selama perkongsian hidup dengan yang tercinta hampir 5 tahun. Alhamdulillah, syukur dan bahagia di atas anugerah Allah.

Punya impian untuk menimang cahaya mata lagi. Insya Allah, semoga Allah mempermudahkan dan memilih kami untuk menjaga amanahNya yang seterusnya :)

Bahagia melihat pasangan yang dikurniakan ramai anak, dan anak anak pula membesar dengan dengan penuh kasih sayang dan menjadi anak anak yang soleh dan solehah. Aku juga, punya impian untuk memiliki anak yang ramai, dan memohon agar Allah mempermudahkan jalan buat kami untuk mendidik anak anak dengan baik menuju redha Allah.

Aku kini punya 2 anak. Dua anak, dua watak yang berbeza. Sudah pastinya berbeza kerana Allah tidak menciptakan setiap manusia itu sama 100% meskipun mereka dilahirkan ibu yang sama, berbinkan ayah yang sama, hatta meskipun mereka kembar seiras sekalipun, pasti ada perbezaannya.

Kerana itu, ibubapa perlu meraikan setiap perbezaan anak anak. Tak perlu membandingkan, kerana setiap mereka pastinya dikurniakan dengan kelebihan tersendiri, dilengkapi dengan kekurangan tersendiri. Yelah, kerana manusia itu tak sempurna. Pasti ada kurang dan lemahnya.

Barangkali aku ini masih tiada pengalaman yang cukup dalam mengendalikan perbezaan antara anak anak. Maklumlah, anak baru dua orang dan masih kecil pula. Pun begitu, ada perbezaan yang jelas dan ketara dapat kuperhatikan dari watak keduanya. Ada persamaan, dan ada juga perbezaan. Anak pertama dan kedua yang hakikatnya saling melengkapi antara mereka.

Sebagai ibubapa, kita cuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak anak. Kita juga mencuba, untuk memberikan yang secukupnya dan yang sama kepada mereka. Namun hakikatnya, takkan sama meskipun kita mencuba.

Anak pertama, lahirnya mendapat sepenuh perhatian dari ibu dan ayah. Setiap detik, hanya untuk dia. Tak perlu berkongsi kasih dengan sesiapa. Kalau boleh, anak yang kedua juga mahu diberikan perhatian seumpama itu juga. Tapi lahirnya saat anak pertama sudah ada di dalam kehidupan ibu dan ayah. Di samping perlu menjaga anak kedua, perhatian juga perlu diberikan kepada anak yang pertama. Saling berkongsi kasih dan sayang, saling menagih perhatian ibu dan ayah. Begitu juga selepas kelahiran anak anak seterusnya. Apalagi kalau jarak melahirkan itu sangat dekat.

Ya, kita sebagai ibubapa tetap cuba memberi yang terbaik buat setiap mereka. Tapi dalam situasi yang berbeza, dan cara yang berbeza juga. Makin anak ramai, makin kita perlu berusaha sebaik mungkin agar setiap mereka mendapat perhatian dan kasih sayang kita. Semakin  ramai anak, semakin banyak perbezaan yang perlu kita raikan dan kendalikan dengan penuh bijaksana. 

Kerana mereka itu pasti berbeza, maka tidak wajar untuk kita saling membandingkan. Bukan yang seorang itu lebih baik atau lebih istimewa berbanding yang lain, melainkan yang seorang itu Allah kurniakan kelebihan untuknya di sudut itu, mungkin kurang pula di sudut lain. Anak yang lain pula, mungkin kurangnya di sini, tapi pasti ada lebihnya di bahagian yang lain. Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk setiap makhluk ciptaanNya. Maka ibu dan ayah, hargai setiap anak kita dengan meraikan setiap perbezaan antara mereka.

Insya Allah kita semua sedang mencuba yang terbaik dalam menjaga amanah Allah ini. Sedikit atau ramai anak bukanlah nilaiannya. Tetapi bagaimana kita berusaha menjadi ibubapa yang terbaik untuk anak anak kita. 

Ada sebab mengapa ada pasangan yang tidak dikurniakan cahayamata, ada pasangan hanya dikurniakan sedikit anak, ada pasangan anaknya ramai berderet, ada pula yang dikurniakan hanya anak perempuan, dan ada juga yang dikurniakan hanya anak lelaki. Segalanya menjadi rahsia Allah dan sebagai hamba, kita menerima dengan penuh rasa syukur dan redha. Percayalah, inilah takdir yang terbaik buat  kita semua :)


0 comments:

Post a Comment