Thursday, 18 August 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: REDHA SAAT DIUJI

Alhamdulillah, dah masuk minggu ke-33. Makin hampir masanya, makin sarat, makin berat, makin tak larat :)

Ditakdirkan batuk dan selesema di minggu minggu akhir ini. Dah lebih seminggu, rasa lemah tak berdaya sangat. Asyik batuk, sampai sakit di bahagian perut. Selesema juga tak kurang. Badan lesu, telinga berdesing. Makan juga kurang berselera. Terasa seperti di awal kehamilan dulu. Rasa nak rehat dan baring saja. Tambah pula dengan sakit belakang dan sendi. Lagi rasa sukar nak bergerak.

Kesian Anas dan Mussaab. Banyak buat hal sendiri. Ummi tak terdaya nak melayan. Alhamdulillah, Anas dah semakin cerdik dan seakan memahami ummi. Anas juga yang banyak melayan dan cuba bertoleransi dengan Mussaab. Jarang ada episod nangis nangis dah. Anas cuba belajar mengalah dengan adik. Mussaab juga, tidak banyak karenah meskipun masih belum mengerti kepayahan ummi.

Suamiku, seperti biasa memenuhi tuntutan kerjanya. Berjauhan lagi buat sementara. Insya Allah akan kembali lagi. 

Berbeza rasanya mengandung anak ketiga ini. Mungkin kerana sering berjauhan dengan suamiku. Tak seperti sebelum ini, setiap hari dia ada bersama sepanjang tempoh mengandungkan anak kami. Tambahan pula kini, dalam tengah sarat mengandung, perlu menguruskan dua lagi anak yang masih kecil. Agak mencabar.

Tapi aku redha dan tetap bersyukur. Ini takdir buatku. Di samping Allah menguji sejauh mana kuatnya aku. Dan aku percaya pertolongan Allah sentiasa ada untukku. Meski suami tak dapat selalu bersama, namun Allah tak pernah biarkan aku sendiri menempuh semua ini. 

Syukur sehingga hari ini, segalanya dapat dilalui dengan baik meskipun ada cabaran tersendiri. Banyak yang aku belajar dari 'kesukaran' ini. Yang penting aku redha menerima semua ini. Allah ada bersamaku. Suami juga tak jemu mendoakan di kejauhan sana. 

Bersama kesusahan ini, akan ada kesenangan. Insya Allah. Yang penting aku bahagia menanti kehadiran anak  yang kukandung ini. Sebagaimana bahagia menantikan Anas dan Mussaab suatu ketika dulu. Semoga sihat dan baik baik sayang :)


picture: here

Wednesday, 17 August 2016 0 comments By: Naemah

CEMBURU BIAR BERPADA



Kata orang, cemburu itu sinonim dengan watak perempuan. Eh, jangan tak percaya lelaki juga kuat cemburu. Cemburu itu tandanya sayang kan?? Tak salah pun cemburu. Tapi kalau cemburu melampau, buruk juga padahnya. Maka, berpadalah dalam cemburu. Letakkan cemburu pada tempat yang sepatutnya. 

Sebagai isteri, adakalanya rasa cemburu itu hadir. Cemburu kan tanda sayang. Mestilah cemburu melihat mata suami tertatap wanita lain. Cantik pulak tu. Mestilah cemburu kalau dalam hati suami ada yang lain. Tapi itu barangkali hanya sangkaan kita saja. Mana tahu dalam hati dia ada orang lain?? Ye, cemburu jangan sampai curiga dan hilang kepercayaan. Tambahan pula dia seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Jangan berlebih lebihan dalam cemburu, hingga lahirnya prasangka buruk. 

Hakikatnya semakin bertambah usia perkahwinan, bertambah jugalah usia kita. Tak muda dan cantik (eh cantik ke =D) macam dulu dulu dah. Kekurangan pula tersingkap di sana sini. Di luar sana pula, banyak gadis cantik dan muda. Tak sama  macam kita yang dah semakin 'tua'. Tak cukup di luar, di kaca tv tak kurang memperagakan wanita cantik dan seksi untuk tatapan lelaki. Haish.. Isteri mana yang tak cemburu, bila merasakan diri kita tak secantik itu untuk dipandang. 

Namun hakikatnya cantik itu bukanlah syarat untuk dicintai. Ikhlas itu, hanya ada pada hati insan yang Allah saja mengetahuinya. Cukuplah rasa cemburu itu disimpan kemas, tidak terlihat. Selagi dia masih setia di sisi bersama cinta dan tanggungjawab. 

Tipulah hati tak pernah cemburu, namun padanya hati tak pernah curiga. Cukup ikhlasnya Allah yang tahu, dan aku terus meletakkan rasa percaya. Biar iman menjaga hatinya, agar tetap setia bersama cinta yang sudah dimiliki.
Sunday, 14 August 2016 0 comments By: Naemah

SIRI KEJAYAANKU :D


Tajuk macam gah je kan  :b

Hari ini sekali lagi memenuhi temujanji di klinik desa rinching tengah, Semenyih untuk check up kandungan yang hampir memasuki 32 minggu. 

Hari ini buat pertama kali, pergi dan balik sendiri (drive) tanpa dihantar suami dan tanpa ditemani anak anak. Pada orang lain, cerita ni biasa je. Tapi pada aku, ia satu kejayaan :D

Maklumlah, aku bukan jenis yang berani nak drive sendiri. Ke mana mana pun suami yang akan bawa. Pernah juga bawa sendiri ketika 'tepaksa' tapi ianya sangat jarang berlaku. Lagipun suami tak berapa harap aku bawa kereta sendiri, katanya aku masih kurang mahir :)

Hari ini dia cuba lepaskan aku pergi sendiri. Jarak rumah-klinik tak jauh pun. 1km tak sampai kot :D cuma jalan agak sibuk, dan perlu melintasi jalan besar. Aku cuba beranikan diri, meski dalam  hati tetap ada debaran. Sekejap je pun, dah sampai. Alhamdulillah pergi dan balik selamat :)

Kemudian aku perlu ke klinik kesihatan Beranang pula. Tempatnya lebih jauh. Dalam menarik nafas lega, tak sangka pula suami meminta aku yang memandu hingga sampai ke klinik. Dia dan anak anak hanya duduk di belakang. Sekali lagi aku berdebar. Aku paksa diri memandu lagi. Alhamdulillah kereta dah tak banyak. Akhirnya berjaya sampai dengan selamat :) Suami dan anak anak balik dulu ke rumah kerana kebiasaannya memang mengambil masa yang lama untuk selesai urusan di klinik. 

Alhamdulillah.. Itu saja yang mampu aku lafazkan. Aku tahu aku tak seberani wanita lain. Lebih lebih lagi yang setiap hari perlu ulang alik kerja dan hantar anak sekolah. Situasiku juga tidak terlalu mendesak untuk aku memandu sendiri. Aku tahu betapa penting untuk mahir dan cekap memandu, namun aku perlu akui, aku masih tidak mampu. Suamiku juga bukan tidak mahu lepaskan aku memandu sendiri, tapi dia lebih risaukan aku yang belum cekap memandu. 

Di masa yang akan datang, aku sendiri tidak pasti bagaimana. Dalam situasi suami yang kerap outstation, dan dalam situasi seperti sekarang yang perlu kerap memenuhi temujanji klinik dan doktor, aku tahu aku perlu lebih berani. Dan perlu berdikari sendiri. Anak anak juga bakal masuk sekolah di masa yang akan datang. Maka, akan menjadi tugas aku untuk hantar dan ambil mereka dari sekolah ketika suamiku tiada. Semoga Allah permudahkan.

Kesimpulan dari cerita di atas, betapa syukur dan gembira apabila aku berjaya sampai dengan selamat ke destinasi  dengan memandu sendiri :) kedua, meski sangat ramai wanita hari ini pandai dan cekap memandu, aku tetap merasa kagum pada mereka, kerana mereka mampu, sedangkan aku masih tidak mampu menjadi seperti mereka :)

Apapun beginilah hidup. Masing masing ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Aku tak merasa rendah diri dengan kekurangan ini, namun aku tahu aku perlu lebih berani dan terus membina keyakinan diri. Insya Allah. Doakan aku :)
Saturday, 13 August 2016 0 comments By: Naemah

LOVE WITHOUT EXPECTATIONS


Kalau boleh, kita semua nak jadi manusia yang disayangi oleh semua orang. Disayangi ibubapa, adik beradik, teman teman, guru guru, mertua, ipar duai dan semuanya. 

Paling cemburu, bila seseorang itu dah meninggal dunia pun, orang masih merinduinya dan menyebut tentang kebaikannya. Betapa dia sangat istimewa di hati insan yang pernah ada di sisinya. Betapa mulia kematiannya bila semua orang mengingati kebaikannya dan masih merinduinya meski dia sudah tiada. Siapa yang tak mahu jadi begitu??

Namun menyedari hakikat diri yang tak semulia itu untuk dikenang dan dirindui, terasa betapa kerdilnya diri. Entah bila tiada nanti, siapa yang sudi untuk mengingati. Kerana diri tidaklah terlalu baik. 

Untuk disayangi tak perlu cantik dan pandai pun. Cukup jadi baik, insya Allah ramai orang akan sayang. Nak jadi menantu yang disayangi? Berbuat baiklah pada mertua. Nak jadi kakak ipar yang disayangi? Berbuat baiklah pada adik ipar. Dan pada sesiapa jua, berbuat baiklah, meski bukan semua kebaikan dibalas dengan kebaikan. 

Berbuat baiklah, tapi jangan pernah mengharapkan balasan. Cukup 'ikhlas' kita hanya Allah yang menilai. Jika diharap pada balasan, takut hati yang kelak menderita. Namun jika kita terus memberi tanpa syarat dan tanpa mengharap pada balasan, insya Allah hati akan lebih tenang. 

Aku bukanlah terlalu baik. Namun harapannya agar dapat melatih diri menjadi manusia yang baik dan tak lokek memberi. Kasih sayang insan memang kita perlu, tapi hakikatnya kasih sayang Allah itu paling kita dambakan. 

Tak mengapalah manusia tak sayang, yang penting Allah sayang. Tak mengapalah kebaikan tak terbalas, yang penting kita bahagia untuk terus berbuat baik. Biarlah.. Biar Allah saja yang menilai dan membalas. 

Wednesday, 10 August 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: GENAP 31 MINGGU

picture: here


Genap 31 minggu usia kehamilanku. Alhamdulillah.. Saatnya semakin hampir. Tak sabar untuk melahirkan si kecil ini. Tak kurang, berdebar debar menunggu saat itu. Takut dan cemas memikirkan 'sakit' yang bakal ditanggung. Namun kerana sudah ada pengalaman, sedikit sebanyak ia membantu untuk memujuk hati. Everything will be ok!! Insya Allah. Sakit melahirkan itu lumrah. Semoga akan gugur segala dosa. Semoga bahagia melihat wajah si kecil mengatasi rasa sakit melahirkan. Insya Allah :)

Di akhir trimester ini, badan juga tak secergas dulu. Sukar nak bergerak pantas dan menukar posisi badan. Baby pun semakin membesar dan aktif bergerak. Kadangkala rasa kurang selesa , tapi bahagia dan happy dapat rasa pergerakannya. Saat beginilah yang akan dirindu nanti. Seperti mengandungkan yang pertama dan kedua dulu, saat begini menjadi kenangan terindah yang sering hadir dalam ingatan :)

Mengandung kali ni memang agak 'teruk' sikit. Buat pertama kali diserang morning sickness, tapi ia dah lama berlalu. Pengalaman baru yang takkan dilupa :). Lepas tu kencing manis pula. Awal awal dah kena detect gdm, tak seperti pengalamaan lepas gdm hanya muncul di minggu minggu akhir kehamilan. Bila dah gdm, kerap pula ulang alik ke klinik untuk bsp dan jumpa doktor. Berat badan pula, naik dengan mendadak.. Di minggu ke 31 ni dah naik sampai 12kg ':). Mana la suami tak bising. Tahan je la telinga. Memang makanku berselera, badan dah terasa besar lain macam. Sekarang hanya mampu simpan azam untuk kuruskan badan lepas bersalin. Insya Allah :)

Suamiku seperti biasa, sering berjauhan kerana kerjanya memang begitu. Sekejap ada di rumah, sekejap tiada. Anak anak pula Alhamdulillah tidak banyak ragam. Penat sesekali tu biasalah. Buat kerja sikit pun dah terasa lelah. Faktor badan dan perut yang semakin membesar kan :) Anas dan Mussaab ok je. Insya Allah mereka anak anak yang baik dan mendengar kata. 

Tahun ini banyak menerima berita kelahiran sahabat ex-uia yang dikongsi di group whatsapp. Bermula Akhma (anak kedua), Fizah (anak ketiga), Syidah (anak sulung), Fairuz (anak kedua), Salini (anak kedua), dan yang terbaru Sabariah (anak kedua). Dalam keluarga juga 2 baby disambut tahun ini (Ruqayyah dan Muttaqin). Tumpang bahagia dan syukur untuk mereka. Ramai betul baby 2016 :)

9 minggu seterusnya bakal dilalui sehingga sampai masa melahirkan si kecil ini. Dari pengalaman lepas, kedua anakku lahir pada minggu ke-40. Yang ini  harapnya sama juga. Mudah buat suamiku untuk memohon cuti nanti. Namun segalanya terserah pada takdir Allah. Harapan dan doaku, agar suami ada di sisi saat melahirkan anak kami. Semoga kandungan ini sihat, selamat dan mudah dilahirkan. Insya Allah.
Tuesday, 9 August 2016 0 comments By: Naemah

MENDAMBA REDHA SEORANG SUAMI

picture: here


Semua isteri mahu disayangi suami. Semua isteri mahu jadi yang terbaik buat suami. 

Tak susah pun sebenarnya nak pikat hati suami. Kuncinya ialah, buat apa yang suami suka, tinggalkan apa yang suami tak suka. Mudahkan :D

Ye, mudah sangat sangat bunyinya. Tambah lagi solat 5 waktu, berpuasa, jaga aurat... Syurga tu macam dah ada depan mata. 

Namun bila ditanya pada diri, apakah praktikalnya juga amat mudah?? Tepuk dada tanyalah iman. 

Bukan semua yang suami suka itu mampu kita lakukan. Dan bukan mudah nak tinggalkan apa yang suami tak suka, jika ia dah menjadi tabiaat dan kesukaan kita :)

Kerana banyak faktor dan alasan, sering isteri meletak ke tepi apa yang yang menjadi kesukaan suami. Sebaliknya yang suami tak suka, sering pula dilakukan tanpa mengambil kira hati dan perasaan suami.

Setiap isteri mahu meraih syurga yang hadir bersama redha seorang suami. Aku tak terkecuali, tapi aku juga isteri yang tak sempurna. Suami lebih kenal isterinya ini, sejauh mana taatnya diri ini. Dia tahu, isterinya terlalu banyak khilaf.

Padaku, untuk menjadi isteri yang sentiasa mendapat redha seorang suami, ia satu perjuangan dan mujahadah yang berpanjangan. Sifir semudah itu 'buat apa yang suami suka dan tinggalkan yang suami tak suka' sering menjadi kerumitan untuk dilaksanakan lantaran egonya diri, di tambah dengan faktor lain yang sering menjadi halangan untuk diri ini menjadi isteri yang mulia di sisi seorang suami sebaik dia.

Kita semua mahukan syurga. Namun sememangnya syurga itu mahal, tak mudah untuk kaki melangkah, tanpa sebuah mujahadah yang panjang. Kerana isteri tetap manusia biasa yang lemah, banyak kekurangan, dan banyak melakukan kesilapan.

Dari seorang suami, isteri sentiasa mengharapkan kemaafan darinya. Semoga suami tenang menerima segala kekurangan dan tetap bersabar dengan kelemahan isteri. 

Suami, bantulah isteri untuk menjadi isteri yang terbaik buatmu. Setiap isteri mahu meraih syurga dan menikmati bahagia. Pastinya melalui redha seorang suami. Ampunkan isteri, di atas apa yang isteri tak termampu. Teruslah membimbing dengan penuh sabar dan hikmah. Semoga bahagia bersama hingga ke syurga :')

3 HARI YANG SUDAH BERLALU

Setelah terperap di rumah hampir setiap hari semasa ketiadaan abi, Anas dan Mussaab akhirnya banyak berjalan selepas kepulangan abi. 3 hari yang berlalu terasa begitu pantas. 3 hari yang memenatkan kerana banyak berjalan, dan 3 hari ummi tanpa aktiviti memasak. Asyik makan makanan beli saja :)

Bermula 4/8/16, kita sekeluarga balik ke rumah nenek di Kota Bharu. Kebetulan nenek nak pergi makan angin di Dungun, maka tak siapa ada di rumah nenek. Sempat jumpa nenek, mak de, acik, ayah cik, mak su dan Ruqayyah sebelum mereka bertolak pergi. 

Pagi itu, selepas nenek pergi, abi pinjam kereta pak ngah (aircond kereta abi rosak) dan menuju ke ekspo pertanian berdekatan dengan stadium. Di situ abi membeli anak pokok durian belanda, kelapa mataq dan kedondong. Niat di hati nak menanamnya di rumah baru nanti :) kerana cuaca agak panas, tak mampu nak round setiap gerai. Meninggalkan tempat itu sekitar jam 12.



Menuju ke kedai baiki handphone untuk baiki iphone abi, singgah beli nasi dan balik ke rumah nenek. Rehat dan tidur. Malamnya keluar makan di kedai makan yang berdekatan dengan rumah nenek. Kemudian ke rumah mak saudara abi untuk urusan takaful. Selesai urusan, balik rumah nenek dan tidur.

5/8/16, hari kedua di rumah nenek. Keluar rumah jam 9 pagi menuju ke pasar pagi wakaf bharu. Membeli makanan di situ, dan kemudian ke rumah pak chu di kg Morak. Anas dan Mussaab happy dapat bermain dengan sepupu sebaya mereka, Umar, Uwais dan Urwah. Makan tengahari di rumah pak chu, kemudian ke rumah pak ngah pula di Bunut Susu bersama sama. Datang buat kali pertama ke rumah baru pak ngah. 



Hampir waktu maghrib, meninggalkan rumah pak ngah dan singgah sekejap membeli mainan Anas dan Mussaab  di kedai Eco, membeli baju untuk Anas dan Mussaab di uptown KB, dan singgah makan di restoren KB Burger Bakar. Kemudian balik ke rumah dan tidur. Masing masing kepenatan.

6/8/16, hari ketiga di rumah nenek. Keluar dari rumah jam 10 pagi. Abi bawa Anas dan Mussaab mandi kolam splash di Kota Bharu. Kereta abi ditinggalkan di kedai untuk repair aircond. Umar, Uwais dan Urwah juga datang bersama pak chu dan mak chu.



Agak lama bermain kolam, kemudian naik tren dan akhirnya meninggalkan splash dengan menaiki kereta pak chu. Menuju pula ke tapak ekspo pertanian. Kali ini banyak gerai yang dapat disinggah dan dikunjungi. Cuaca tak begitu panas, orang juga ramai hari ini. 




Selepas itu balik ke rumah nenek dihantar pak chu lagi, kerana kereta abi masih belum siap. Balik ke rumah dan tidur. Abi keluar menaiki bas selepas mendapat panggilan kereta abi sudah siap untuk diambil. Anas, Mussaab dan Ummi lena tidur.

Jam 4.30, abi balik bersama 2 bungkus pizza dominos. Mussaab makan berselera kerana lapar. Selepas itu nenek pula balik dengan membawa banyak makanan. Anas yang tadi masih lena akhirnya bangun juga. 

Malamnya tak kemana mana, hanya berehat di rumah. Esok pagi akan balik ke rumah mek dan kemudian akan bertolak ke Semenyih setelah lama meninggalkan rumah. Abi pula akan terbang ke Bintulu lusa. Tinggal lagi Anas dan Mussaab bersama ummi. Insya Allah baik baik saja.

Alhamdulillah, walaupun terasa sangat cepat masa berlalu, namun happy dapat spend masa bersama sama. Masa cuti abi, kebiasaanya hanya untuk family. Abi sentiasa ada bersama, bawa anak isteri ke mana mana, raikan kita tak kira masa. Thanks to abi yang sangat baik, meski tak selalu ada. Walau akan berpisah lagi, kita doakan agar akan berjumpa dan bersama lagi. Insya Allah..