Aku percaya, setiap perkara yang dilakukan kerana Allah,walau sekecil mana pun, tidak pernah sia-sia di sisi-Nya.
Mungkin itu juga sebabnya aku memilih untuk terus berbakti kepada rumah tangga ini. Memasak, mengemas, membasuh, melayan karenah anak-anak, mengulang perkara yang sama setiap hari- kerja yang tiada gaji, tiada cuti, dan tiada penghujung yang jelas. (Tapi aku bukan nak claim suri rumah lebih mulia).
Aku cuba ikhlaskan semuanya kerana Allah. Aku cuba melihat setiap penat sebagai ibadah dan amanah yang tak boleh aku persiakan.
Tetapi ada hari-hari tertentu, aku tertanya juga tentang ikhlasku sendiri. Ketika tubuh terlalu letih, aku mengeluh. Ketika anak-anak membuat hal, suaraku meninggi.
Kadang-kadang wajahku tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hati.
Dan ada ketika aku bertanya dalam hati,
Bila semua ini akan selesai? Bila aku boleh berehat?
Dan aku takut kalau penatku tidak bernilai kerana aku masih mengeluh. Takut kalau marahku telah merosakkan pahalaku. Takut kalau ikhlasku sebenarnya masih belum cukup ikhlas.
Kerana walaubagaimana pun, aku hanyalah manusia biasa. Adakala kuat, adakala lemah. Ada waktu aku boleh bertenang, ada waktu pula aku serabut tak tahu nak cerita bagaimana.
Namun aku masih ingin berjuang mempertahankan ikhlas ini. Aku ingin terus berbakti dalam medan ini, sebagai seorang isteri, ibu, yang juga hambaNya yang sedang diuji di pentasku yang tersendiri.
Oleh itu wahai diri, jangan terlalu keras pada dirimu sendiri. Jangan menghukum diri walau sering kau tersilap langkah dalam memainkan perananmu setiap hari.
Allah masih melihat usahamu yang tanpa jemu. Yang terus bangkit lagi dan lagi meskipun banyak kali jatuh.
Pertahankan ikhlas itu wahai diriku. Teruslah berbakti, meski langkahmu kadang pincang. Teruslah mencuba, meski ada hari kau merasa tidak cukup baik.
Kerana mungkin pada pandanganmu, usahamu kecil dan serba tidak sempurna. Namun di sisi Allah, tiada satu pun pengorbanan yang terlepas daripada pandangan-Nya.
0 comments:
Post a Comment