Friday, 25 September 2026 By: Naemah

RIUH YANG DIRINDUKAN


Dah tiga hari Adik, Kakak dan Acik jauh dengan ummi.


Dah tiga hari rumah ini sunyi.

Tiada riuh rendah suara bergaduh, berebut barang, usik-mengusik sampai menangis, mengadu itu dan ini.


Dah tiga hari ummi tak melayan manjanya Nuha. Tak menyuap makan, tak memandikan, tak menukar pampers, tak menyusukan bila dia mahu tidur. Tak melayan mahunya itu dan ini.


Dah tiga hari ummi tak menyeru berkali-kali suruh mandi, suruh buat kerja sekolah, suruh solat, suruh itu dan ini.


Dah tiga hari ummi tak menyinga mengajar Matematik. Tak perlu melihat rumah yang bersepah dengan air tumpah, kertas dan alat tulis merata-rata, barang yang entah ke mana, dan macam-macam lagi yang menguji sabar.


Yang nyata, tiga hari ini begitu sepi. Hampir tiada suara kedengaran.


Ummi boleh bangun lambat sedikit.

Boleh duduk lama-lama dengan secawan kopi. Boleh buat apa saja yang ummi mahu.

Boleh bermalas-malasan tanpa ada anak kecil yang memanggil, menarik tangan atau meminta sesuatu.


Esok, sunyi ini akan pecah jua. Acik, Kakak dan Adik akan pulang. Dan ummi menanti dengan penuh sabar.


Ummi rindu suara mereka.

Rindu tapak kaki kecil yang berlari.

Rindu panggilan ‘ummi’ yang berulang kali.

Rindu pertengkaran kecil yang membuat rumah terasa hidup.

Rindu kerenah yang selama ini begitu mudah membuat ummi penat.


Namun di sebalik rindu itu, ada satu ketakutan kecil yang berdiam dalam hati.


Apakah ummi mampu menjadi ummi yang lebih baik untuk anak-anak yang begitu ummi rindukan ini?


Adakah ummi akan naik suara lagi?


Adakah ummi akan kalah dengan penat melayan semua kerenah mereka?


Adakah ummi akan kembali masam muka, marah-marah, dan lupa bahawa suatu hari nanti semua ini akan menjadi kenangan?


Aduhai. Tak senang menjadi ummi. 

Tapi berilah ummi peluang lagi untuk memperbaiki diri, menjadi versi ummi yang lebih baik, lebih sabar dan lebih tenang dalam mendidik anak-anak ummi. 





0 comments:

Post a Comment