Tuesday, 10 November 2015 By: Naemah

ANAK SOLEH HARTA KE SYURGA





Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Semua pasangan yang berkahwin mengharapkan kehadiran zuriat dalam hidup mereka. Juga mengharapkan anak anak menjadi anak yang soleh serta berguna di masa yang akan datang.

Walaupun semua mengharap dan mengimpikan, namun tak semua yang dikurniakan anugerah cahaya mata ini. Ada pasangan yang diuji tanpa kehadiran anak meskipun sudah lama berumahtangga. 

Ya, anak soleh itu idaman setiap mukmin.  Anak soleh penyejuk hati, juga harta yang akan dibawa bertemu Allah. 

Namun jika takdir Allah kita tidak dianugerahkan dengan cahayamata, bukanlah bererti Allah tak kasih. Bukan juga bererti jalan kebaikan sudah tertutup buat kita. 

Bersyukurlah, pasangan yang dikurniakan anak anak, sedikit atau ramai, lelaki mahupun perempuan. Allah telah sediakan satu jalan untuk kita ke syurga. Bagaimana? Dengan mendidik amanah Allah ini degan sebaiknya mengikut cara yang Allah redhai. Cara mendidik itu ada berbagai, namun niatnya satu mahu membentuk anak anak itu menjadi anak yang soleh dan mentaati Allah.

Namun yang tidak dikurniakan anak anak, pastinya ada banyak jalan lagi untuk kita meraih pahala dan syurga Allah, meski bukan melalui anak yang soleh. Jadi usahlah merasa sedih dan rendah diri. Di sisi Allah, mungkin itu yang terbaik. Maka redhalah..

Namun sangat rugi, orang yang Allah kurniakan mereka anak anak, tetapi anak anak itu tidak mampu menjadi sahamnya di akhirat. Amat malang, jika kita gagal mendidik anak anak  mengenal Allah dan Rasul, gagal menanam rasa cinta si anak pada al Quran, al hadith, juga gagal membentuk mereka berakhlak mulia.

Meski anak ramai, jika terbiar tanpa didikan agama, tetap tiada maknanya. Lebih baik tak punya anak, jika hadirnya anak anak nantinya akan menarik kita ke neraka. Nau'zubillah..

Yang tak punya anak, mogatetap bersabar dengan ketentuan Allah. Barangkali di sisi Allah, anda lebih mulia tanpa kehadiran si anak. Atau barangkali Allah masih menangguhkan waktu untuk detik bahagia itu. Tetaplah berdoa tanpa jemu, kerana tak mungkin doa itu dipersiakan. Tenanglah dengan takdirNya, kerana tak siapa tahu rahsia di sebalik ketentuanNya.

Berdoalah tanpa jemu, berusahalah semoga Allah sentiasa redha :)

0 comments:

Post a Comment