Saturday, 14 November 2015 By: Naemah

SEORANG ANAK KECIL


    



Seorang anak kecil, kemampuannya terbatas. Hampir semua perkara memerlukan pertolongan, hampir setiap masa perlu diperhatikan.

Seorang anak kecil, belum mampu membezakan baik buruk, belum dapat mengagak yang bahaya dan selamat. Melakukan kesilapan demi kesilapan. Mendapat sakit, jatuh dan rebah.

Seorang anak kecil, tak mampu meluahkan segala yang dirasai. Saat ketawa dan senyumnya kita tahu dia baik dan ok. Saat menangisnya pula, mengundang berbagai tafsiran.

Seorang anak kecil, bersifat mendesak dan belum mengerti makna sabar. Jika katanya mahu, maka mahulah. Senyum saat kehendaknya dituruti, menangis andai permintaan diabaikan.

Seorang anak kecil, tiada menyimpan marah dan dendam kerana hatinya terlalu suci. Kalau bergaduh sesama mereka, akan baik semula. Kalau dimarah ibu atau bapa, tetap datang mencari dan terus menghiburkan. 

Seorang anak kecil, baru seketika mengenal dunia. Belum mengerti apa apa tentang dunia yang penuh ujian ini. Fikirnya hanya mahu gembira, seronok dan bermain. 

Apa yang diharapkan dari anak kecil ini? Kalau dia berbuat silap, itu biasa. Dia sedang belajar dari kesilapan demi kesilapan. Dia terjatuh sakit, juga biasa. Dia belajar untuk lebih berhati hati dalam melangkah dan bertindak. 

Dia perlukan didikan dan bimbingan kerana dia anak kecil yang tak mampu melangkah sendirian. Usah harapkan kesempurnaan dari dia yang masih kecil. Kerana dia sedang belajar dari kita yang lebih dewasa. Kita sendiri tak sunyi dari membuat salah, apatah dia yang masih kecil dan belum mengerti. 

Marah padanya hanya mengundang sakit dan kesal di hati. Kerana nyata, bukan dia yang bersalah, tetapi kita yang salah bertindak. Bukan mengajar, tetapi menghukum. Hati kita yang akan lebih sakit, sedang dia tetap tak mengerti mengapa dia menjadi mangsa marah. 

Allah.. Sucikan hati hambaMu. Dalam menjaga, mengasuh, mendidik anak kecil ini, hati selalu beremosi. Kerana penat, kerana rasa tak cukup tangan, kerana rasa tiada masa untuk diri, dan segala macam rasa...

Allah.. Kau hadirkan amanah ini sebagai anugerah dan juga ujian. Alhamdulillah... Hadirnya anak kecil ini membuat hari berlalu indah. Cekalkan hati untuk sentiasa ikhlas mendidik. Agar sentiada sabar meski dalam kepayahan dan kepenatan.

Ku hargai dan syukuri anugerah ini :'


0 comments:

Post a Comment