Monday, 12 October 2015 0 comments By: Naemah

BANYAK MANA CINTA

Alhamdulillah usia perkahwinan menghampiri 5 tahun. Terlalu sayang dan syukur pada ikatan yang indah ini. Allah saja yang mengerti hati dan kecintaan ini.

Suami dan isteri sudah pasti perlu saling mencintai. Barulah rumahtangga menjadi bahagia, insya Allah. 

Namun hati manusia juga mudah berubah. Boleh jadi cinta semakin kuat menghiasi hati. Boleh jadi juga cinta semakin hambar dan menjauh. 

Hakikatnya hati tak dapat menelah, banyak manakah cinta pasangan terhadap kita. Mungkin dapat mengagak, dari sikap dan layanannya. Jika tetap cinta, boleh jadi layanan masih sehangat dan semesra dulu. Sebaliknya jika cinta sudah semakin pudar, layanan sudah tak seperti dulu lagi.

Ya, kita hanya mampu meneka, tapi belum tentu tepat sangkaan itu. Masa terus berlalu, hati juga boleh berubah. Kita yang dulu pun dah tak seperti kita yang sekarang. Jika dulu berdua, kini bertambah, tiga, empat dan seterusnya. Dulu muda belia, sekarang makin berusia. Dulu badan ramping dan slim, kini lain pula rupanya.

Masa yang berlalu banyak membawa perubahan pada diri dan sikap kita. Tanggungjawab yang bertambah mungkin juga boleh menukar watak kita. Pastinya kita yang sekarang takkan sama dengan kita yang dulu.

Membuat hati tertanya, bagaimana penerimaan pasangan terhadap diri yang kini. Kata orang, semakin kenal dan semakin lama hidup bersama, semakin tersingkap segala kekurangan diri. Namun masihkah cinta itu tetap setia di hati? Berapa banyakkah cinta? Bertambah cinta atau sebaliknya?

Berapa banyak cinta, mungkin tak mampu untuk diukur. Namun barangkali kita boleh menilai sejauh mana keikhlasan cinta yang dihulurkan. Cinta yang ikhlas kerana Allah tak akan membuat cintanya berubah, meskipun pasangan tidak lagi seperti dulu. Keikhlasan membuat kita percaya dia akan tetap cinta, dan cuba menjaga cinta  halal ini sebaiknya.

Namun tidak hanya bergantung pada keikhlasan cintanya. Kita juga punya peranan untuk memastikan cinta itu terus wujud di hatinya. Tunaikan tanggungjawab sebaiknya, serta ada usaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Ya, kita tak sempurna. Cela di sana sini. Ada sikap kurang baik yang perlu diperbaiki. 

Banyak manakah cinta... Hati sering tertanya. Namun selagi dia terus menjadi pasangan yang berusaha melaksanakan tanggungjawab dan berusaha membuat hati anak isteri terhibur, kita tahu.. Itulah cinta. 

Semoga cinta semakin subur bersama keikhlasan. 





DIARI ANAKKU: 121015


Hari kedua suamiku di Labuan. Hari ini anak anak bangun jam 7.30 pagi. Alhamdulillah keduanya ceria je bangun dari tidur, melihat ummi yang gigih mendownload video baru untuk mereka :D

Hari ini awal pagi lagi dah mainkan mereka video yang baru download. More video about planets n solar system, pelajaran baru Anas. Juga video about water cycle, clouds, trees, and rainbow. Ummi memang excited sangatmencari video baru untuk anak anak sebab anak anak memang minat dan belajar dengan fun sekali. Sambil nyanyi, sambil lompat, goyang goyang badan, itulah antara cara belajar Anas dan Mussaab . Pandai betul mat salleh buat video khas untuk education for kids. Memang terbaik!



Pelajaran baru Anas: planets in solar system

Sambil makan sambil menonton. Lepas tu mandi dan main seperti biasa. Sempat menguji hafazan surah al fajr (30 ayat). Masih tersangkut di 10 ayat terakhir. Uji juga hafazan surah al ghasyiah. Masih tertukar ayat juga. Fuh.. Mencabar betul hafazan surah yang panjang panjang ni. Anas dah mula rasa susah nak hafal dan tak excited macam dulu lagi... Hmm.. Ummi yang perlu fikirkan cara yang lebih efektif ni :"

Selepas makan dan solat zohor, tidurkan Mussaab. Komputer juga buat hal, tak dapat nak on. Tak boleh nak buka video untuk Anas. Puas ajak tidur tak nak tidur pula. Hanya terbaring dan berguling di atas katil sampai ummi bangun dan ajak keluar.

Asyik makan kacang dan mangga bersama. Habis kacang pistachio yang abi beli :) sambil sambil menonton rancangan tv yang agak kurang menarik tu. Nak buat macamana, komputer tak boleh nak on pulak. 



Lepas solat asar, mandikan anak anak dan siapkan makan malam mereka. Seperti biasa, makan dengan agak berselera.

Kemudian belek belek buku dan baca bersama. Sambil main main, sambil ummi kemaskan apa yang patut.

Selepas maghrib semua lena tidur. Masing masing penat agaknya. Tadi bermain dan bergelak ketawa dua beradik. Bergaduh pun ya jugak sampai menangis nangis. Kalau bukan abang, adik.. Biasa la tu. Kemudian baik semula. 

Ummi sendirian, tunaikan solat isyak dan kemas segala buku yang bertaburan. Tak sah kalau satu hari tanpa buku di lantai dan di mana mana. Tak mengapalah... Itu tanda anak anak ummi suka 'membaca'.

Selamat malam anak anak ummi. Semoga lena tidurmu sayang diulit mimpi yang indah. Semoga menjadi anak anak yang soleh. Semoga suamiku juga baik baik di sana. Dalam rahmat dan perlindungan Allah.
Sunday, 11 October 2015 0 comments By: Naemah

RIADAH: TAMAN TASIK PERDANA

Pada hari sabtu yang lepas (09/10/15) sempat ke Taman Tasik Perdana untuk riadah bersama keluarga. Kali ke 3 kami ke Taman Tasik Perdana sejak tinggal di Kajang. Tempat itu menjadi pilihan kerana kawasannya yang sangat luas dan tenang. Di sana anak anak boleh bermain basikal sepuasnya, dan ada juga taman permainan untuk kanak kanak. Suamiku pula seperti biasa berjoging di sana. 

Perjalanan mengambil masa dalam 1 jam dari rumah kami. Kami turun sekitar jam 7 pagi, dan bertolak ke sana. Niatnya mahu breakfast di sana saja. Sampai di sana dalam pukul 8 pagi. Alhamdulillah senang dapat parking hari ni. Selalunya puas pusing baru dapat parking. Mungkin hari ni tak ramai orang seperti biasa. Mungkin kerana jerebu yang baru reda. 


Suami terus berjoging, dan aku bersama anak anak menemani mereka bermain di taman permainan. Kemudian kami ke kedai makan yang berada di dalam kawasan itu, dan breakfast bersama sebelum meneruskan aktiviti yang lain. 


Breakfast kami :)

Kemudian kami berjalan ke satu kawasan yang sesuai untuk Anas berbasikal. Tempatnya memang sangat luas, dan kanak kanak dapat berbasikal dengan bebas dan sepuasnya. Kawasannya cantik, terletak di tepi tasik. Memang nice view lah. Sekadar nak lepak lepak dan makan makan pun ok. 

Kebetulan juga hari ni hari sukan negara. Para pengunjung taman tasik perdana diminta singgah di satu khemah untuk menulis nama tanda sokongan dan masing masing diberi sebotol air mineral dan sebungkus nasi lemak. Alhamdulillah :)

Selepas puas berbasikal, kami beransur  pulang. Kalau ikutkan, Anas masih belum puas berbasikal di situ. Maklumlah, di rumah dah tak dapat bebas bermain macam kat sini lagi. Puas pujuk, akhirnya dia mengikut. 

Sebelum balik, singgah sekejap di Tesco Kajang untuk membeli lauk dan barang keperluan. Esok suami dah nak kembali bekerja, jadi seperti biasa dia akan cukupkan keperluan kami anak beranak sebelum dia pergi :)

Begitulah alkisahnya, satu pagi di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Insya Allah akan ke sana lagi sekiranya ada kelapangan. Highly recommended untuk aktiviti riadah dan rehlah seisi keluarga :)









IBRAH DARI ANAK KECIL

Hari ini suami kembali ke Labuan untuk meneruskan kerja setelah 4 hari di rumah. Perginya kali ini insya Allah 4 hari juga. 

Sempat pagi ini menyediakan nasi lemak kegemaran suami dan anak anak untuk sarapan pagi. Suamiku ke airport seawal 6.45 pagi. Anak anak juga keduanya dah bangun dan sempat bersalam dengan abi. 

Seperti biasa aku cuba melakukan aktiviti bersama anak anak, dengan harapan anak dapat belajar sesuatu hari ini. Mulakan dengan math session, ajar simple addition dengan menggunakan kertas warna dan klip. Agak mencabar juga untuk Anas nak masukkan klip kertas tu. 



Selepas itu bagi dia kad manila dan klip untuk melatih tangan agar cekap menggunakan klip. Dia tak berminat, muka muram dan kemudian menangis. Terus aku rasa serba salah. Aku peluk dan pujuk Anas. Biarkan tangisannya reda dan bertanyakan sebabnya. 

Mungkin Anas sedih dengan ummi yang tadinya agak meninggikan suara ketika mengajarnya. Dalam berfikir aku turut menangis. Mungkin kerana itu juga dia hilang fokus dan minat untuk teruskan aktiviti.

Bila aku bertanya, katanya rindu abi. Ya, ayat biasa saat dia kesedihan. Mungkin benar rindu abi. Ditambah lagi dengan kemarahan ummi, makin sedih jadinya :'( oh Tuhan.. Mungkin aku yang sedang mendera perasaannya.

Selepas dah ok, aku mengambil bekas yang berisi flash card dan beri kepada anak anak. Flash card memang boleh buat mereka asyik seketika. Lagi asyik kalau dapat sepahkan kad kad tersebut :) biarkan mereka dengan cara mereka. Asalkan happy!!



Tingkah Mussaab yang suka campakkan barang sekali lagi buat diriku tak dapat menahan sabar. Semua yang ada di tangan pasti nak dicampaknya. Sekali lagi aku terpaksa tinggikan suara untuk hentikan perbuatan si adik. Anas menegur: ummi... Adik kecil lagi. Adik tak tahu lagi.Masya Allah... Buat aku terpana seketika. Sebijik ayat yang aku gunakan bila dia marahkan adiknya. Allah.. Terus aku control diri. Malu pada si anak. 

Kemudian teruskan pula dengan reading session. Kali ni Anas lebih ceria belajar, dan aku juga lebih tenang mengajar dan membetulkan kesalahan. 



Saat Mussaab tidur aku berbicara dengan Anas. Bertanya semula tentang kesedihannya tadi untuk lebih kepastian. Kerana aku tahu, aku perlu lebih menjaga hatinya, dan perlu lebih memahaminya yang juga punya perasaan meskipun dia cuma anak kecil. Ya, betul dia sedih kerana aku marah padanya. Yang lebih tersentuh, bila dia kata: ummi, janganlah marah :' dan itulah juga yang aku katakan padanya saat dia marah.

Allahu akbar.. Allah datangkan teguran untukku melalui si anak. Aku sedar aku kurang sabar. Aku juga sedar betapa aku banyak berdosa pada anak anak. Sering juga diri diingatkan, dan sering pula diri terlupa dan gagal mengawal perasaan. Terima kasih Allah yang sering memberi peringatan buatku. 

Malamnya Anas menangis lagi sebaik terjaga dari tidur. Paling sebak bila dia memanggil abi. Tak tahan rasanya hati ni  nak menangis. Pujuk dan pujuk.. Lama juga sehingga dia tidur kembali.

Allah... Malam ini semacam ada kesayuan di hati. Rasa berdosa pada anak anak, kasihan, dan terasa sunyi sangat... Saat keduanya sudah lena dibuai mimpi. Dan suami pula jauh di lautan dan terputus hubungan pula.

Masa untuk muhasabah... Betapa hidup ini sunyi tika sendirian. Syukur Allah hadirkan suami dan anak anak. Mengapa perlu naik angin dan marah marah.. Apa yang aku harapkan dan mahukan sebenarnya dari mereka?? Syukurlah ada mereka sebagai penyeri hidup yang paling membahagiakan.. Kadang kadang teruji kesabaran, itu lumrah. Diriku yang perlu lebih bijak mengawal emosi. 

Anak syurga ini. Setiap hari belajar sesuatu dari sikap dan tingkah ibubapa tanpa kita sedar. Malahan, dari mereka juga kita banyak belajar sesuatu tanpa kita sangka :)

Semoga Allah merahmati anak anakku.. Bahagia, cemerlang, dan mulia hingga syurga. Aameen.

Semoga Allah menjaga dan melindungi suamiku tercinta. Aameen.


Thursday, 8 October 2015 0 comments By: Naemah

MENJADI SEORANG ISTERI

Picture: here


Saat sah bergelar seorang isteri adalah satu saat yang sangat membahagiakan. Apatah lagi menjadi isteri kepada insan yang kita cintai..

Isteri... Satu gelaran yang sangat indah dan diimpikan hampir setiap wanita. Isteri pendamping sang suami yang sangat dicintai.

Namun indahnya isteri bukan pada gelarannya, tetapi bagaimana dia berperanan dalam memainkan watak seorang isteri.

watak seorang isteri sinonim dengan kelembutan dan keibuan. Isteri yang baik bisa mendamaikan perasaan seorang suami dan mampu menguruskan hal ehwal rumahtangga dan anak anak dengan sebaiknya.

Namun..ia tidak semudah itu. Seorang isteri perlu menanam sifat cekal dan tabah serta mampu bersabar di atas segala ujian di alam rumahtangga.

Di awal perkahwinan, pasti segalanya manis dan indah kerana kita belum benar benar berhadapan dengan tanggungjawab sepenuhnya. Masih dalam usaha mengenal suami dan keluarga mertua, dan masih belum dikurniakan anak anak, amanah yang perlu dijaga. Saat berbulan madu ini memanglah segalanya manis dan indah. Begitulah bahagianya saat bergelar pengantin baru :)

Hakikatnya, perkahwinan itu bukan hanya untuk kita bersukaria bersama pasangan tanpa memikirkan hal yang lain. Ia sebuah medan mencari sakinah/bahagia berpakejkan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul bersama.

Menjadi seorang isteri... bermakna kita perlu taat dan akur pada perintah suami (yang tidak menyalahi syariat) meskipun dalam keadaan kita sukar untuk terima. Perintah suami wajib ditaati, malah berdosa diingkari. Boleh jadi kita tidak suka atau tidak bersetuju, tetapi kita perlu bijak seandainya ingin menolak. Agar kita tidak diihat sebagai isteri yang ingkar, apatah lagi sehingga mengguris perasaan suami.

Menjadi seorang isteri, kita perlu sedar bahawa kita bukan sekadar menikahi suami, tetapi dalam masa yang sama perlu menerima seluruh ahli keluarga suami sebagai sebahagian dari hidup kita. Dari mertua, ipar duai dan sanak saudara. Cuba santuni mereka dan sayangi mereka seadanya. Usah berkata yang buruk tentang mereka meskipun terlihat. Perlunya menjaga hati suami dengan menghormati keluarganya, dan menerima seluruh ahli keluarganya yang menjadi sebahagian dari hidupnya.

Menjadi seorang isteri... Bermakna kita bersedia melaksanakan segala tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Bekerja atau tidak bekerja, tetap tanggungjawab utama kita adalah di rumah. Melayan suami dan anak anak, menyiapkan makan pakai, dan mendidik anak anak dengan sebaiknya. Bersabar dengan segala karenah suami dan anak anak yang ada ketikanya di luar batas kesabaran kita.

Menjadi seorang isteri... Kita perlu bersedia untuk susah dan senang bersama suami. Ada ketikanya kehidupan rumahtangga akan teruji. Saat diuji dengan kesempitan dan kepayahan, tetaplah teguh dan setia bersama suami yang tercinta. Usah menyalahkan dan menambahkan beban yang ditanggung suami. Sama sama lalui saat getir dan pahit, sama sama mencari jalan penyelesaian.

Menjadi seorang isteri... Kita bersedia membataskan masa dan segala aktiviti di luar rumah. Kerana tempat kita adalah di rumah, di sisi suami dan anak anak yang memerlukan kita. Kita tak mungkin dapat menghabiskan masa dengan kawan kawan seperti dulu lagi. Tak boleh selalu keluar, lepak bersama dan berbual panjang seperti dulu lagi. Namun boleh saja mencari ruang untuk bertemu kawan dengan izin suami, dan teknologi yang ada boleh digunakan untuk memastikan hubungan dengan kawan kawan tidak terputus begitu saja. Ya, kerana kita kini adalah seorang isteri di mana tempatnya adalah di sisi suami, bukan dengan yang lain. 

Menjadi seorang isteri... Kita perlu menerima hakikat suami adalah seorang insan, yang mungkin berbeza dengan kita dalam banyak perkara. Cara pemikiran mungkin berbeza, cara penyampaian mungkin berbeza, cara menunjukkan kasih sayang mungkin berbeza, malah banyak perkara lagi mungkin berbeza. Perbezaan mungkin membuatkan kita sering tersalah faham dan tersalah anggap. Malah boleh mencetus kemarahan dan rajuk. Oleh itu, kita perlu cuba memahami pasangan, dan memahami perbezaan yang ada. Perlu juga untuk sentiasa bertenang, sangka baik dan saling berbincang, agar ketegangan dapat dirungkai dan difahami dengan jelas maksud yang sebenar. Yakinlah perbezaan itu manambahkan warna dalam kehidupan rumahtangga dan perbezaan itu ada agar kita dapat saling melengkapi. 

Menjadi seorang isteri... Kita perlu sedar bahawa antara kita dan suami, wujudnya anak anak. Kita tahu kita wajib memberi layanan yang terbaik buat suami. Namun dalam masa yang sama, anak anak memerlukan perhatian kita hampir sepanjang masa. Masa untuk suami menjadi agak terhad. Nak tidur bersama pun, anak anak menyelit di tengah, nak berhias dan berdandan rapi pun, agak sukar, nak dating berdua apatah lagi. Begitulah situasi dan realiti ketika kita mempunyai anak kecil. Ya, perlu pandai dan cekap mengurus masa, dan mencuri masa, agar suami tak rasa diabaikan, agar suami tak tawar hati, dek kerana layanan yang kurang, dan isteri tidak lagi mementingkan kecantikan diri untuk tatapan suami.

Begitulah hakikatnya menjadi seorang isteri. Malah banyak perkara lagi sebenarnya... Bakal isteri perlu banyak membaca, banyak memerhati dan banyak meminta nasihat dari mereka yang berpengalaman agar kita bersedia menjadi seorang isteri yang kental memikul tanggungjawab dan amanah. Serta kental menghadapi segala ujian di alam rumahtangga.

Nukilan ini terhasil bukan bermakna aku lulus segala ujian rumahtangga. Malah sering tersadung dan terjatuh. Saat diri gagal menjadi isteri yang terbaik, terasa sakit dan kecewanya hati. Rupanya bukan mudah..

Namun ruang sentiasa ada untuk memperbaiki diri. Semoga Allah memberi petunjuk dan memudahkan segala urusan dalam melayari bahtera rumahtangga bersama yang tercinta. Malah, semua isteri termasuk aku, sangat mengharapkan pengertian seorang suami serta tunjuk ajar dan doa darinya.
Tuesday, 6 October 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 051015

Dah lama tak update diari anak anakku di rumah. Hari ini hari ke dua suami di Labuan. Hari ini juga cukup seminggu kami kembali ke teratak kami di kajang setelah bercuti panjang di kampung. Kat sini keadaan jerebu masih sangat teruk sehingga sekolah terpaksa ditutup.

Hari ini anak anak bangun pagi seperti kebiasaan. Sarapan, mandi dan menonton video. Hari ni ummi download banyak video baru untuk Anas dan Mussaab. Seperti selalunya, video baru akan membuatkan mereka asyik dan excited. Ada video season, weather, numbers, body parts, dan macam macam lagi. Selepas itu memperdengarkan bacaan juzuk amma seperti kebiasaan. 

Hari ini juga sempat membaca buku bersama sama, dan melukis di kertas mahjong. Permainan seperti biasa bersepah sana sini dan mereka bermain permainan mengikut minat masing masing. 

Books of the day



Waktu tengahari suapkan makan. Alhamdulillah keduanya berselera makan berlaukkan kari ikan dan ayam goreng. Selepas zohor, tidur bersama Mussaab, dan Anas dibiarkan bermain dan menonton sendirian. Tapi lepas tu dia sendiri masuk ke bilik dan terlena di atas katil. Mungkin penat dan bosan main sendirian :)

Mussaab bangun sebaik masuk waktu asar, Anas pula dah pukul 6 petang baru bangun dari tidurnya. Menangis dan meragam sekejap, kemudian mandi bersama adik. Lepas tu makan aiskrim homade yang ummi buat pagi tadi, makan nasi goreng dan nugget. Kemudian main lagi. 

Selepas maghrib sempat semak hafazan dan menghafaz bersama Anas. Masih dalam usaha melancarkan hafazan surah al fajr dan al ghasyiah. Juga bacaan surah an naba' ayat 1-11. Tak lupa ulangkaji huruf hijaiyyah untuk Mussaab. 

Mussaab lena tidur selepas solat isyak, dan Anas pula lewat tidurnya malam ini lebih kurang 11 malam dek kerana banyak tidur di siang hari tadi. 

Alhamdulillah anak anak melalui hari yang baik dan sentiasa dalam perlindungan Allah. Hari ini juga satu hari tak mendengar khabar suamiku yang jauh di lautan. Semoga Allah melindunginya juga bersama rahmat dan kasih sayangNya. Insya Allah bakal bersua :)


Wednesday, 30 September 2015 0 comments By: Naemah

PERCUTIAN YANG PANJANG

Alhamdulillah akhirnya kembali ke Kajang setelah 15 hari berada di kampung. Satu percutian yang sangat lama untukku dan anak anak. Ya, boleh dikatakan satu percutian kerana di kampung memang banyakkk sangat releksnya :)

Aidiladha disambut meriah bersama keluarga, meskipun suami tidak dapat bersama pada hari tersebut. Alhamdulillah juga dapat melaksanakan ibadah qurban pada tahun ini. 



Di kampung, anak anak menjalani rutin yang berbeza dengan di rumah. Kalau di rumah asyik dengan permainan yang banyak, kat kampung sikit saja. Buku buku pun tiada. Tv dan komputer juga tiada. Anak anak bermain mengikut kreativiti sendiri :) 

Lagi satu, hafazan juga dah tak berjalan mengikut jadual. Masih tersangkut di surah al fajr dan al ghasyiah. Insya Allah akan meneruskan kedua surah ini sehingga lancar sebelum melangkah ke surah baru. 

Hari pertama di Kajang, hanya berehat di rumah saja. Dah lama tinggalkan rumah, perlu berkemas kain baju yang banyak. Hari ni juga sempat memasak untuk breakfast, lunch dan dinner. Alhamdulillah. Dah lama cuti memasak :)

Cuti suami masih berbaki 3 hari. Lepas tu akan kembali ke Labuan untuk urusan kerjanya seperti biasa. Alhamdulillah seminggu juga cuti kali ni. Dapat melepaskan rindu pada anak anak. 

Oh, esok dah masuk bulan Oktober 2015. Masa terus berlalu pantas. Bermakna dah 9 bulan juga kami di Kajang. Dan sudah 10 bulan suamiku dengan Xilog. Semoga Allah memberkati segalanya, keluarga ini, zuriat dan rezeki. 

Semoga dipermudahkan segala urusan, dan semoga mendapat keredhaan Allah.