Friday 19 October 2018 By: Naemah

K. KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 2

Masih di hari ketiga (8/10/18)


Sambungan dari catatan lepas: 

K.KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 1


Selepas meninggalkan semua beg pakaian dan keperluan di homestay, kami sekali lagi keluar untuk ke tempat menarik di sekitar Kundasang pula. Kami meninggalkan homestay hampir jam 12 tengahari menuju ke Poring Hot Spring. Sebelum itu kami singgah di masjid Kg Lohan (kalau tak silap namanya), dan terus ke Poring Hot Spring yang mengambil masa lebih kurang 1 jam dari homestay. 




Poring Hot Spring


Poring Hot Spring terkenal di sini, di kalangan penduduk setempat. Di sini dapat kita bersantai di tempat yang telah dibina khas untuk pengunjung bersantai sambil merendam kaki atau berendam di kolam air panas. Di samping itu, ada juga kolam tertutup (bukan kolam air panas) yang dikhaskan untuk pengunjung bermandi-manda, terutamanya anak-anak kecil.


Di samping kolam air panas, ada banyak lagi tarikan lain di sini seperti Taman Rama-Rama, pusat pemuliharaan orkid, taman tropika, tapak bunga rafflesia, dan banyak lagi. Sudah tentu ia memerlukan masa yang lebih lama untuk menjelajah kesemua tempat di sini. 


Kami memilih untuk berada di sekitar kolam air panas dan melepaskan anak-anak bermain di kolam yang disediakan. Kami berada di sini lebih kurang satu jam setengah. Kemudian terus meninggalkan tempat ini dan menuju pula ke Spa ikan Tagal Kg. Moroli yang mengambil masa hampir setengah jam perjalanan.








Dihidangkan denagn pemandangan hutan menghijau juga anak sungai jernih yang mengalir 







Tempat pengunjung merendam kaki/berendam air panas















Kolam mandi untuk kanak-kanak dan dewasa






Antara tempat yang menarik untuk dikunjungi di sini




Tagal Sg. Moroli Fish Spa, Kg. Luanti


Kami tiba di sini jam 3.30 petang. Ini juga merupakan kali ketiga kami ke sini. Apa yang menarik di sini, kita berpeluang untuk melakukan ‘urutan kaki’ di sungai yang mempunyai ratusan ikan. Dengan sedikit bayaran, kita boleh berada di sini selama 15 minit, untuk sekadar merendam kaki atau untuk mandi bersama ikan-ikan di sini (dengan kadar bayaran yang berbeza). Urutan ikan ini dipercayai mampu untuk menghilangkan sel-sel kulit mati pada kaki. 


Kami juga tidak lama di sini, sambil merendam kaki (tapi geli ya amat dikerumuni ikan-ikan), sambil memberi makan pada ikan-ikan yang terdapat di sungai. Kami membeli sedikit makanan dan minuman yang dijual berdekatan dengan sungai tersebut. Tak lupa sambal tuhau menjadi pilihan kami untuk dibawa balik (pernah beli dulu, dan sedap untuk dinikmati sebagai penambah selera dalam hidangan harian).


Selepas itu kami menuju pula ke Sabah Tea Plantation Yang hanya mengambil masa 5 minit perjalanan dari Tagal Sg. Moroli.



















Sabah Tea Plantation, Nalapak


Ini merupakan destinasi terakhir kami pada hari ini. Ladang teh Sabah ini merupakan satu-satunya ladang teh organik yang terdapat di Malaysia. Kawasannya agak luas, dan pemandangan di sini cantik berlatarkan gunung Kinabalu. Di sini, di samping menikmati pemandangan yang indah dan melawat ladang teh, pengunjung juga boleh melawat ke kilang pemprosesan teh (tapi kami tak sempat masuk sebab waktu operasinya sudah ditutup ketika kami sampai), boleh juga membeli teh dan cenderamata di kedai yang disediakan dan menikmati hidangan teh Sabah yang dijual di cafe.


Kami bergambar seketika di sini, dan kemudian menikmati campuran teh Sabah dan kopi tenom yang terkenal di Sabah, dan juga waffle yang juga dihasilkan daripada teh. Selepas menikmati hidangan di sini, kami beransur meninggalkan tempat ini dan menuju balik ke homestay kami di Kundasang. Sejam menempuh perjalanan, akhirnya selamat sampai. Azan maghrib sudah pun berkumandang. Sempat kami singgah di restoren KFC untuk membeli set ayam dan nasi untuk anak-anak yang sudah mengadu kelaparan.


Malam ini kami menikmati hidangan yang dimasak sendiri di homestay. Kami menghabiskan semua stok makanan laut yang dibeli pada hari pertama, kerana esok akan meninggalkan tempat dan balik semula ke semenanjung :) ‘Makan mewah’ lagi malam ini, Alhamdulillah. Malam ini juga anak-anak begitu seronok bermain di halaman homestay yang luas, dan di dalam kesejukan malam yang mampu memberi kesegaran dan kenyamanan. Damai rasanya malam ini, penat berjalan tak dirasa :)































Makan malam di homestay 





Seronok bermain dan bersantai di halaman



Bersambung: 


K.KINABALU HARI TERAKHIR: DESTINASI PILIHAN



0 comments:

Post a Comment