Saturday 13 October 2018 By: Naemah

KOTA KINABALU-KUNDASANG WITH LOVE





Baru berkesempatan untuk mencatat perjalanan ke Kota Kinabalu baru-baru ini. Sebenarnya sudah ada catatan perjalanan ke sana pada tahun lepas, siap lengkap dengan budget dan total spending di sana :)


Ini merupakan kali ke-3 kami suami isteri dan juga Anas ke Kota Kinabalu. Dan kali ke-2 untuk Mussaab dan Miqdad. Kali pertama dulu, September 2013 pergi bersama mak mertua dan adik beradik suamiku, jadi lebih meriah ‘rombongan’ kami pada ketika itu :) kali kedua pula ialah pada tahun lepas Mac 2017, hanya kami berlima anak beranak saja. Dan kali ini kami sekeluarga pergi bersama Kak Za, kakak ipar suamiku (birasku) bersama 2 anaknya. 


Catatan kali ini mungkin berbeza berbanding catatan tahun lepas, mungkin perlukan penulisan yang lebih panjang, kerana nak fokus pada penceritaan tempat-tempat menarik yang telah kami kunjungi. Dari segi perbelanjaan pula, tak dapat nak tulis detail sebab keluar dari banyak ‘poket’, tak sempat nak catat satu persatu :)


Secara ringkas dululah ya :)


Percutian kami ke Kota Kinabalu adalah selama 4 hari 3 malam iaitu pada 6/10/18 hingga 9/10/18. Kami bertolak pada hari sabtu, dan balik semula pada hari Selasa. Bermakna Anas dan Mussaab terpaksa ‘bercuti’ dari sekolah selama 2 hari :)


Kami ke Kota Kinabalu menaiki pesawat Malindo Air. Flight kami jam 8.20 pagi dari KLIA dan tiba di KKIA JAM 11 pagi. Lebih kurang 2 jam setengah perjalanan. Tiket pergi-balik kami rm400 (tak sampai pun) seorang.


Pada hari pertama, sebaik tiba di KKIA kami mengambil kereta sewa dan terus menuju ke homestay yang letaknya di ‘Friendship Garden’ hanya 5 minit perjalanan dari Airport.


Hari ini, destinasi yang sempat kami tuju ialah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Pasar Besar KK, dan Perdana Park. Malam ini juga sempat kami ber’bbq menikmati hidangan lauk pauk segar yang dibeli di pasar tadi.


Pada hari kedua, kami menyertai Island hopping, mengunjungi 2 buah pulau iaitu Pulau Manukan dan Pulau Mamutik. Pada petang hari kami ke pasar kraftangan untuk membeli cenderahati dan ole-ole untuk dibawa pulang.


Pada hari ketiga, kami ke Kundasang pula. Di sini kami sempat singgah di Pekan Nabalu, Kinabalu Park, Poring Hot Spring, Tagal Sg. Moroli, dan Sabah tea plantation. Hari ini juga kami check in homestay di Kundasang untuk satu malam.


Hari terakhir, sebelum balik ke Kota Kinabalu kami singgah di Desa Dairy Farm, Kundasang War Memorial dan Rumah Terbalik Tamparuli. Seterusnya ke airport untuk penerbangan balik ke KLIA.


Jadual percutian kami agak padat, demi untuk pastikan banyak tempat yang dapat kami jejakkan kaki, dan untuk pastikan ianya sebuah percutian yang berbaloi untuk semua, terutamanya anak-anak kami. 


Alhamdulillah, secara keseluruhannya kami sangat berpuas hati dengan percutian dan kembara kami ke Kota Kinabalu kali ini. Segalanya dipermudahkan oleh Allah, walaupun ada sedikit ujian yang perlu kami hadapi, namun ia tetap sebuah perjalanan yang sangat memberi makna yang tersendiri. Bahkan, pada kali ini kami berpeluang untuk jejakkan kaki ke tempat yang sebelum ini tidak pernah kami sampai. Alhamdulillah :)


Di entri seterusnya, insya Allah akan berkongsi serba sedikit tentang tempat-tempat menarik di Kota Kinabalu dan Kundasang yang telah kami kunjungi. 


Sampai di sini dulu :)





Meninggalkan rumah jam 4.30 pagi





Di stesen Salak Tinggi menunggu tren ke KLIA






Di KLIA- check in, solat dan breakfast 






Masa untuk ‘terbang’




Flight pertama ummi, Anas, Mussaab dan Miqdad untuk tahun ini :)



Tiba di KKIA- urusan imigresen










Catatan perjalanan akan bersambung.










0 comments:

Post a Comment