Monday, 1 June 2015 By: Naemah

SELAMAT PENGANTIN BARU

Dah masuk bulan Jun 2015. Dah pertengahan tahun rupanya :) cepat sungguh masa berlalu. Sekolah pun dah mula bercuti. 

Kat rumah mak (mertua) dah mula meriah. Ada yang dah balik, dan menunggu yang belum sampai. Anak anakku seronok jumpa sepupu yang ramai. Riuh rendah dengan suara mereka, yang jarang jarang bertemu :)

Musim cuti sekolah ni juga ramai orang buat kenduri kahwin. Rumah mak salah satunya. InsyaAllah adik ipar bakal bernikah pada 6/6/15. Didoakan semoga Allah permudahkan segala urusan keluarga ini di hari tersebut. 

Teringat hari perkahwinan ku dan suami. Pastinya manis untuk dikenang :) perkahwinan adalah antara kenangan indah dalam hidup setiap insan, sudah semestinya kan.

Apapun semoga setiap orang menyimpan niat yang betul dalam menuju sebuah alam perkahwinan. Niat kerana Allah, menjadikan perkahwinan itu satu ibadah dan insya Allah mendapat KeberkatanNya.

Demi meraih keredhaan dan keberkatan Allah juga, ikatan antara keduanya perlu dijaga sebaik mungkin sebelum tempoh diakad nikahkan. Jaga kesucian dan batas batas sebagaimana layaknya pasangan yang belum sah bergelar suami isteri. Jika ikatan ini terjaga kesuciannya, insya Allah terpelihara keharmonian rumahtangganya, dan dicurahkan keberkatan dalam pelayaran menuju bahagia sejati.

Ramai muda mudi hari ini yang kita lihat bergaul bebas sesama pasangan sebelum lagi sah bergelar suami isteri. Bertunang sekalipun, bukanlah tiket untuk keluar dan bermesra berdua. Apatah lagi hanya sekadar kekasih. 

Hubungan yang terpelihara kesuciannya dan terjaga ikhtilatnya, insyaAllah akan merasakan kemanisan di alam rumahtangga. 

Jika sebelum bernikah sudah keluar berdua, bergurau senda, bermesra mesraan, dan menikmati segala kemanisan..kita bimbang di alam perkahwinan nanti kemanisan sudah tiada. Kita bimbang, bahagianya cuma sebentar, dek hilangnya sebuah keberkatan. 

Betapa pentingnya keredhaan dan keberkatan Allah di alam rumahtangga. Maka, jagalah Allah dengan menurut segala perintahNya, patuh dengan laranganNya, setelah itu yakinlah bahawa seluruh kehidupan kita akan terjaga. Insya Allah. 

Akhir kalam, selamat pengantin baru diucapkan kepada semua pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan pada cuti sekolah ini, terutama buat adik iparku Asma dan pasangannya Afif. Semoga berbahagia hingga ke syurga :):):)

0 comments:

Post a Comment