Saturday, 20 June 2015 By: Naemah

MONOLOG: TERAPI ROHANI

Nukilanku suatu ketika dulu
(MARCH 2011)

semoga bermanfaat

--------------------------------------------------------------------------------------


Aku bertanya pada hati... hati memberikan jawapan sekadar kemampuannya... namun aku tahu, pastinya ada jawapan yang lebih baik...ya Allah...berikan aku jawapan yang terbaik... untuk aku mengerti segalanya dengan penuh pengertian..pengertian yang benar... pengertian yang akan memimpin diriku menyusuri jalanMu yang penuh liku...aku ingin melaluinya, walau aku tahu, langkahku masih belum gagah, dan adakalanya goyah


Semalam baru merasakan bahagia, namun hari ini diuji dengan kepahitan. Terasa sangat sakit untuk menghadapinya. Mengapa bahagia datang dan pergi? Mengapa suka dan duka silih berganti?  Kerana inilah kehidupan.. tidak selalu menjanjikan keindahan, tidak pula membiarkan kesengsaraan berterusan.  Di dunia, kita diberi rasa yang manis, diberi juga rasa yang pahit. Hadirnya silih berganti, tanpa pernah diduga. Namun di akhirat, manis akan selamanya manis. Yang indah tak akan bertukar buruk. syaratnya, demi untuk menikmati kemanisan yang kekal itu, kita perlu bersabar menghadapi kepahitan yang sementara ini.

Mahu menjadi baik, dan berusaha ke arah kebaikan itu.  Namun seringkali menemui kegagalan. Kesilapan yang sama sering diulang-ulang. Malah kadang2 rasa sangat sukarnya untuk  menuju ke arah yang baik itu..sememangnya jalan kebaikan penuh dengan onak dan duri. Niat perlu ada, usaha juga perlu. Namun, istiqamah itu kunci kepada pintu kebaikan itu. Kegagalan membuktikan usaha yang tidak berterusan. Dihadapkan dengan kesusahan sikit, terus rasa lemah dan tak bermaya. Kesukaran dilihat sebagai penghalang, sedangkan itulah syarat untuk sebuah kemenangan.

Setiap musibah yang mendatang dilihat sebagai hukuman dosa lalu yang sentiasa menghambat. Hati menangis, apakah dosa lalu akan sentiasa mengejar dan menjauhkan diri ini dari kebahagiaan yang diimpikan? Tak mungkin dosa tidak akan terampun andai sudah benar memohon keampunan. Tuhan Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang. Berlapang dadalah menerima segala dugaan, bersangka baiklah sentiasa, di samping sentiasa bermuhasabah diri dan memperbaiki diri. Tuhan sedang membawa kita mengahampiri kebahagiaan itu, walaupun dengan cara yang sukar untuk kita terima. Dia lebih Mengetahui.

Alhamdulillah, sentiasa diberi kesedaran tentang segala salah silap, dan digerakkan hati dan tindakan untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Namun, apabila satu perkara dibetulkan, masih nampak lagi kekurangan di bahagian lain yang meminta diri untuk muhasabah dan memperbaiki. Lepas satu, satu perkara yang lain pula. Sampai bila2kah diri ini akan melakukan kesilapan? Hakikatnya manusia tidak sempurna, dan tidak akan sempurna. Kesilapan dan dosa itu seolah satu kemestian pada setiap insan. Bersyukurlah diberi hati yang sentiasa sedar akan kesilapan demi kesilapan, walaupun merasa terbeban dengannya. Itu bermakna, Allah membuka mata hati kita untuk menyedari semua itu, lantas memperbaiki diri menjadi yang lebih baik. Merasakan diri sudah baik dan tidak melakukan kesilapan, menunjukkan keangkuhan diri. Alhamdulillah, dari muhasabah kita mengenal diri, dan menemui kesilapan diri. Langkah seterusnya, lakukanlah perubahan. Tidak mungkin diri akan sempurna, namun selangkah demi selangkah kita memperbaiki diri, bermakna kita menghampiri kesempurnaan itu. Sangat malang, andai kita sekadar sedar, namun tidak berbuat apa2…

Hati sering cemburu melihat kelebihan dan nikmat yang dimiliki orang lain. Hati sering berkata, mengapa dia beruntung dan diriku tidak? Mengapa dia punya semua itu, sedangkan diriku tidak? SesungguhnyaTuhan Maha Adil. Manusia diberi kenikmatan dalam pelbagai bentuk. Setiap insan diberi kurniaan yang pelbagai, dan berbeza2. Apa yang dimiliki orang lain, mungkin tidak dimilki oleh kita, namun boleh jadi, dia juga tak miliki apa yang kita miliki. Setiap orang dikurniakan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Bersyukurlah dengan apa yang ada, dan usah merungut dengan apa yang tiada. Pandanglah mereka yang lebih tiada, untuk merasakan betapa beruntungnya diri, dan lantas bersyukur. Kita punya segalanya yang kita perlukan dalam hidup ini. Apa yang kita tidak punya, sebenarnya bukan yang kita perlukan, sekadar apa yang kita mahukan saja. Allah lebih mengetahui….

Segala amalan yang dilakukan, semacamnya tak pernah konsisten. Semalam mampu untuk membuat yang terbaik, namun hari ini terasa seperti berkurangan. Dulu dan kini, selalu terlihat perbezaannya. Adakala rajin untuk meningkatkan amal, tapi kadang2 juga, jadi sangat malas. Mengapakah? Kerana iman manusia lumrahnya sentiasa turun dan naik. Hari ini mungkin rasa sangat rajin untuk melakukan amal ibadat yang terbaik, esok pula, boleh jadi terasa sangat berat, dan amal menjadi berkurang, dan kurang baik dari sebelumnya. Di waktu lain pula, mungkin amal akan meningkat lagi. Kerana kita juga sedang berperang dengan nafsu dan syaitan yang setia menggoda. Di kala tak mampu untuk berlawan, kita menjadi lemah dan mengikut bisikan jahat itu, namun di kala kita kuat dan terus bermujahadah untuk melawan, kita sebenarnya mampu untuk menangkis segala bisikan. Semua terserah pada diri kita. Kita sebenarnya mampu. Teruskan berusaha, untuk konsisten dalam melakukan amal ibadah, dan sentiasa menjadikan hari ini sentiasa lebih baik dari semalam..INSYAALLAH……………





0 comments:

Post a Comment