Sunday, 6 September 2015 0 comments By: Naemah

BUKAN KERANA TERLALU BAIK DAN SEMPURNA

Apa tujuan blog ini diwujudkan?? Usia masih setahun jagung dan entri pun tak banyak sangat. Apa yang dicatatkan pun hal hal yang indah dan baik baik saja tentang rumahtangga dan anak anak. Sempurna dan bahagia sangatkah keluarga ini???

Akan kurungkaikan satu persatu :):):)



image: here

Tujuan asal membuat blog ini adalah untuk mencatat tentang education atau pembelajaran anak anak. Walaupun anak anak masih sangat kecil, namun rasa rugi kalau tidak dicatatkan tentang pencapaian dan perkembangan mereka, dan bagaimana mereka belajar. Mana tahu, boleh jadi guide pada mereka yang mencari. Hakikatnya, anak anakku bukanlah lebih pandai atau lebih baik dari  anak anak orang lain. Di sebalik pencapaian anak anak yang dicatatkan di sini, masih terlalu banyak lagi yang belum anak anak capai dan perlu belajar sebenarnya :)

Kerana di dalam kepala ni ada banyak benda yang nak ditulis, maka ia bukan blog tentang education anak anak semata mata. Ada hal rumahtangga dan keluarga, ada juga cerita cerita lain. Maka aku mengambil keputusan untuk asingkan tentang pembelajaran anak anak di page khusus (boleh rujuk page homeschooling)

Apa yang dicatatkan kebiasaannya adalah tentang kehidupan yang baik dan membahagiakan. Tentang suami, tentang anak anak, di sebalik nasihat yang terselit. 

Namun adakah kerana kehidupan kami sangat bagus dan sempurna? Adakah kerana kami pasangan yang sangat bahagia dan mempunyai anak anak yang sangat comel, cerdik dan baik? 

Tidak sekali kali. Aku menulis dan menasihati bukan kerana aku terlalu baik, atau kehidupan rumahtangga kami sudah sangat sempurna. 

Aku menulis untuk menyampaikan nasihat yang baik. Aku menulis untuk mengajak diri bermuhasabah. Aku menulis kerana memang aku suka menulis :)

Kerana hal rumahtangga menjadi minat dan keutamaanku, maka blog ini terhasil untuk bercerita dan fokus tentang realiti hidup berumahtangga. Bukan banyak sangat ilmu atau pengalaman tentang rumahtangga. Namun yang pasti, pengalaman banyak mengajar. Kesilapan yang sering dilakukan juga banyak mengajar. 

Aku menulis melalui pengalaman, melalui pembacaan, melalui pemikiran dan ilham.

Kalau watak bahagia yang aku tampilkan bukan bermakna aku tidak pernah kesedihan. Bukan juga kerana kehidupan rumahtanggaku tidak pernah teruji. Hakikatnya aku dan kita semua sama saja. Meniti bahagia bersama ujian yang pasti mendatangi.

Saat aku menceritakan tentang baik dan bagusnya anak anakku, bukan juga bererti mereka tiada karenah yang menguji hati ibu sepertiku. Pastinya ada, lumrah si anak kecil. 

Namun aku tidak mahu mencatat sesuatu yang berbentuk negatif di dalam dunia rumahtangga. Semua orang perlu tahu bahawa di dalam dunia rumahtangga, pasti ada pahit dan manisnya. Aku memilih untuk menulis yang baik baik saja. Semoga yang baik baik itu akan sering membuatkan hatiku tersenyum indah. Semoga yang baik baik ini akan membuat insan lain turut terinspirasi. 

Hakikatnya kita sama... Tiada apa yang membezakan kita di sisiNya kecuali taqwa. 

Kita sama sama mengharapkan rumahtangga diberkati. Hidup saling berkasih sayang di antara suami isteri dan anak anak. Insya Allah

image: here

DUNIA PENULISANKU

image: here

Menulis memang hobiku sejak dulu. Sejak di bangku sekolah rendah.Pernah menghasilkan cerpen ketika di sekolah rendah (lupa darjah berapa). Jangan tak percaya :) Di sekolah menengah juga giat menghasilkan novel, hingga pernah dirampas oleh pihak sekolah sebab novel berbentuk cinta. Haha...

Tapi teringat lagi kata kata cikgu penolong kanan yang ketika itu memanggil aku berjumpa dengannya. Dia kata: awak ni ada bakat menulis, apakata  awak hasilkan penulisan yang baik baik dan bermanfaat,boleh hantar karya awak pada pihak sekolah... Masa tu memang aku malu besar, sebab kebanyakan guru di situ mengenaliku. Lepas tu sampai ke sudah aku tak menulis novel lagi.

Namun penulisan tak terhenti setakat itu. Aku menulis apa yang terlintas di hati. Banyak perkara yang terluah melalui penulisan. Hingga ke universiti juga, laptop menjadi teman rapat tika sendirian. Banyak catatan aku di dalamnya... Suatu ketika dulu.

Hari ini aku mencari kembali segala catatan yang hampir dilupakan itu. Setengahnya masih ada, kebanyakannya sudah lesap entah ke mana. Ada yang hilang bersama laptop yang rosak. 

Aku sendiri tidak ingat apa yang aku tulis.  Apa yang terlintas di hati saja.. Tika sendirian selalunya banyak ilham yang datang :)

Setelah berkahwin juga aku masih menulis. Ada buku catatan hati dan catatan cinta :D malah ada blog yang ku dedikasikan untuk suami, dan ada juga blog untuk anak anakku. Cuma sekarang hanya mahu fokus pada blog yang satu ini. Menulis yang bermanfaat, khas untuk semua yang singgah di blog ini. 

Aku tahu meskipun boleh menulis, bukan semua orang dapat menghasilkan tulisan yang baik. Kita dapat menulis berdasarkan pengalaman sendiri dan orang lain, juga dari hasil pembacaan kita. Lagi banyak pengalaman dan dan buku yang dibaca, lagi baik penulisannya. Pasti tulisan itu menarik dan berilmiah. Bukan sekadar penulisan kosong dan hambar saja.

Aku akui aku ini masih di tingkat yang paling bawah di dunia penulisan. Kurang ilmu, kurang pengalaman, kurang serba serbi. Tak terbanding dengan penulis hebat dan berilmu di luar sana. Namun kucuba untuk teruskan menulis. Meskipun hanya di blog terpencil ini :) mana tahu ia bermakna buat insan yang pernah singgah  ;)

Sekian dulu dari penulis blog yang masih bertatih ini. Semoga segala tulisan dikira kebaikan oleh Allah. Insya Allah :)
Saturday, 5 September 2015 0 comments By: Naemah

RINDU ABI YANG JAUH

Hari ke 6 suami di kejauhan. Terlalu rindu menanti kepulangannya. Pemergian kali ini lebih lama dari kebiasaan. Balik nanti pun sekejap je... Akan kembali bekerja. Tak mengapalah. InsyaAllah lepas tu dapat bercuti lebih lama dan meluangkan masa untuk anak anak.

Hari seterusnya tanpa abi, anak anak menjalani kehidupan seperti biasa. Hanya bermain di dalam rumah. Main apa yang ada :)




Alhamdulillah dapat bercakap dengan abi pagi tadi. Biasanya anak akan 'ok' dan stabil emosinya lepas bercakap dengan abi. Kerana dia tahu abi ada dan sudi mendengar dan bercakap dengannya. Kerana itu aku biarkan anak anak saja berface time dengan abi. 

Berbeza jika lebih sehari tak bercakap atau mendengar khabar abi, anak anak terutamanya Anas sedikit terusik emosinya. Mudah menangis, muram dan ada saja yang tidak kena. Mungkin dia rindu, mungkin dia rasa ada kekurangan..

Kerana itu seboleh mungkin aku 'wujudkan' abi dalam kehidupan seharian kami meskipun abi tiada di sisi. 

Bagaimana? Call dan facetime itu salah satunya. Anak anak dapat mendengar suara abi, dapat melihat wajah abi, dapat bercerita dan mengadu pada abi, dapat tunjuk hasil kerjanya pada abi, dan seronok mendengar respon abi. Maka tak terasa abi jauh

Di saat jauh juga aku dan suami akan berbalas masej setiap hari. Bertanya khabar, dan melaporkan hal anak anak juga. Di samping itu, tak lupa khabarkan pada anak keadaan abi, abi di mana, buat apa... Whatsapp membantu mendekatkan kami. Boleh saling menghantar gambar, video, dan audio. Jadi anak anak tahu tentang abinya.

Ada ketikanya kami akan terputus hubungan ketika suamiku di laut. Lebih sehari juga tak mendengar khabar berita. Tika anak minta nak cal abi, memang tak dapatlah. Aku terangkan keadaan sebenar, yang abinya sedang bekerja, jauh di lautan dan tak dapat nak cal. Alhamdulillah anak anak faham.

Saat paling sayu bila anak menyatakan rindu pada abi. Aku memujuknya, dengan janji bahawa abi akan balik (insya Allah) tak lama lagi. Nyatakan juga abi merinduinya juga. Dan meminta anak berdoa untuk abi di saat rindu itu.

Dalam aktiviti dan perbualan harian juga aku memastikan abi dekat dengan mereka. Menyebut tentang abi dan kebaikan abi, supaya anak rasa bestnya kalau abi ada. Supaya dalam hati anak anak tetap ada abi. Supaya anak rasa abi tetap sayang mereka meskipun jauh. 

Bila abi balik, masa tulah nak macam macam dengan abi :) ada ada saja demi meraih perhatian abi. Kalau dengan ummi ok, dengan abi tiba tiba je tak ok. Layan sajalah duhai abi... Anak rindu pada abinya dan mahukan lebih perhatian tika abi ada bersama. 

Begitulah situasinya bersuamikan seorang yang bekerja jauh di lautan. Aku masih beruntung suami pergi tidak selama mereka yang belayar. Suamiku juga pernah belayar, maka aku mengerti bagaimana kerinduan itu. Semoga para isteri pelaut sekalian tetap tabah dan kuat menanggung kerinduan, dan tetap perkasa menjaga dan menguruskan anak anak sendirian. Suami keluar mencari rezeki, maka doa yang terbaik untuknya dan untuk rumahtangga kita. Allah lebih tahu bagaimana istimewanya kita dalam keredhaan menerima takdirNya ini :)
Thursday, 3 September 2015 0 comments By: Naemah

MEMIKAT HATI MERTUA

Terkenang ibu dan mertua yang keduanya sudah sangat tua dan uzur. Semoga Allah merahmati keduanya.

Bila berkahwin automatik kita mempunyai ibu mertua (yang masih hidup atau telah meninggal). Di dalam islam, walaupun suami sudah menikahi seorang isteri, ibunya tetap menjadi yang utama berbanding isterinya. Perlu disayangi, dihormati dan diutamakan ketaatannya. Syurga kita ada pada suami, syurga suami pula ada pada ibunya :)

Cemburu?? Semoga tidak wujud perasaan cemburu pada ibu mertua. Dia wanita pertama dalam hidup suami kita. Dia yang melahirkan dan membesarkan suami kita. Dia juga yang sering mendoakan kebahagiaan suami kita. Kita yang hadir kemudian. Maka tak perlu nak menandingi ibu mertua untuk meraih cinta dan perhatian suami. 

Mungkin yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah bagaimana nak menawan hati ibu mertua kita :) 

Aku pun juga sedang belajar dan mencuba yang terbaik. Meskipun bukan disayangi, sekurang kurangnya tidak dibenci :) maklum saja, aku bukan satu satunya menantu mak. Mak ada 5 menantu perempuan dan 3 menantu lelaki. Ramai kan?? Akan datang 2 lagi menantu. Insya Allah.

Pastinya, untuk menyatakan aku menantu yang terbaik dan paling disayangi tu... Taklah kot :D namun satu perkara yang aku percaya, mak sayang semua menantunya :)

Pelbagai tips yang sering dibaca bagaimana untuk menawan hati ibu mertua. Nampak mudah, praktikalnya belum pasti. Aku juga sedang mencuba, walau adakalanya terlupa. 


Jom kongsikan tipsnya :)

hormati anaknya
anaknya yang dimaksudkan ialah suami kita :) selayaknya seorang suami itu ditaati oleh seorang isteri, maka begitu juga yang mahu dilihat ibu mertua kita. dia mahu anaknya dihormati dan dilayan selayaknya seorang suami. sekurang kurangnya, dia rasa lega anak yang dikasihinya dijaga dengan baik oleh isterinya, dan tidak menyakiti hati anak lelakinya itu. setiap ibu pastinya mengharapkan anaknya hidup dengan baik meskipun bukan di dalam jagaannya lagi. aku juga :')

muliakan kedudukannya
selayaknya dia seorang ibu, maka mulialah tempatnya. tambahan pula dia ibu kepada suami kita, maka wajarlah kita memuliakan dirinya tanpa sedikit merendahkan kedudukannya. antara kita dan dia mungkin berbeza cara dan pemikiran, namun tak bererti kita boleh membuat hatinya terluka dengan kata kata yang menyakitkan, atau menolak pandangannya tanpa adab. sedaya upaya menjaga hatinya, berbincang dengan baik atas segala perkara yang berbeza, dan usah sesekali membuatkan dia rasa terhina. 

berbicara dengannya
sebolehnya, cuba mencari ruang untuk bercakap dan berbual bual dengan ibu mertua. janganlah pula menjauhinya, saat dia datang ke rumah atau kita balik ke rumahnya. kalau nampak ibu mertua sedang keseorangan apa salahnya kita mendekatinya dan bercakap dengannya. tak perlu nak mencari topik yang susah sangat, tanyalah saja apa yang berkaitan dengan dirinya dan apa yang dia suka. dia pasti suka kita bertanya tentang kesihatan dirinya, tentang suami dan anak anaknya,tentang kisah silamnya... pasti dia akan membawa cerita cerita lama yang menjadi nostalgia dalam hidupnya. pasang telinga dan dengarlah penuh hormat :)

hadiah untuknya
sekalipun kita tahu dia tidak mengharapkan hadiah dari kita, namun apa salahnya sesekali balik ke rumahnya kita membeli sesuatu untuknya sebagai buah tangan. kalau boleh, belikan sesuatu yang kita tahu dia sukakannya. boleh jadi pokok bunga, pinggan mangkuk, pakaian, atau apa saja yang boleh dia guna dan pakai. pasti dia sangat menghargainya.

minta nasihat perihal anaknya 
ibunya pasti lebih mengenali anaknya (suami kita). maka, apa salahnya kita bertanya dan meminta nasihat tentang hal yang berkaitan anaknya itu. ibunya lebih tahu apa yang anaknya suka makan, apa yang anaknya suka lakukan, bagaimana nak pujuk, jika begini bagaimana, jika begitu pula bagaimana... pasti ada jawapan dari ibunya. dia sudah masak dengan sikap anaknya dan lebih tahu perangai dan kesukaan anaknya, kita pula baru nak mengenali pasangan kita. pertanyaan seumpama itu membuatkan ibu mertua merasakan dia tetap insan yang penting dan lebih dekat dengan anak lelakinya itu.

berikan masa untuk dia dan anaknya
ada ketikanya kita tak perlu hadir di antara mereka (suami dan ibu mertua). barangkali ibu mertua sangat merindui anaknya itu dan inginkan masa berdua bersama anaknya. mungkin ada sesuatu yang dia ingin luahkan, dan tak mungkin terluah ketika kita ada bersama. biarkan mereka berduaan, berbicara hati ke hati, bermesra dan berjenaka. ketika itu, rindu ibu mertua pasti terubat pada anak yang dilahirkan dan ditatangnya suatu ketika dulu. usahlah cemburu melihat saat akrab dan mesra mereka berdua...itukan ibunya :)

itu sedikit tips yang dapat dikongsikan di sini. pastinya masih banyak lagi yang tak tertulis. sama sama kita usahakan untuk memikat hati mertua. tiada istilah cemburu, tiada istilah bersaing, kerana kita mahukan cinta ibu mertua dan suami. andai hati mertua dapat kita pikat, hati suami insya Allah lebih terpikat pada kita ;)

sama samalah... 



DIARI ANAKKU: 030915

Hari ke 4 suami di Labuan. Masih berbaki 4 hari. Menanti penuh sabar :)

Anak anak bangun agak awal hari ni. Pukul 6 lebih masing masing dah memulakan hari. Ummi tak sempat nak buat apa lagi. On kan pc dan terus pasang juzuk amma untuk mereka. Masing masing buat hal sendiri, main permainan yang ada.

Kemudian mandi dan main lagi sementara tunggu ummi masak. Masak nasi dan lauk terus, sebab niat nak bawa anak main kat luar (luar rumah je). Masak pun simple simple je. Ayam goreng, dan lauk gulai tempoyak yang ada di freezer. Sekejap saja, siap dan makan bersama.

Pasangkan video kegemaran anak anak sementara ummi perlu selesaikan sedikit lagi kerja. Anas mengambil kertas dan menulis. Happy sebab semalam dapat hasilkan lukisan pertama tanpa bantuan ummi. Hari ni nak melukis lagi. Kerana minatnya pada pokok dan alam, terhasil lukisan seperti yang dia mahukan :)

Lukisan pertama Anas. Perhatikan apa yang dilukis :)



Mussaab layan video. Hari ni xde minta ipad lagi :)


Dalam pukul 9 pagi bawa anak anak ke taman permainan di belakang bangunan. Kesian, dah 3 hari terkurung. Memandangkan abi lambat lagi balik, ummi bawa juga la keluar rumah. Biarkan mereka bermain sepuasnya di sekitar kawasan aparment itu. 


Dialog pagi tadi :)


Pukul 10 lebih ajak anak anak balik ke rumah. Best juga ambil angin di luar. Suasana agak sunyi kerana waktu orang bekerja. Sesekali ada juga orang lalu lalang di kawasan itu. 

Balik rumah, buka video balik, and Anas sambung melukis balik, dan mewarna juga. Nampaknya hari ni tak asyik dengan car sangat :) tapi main juga. 

lepas lunch melukis lagi. Kali ni minta ummi lukis road signs pulak. Haish... Ummi bukan pandai melukis sangat. Lukis juga la, layan permintaan anak. Lukisan buruk pun takpe la. Adik dah mula teringat ipad. Bagi la dia main. 





Pukul 2 petang ummi minta tidur tapi pakat sambung main di atas katil. Akhirnya ummi seorang yang tertidur. Kerap pula dikejutkan untuk minta itu dan ini. Anas juga tertidur akhirnya, tinggal Mussaab yang tak nak tidur sampai ke sudah meskipun disusukan beberapa kali. Nak main ipad jugakkk!!

Dah dekat pukul 5 mula merengek, mengantuk dah. Anas pula asyik dok suruh ummi lukis road signs. Aduhai anak... Ummi tak pandai melukis la sayang. Lukis juga la... Amazingly, banyak simbol yang dia hafal hasil tengok video yang ummi download. Contohnya, roundabout ahead, junction ahead, cross road, falling rock etc..Masya Allah.. Dia perhati betul :) dia sebut dan ummi kena lukis. Terkulat ummi dok fikir camana simbolnya. Buka video, tiru dan lukis ikut jadi. Boleh laa :D


Lepas tu kemas segala mainan yang bersepah dan sapu sampah semua, masak nasi goreng dan makan bersama. Kemudian mandikan anak anak dan solat maghrib.

Selepas maghrib baca surah al fajr bersama Anas. Bantu betulkan bacaan dan hafazan. Mussaab juga dengan aktivitinya sendiri. Kemudian facetime dengan abi. Anas rindu nak bercakap dengan abi. Kalau call memang dia ajelah yang bercakap :) happy dapat dengar suara abi dan bercerita pada abi. 

Lepas solat Isyak, masing masing dah merengek dan mengantuk. Anas kejap kejap menangis. Rindu abi katanya :'( mungkin betul rindu...abi pergi lama kali ni. terpaksa la ummi pujuk. akhirnya dah tidur keduanya. semoga lena anak anakku. semoga esok menjanjikan sesuatu yang lebih baik :)
Wednesday, 2 September 2015 0 comments By: Naemah

MUHASABAH: DOSA PADA ANAK


Sebagai ibu, kita pastinya mahu menjadi ibu yang terbaik untuk anak anak. Ingin memberikan segala yang terbaik buat mereka.  

Namun kita bukan insan sempurna. Dalam memberi yang terbaik, ada juga terkurang. 

Diriku juga tak terlepas dari menyimpan perasaan bersalah dan berdosa pada anak anak. 

Layanan
Kebanyakan masa anak dilayan dengan baik dan penuh sabar. Ada ketikanya kesabaran hilang, diri menjadi pemarah. Anak anak menjadi mangsa pada kesalahan kecil dan tak seberapa. Lupa mereka hanya anak kecil..maafkan ummi...

Masa
Meskipun hampir setiap masa bersama anak anak, cuba memberi sepenuh perhatian buat mereka, menjadikan masa bersama mereka bekualiti dan bermanfaat, seringkali juga masa berlalu bersama kelekaan dan mereka diabaikan tanpa sedar. Bila handphone di tangan, bila menghadap facebook dan whatsapp, masa berlalu pun tak rasa. Permintaan anak anak untuk dilayan dan bermain dengannya tidak dipedulikan. Maafkan ummi..

Respon
Anak anak kecil yang baru hendak kenal dunia, pastinya banyak persoalan yang hadir di benak fikirannya. Apa, kenapa, mengapa... Semuanya perlukan penjelasan bijak dari seorang ibu sesuai usianya. Kadang mampu memberi jawapan terbaik, kadang buntu mencari jawapan. Sering pula persoalan dibiarkan tanpa jawapan membuat si anak terus hidup dalam tanda tanya..Maafkan ummi..

Makan dan minum
Pastinya semua ibu mahu anak anak menikmati makanan terbaik. Aku juga, mahu anak anak menikmati hidangan dari air tangan sendiri. Kerana makanan yang disediakan sendiri terjamin kebersihannya. Namun ada ketikanya anak anak dihidangkan makanan dari luar, malah adakalanya makanan segera dijadikan santapan. Hati sebenarnya risau kerana makanan itu mempengaruhi kesihatan badan dan kecerdasan anak anak. kesal, perkara ini tidak sepatutnya dipandang remeh.. Maafkan ummi...

Contoh tauladan
Kita mahukan anak anak membesar dengan segala akhlak baik dan mulia. Namun diri sendiri tak mampu memberikan contoh tauladan yang terbaik buat mereka. Mahu mereka menjadi insan penyabar, tapi kita sendiri kurang sabar. Mahu mereka lemah lembut berbicara, kita pula sering menjerit dan marah marah. Nasihat tak seiring perbuatan. Maafkan ummi..

Ilmu keibubapaan
Ilmu yang kurang juga menyebabkan diri sering melakukan kesilapan demi kesilapan dalam mendidik anak anak. Banyak yang tidak tahu, banyaklah salah dan silap. anak anak menjadi mangsa.. Maafkan ummi...

Melihatkan wajah suci si anak terasa sangat bahagia. Namun perasaan bersalah dan berdosa juga sering menerpa. Kerana aku belum mampu memberikan yang terbaik buat mereka.

Anak anakku...
Maafkan ummi yang kurang sabar, yang sering melarang tanpa memberi alasan, yang sering marah dan baran, yang membosankan, yang sering memaksa, yang tak pandai serba serbi, yang kurang cekap mengurus anak anak, yang berbuat silap berulang kali....

Ampunkan segala kelemahan dan kekurangan ummi. Ummi mahu menjadi ibu yang terbaik buat kalian... Semoga Allah memimpin langkah dan perjuangan ummi dalam menjaga dan mendidik amanah Allah ini :')






Tuesday, 1 September 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 010915

Hari ini hari kedua suami di Labuan. Hari ini juga dah masuk bulan September 2015. 

Suamiku akan berada di Labuan selama seminggu. Arghh.. Agak lama juga. Dah lama dia tak berpergian lama macam tu. biasa 4 hari saja. Tapi tak mengapalah.. Pasti ada hikmahnya. Insya Allah :)

Anak anakku meneruskan hari seperti biasa di rumah kecil kami ini. Bangun seawal jam 7 pagi, makan dan mandi, serta diperdengarkan juzuk amma sebagai hiburan pertama di pagi hari. Sempat juga tasmik surah al Balad. Alhamdulillah semakin lancar bacaan, meski belum sempurna. 

Selepas itu menonton video yang ummi baru download. More videos about seasons, wind, cloud, plants etc (subjek favourite anas zaydan) adik pun enjoy sajalah dengan video tersebut.

Mussaab sejak akhir akhir ini asyik meminta iPad. Maklum dah pandai tekan tekan. Kalau dia main jangan siapa ambil. Meraung jawabnya. Hmm.. Risau pula ummi. Hope u learn something from it..like along. Not just playing ok :)

Anas juga asyik dengan mainan( set train) yang baru abi beli. Asyik juga dengan car track dan segala jenis car dan lain lain kenderaan mainan miliknya. Itu jugalah yang menjadi kerinduannya sepanjang berada di kampung. Suami tak lokek membelikan permainan yang dia minat kerana dia bermain dan belajar melalui permainannya :)






Sekitar jam 11.30 pagi aku tidurkan Mussaab dan diri sendiri turut terlena. Anas masih asyik dengan mainannya. Langsung tak mahu tidur.

Selepas waktu zohor juga masing masing leka bermain. Ummi tak tahu nak buat aktivii apa yang menarik. Hari ni sekadar lukis lukis pokok dan temankan anak bermain. Sambil bermain sambil berinteraksi dan bertanya tentang apa yang dia sudah belajar. 

Lukisan ummi :D




Lukisan Anas. Silakan cari pokoknya :D


Hingga ke petang hari, makan dan mandi. Sama sama kemas permainan yang bersepah. Sampai ke Maghrib, main saja walau masing masing dah mengantuk.

Selepas Maghrib tasmik surah al Balad lagi. Janji dengan Anas nak bagi stiker fruit atas  kejayaan dia menghafal surah tersebut. Alhamdulillah bacaan makin baik. Seterusnya surah al Fajr... Lebih panjang ayatnya :) insya Allah Anas boleh.

Anas's tree makin berbuah ranum :)



Masing masing pun dah mengantuk, serentak tidur meskipun jam baru pukul 8 lebih. Alhamdulillah... Lenalah tidur sayangku. Moga hari esok menjanjikan sesuatu yang lebih baik

Ligat berfikir aktiviti untuk hari esok. Tiada idea... Tapi tak nak masa berlalu tanpa sebarang pengisian. Kesian anak anakku...

Semoga esok ada pelajaran baru untuk Anas dan Mussaab:)