Thursday, 9 November 2017 0 comments By: Naemah

BILA ANAK DEMAM

Saat mencabar dan menyentap jiwa ialah bila berhadapan dengan anak sakit atau tidak sihat. Lebih-lebih lagi bila bersendirian menjaga anak-anak yang tidak sihat. 

Ditakdirkan Anas, Mussaab dan Miqdad demam bersilih ganti pada minggu ini. TakdirNya juga abinya tiada di rumah kerana bertugas, maka aku memikul tanggungjawab menjaga dan menguruskan anak-anak yang tidak sihat sepenuhnya. 

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama menghadapi situasi begini. Sudah banyak kali. Dan pengalaman lalu jugalah yang mengajar diri untuk lebih bersedia dan lebih kuat menghadapi saat sukar ini.

Hati ibu mana yang tidak gusar melihat anak-anak dalam keadaan tidak sihat. Anak-anak yang kebiasaanya riang dan aktif bermain, kini jadi lemah dan tak bermaya. Yang kecil pula sering merengek dan hanya mahu dipangku. Tidur juga jadi tidak lena. 

Saat sukarnya, bila datang kemahuan serentak. Ketiga-tiga mahu dilayan. Ketiga-tiga menangis dan merengek. Mencabar sekali situasi begini. Hati jadi tak keruan. Pada Allah saja mampu berserah dan meinta tolong.

Alhamdulillah Anas sudah semakin sihat lepas 4 hari demam. Tapi masih batuk-batuk. Miqdad demam sejak semalam. Malam ini masih panas badannya. Tidur juga tidak lena. Batuk dan selesema lagi. Mussaab pula baru demam hari ni. Batuk dan selesema juga. Dia yang masih aktif dan ceria semalam, hari ni dah lemah dan hanya tidur saja. Tapi dia yang paling kuat dan tak banyak merengek. Selagi larat, dia ambil air sendiri dan boleh ditinggalkan bersendirian :)

Beginilah kehidupan kita. Aku tak pernah salahkan atau marahkan takdir. Walau sesukar mana, aku percaya ujian hadir di atas kemampuan kita untuk menghadapinya. Walau kadang-kadang terasa berat, hingga menangis sekalipun, masih percaya akan ada jalan keluar dari segala kesukaran yang terpaksa ditempuh.

Saat ini, pilu dan kesian melihat anak-anak terbaring lemah. Aku hanya mengharapkan dan mendoakan agar mereka kembali sihat. Kembali ceria bermain bersama. 

Sesungguhnya sakit ini dari Allah. Dan Allah juga penyembuhnya. Ya Allah. Kembalikan kesihatan anak-anakku. Aameen


Rindu pada wajah ceria mereka






Tuesday, 7 November 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 081117

Hari ini abi kembali bekerja. Seawal jam 6.15 pagi, abi meninggalkan rumah menuju ke airport. Hanya Miqdad yang sempat hantar abi di pintu. Anas dan Mussaab masih lena di bilik. 

Mussaab bangun kemudiannya. Abi dah tiada. Mussaab baring di sofa dan menonton tv. Ummi masak spageti goreng dan suapkan Mussaab dan Miqdad makan. Alhamdulillah Mussaab dan Miqdad ok saja pagi ni. Hanya batuk-batuk biasa sejak dari semalam. Anas pula dah 3 hari demam, batuk dan cirit-birit. Entah apa sebabnya.

Anas bangun jam 8. Minta nak makan roti sosej. Sejak semalam Anas tak makan. Ummi buatkan roti sosej untuk Anas dan Mussaab. Anas dan Mussaab makan sambil menonton Disney Junior, dan kemudian San Andreas. 

Jam 9, ummi cuba tidurkan Miqdad. Miqdad hanya lena sekejap. Bila ummi bangun, dia juga bangun dan keluar bermain. 

Jam 10.30, naik mandi di atas. Kemudian ummi tidurkan Miqdad dan turun ke bawah memasak. Anas dan Mussaab main car bersama. Tak lama kemudian Miqdad bangun dan menangis. Miqdad juga tak sihat badan dan merengek. Kerja memasak ummi tertangguh. Bila Miqdad ok bermain, ummi sambung kerja memasak. Tapi tak lama juga, Miqdad dah menangis. Bergilir ummi melayan Miqdad dan memasak. Ada juga terpaksa mendukung Miqdad sambil memasak. Anas dari tadi dah mengadu lapar. Mussaab pula minta buatkan susu coklat. Ummi masih tak sempat.

Abi call dari Bintulu tapi hanya bercakap sebentar saja. Ummi sibuk di dapur, Miqdad merengek-rengek pula. Anas pun masih lemah. Mussaab saja yang bercakap dengan abi.

Jam 12, selesai ummi memasak. Mussaab dah lena di sofa sambil video didi and friends sedia terpasang dari tadi. Ummi suapkan Anas dan Miqdad makan. Anas masih batuk-batuk dan tak berselera. Hanya makan sesuap dan minum air. Miqdad juga tiada selera. Makan sedikit dan muntah balik. Allah. Kesian anak-anak ummi.

Ummi susukan Miqdad dan tidurkan Miqdad sekali lagi.  Jam 1 Miqdad lena kembali. Ummi cuba kemaskan rumah sekadarnya, untuk menyambut kedatangan mek, cik, ayah cik, kak jah, abe zaid dan Mohd. Mereka di dalam perjalanan. 

Miqdad bangun dan menangis lagi. Bila demam, memang sukar untuk Miqdad tidur lena. Ummi ambil Miqdad dan meriba Miqdad sambil menonton tv dan menunggu tetamu sampai. Anas dan Mussaab menonton movie ‘inside out’. Keduanya diam, kurang sihat dan mengantuk pun ya jugak. 

Jam 3, tetamu sampai ke rumah. Anas dan Mussaab bermain dengan Mohd. Happy dan ceria sesekali berjumpa. Meriah rumah hari ini dengan suara Mohd yang terkenal banyak celotehnya :) Anas yang masih kurang sihat, sesekali berehat dan bersandar. Kurang bertenaga untuk bermain. 

Selepas asar bermain pula di halaman rumah. Kemudian masuk dan bermain lagi di dalam rumah. Miqdad pula hanya mahu berdukung dengan ummi. Sesekali cik ambil, tapi tak lama sebab Miqdad merengek mahu ummi. Masih panas badan Miqdad. Main tak mahu, makan pun tak berselera. Kesian Miqdad.

Selepas Maghrib, tetamu bersurai balik. Sekejap saja singgah di rumah. Kini kat rumah hanya tinggal Anas, Mussaab, Miqdad dan ummi. Ummi tidurkan Miqdad. Mussaab juga tidur sekali. Mengantuk dan penat sangat agaknya bermain. Lepas isyak ummi temankan Anas pula tidur. Jam 9.30, dah lena ketiga-tiganya. Alhamdulillah.

Syukur pada Allah di atas kehidupan hari ini. Walaupun anak-anak ummi kurang sihat, sekurang-kurangnya masih ada senyuman di wajah masing-masing. Anas dah tak demam, cuma masih batuk dan sakit perut. Mussaab juga batuk, tapi masih aktif bermain. Hanya Miqdad yang kurang ceria, tapi insya Allah, ummi doakan Miqdad semakin baik. Ya, doa untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga dikembalikan kesihatan anak-anak ummi. Dan semoga hari esok akan lebih baik untuk kita semua. Insya Allah. 



Miqdad dan cik



Anas, Mussaab, Mohd dan Mek
Sunday, 5 November 2017 0 comments By: Naemah

ANAS: JUZ 30-JUZ 1

Pada 3/11/17, Anas mula membaca al-Quran bermula juzuk 1 (surah al-Baqarah) selepas khatam  juzuk 30 (juzuk amma). Alhamdulillah.

Agak lama juga nak habiskan juzuk amma, dek banyak skip dan tak konsisten membaca setiap hari. Cuma sejak akhir-akhir ini lebih berdisiplin dalam bab membaca al-quran. Habis juga akhirnya. Alhamdulillah bacaan Anas semakin baik, meskipun masih banyak yang perlu diperbaiki. Insya Allah akan lebih baik selepas ini. Yang penting perlu disiplin membaca al-quran setiap hari. Peringatan untuk ummi dan untuk Anas :)

Pesanan dan peringatan dariku, untukku dan untuk para ibubapa: Budaya Al-quran perlu bermula di rumah. Tidak dapat tidak! Didikan al-quran ini perlu bermula dengan ibubapa sendiri. Jika ibu dan ayah rajin membaca al-quran, insya Allah anak-anak juga mudah diajar mengenali al-quran. 

Pastikan al-quran adalah yang pertama kita kenalkan pada anak-anak berbanding yang lain. Dekatkan mereka dengan al-quran, jadikan al-quran bacaan kita setiap hari, dan ceritakan kebaikan dan keindahan yang terkandung di dalam al-quran sebagai panduan hidup kita.

Tiada yang lebih mahal dalam dunia ini selain ayat-ayat Allah. Bila dibaca mendapat ketenangan, bila diamalkan isinya, beroleh kehidupan sejahtera. Insya Allah.

Ya Allah. Terangi hati kami dengan cahaya al-Quran. 




PENA DARI DAPUR



Aku bukan penulis hebat. Jauh dari terkenal dan dikenali. Aku cuma insan yang gemar meluah rasa melalui penulisan. Penulisan yang biasa, tiada yang luar biasa.

Mungkin apa yang cuba disampaikan tak semua orang dapat dan faham. Tapi aku percaya, masih ada yang sudi membaca dan menilai. Setuju atau tidak, itu cerita lain :)

Kadang-kadang aku rasa aku tak layak untuk menulis, berpesan dan memberi nasihat. Sebab aku bukan bagus sangat! Apa yang aku tulis, bukan semua aku praktis juga. 

Tapi hakikat sebenarnya, aku menulis bukan kerana aku rasa bagus dan layak untuk nasihat orang. Aku banyak menulis kerana aku mahu ingatkan diriku sendiri. Di samping insan lain yang sudi membaca dan menilai. 

Ya, aku juga banyak kurangnya. Banyak buat silap dalam kehidupan seharian sebagai isteri dan ibu. Sebagai hamba dan sebagai anak. Memang jauh dari sempurna. 

Namun bila aku menulis, secara tak langsung aku sedang mengingatkan diriku untuk memperbaiki diriku sendiri terlebih dahulu. Jangan hanya pandai menasihati. Sebenarnya, bab mana yang aku kerap sentuh, itulah bab yang sering aku gagal dan banyak membuat kesilapan.

Allah sahaja yang tahu betapa banyak kekuranganku. Tekadku untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik. Lebih baik sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai anak, dan sebagai Hamba!

Semoga Allah tunjukkan jalan yang lurus. Semoga Allah memberi perunjuk dan pertolongan buatku dan buat semua. Semoga aku tak jemu menulis. Menulis yang baik-baik dan mendidik hati. Moga terhindar dari perasaan ‘perasan bagus’ dan terasa diri lebih baik. 

Aku menulis untuk ingatkan diriku! Untuk hidupkan hatiku!

Pena dari dapur: kerana dapur adalah ruangan wajib yang akan aku kunjungi dan jejaki setiap hari :) 

IKAN TONGKOL MASAK SAMBAL & PUCUK PAKU GORENG TELUR

Makan malam kami hari ini; ikan tongkol masak sambal dan sayur pucuk paku goreng telur. 

Nak share resepinya. Ringkas dan cepat dimasak. Insya Allah.





Saturday, 4 November 2017 0 comments By: Naemah

CERITA PAGI INI

Hari minggu. Bangun pagi, ke pasar pagi konon-konon nak beli ikan dan sayur. Tapi hujan bergerimis dari awal pagi tadi, dengan parking susah nak dapat, akhirnya beli nasi lemak dan roti canai sahaja untuk sarapan pagi kami anak beranak. Sempat juga singgah kedai runcit berdekatan rumah untuk membeli kue teow, ikan dan sedikit barang keperluan dapur. Alhamdulillah.

Anas dari semalam panas badan, batuk dan selesema. Di atas kereta tadi, muntah tapi kerana perut kosong hanya air liur yang banyak keluar. Keadaan dia sedikit sebanyak merisaukan hati kami. Balik ke rumah, dia hanya minum air kosong, tapi sekejap kemudian muntah lagi, keluar balik air yang diminum. Nak makan tiada selera, hanya minum sedikit kopi dan tidur nyenyak di sofa.

Mussaab pula entah tiba-tiba request nak makan kue teow. Marah-marah bila diberitahu tiada kue teow yang dijual di kedai. Mahu juga! Biasa suka makan roti canai, hari ni katanya tak nak. Abinya singgah di beberapa gerai yang menjual sarapan pagi, malangnya tiada juga kue teow goreng. Akhirnya singgah di kedai runcit dan membeli kue teow yang belum dimasak. Balik ke rumah, abinya gorengkan kue teow khas untuk Mussaab. Makan penuh berselera. Berbaloi!

Miqdad pula di atas kereta lagi dah mencapai bungkusan nasi lemak dan cuba membukanya. Sempat mencalit sambal. Menangis bila ummi ambil dan sorokkan nasi lemak. Ya, ummi tahu Miqdad lapar, dan ummi tahu Miqdad suka nasi lemak. Balik ke rumah, dalam kekalutan dengan abang yang demam dan yang nak makan kue teow, ummi terlepas pandang pada bungkusan nasi lemak yang berjaya dicapai Miqdad hingga jatuh bertaburan di lantai. Satu kerja pula nak kutip dan bersihkan. Miqdad makin kuat tangisannya, lapar sangat barangkali. Ummi suapkan Miqdad makan. Banyak juga makannya!

Bab sarapan selesai. Ummi sambung membuat kerja rumah yang tak sudah-sudah. Ada saja tempat yang bersepah dengan mainan dan buku. Ada saja kain yang berselerak dan tak berlipat. Tempat tidur juga tak berkemas. Ummi buat sekadarnya.

Masa berlalu pantas. Sedar-sedar dah hampir jam 11. Tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab melayan video. Suasana agak tenang. Alhamdulillah. 

Tamat cerita pagi ini. Pagi yang hadir bersama cerita yang tersendiri. Setiap cerita pasti ada bersama senyuman dan tangisan, kekalutan dan ketenangan, tawa dan sendu, dan sebagainya.

Begini kehidupan kita. Adakala teruji dengan segala bentuk kepayahan. Adakala dianugerah dengan segala bentuk kebahagiaan. 

Ingatlah wahai diri, sabar itu perlu saat teruji. Syukur itu perlu tika berbahagia. 

Moga tiada sia-sia kehidupan kita ini.



Today: 05.11.17

MELAZIMI DOA KEPADA ANAK



Semua orang pasti tahu bahawa doa ibu pada anak-anaknya adalah antara doa yang mustajab, iaitu pasti akan dimakbulkan Allah.

Oleh itu, mengapa tidak seorang ibu mengambil peluang dan keistimewaan ini dengan sering mendoakan anak-anak kita. Kesibukan dengan tugasan harian bukan alasan untuk kita ‘lupa’ untuk mendoakan anak-anak.

Memang tak dinafikan, kesibukan membuatkan kita lupa untuk duduk diam sebentar dan berdoa. Malah, solat kita juga kadang-kadang tergesa-gesa dek mengejar masa. Apalagi dengan anak-anak kecil kiri dan kanan. Tak mampu nak duduk lama di atas sejadah.

Namun masih boleh kita ‘mencari’ masa. Khusus untuk mendoakan anak-anak. Mendoakan seorang demi seorang, dengan hati yang ikhlas dan khusyuk. Insya Allah. Meskipun bukan di waktu solat fardu kita.

Cubalah tetapkan masa, yang kita rasa kita confirm tak lupa untuk hadiahkan doa pada anak-anak. Waktu yang terbaik mungkin ketika menemankan mereka tidur. Atau yang lebih baik, ketika tahajjud kita. Setiap orang pasti ada masa sendiri yang dirasakan sesuai kan? So, cari dan gunakan masa itu.

Aku juga sedang mencuba. Mencuba untuk menjadi seorang ibu yang tak lupa mendoakan anak-anak setiap hari. Kerana aku sedar betapa mereka memerlukan doaku untuk sebuah kehidupan yang baik di dunia ini. 

Ya. Doa dan restu seorang ibu sangat diperlukan oleh seorang anak. Sejak dia dilahirkan, hingga dia besar dewasa sekalipun, dia masih memerlukan doa dan restu seorang ibu. 

Aku mohon agar Allah panjangkan usiaku untuk terus menjaga dan mendoakan anak-anakku. Dan meski nanti aku sudah tiada, moga doaku akan terus mengalir mengiringi kehidupan anak-anakku. Sesungguhnya seorang ibu, pasti mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya!



Doa ummi sentiasa buat kalian. Insya Allah