Sunday, 24 April 2016 0 comments By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: ANAS ZAYDAN

Anas zaydan di hari pertamanya selepas dilahirkan


Kini sedang mengandungkan anak ketigaku. Insya Allah akan melahirkannya pada bulan Oktober 2016. Teringat kembali saat saat melahirkan kedua anakku Anas (2012) dan Mussaab (2014). Tergerak hati untuk mencatatnya di blog ini sebagai kenangan dan panduan.

Aku mulakan dengan catatan pengalaman bersalinkan anak yang pertama iaitu anak sulungku Anas Zaydan b. Mohd Suzainizam pada 12 Januari 2012.
Aku sendiri sudah ingat ingat lupa kerana dah lebih 4 tahun saat itu berlalu. Namun insya Allah part yang penting masih kukuh tersimpan dalam memori.

Aku dijangka bersalin pada tarikh 17/01/12. Di trimester ketiga, aku disahkan ada GDM (kencing manis). Disebabkan GDM, aku tidak boleh overdue. Means, selewat lewatnya aku perlu bersalin juga pada 17/01/12.

10/01/12 (2 hari sebelum bersalin/minggu 40)
Nak dijadikan cerita, sehari sebelum bersalin iaitu pada 10/01/12 aku memeriksa sendiri denyutan jantung anakku menggunakan fetal doppler kepunyaanku. Memang aku dan suami sering memeriksa sendiri jantung baby. Sebenarnya dah mula risau sebab aku rasakan seperti heart rate tu perlahan. Tapi, barangkali aku yang silap kira. Aku juga merasakan gerakan baby di dalam perut sepertinya sudah kurang berbanding biasa. Tapi kemungkinan juga kerana dia sudah makin besar dan ruang menjadi lebih sempit untuknya bebas bergerak. Wallahu a'lam.Hari itu juga aku perlu buat bsp untuk melihat tahap gula dalam darah. Bacaannya ada yang baik, ada yang kurang baik. Biasalah tu. Tapi risau juga...maklumlah anak sulung, semua nak risau :)

11/01/12 (sehari sebelum bersalin)
Maka pada keesokan harinya (pagi) aku ke klinik desa kg Kijang untuk menyerahkan result bsp kepada nurse. Oleh kerana ada bacaan yang kurang cantik, nurse meminta aku ke Klinik Kesihatan Badang untuk minta nasihat doktor. Suamiku segera membawa aku ke klinik Kesihatan yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah ibu mertuaku.

Aku bertemu doktor sekitar jam 9-10 pagi. Selain menyerahkan bacaan result bsp, aku juga mengadu kononnya dah rasa kurang gerakan baby di dalam perut. Doktor memandang serious aduanku, dan ditambah lagi aku yang ada masalah GDM ni, dia menasihatkan aku untuk segera ke hospital Kota Bharu untuk dapatkan nasihat dari pihak sana pula. Agak terkejut aku, yelah due lagi 5 hari. Aku risau kalau kalau disuruh bersalin hari ini. Dan lagi takut, memikirkan diri akan diinduce.

Doktor membuat surat untuk dirujuk pihak hospital. Aku tanpa sebarang alasan dan bantahan meskipun agak gementar, hanya menurut nasihat doktor. Aku khabarkan pada suami yang setia menanti di luar. Dia juga tanpa banyak alasan membawa aku ke Hospital Sultanah Zainab, Kota Bharu.

Sebaik sampai kami terus ke ruang labor room. Waktu tu sekitar jam 11-12 PM. Memang badanku sudah seram sejuk dari tadi. Tak tahu apa yang bakal terjadi padaku. Suami cuba menenangkan aku, namun rasa takut itu tetap ada. Masuk ke bahagian labor room, aku menyerahkan buku pink dan surat doktor tadi. Aku diminta menunggu di bahagian yang disediakan. Suamiku menunggu di luar. Tambah kencang degupan jantungku melihat begitu ramai orang di labor room. Semuanya menunggu masa untuk bersalin. Ada yang berwajah tenang, ada juga yang sedang menahan sakit. Aku yang sihat walafiat ini, tidak mengerti bagaimana kesakitan itu kerana aku tiada pengalaman.  Namun aku tahu ianya memang sakit, dan aku juga akan menghadapi saat itu nanti.

Agak lama menanti. 1-2 jam lebih kurang. Aku meminta suami pulang ke rumah dulu memandangkan aku sendiri tidak pasti bila akan tiba giliranku untuk diperiksa. Suamiku pulang, dan minta aku menghubunginya jika ada apa apa.

Akhirnya sampai giliranku diperiksa. Mulanya dipasang mesin ctg, kemudian scan dan cek laluan bersalin. Memang laluan belum ada lagi. Yalah, aku memang tak rasa apa apa dan tiada sebarang tanda untuk bersalin dalam masa terdekat. Aku masih dalam ketakutan, tidak tahu apa keputusan yang akan doktor buat. Setelah mereka berbincang sesama sendiri, akhirnya mereka menasihati aku untuk induce atau paksa bersalin demi untuk mengurangkan risiko yang mungkin ada.

Keputusan itu sangat berat untuk aku terima. Bertambah takut aku dibuatnya. Memang rasa nak menangis. Aku maklumkan pada suamiku. Dalam hatiku, kalaulah aku boleh cabut lari dari hospital itu...namun aku akur, mungkin itu yang terbaik.

Aku dimasukkan ke wad. Suasana wad yang penuh sesak makin merimaskan aku yang sedang ketakutan dan penuh dengan debaran ini. Aku diam di katilku, menunggu suami membawa segala keperluanku. Selepas itu aku melaksanakan solat zohor. Suami datang menemaniku dan berbual denganku. Tak dapat aku nak gambarkan perasaanku. Terasa mahu menangis saja. Dalam solatku, aku berdoa dan menangis sepenuh hati. 

Pada malamnya, aku tidur di wad hospital tanpa ditemani sesiapa. Tak perlu berteman, kerana aku tak sakit. Bebas bergerak tanpa memerlukan pertolongan orang lain. Namun hati terus direnggut sayu. Di sekelilingku ada bermacam orang dengan berbagai situasi dan kondisi. Ada yang sedang menunggu masa untuk bersalin, ada juga yang baru melahirkan. Bunyi tangisan bayi juga membuatkan malam itu 'hidup' dan tidak sunyi. Yang pastinya aku tak dapat nak lelapkan mata, memikirkan hari esok. Saling berbalas SMS dengan suamiku. Meluahkan rasa takut dan segala rasa. Dia memujuk dan akan pasti mendoakan.

12/01/12 (hari bersalin)
Hari yang mendebarkan tiba akhirnya. Selepas solat subuh, sekitar jam 7 pagi ubat induce dimasukkan melalui faraj. Aku yang pastinya sangat takut dan sukar untuk bertenang, hanya mampu pasrah dan berdoa. Semoga segalanya dipermudahkan. 

Suamiku datang menjengukku di awal pagi. Aku tahu dia juga dalam debaran. Maklumlah nak sambut anak sulung. Aku masih sihat dan tidak ada rasa sakit. Tak tahu bagaimana rasa sakit itu, dan terus berdebar untuk menanti saat sakit itu tiba. Kerana memang syarat untuk bersalin, perlu rasa sakit.

Suami setia menemaniku hingga masuk waktu zohor. Pada ketika itu aku dah mula rasa kontraksi yang tak konsisten dan tak kuat. Seperti datang bulan saja. Aku biarkan suamiku pulang untuk solat dan waktu melawat juga sudah tamat. Dia berpesan banyak perkara sebelum meninggalkan wad.

Lebih kurang pukul 3 petang aku dapat rasakan kontraksi yang semakin kerap datang, dalam kiraan 5 minit sekali. Aku maklumkan pada nurse yang berdekatan. Mereka meminta aku bersiap untuk dibawa ke labor room. Aku mencapai beg pakaian anakku dan aku ditolak ke labor room menggunakan kerusi roda. 

Apabila doktor cek laluan, rupanya dah buka 2cm. Tak lama kemudian aku dimasukkan ke dalam labor room untuk bersedia melahirkan anak. Ketuban dipecahkan. Aku maklumkan pada suamiku dan dia segera datang. Hari itu juga suamiku berpuasa. Selesai solat asar dia masuk menemaniku. 

Kontraksiku semakin kuat. Tak mampu nak kira. Ia lebih kerap datang dalam sela masa yang lebih singkat. Tapi bukaan masih sama. Ambil masa yang sangat lama dari 2cm ke bukaan seterusnya. Aku sendiri sudah lupa jangka masanya. Yang pasti aku rasa makin sakit. Tapi jalan belum sepenuhnya terbuka.

Sempat suamiku keluar berbuka dan solat maghrib, kemudian isyak. Dia cuba menenangkan aku yang sedang menanggung kesakitan. Dia membaca al Quran dan mengurut ngurut badanku. Lengannya pula sering menjadi mangsa cubitanku yang menanggung sakit saat kontraksi datang.

Akhirnya lebih kurang pukul 11 malam aku dah rasa sakit dan nak meneran. Doktor dan nurse berdiri kiri dan kanan membantu aku untuk meneran. Puas kucuba, entah berapa kali masih tak berjaya melahirkan anakku. Mungkin tiada pengalaman, banyak buat kesilapan ketika meneran. Aku tak sempat nak tahan nafas. Bayi yang dah hampir keluar akhirnya masuk semula. Doktor dan nurse dah berulangkali mengajarku teknik pernafasan yang betul. Suami yang setia di sisi juga terus memberi semangat.

Akhirnya, jam 11.57pm, aku berjaya melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat comel. Mengalir air mataku mendengar tangisannya. Suamiku sujud syukur dan melaungkan azan dan iqamah di telinganya. Bayi itu kemudian diletakkan di atas dadaku. Tuhan saja yang tahu perasaan gembira dan syukurku. Hilang segala kesakitan yang aku tanggung tadi sebaik mendengar tangisannya dan bersentuhan dengannya. 

Kemudian anakku dibawa pergi untuk dimandikan dan diperiksa keseluruhannya. Proses untuk keluarkan uri pula diteruskan. Suamiku menunggu di luar dan menghubungi keluargaku yang juga ada di Kota Bharu ketika itu. Aku dan anakku kemudian di bawa ke wad setelah selesai urusan di labor room. Suamiku pulang ke rumah, dan aku ditemani kakakku di wad pada malam itu. Kami dibenarkan pulang ke rumah pada keesokan harinya.

Begitulah kisah kelahiran anak sulungku yang diberi nama Anas Zaydan b. Mohd Suzainizam. Aku anggarkan tempoh aku menanggung sakit kontraksi untuk melahirkannya adalah lebih kurang 7-8 jam. Proses kelahiran yang aku rasakan 'sukar',  mungkin kerana ini anak sulung, tiada pengalaman dan banyak kesilapan yang aku buat terutamanya dalam teknik pernafasan ketika meneran.

Sakit diinduce dikatakan lebih sakit berbanding tidak diinduce. Aku yang ketika ini tiada pengalaman bersalin anak yang lain tidak mampu untuk membuat perbezaan. Yang pasti, aku memang 'menikmati' kesakitan itu. 

Satu hal lagi, di hari aku dimasukkan ke wad aku ada meminum air rendaman akar kayu siti fatimah (kalau tak silap namanya) yang mungkin merangsang  kontraksi. Tapi walaupun sakit, laluan jalan tak terbuka sepenuhnya juga. Semua itu hanya ku sedari setahun dua selepas itu, selepas membaca satu artikel tentang bahaya meminum air akar kayu tersebut. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku pada anakku, dan dia selamat dilahirkan.

Hari ini Anas sudah berusia 4 tahun 3 bulan. Syukur dia anak yang sihat dan cerdas. Syukur atas kelahiran anak pertamaku yang sangat dinantikan, selepas kandungan pertamaku keguguran. 

ALHAMDULILLAH





Anas Zaydan sudah berusia 4 tahun


bersambung kisah Mussaab di entri seterusnya :)



Saturday, 23 April 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 230416

Hari ini abi akan terbang ke Labuan lagi untuk kesekian kalinya. Keluar mencari rezeki yang halal dan diberkati, insya Allah.

Anas dan Mussaab bangun awal hari ini. Alhamdulillah, walaupun semalam tidur lewat dek kerana keluar sampai ke malam, kemudian sambung main lagi di rumah.

Pagi ini abi siapkan Anas's tree atas permintaan Anas yang nak mengulang hafazan. Sticker fruits juga dah beli, insya Allah Anas akan refresh semula hafazan juzuk amma yang dah lama tergendala.

Jam 9.30 pagi abi menaiki teksi ke airport. Tinggal Anas, Mussaab dan ummi di rumah seperti biasa. Alhamdulillah sudah breakfast nasi lemak dan sambal sotong yang abi masak. Pagi pagi lagi dah menonton video train dan TuTiTu. Lepas abi pergi, makan lagi kek, sate dan fries lebihan semalam.

Sambil menonton video lagi, sambil bermain monster truck yang abi beli semalam. Selepas itu sessi hafazan bermula. Dimulakan dengan surah al fatihah. Berjaya dapat 1 fruit untuk permulaan. Kemudian surah annas. Bacaan sangkut2. Ummi mahukan bacaan lebih baik, memandangkan ini adalah ulangan hafazan yang sudah lama ditinggalkan. So, tak boleh bagi fruit lg.

Kemudian minta makan roti nutella pula sebelum sambung main. Main sambil menonton lagi. Anas asyik dengan sticker vehicle yang juga dibeli semalam. Lepas tu mengadu Anas sedih. Ummi tanya kenapa tak jawab pula. Hai, dah rindu abi ke.

Ummi tunjukkan gambar scan baby. Bercerita tentang baby, adik Anas dan Mussaab yang bakal lahir, insya Allah. Kemudian sambung aktiviti masing masing.

Jam 12pm flight abi ke Labuan. Semoga Allah melindungi abi dan memudahkan urusan abi.
Ummi ajak Anas dan Mussaab naik ke tingkat atas. Tujuannya nak lelapkan mata sekejap. Tapi keduanya masih seronok nak bermain. Mussaab asyik dengan ipad yang dah seminggu tak disentuh dek kerana tidak dicas. Hari ni kembali menatap iPad. Lepas Mussaab, ipad berpindah ke tangan Anas pula. Akhirnya hanya ummi dan Mussaab yang terlena. Anas yang memang susah nak tidur siang, terus leka dengan ipad.

Jam 2 petang, Mussaab masih lena tidur. Ummi dan Anas makan nasi lemak yang abi masak tadi. Lepas tu buat aktiviti dengan Anas yang sudah kebosanan. Buka buku pattern dan buat sama sama. 

Jam 3 petang, Mussaab bangun dari tidur. Dah banyak tidur, kini bertenaga semula. Asyik bermain monster truck. Anas pula asyik dengan stickernya. Sehingga jam 4 petang, hujan mula turun dari rintik rintik hingga akhirnya lebat dan menyamankan. Tak tergambar perasaan syukur, memandangkan sudah lama bumi dalam kepanasan kesan el nino. Anas dan Mussaab yang excited bersorak riang bersama turunnya hujan, dan berlari keluar bermain hujan. Ummi biarkan sahaja, memerhati dari dalam rumah. 

Kemudian ummi naik ke atas untuk solat asar. Anas seperti biasa akan ikut ke mana ummi pergi. Mussaab asyik dengan video TuTiTu dan permainannya. Sempat ummi baca al Quran ditemani Anas, Mussaab masih leka di bawah hingga ummi turun dan suapkan nasi. Lepas makan, Anas pula request nak tengok video train. Ummi penuhi permintaannya. Kemudian video nasyid toyor baby pula. 

Jam 7 PM, ummi ajak naik mandi. Anas ikut ummi naik. Mussaab masih asyik dengan lagu toyor baby. Tak daya ummi nak angkut Mussaab naik atas. Anas mandi dulu. Mussaab kemudiannya naik ke atas dan mandi. Selesai keduanya. 

Ummi bersiap untuk solat maghrib. Terpaksa solat di luar untuk elakkan Mussaab memanjat almari. Pantang masuk bilik ummi, mesti nak panjat almari. Dah la tinggi dan membahayakan. Sangat merisaukan ummi.

Lepas ummi solat dan baca al Quran, Anas dan Mussaab angkut buku satu persatu untuk dibaca. Leka sekejap dengan buku. Selepas solat isyak  tengok video lagi. Hingga jam 9.30 malam, ummi ajak masuk tidur. Ummi tutup TV dan computer. Anas dan Mussaab menangis tak nak tidur lagi walaupun sebenarnya dah mengantuk. 

Masuk ke bilik dan tutup lampu. Sempat lagi Mussaab panjat almari. Geram ummi dibuatnya. Ummi biarkan sehingga Mussaab menangis nak turun. Lepas tu masing masing terlena juga dalam kegelapan malam. 

Hari ini sudah berakhir buat Anas dan Mussaab. Masing masing ada ragam tersendiri. Kadang menguji kesabaran ummi, namun akhirnya ummi juga yang menyesal dan rasa bersalah pada kalian kerana sikap kurang sabar ummi.

Lenalah tidur Sayang. Ummi sangat menyayangimu. Semoga esok menjanjikan sinar buat kalian. Maafkan segala kekurangan ummi dalam mendidik. Semoga Allah sentiasa menjaga kalian. Ameen..










SAAT BAHAGIA BERSAMA

Hampir seminggu suamiku di labuan, akhirnya balik bertemu anak isteri yang kerinduan. Tapi pulangnya hanya untuk 3 hari, dan akan kembali bekerja untuk beberapa hari pula. 

Sebagai isteri pastinya aku mengerti rentak kerjanya. Perlu berjauhan dengan anak isteri sudah pastinya. Tempoh percutiannya kadang kadang sekejap, kadang kadang lama. Bergantung pada jadual kapalnya. Anak anak juga seakan mengerti dan memahami abi tak selalu ada untuk mereka. 

Pulangnya kali ini hanya untuk 3 hari, dan kebetulan pula ibu mertuaku tidak sihat. Suami bersendirian pulang ke kampung untuk ziarah ibunya. Atas banyak sebab, aku dan anak anak tak dapat pulang bersama. Suami membeli tiket pergi dan balik. Satu hari suamiku di kampung. Kami di rumah kerinduan lagi.

Esok pulangnya, suami cuba untuk menggembirakan hati anak anak yang bakal ditinggalkan lagi di esok harinya. Dia cuba sebaiknya menghabiskan masa bersama keluarga. Bawa anak anak bermain di taman, membeli permainan dan memenuhi setiap permintaan anak anak. Dari petang, hingga malam baru kami pulang ke rumah.

Hari ini suami kembali ke tempat kerja, dengan rasa kepuasan di hati, insya Allah. Tiada rasa bersalah pada anak anak. Kerana dia yang kukenal adalah seorang suami dan ayah yang sangat baik dan cuba sedaya upayanya untuk menyenangkan hati anak dan isterinya. 

Aku tahu dia telah mencuba yang terbaik. Aku tahu dia menyayangi kami sepenuh hati. Aku bersyukur di atas segala sikap bertanggungjawab yang telah dia tunjukkan. Ya, dia bukan sempurna tetapi dia telah memberi yang terbaik dan cuba membahagiakan.

Sungguh, tanpanya kami kerinduan dan menanti kepulangannya dengan pengharapan. Aku yang pastinya bukan seorang isteri yang baik dan sempurna, sentiasa mengharapkan pertemuan dengannya agar aku dapat terus mencuba untuk menjadi isteri yang membahagiakan hatinya. Aku yang terlalu banyak kekurangan ini, mengharap agar terus diberi peluang oleh Allah untuk memperbaiki diri agar tidak terus khilaf bertindak.

Aku bersyukur ditakdirkan dia untukku. Dia yang terbaik, dia yang paling membahagiakan. Aku mendoakan agar dia sentiasa di dalam rahmat dan kasih Ilahi. Semoga suamiku terus kuat, dan mampu menjadi pemimpin yang akan memimpin kami ke jalanNya. Insya Allah.


Sepetang di Stadium Kajang



















Friday, 22 April 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 170416

Sudah lama ummi tak update tentang aktiviti anak anak ummi. Ini adalah yang pertama untuk tahun ini :D

Sudah berada di bulan April 2016. Menjalani kehidupan bersama ummi dan abi di rumah sewa baru yang lebih selesa, insya Allah.

Hari ini abi tiada di rumah. Sudah 4 hari di Labuan, seperti biasa berjuang mencari rezeki buat kita sekeluarga. Semoga Allah melindungi abi dan mengurniakan rezeki yang berkat buat kita.

Anas dan Mussaab bangun awal hari ini. Anas bangun ketika ummi sedang bersiap untuk solat subuh. Mussaab pula bangun sekitar jam 7 pagi. Maklumlah semalam tidur awal semuanya. Kalau tidur lewat, lewat jugalah bangunnya.

Anas dan Musaab bersarapan dengan roti coklat nutella dan roti bakar. Selepas makan, naik mandi. Kemudian bermain permainan yang ada, sementara ummi memasak kue teow goreng. Seperti biasa, mainan berselerak di ruang tamu. Ummi biarkan saja, asal tak menagis dan merengek minta yang bukan bukan. Selesai masak, makan bersama. Mussaab makan berselera. Makan lebih banyak dari Anas. Lapar sangat barangkali ;)

selesai ummi kemaskan dapur dan meja makan, masanya untuk menjemur kain pula. seperti biasa, Anas dan Mussaab akan setia menemani ummi sambil bermain di luar rumah. Anas yang baik, akan tolong ummi jemur kain bersama. good boy :) kemudian masuk ke rumah, Mussaab request nak tengok video TuTiTu, video kegemarannya, Anas kini dah kurang berminat dengan video. Anas lebih banyak menghabiskan masa dengan mainan. Berimaginasi dan menghasilkan sesuatu menggunakan permainan miliknya. kadangkala whiteboard menjadi pilihan Anas untuk melukis sesuatu yang terlintas di fikirannya. 

Jam 10 pagi, rumah dah bersepah sana sini dengan mainan. Ummi biarkan saja, masing masing buat hal sendiri. Ummi juga selesaikan urusan ummi. 

Jam 11 pagi, Mussaab minta nak makan kuih. Ummi panaskan cekodok pisang yang Mussaab suka. Makan sampai puas. Jam 11.30 pagi ummi masak untuk lunch, sambil anak anak terus leka bermain. Anas pula asyik melukis di whiteboard dan kertas. 

Pukul 12, lunch sama sama. Mussaab kurang makan nasi, banyak makan ayam goreng. Anas makan berselera hingga kekenyangan. Lepas makan, Mandi lagi dan main lagi. Ummi mop lantai yang dah motor. Rumah masih bersepah dengan barang permainan. 

Pukul 1, Naik atas bersama anak anak untuk bersiap solat zohor dan tidur. Ambil masa juga nak tidur. Masing masing masih nak bermain. Akhirnya keduanya terlena. Hingga jam menghampiri 5 petang barulah bangun semula.

Ummi siapkan makan malam, suapkan makan, angkat kain di jemuran dan kemas ruang tamu yang bersepah dengan bantuan Anas dan Mussaab. Alhamdulillah kemas juga rumah akhirnya. 

Jam 7 malam naik mandi dan ummi bersiap untuk solat maghrib. Anas dan Mussaab leka dengan buku yang ummi letakkan di atas katil. Kemudian baca alquran dan main lagi. Hingga ummi selesai solat isyak, turun semula ke bawah dan menonton video. Anas, sambil menonton sambil melukis. Mussaab pula sambil menonton, sambil main.

Lebih kurang pukul 10 malam ummi ajak masuk bilik, tutup lampu dan masing masing terlena akhirnya.

Alhamdulillah di atas segala nikmat hari ini. Anak anak ummi sihat dan baik baik saja bersama ummi. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik. Ameen.













MULIA SEORANG IBU


Betapa seorang ibu itu sangat mulia di sisi Allah. Betapa ibu lebih dimuliakan berbanding bapa dan yang lain. Betapa Islam menitikberatkan soal ketaatan kepada ibu dan terlalu banyak ayat al Quran dan Hadis yang menceritakan tentang kemuliaan seorang ibu dan kewajipan dalam mentaati ibu.

YA, kerana hakikatnya seorang ibu itu tersangat mulia. Dari ibu kita dilahirkan, disusukan, dipeluk, dibelai, didodoi, dipujuk, dididik, diajar tentang banyak perkara, dan sesungguhnya ibu terlalu banyak berkorban dan berjasa. Hanya kita yang jarang menyedarinya...

Kerana jarang si ibu ingin mengeluh atas kesusahannya. Tak siapa yang rasa perit penderitaannya, dari melahirkan dan menjaga si anak hingga dewasa. Kesusahan yang kita lihat, hanya sebahagian dari apa yang diselindungkan di dalam hatinya.

kini setelah bergelar ibu, sedikit demi sedikit aku mengerti kepayahan seorang ibu. Masih belum sepenuhnya mengerti, namun gelaran ibu ini sedikit demi sedikit mengajarku erti pengorbanan seorang ibu. Meski banyak khilaf dalam menjalankan tugasan ini, aku tetap belajar dan cuba untuk mengerti. Rindu pada ibu yang melahirkan dan membesarkan, rasa berdosa pada ibu yang banyak berkorban dan berjasa. Tak mampu untuk ku balas jasanya. Semoga Allah tempatkan ibu di kalangan hambaNya yang soleh. ameen

Kerana mulianya seorang ibu, terkadang rasa bangga menjadi seorang ibu. Namun dalam masa yang sama, tetap perlu ingatkan diri bahawa kemuliaan itu sesuatu yang perlu diusahakan. Ya, betapa kita menanggung keperitan melahirkan si anak, menjaganya dari kecil dengan penuh kasih sayang, tapi bukan sekadar itu. Bagaimana pula dengan bentuk didikan yang kita berikan pada anak, adakah nilai murni yang kita tanamkan dalam jiwanya, bagaimana pembentukan akhlaknya, sudahkah kita kenalkan dia pada Allah dan Rasul, dan sebagainya.

Tak lupa, bagaimana pula tahap kesabaran saat berhadapan dengan sikap anak anak yang pasti banyak ragamnya. Adakah kita bersikap tenang dan sabar, atau lebih banyak menengking, mengherdik dan memarahinya. 

Dalam memikirkan kemuliaan seorang ibu, hati tak lepas dari rasa berdosa pada si anak. Salahnya sering dibalas dengan kemarahan, banyak pula pertanyaannya yang tak mampu diberi respon dengan sebaiknya, banyak masa yang sepatutnya untuk si anak dihabiskan pada perkara yang lain, mainnya jarang ditemani, permintaannya tak semua dapat dipenuhi meskipun simple, saat meragamnya pula dibalas dengan suara yang keras tanpa cuba untuk memahami hati dan kemahuannya. Sungguh, terlalu banyak dosa pada si kecil itu..

Dalam meraih kemuliaan itu, aku sedar aku perlu lebih banyak bersabar dan berusaha. Kemuliaan tak akan sendiri datang. Usah mimpikan kemuliaan andai kita sendiri jauh dari dari sikap yang mulia yang layaknya seorang ibu tampilkan. Usah juga mimpi untuk dimuliakan si anak jika kita sendiri sering mengabaikannya dan memberi layanan yang tak sewajarnya pada si anak. Bagaimana sikap dan layanan kita pada anak anak hari ini, memberikan gambaran bagaimana sikap dan layanan anak anak pada kita suatu hari nanti.

Maka  beringatlah wahai ibu sekalian, meskipun Allah meletakkan ibu di tempat yang mulia, namun kita juga perlu menilai diri kita apakah kemuliaan itu layak buat kita. Tidak salah untuk kita sentiasa muhasabah diri, kerana sesungguhnya kita sebagai manusia biasa pasti takkan terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa meskipun pada anak anak kita. Ayuhlah bertaubat dan bersama memperbaiki kesilapan diri agar kemuliaan seorang ibu itu mampu kita raih. Insya Allah.

CATATAN KEHAMILAN: 15TH WEEK OF PREGNANCY



Alhamdulillah hari ini kandunganku berusia 15 minggu 2 hari. Sudah hampir mencecah usia 4 bulan. Tiada kata seindah lafaz Alhamdulillah, segala puji layaknya pada Allah yang satu.

Sempat ke klinik untuk scan baby di dalam kandungan. Sebenarnya agak risau dan tertanya tanya juga, bagaimana keadaannya. Walaupun sudah di trimester kedua, kebimbangan tetap ada, cuma kurang sedikit berbanding di awal kandungan dulu. Aku mengajak suami ke klinik sebaik pulangnya dari Labuan untuk scan anak ini.

Kami ke klinik berdekatan dengan rumah iaitu klinik pakar wanita asyifa di Pelangi 2 Semenyih. Suami dan anak anak ikut sama untuk melihat baby yang discan. Kali ketiga aku scan, dan ini kali pertama suamiku melihatnya. 

Alhamdulillah, segalanya baik. Gembira hati ini dapat melihat baby yang sihat di dalam rahimku. Nampak segala kepala, tangan, kaki, tulang dan pusat. Pembesarannya juga sama dengan tarikh jangka mengikut tarikh akhir period. Hati syukur tak terkata, lenyap kebimbangan yang ada. Suami juga kelihatannya teruja buat pertama kali melihat anaknya ini. Tambahan pula doktor memberi harapan anak ini mungkin girl. Lagi seronoklah... Insya Allah. Apa saja takdirNya aku tetap terima. Yang pasti, jantinanya masih belum pasti. Mengikut kata doktor, kalau lelaki kebiasaannya sudah nampak 'lelaki'nya :D

Anas tak kurang excitednya melihat baby yang sedang bergerak gerak. Dia tahu dia bakal dapat adik. Mussaab pula mungkin masih kurang mengerti. Tapi dia tahu dia sedang melihat seorang baby. Tapi tak tahulah pula dia akan ada adik nanti :)

Selesai scan, kami ke KL untuk settlekan urusan suami di ofisnya berdekatan KLCC. Sekejap saja urusannya. Kemudian kami ke Taman Tasik Perdana atas permintaan Anas. Walaupun cuaca dah agak panas, penuhi juga la permintaan si anak. Biarkan mereka bermain sepuasnya di taman permainan. Sempat juga menjamu selera di cafe yang ada di situ.

Selepas itu ke ioi Mall Putrajaya semata mata nak belikan mainan anak di toys r us. Maklumlah suamiku akan ke Labuan lagi untuk beberapa hari. Pastinya dia nak gembirakan hati si anak yang sudah banyak hari ditinggalkan dan bakal ditinggalkan lagi. 

Selesai urusan, terus bertolak balik ke rumah. Agak memenatkan juga, tapi syukur segala urusan selesai. Paling happy dapat lihat baby yang sihat di dalam kandunganku.

Terima kasih ya Allah di atas anugerah Mu ini. Semoga anak di dalam kandunganku ini terus sihat dan selamat dilahirkan. Permudahkan ya Allah...

Aameen
Wednesday, 13 April 2016 0 comments By: Naemah

BERAPA LAMA LAGI

picture: here


Semua insan mengimpikan hidup bahagia selamanya bersama pasangan. Jika diizinkan Allah, ingin bersama selamanya di dunia dan di akhirat.

Namun kita sendiri tidak tahu, entah berapa lama lagi akan hidup bersama. Mungkinkah masih ada hari esok untuk kita berdua meneruskan kehidupan dan cinta? Sesungguhnya tak siapa dapat menjamin bagaimana takdir hari esok.

Namun dalam sedar atau tidak, tempoh masa akan semakin singkat. Entah siapa yang akan pergi dulu. Entah bila...

Masa yang singkat tidak wajar dipersiakan. Mengapa antara kita mesti ada sengketa, sakit hati, salah sangka, hingga membawa kepada rajuk yang panjang, dan marah yang tidak reda.

Memang asam garam kehidupan, kita tak selalunya sefahaman. Malah sering pula berbeza, namun tenanglah mencari jalan keluar. Jangan diikut rasa hati yang sakit dan marah. Jangan renggangkan hubungan yang hakikatnya saling mencintai.

Ya. Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan sengketa dan masam muka. Kalaulah kita menyedari hakikat ini, pasti kita akan menghargai setiap detik bersama. Kerana hakikatnya kita saling mencintai.

Muhasabah diri... 
Agar masa bersama menjadi saat dan detik yang terindah dalam hidup kita dan dia. 
Agar tiada penyesalan di suatu hari nanti, saat dia sudah tiada di sisi lagi.

Sungguh, masa ini terlalu berharga untuk disiakan. Entah berapa lama lagi....