Minggu lepas - seminggu yang perlu bersendirian menguruskan segalanya. Ada harinya berjalan lancar, ada harinya hadir perkara yang langsung tidak diduga.
Pagi Isnin, aku bangun awal dan terus ke dapur menyediakan mi goreng untuk sarapan anak-anak. Selesai memasak, tiba masa mengemas pula. Satu tangan memegang botol sos tiram, satu tangan lagi memegang botol yang lain. Sekelip mata, botol sos tiram terlepas daripada genggaman (kerana licin) lalu terhempas ke lantai. Pecah berderai. Kaca dan sos tiram memenuhi lantai dapur.
Alahai… bertambah pula satu kerja. Sedangkan masa terus berjalan. Perlu menghidangkan sarapan, mengejutkan anak-anak, dan bersiap ke sekolah. Namun akhirnya, semuanya tetap berjalan seperti yang sepatutnya. Alhamdulillah.
Hari yang sama, selepas mengambil Suri dari sekolah sekitar jam 11.30 pagi, aku menjerang air dengan niat untuk menjirusnya ke lubang sinki. Selepas meletakkan periuk berisi penuh air di atas dapur, terus terlupa.
Jam 12.15 tengah hari keluar menghantar Anas dan Suri. Jam 12.50 pula menunggu Mussaab pulang dari sekolah. Balik ke rumah, menunaikan solat Zuhur, kemudian bersiap untuk menghantar Mussaab ke sekolah agama sekitar jam 2 petang.
Ketika itulah terhidu satu bau yang pelik dari arah dapur.
Dalam hati tertanya-tanya, bau apa pula ni? Langsung tidak teringat tentang air yang dijerang tadi. Bila melangkah masuk ke dapur, barulah semuanya kembali dalam ingatan.
Ya Allah…
Air di dalam periuk hampir kering. Sudah lebih dua jam di atas dapur.
Syukur. Allah masih memelihara dan menyelamatkan kami daripada sesuatu yang tidak diingini.
Jumaat pula, pagi bermula seperti biasa. Bezanya, pagi itu baru teringat pakaian sekolah anak-anak langsung belum disediakan. Kebiasaannya, setiap malam aku akan pastikan pakaian yang hendak dipakai keesokan hari sudah siap disangkut supaya pagi tidak kelam-kabut. Malam sebelumnya, entah bagaimana, langsung terlupa.
Maka bermulalah misi mencari pakaian, menggosok mana yang perlu, kemudian barulah mengejutkan anak-anak. Syukur juga, semuanya tetap sempat dan urusan pagi berjalan dengan lancar.
Itulah tiga kejadian yang tidak diduga sepanjang minggu lepas.
Sesekali, Allah hadirkan perkara-perkara kecil yang membuatkan jantung berdegup lebih laju, hati menjadi cemas, dan diri diuji untuk tetap tenang di tengah kekalutan. Pada saat-saat seperti itulah kita sedar, sehebat mana pun kita merancang, akhirnya Allahlah yang mengatur setiap urusan.
Minggu ini mengajar aku bahawa bukan semua hari akan berjalan sempurna. Akan ada yang pecah, yang terlupa, yang tersilap. Tetapi selagi Allah masih memelihara, memberi ilham untuk bertindak, dan mengakhiri setiap urusan dengan baik, itu sudah menjadi nikmat yang sangat besar.
Alhamdulillah, setiap ujian datang bersama rahmat-Nya. Dan setiap kali hati hampir hilang tenang, Allah sentiasa mengingatkan bahawa kita tidak pernah menguruskan hidup ini sendirian.
0 comments:
Post a Comment