Rutin mak-mak suri rumah yang hanya difahami oleh mak-mak suri rumah. Mak bekerja pula, lain cabarannya. Mak suri rumah… here we go.
Hari-hari kami hampir sama. Seakan-akan hidup ini berjalan dalam satu kitaran yang tidak pernah berhenti.
Setiap pagi bermula sebelum matahari menyapa. Mengejutkan anak-anak untuk bangun Subuh dan bersiap ke sekolah. Sekali dipanggil belum tentu bangun. Dua kali, tiga kali, entah berapa kali lagi sehingga semuanya selesai mandi, bersiap dan bersolat.
Masuk pula ke dapur. Menyediakan sarapan, membancuh air, dan mengisi bekal jika perlu. Selesai memasak, bermulalah sesi mengemas. Pinggan, cawan, periuk dan kuali dibasuh. Dapur dilap. Sampah dibuang. Baru terasa kemas sekejap, beberapa jam kemudian berulang semula. Sehari bukan sekali, tetapi berkali-kali.
Begitu juga dengan pakaian. Basuh, jemur, angkat, sangkut, lipat. Baru bakul baju kosong, tidak lama kemudian penuh semula dengan pakaian kotor. Seolah-olah kerja itu tidak pernah benar-benar selesai.
Ruang tamu disapu, barang yang berselerak disusun semula. Menjelang petang, rumah kembali berkecah dengan mainan, beg sekolah dan macam-macam lagi. Esok pagi, rutin yang sama menanti.
Baju sekolah pula dibasuh, digosok dan digantung. Ulang setiap hari sepanjang musim persekolahan.
Yang kecil pula ada ceritanya sendiri. Perlu dimandikan, disuap makan, ditukar lampin pada waktunya, dipujuk ketika meragam, didukung ketika mahu. Ada masanya mahu melekat sepanjang hari. Ada masanya menangis tanpa sebab yang kita fahami.
Di celah-celah itu, ada pula rutin menghantar anak ke sekolah, mengambil mereka pulang, menemani membuat kerja sekolah, melayan pelbagai kerenah, sambil memastikan rumah terus berfungsi seperti sepatutnya.
Itulah kehidupan seorang suri rumah. Banyak kerja yang tidak bergaji, tidak habis, dan kadang-kadang tidak disedari orang. Namun setiap satunya adalah tanda kasih yang sedang diterjemahkan dalam bentuk pengorbanan.
Untuk diri sendiri, teruslah bersabar. Teruslah ikhlas. Penat ini bukan untuk selamanya. Anak-anak akan membesar, rumah akan berubah suasananya, dan suatu hari nanti mungkin kita pula akan merindui kesibukan yang hari ini terasa melelahkan.
Selagi Allah masih memberi kudrat, nikmatilah setiap fasa ini sebaik mungkin. Tidak mengapa jika ada hari yang terasa sukar. Tidak mengapa jika sesekali terasa letih. Berehat apabila perlu, tersenyumlah apabila mampu, dan teruskan melangkah dengan hati yang bersyukur.
Kerana di sebalik rutin yang berulang itu, sebenarnya sedang terbina sebuah keluarga yang membesar dengan kasih sayang seorang ibu. Insya Allah.
0 comments:
Post a Comment