Sering juga aku terfikir…
Alangkah seronoknya kalau sesekali dapat keluar seorang diri. Singgah di sebuah kafe, pesan makanan yang aku suka, minum kopi yang aku suka, kemudian duduk lama-lama tanpa perlu tengok jam. Tak perlu fikir siapa nak mandi, siapa nak makan, siapa nak bergaduh. Biarlah anak-anak dijaga suami di rumah.
Tapi sampai hari ini, benda itu cuma tinggal dalam fikiran.
Kalau keluar seorang diri pun, biasanya sekadar beli barang. Kadang-kadang singgah beli kopi, kemudian habiskan kopi itu seorang diri di dalam kereta. Itulah versi “me time” yang paling selalu aku dapat.
Suami pun tak pernahlah tiba-tiba offer untuk aku berbuat demikian.
Mungkin sebab dia kenal aku. Pada pandangan dia, aku memang jenis yang lebih suka duduk di rumah daripada keluar. Yang selalu dia buat ialah bawa anak-anak keluar, dan biarkan aku menikmati suasana rumah yang sunyi sebentar. Sejujurnya, itu pun aku suka. Dapat minum kopi dengan tenang, membaca, menulis, atau sekadar menikmati bunyi kipas tanpa suara yang lain.
Aku pula tak pernah meluahkan keinginan yang satu itu. Walaupun aku tahu dia mungkin akan memahami, tetap ada rasa segan dan takut dengan jawapan yang belum tentu seperti yang aku harapkan.
Hakikatnya, sebelum berkahwin dulu, memang begitulah aku.
Aku memang selesa bersendirian.
Zaman belajar dulu, makan seorang diri bukan perkara pelik. Pergi kelas seorang diri, malah ‘outing’ seorang diri, semuanya biasa. Bukan sebab tak ada kawan. Ada. Cuma aku memang menikmati waktu-waktu sunyi itu. Mungkin sebab sejak kecil aku sudah terbiasa dengan kesunyian.
Namun, bila terlalu lama hidup sendiri, tentu aku juga menyimpan impian seperti orang lain. Aku juga mengimpikan seorang teman hidup. Aku juga mengimpikan anak-anak yang akan memenuhi rumah dengan gelak tawa. Sebuah keluarga yang boleh mengubat sunyi yang pernah menjadi teman bertahun-tahun.
Dan Allah menghadiahkan semua itu kepadaku.
Alhamdulillah.
Cuma lumrah berkeluarga yang tak pernah ada dalam bayanganku ialah, tentang kehidupannya yang tak menjanjikan indah sentiasa.
Rumah tangga yang paling bahagia sekalipun tetap ada hari tenangnya dan hari ributnya. Ada saat kita ketawa bersama, ada juga saat kita menghela nafas panjang kerana terlalu penat fizikal dan mental.
Sebagai seorang ibu, rasa lelah itu memang nyata. Setiap hari melayan kerenah anak-anak yang sedang membesar, mengurus rumah yang bagai tak pernah siap, dan hidup dalam suasana yang sentiasa ada bunyinya.
Sampai ada waktu-waktu tertentu, hati ini tiba-tiba merindui sunyi yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupku.
Bukan kerana tidak bersyukur dengan kehadiran mereka.
Jauh sekali.
Aku cuma rindu untuk berhenti sekejap. Memberi ruang kepada diri sendiri untuk diam, supaya bila pulang nanti, aku masih mampu menjadi ibu yang sabar, isteri yang tenang, dan manusia yang tidak lupa menjaga dirinya sendiri.
Mungkin itulah hakikat kehidupan.
Dulu aku berdoa agar kesunyian ini diisi dengan sebuah keluarga.
Hari ini, di celah riuhnya keluarga yang Allah pinjamkan, sesekali aku diusik rindu pada kesunyian yang dulu.
Bukan aku ingin lari dari mereka. Malahan akulah yang paling takut ‘hilang’nya mereka dari hidupku.
Aku hanya menginginkan suasana diam sebentar. Tenang sebentar. Bersendiri sebentar.
Walau aku sendiri pun sangsi pada diri sendiri, adakah setelah aku dapat semua yang dalam fikiran aku ni; aku akan kembali ke rumah menjadi versi diri yang lebih baik? Entahlah…
0 comments:
Post a Comment