Bila keluar dengan suami, terasa kaya betul. Tak kisah walau sekadar keluar bawa diri saja. Duit ada kat sebelah je. Nak beli kopi, makan sedap, atau singgah beli barang sikit-sikit pun rasa tenang. Sebab tahu, ada “bank bergerak” di sebelah.
Tapi kalau keluar sorang, terus bertukar jadi manusia paling berjimat di dunia. Masuk kedai dengan penuh semangat, keluar bawa satu dua barang je. Yang lain semua masuk dalam kategori, “Tak apa, lain kali.”
Kadang-kadang, adalah rasa cemburu sikit. Sikit je tau. Bukan cemburu sampai dengki. Jauh sekali tak bersyukur.
Cuma bila tengok wanita yang ada duit sendiri, sama ada kerana bekerja ataupun suri rumah yang pandai cari pendapatan dari rumah, terdetik juga dalam hati, “Bestnya dia…”
Best sebab mereka ada pilihan. Kalau teringin beli sesuatu, tak perlu fikir panjang sangat. Kalau nak belanja anak-anak, nak hadiahkan sesuatu untuk diri sendiri, semuanya lebih mudah untuk mereka buat keputusan.
Kalau mereka hulur sedikit untuk bantu suami, itu satu sedekah yang sangat indah. Kalau tak hulur pun, tak salah. Itu hasil titik peluh mereka sendiri.
Kebelakangan ni pulak, suka buka thread. Ada yang kongsi kopi hipster, ZUS, CBTL, sandwich, kek, pastry dan macam-macam lagi makanan viral. Aduhai… terliur juga dibuatnya. Kadang-kadang bukan nak sangat pun, tapi bila tengok orang post, terus rasa macam, hadir juga teringin ni. Siapa suruh tengok life orang kan?
Suami aku pula bukan jenis yang layan benda-benda macam ni. Dia tak layan sangat kopi. Kadang-kadang bancuh sendiri je kat rumah. Kadang-kadang beli kat gerai tepi jalan je. Atau minum apa yang ada je. Jadi, takkanlah aku nak beria-ia minta itu ini pula.
Sesekali tu, aku beli juga senyap-senyap. Guna duit yang ada dalam tangan. Sesekali je. Bukan selalu.
Dan sesekali juga, suami belanja aku iced coffee Dunkin’ (tanpa gula), kegemaran aku. Ya Allah… sukanya rasa. Bukan sebab kopi tu luar biasa pun. Tapi sebab dia yang belanja. Terus rasa macam kopi paling sedap dalam dunia.
Bila fikir balik, sepatutnya aku lebih banyak bersyukur. Mungkin bukan setiap minggu dapat merasa kopi yang diidamkan. Mungkin tak semewah orang lain yang bebas membeli bila-bila masa. Tapi Allah tetap gerakkan hati suami untuk menggembirakan aku, walaupun sekali-sekala. Dan rupanya, yang sekali-sekala itulah yang buat kita lebih menghargainya.
Berbalik kepada aku- kadang-kadang nak beli sesuatu yang bukan keperluan pun, fikir sampai tiga empat kali. Bukan sebab suami berkira. Tapi sebab aku sendiri yang rasa sayang nak keluarkan duit yang bukan aku usahakan.
Mungkin sebab itulah, bila keluar dengan suami rasa “kaya”. Bila keluar sorang, rasa “miskin”. Hakikatnya bukan miskin pun. Cuma lebih berhati-hati.
Tapi tak mengapalah.
Setiap orang ada rezeki yang berbeza. Ada yang Allah murahkan rezeki melalui kerjaya. Ada yang melalui perniagaan. Ada yang melalui suami. Dan ada yang Allah bagi nikmat masa untuk membesarkan anak-anak ketika mereka masih kecil.
Siapa tahu, suatu hari nanti Allah izinkan juga aku ada pendapatan sendiri. Tak perlu banyak. Cukuplah ada sedikit duit poket hasil usaha sendiri. Boleh belanja diri sekali-sekala tanpa rasa bersalah.
Sementara menunggu hari itu, aku terus belajar bersyukur dengan rezeki hari ini. Sebab akhirnya, bukan soal siapa yang paling banyak duit.
Tetapi hati yang sentiasa rasa, “Alhamdulillah… Allah masih cukupkan.”
0 comments:
Post a Comment