Saturday, 18 August 2018 By: Naemah

DIARI ANAKKU: 180818






Cuti sekolah dah bermula. Anas, Mussaab dan Miqdad hanya di rumah. Hari ini abi berangkat ke Bintulu. Abi meninggalkan rumah seawal jam 5.30 pagi ketika anak-anak masih lena. Seperti biasa abi mengucup setiap seorangnya sebelum bertolak pergi. 


Anas, Mussaab dan Miqdad bangun dari tidur jam 8 pagi. Sedikit lewat, bila hari cuti sekolah. Apatah lagi kalau tak dikejutkan. Lepas mandi,  berpakaian dan turun ke bawah. Ummi keluar membeli nasi lemak bersama Miqdad. Anas dan Mussaab tak nak ikut, asyik menonton tv. Ummi kuncikan pintu dan keluar sekejap membeli nasi lemak dan lauk di kedai runcit. Ummi segera balik, dan makan bersama-sama. Anas, Mussaab dan Miqdad hanya menonton tv. Bosan menonton, bermain apa saja yang ada di dalam rumah. Ummi selesaikan kerja rumah. Miqdad yang semalam demam hari ini dah sihat, Alhamdulillah. Semalam lemah, hari ni aktif bermain segala benda dan memanjat.


10.30, lepak-lepak di depan tv lagi. Anas melukis, adik-adik menonton. Miqdad yang tadi aktif bermain dan berjalan sana sini dah meminta susu. Abi juga dah sampai di Bintulu. Abi bertanyakan khabar anak-anak.


 Jam 11 ummi keluar menjemur kain dan memasak. Anas, Mussaab dan Miqdad tetap dengan hal masing-masing. Anas ambil aiskrim di dalam peti dan makan bersama adik-adik. Alhamdulillah Miqdad ceria bermain dan duduk bersama abang-abang, tak menangis dan tak minta perhatian ummi sehingga selesai kerja memasak.


Jam 12.30, makan bersama-sama. Dah siap semua makan, giliran ummi pula makan. Anas, Mussaab dan Miqdad bermain di luar rumah. Hujan turun renyai, Anas dan Mussaab angkat kain di jemuran. Hujan hanya sekejap saja. Anas, Mussaab dan Miqdad sambung bermain di luar. 


Jam 1, masuk ke dalam rumah. Semua naik ke atas. Anas, Mussaab dan Miqdad masuk ke dalam bilik air dan leka sebentar bermain air dan meluncur di lantai yang basah. Lepas mandi main lompat-lompat di bilik tidur pula. Sabar jelah. Inilah permainan hari ni, di hari cuti sekolah. 


Lepas solat zohor, ummi susukan Miqdad dan cuba tidurkan Miqdad. Namun kemudian segar kembali, dan bermain lagi. Ummi lelapkan mata seketika, hingga kemudian Miqdad datang lagi meminta susu dan akhirnya tidur. Mussaab juga lena di sebelah Miqdad. Anas dari tadi leka dengan Hp ummi, explore apa yang ada. 


Jam 3.30, Anas turun ke bawah dan keluar ke halaman seketika. Ummi juga turun. Anas buka video di tv dan menonton lagi. Mussaab juga turun dan baring di sofa pula. Miqdad masih lena keseorangan di atas. Ummi ambil peluang makan ‘roti aiskrim’ sekejap. Sudah makan, Miqdad menangis terjaga dari tidur. Ummi naik susukan Miqdad, Miqdad tidur sekejap dan bangun menangis lagi. Ummi bawa Miqdad turun ke bawah. 


Anas, Mussaab dan Miqdad makan aiskrim lagi. Habis sudah sebekas aiskrim. Ummi masakkan spageti. Mussaab makan spageti hingga kekenyangan. Selepas asar, Anas dan Mussaab bermain basikal di jalan. Miqdad hanya bermain di halaman rumah. Dah puas bermain, masuk ke dalam rumah dan menonton tv lagi. Anas dan Miqdad makan nasi. Lepas makan lepak dan main lagi di depan tv.


7 malam, naik mandi, solat dan baca al-Quran. Kemudian bermain dan bermain lagi. Sempat juga melukis di buku journal. Lepas isyak video call abi, tapi tak cakap lama sebab abi berada di luar bersama kawan-kawannya. Bersiap untuk tidur. Tutup lampu dan rebahkan badan masing-masing. Miqdad dan Anas yang terawal tidur. Mussaab masih banyak cakap dan bertanya. Hampir jam 10, akhirnya lena juga Mussaab. Alhamdulillah :)


Semoga bermimpi indah semuanya anak-anak ummi. Semoga esok akan lebih baik dan lebih terisi dengan hal bermanfaat. Insya Allah. Semoga Allah menjaga kita semua dan abi di sana. Ummi love you all.


0 comments:

Post a Comment