Wednesday 13 June 2018 By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: MENGUNJUNGI RUMAH ANAK YATIM

Entri ini adalah sambungan dari cerita lepas; 

Baru berkesempatan untuk update di sini tentang perjalanan seterusnya Anas dan Mussaab di Little Diamond Kindergarten.

Sebagaimana yang dirancang, anak-anak Little Diamond Kindergarten berkunjung ke Rumah Kebajikan RedhoMu Tuhan, Taman Tasik Semenyih pada hari terakhir persekolahan mereka (sebelum cuti beraya) iaitu pada tarikh 9/6/18. Rumah kebajikan ini menempatkan anak-anak yatim yang berumur di antara 4-6 tahun.

Guru dan pelajar Little Diamond Kindergarten membawa wang sumbangan hasil dari jualan bazar amal yang diadakan pada 31/5/18. Selain itu, ibubapa turut sama menghulurkan sumbangan masing-masing dalam bentuk wang tunai dan keperluan asas seperti minyak, gula, beras, biskut dan sebagainya. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan harian mereka.

Anas dan Mussaab menimba pengalaman baru lagi hari ini bersama teman-teman Little Diamond. Anas dan Mussaab mendekati rakan sebaya yang berbeza nasib dengan mereka. Anas dan Mussaab mungkin belum sepenuhnya mengerti, tetapi betapa Anas dan Mussaab sangat beruntung masih mempunyai ibu dan ayah di usia sekarang, boleh bermanja, boleh meminta itu dan ini, boleh mengadu dan bercerita, dan menikmati kasih sayang sempurna ummi dan abi.

Sedangkan nasib mereka di rumah kebajikan sana amat berbeza. Namun pada ummi, bukan mereka tidak bernasib baik atau kurang berbanding orang lain, cuma Allah tempatkan mereka di situ atas sebab yang Allah saja tahu dan pasti itu juga yang terbaik dari Allah buat mereka. Mungkin mereka tak menikmati apa yang Anas, Mussaab dan rakan-rakan dapat, tapi rahsia Allah tak siapa yang tahu. Insya Allah, semua yang Allah takdirkan untuk mereka adalah semata untuk memberi kebaikan dan kemuliaan buat mereka.

Namun dengan mendekati mereka, ummi harap Anas dan Mussaab akan lebih mengerti dan memahami akan erti kehidupan ini. Jika bukan hari ini, insya Allah esok. Belajarlah untuk bersimpati, bermurah hati untuk memberi, dan sentiasalah bersyukur dengan segala kurnia. Bukan semua yang kita mahu kita akan dapat. Tapi apa yang kita ada hakikatnya sudah lebih dari mencukupi. Andai kita benar-benar menjadi hamba Allah yang bersyukur. 

Bila meletakkan diri pada tempat anak yatim seperti mereka, hati ummi sedikit tersentuh. Kerana ummi juga pernah mendapat gelaran ‘anak yatim’ ketika berusia 3 tahun. Bezanya ummi masih ada ibu dan adik-beradik untuk menumpang kasih. Walaupun anak yatim, kehidupan ummi baik-baik saja. Alhamdulillah. Semakin hari Allah kurniakan kehidupan yang lebih baik, sehingga hari ini dikurnia suami dan anak-anak yang membahagiakan. ‘Kekurangan’ lalu, tak lain hanya untuk ummi lebih mensyukuri kehidupan hari ini yang sangat baik walaupun bukan sempurna. Sungguh, perancangan Allah tetap terbaik dan terkandung hikmah. Ia rahsia Allah yang penuh dengan Rahmat dan Kasih.

Terima kasih sekali lagi buat para pendidik di Little Diamond Kindergarten kerana membawa anak-anak ke lapangan ‘realiti’ sebuah kehidupan. Tidak hanya bergantung pada pelajaran di dalam kelas. Terima kasih membuka mata dan menjentik hati mereka. Ya, mungkin mereka masih kecil, namun ummi percaya semua ini akan kekal menjadi pelajaran berguna untuk masa depan Anas, Mussaab dan rakan-rakan. 

Insya Allah


Kredit gambar pada Teacher Zeeda






















0 comments:

Post a Comment