Sunday, 10 June 2018 By: Naemah

MUHASABAH MUSSAAB BUAT UMMI







Hari ini hari yang agak menguji kesabaran. Setiap hari pun agak menguji sebenarnya. Sering saja ummi bertukar watak menjadi ibu singa bila berhadapan dengan karenah anak-anak bertiga ni. Cumanya, bila hari sekolah kuranglah sikit (kot). Tapi ya, hari-hari pun menguji sebenarnya. Apatah lagi tika bersendirian menguruskan mereka tanpa ada pertolongan sesiapa.

Cerita hari ini, agak menyentuh hati. Ini kisah Mussaab. Dia memang punya 'perangai' unik yang suka mencuba dan menghasilkan sesuatu. Pendek kata, dia seorang yang kreatif dalam diam. Ada-ada saja 'sesuatu' yang dia cuba hasilkan dari 'bahan' yang wujud di dalam rumah. Sukar disekat, sebab dia suka bertindak dalam diam. Pada ummi, Mussaab budak yang genius. ya, ini doa ummi.

Mussaab budak baik dan cerdik, ummi tak nafikan. Tetapi akan ada ketikanya Mussaab akan bertindak di luar kawalan seperti memukul adik, mencampak barang, menyepahkan buku, dengan tiba-tiba. Tapi ummi tahu, tak lain Mussaab sebenarnya mencari perhatian. Mussaab mungkin merasakan kewujudannya tak dihargai, atau dirinya tak dipandang. Mungkin di sini ummi yang khilaf.

Hari ini Mussaab yang tengah 'angin' bertindak memukul tv hingga menyebabkan skrin tv rosak dan tak dapat lagi menonton tv. Ummi cuba menahan diri dari marah, tapi tak terkawal rasa geram pada tindakan Mussaab yang ummi kira melampau itu. ummi marah dan 'hukum' Mussaab. Ummi tak layan Mussaab bercakap. Ummi marah dan geram betul!

Mussaab selepas itu jadi diam bila ummi tak lagi mempedulikan dia. Mussaab baring di sofa, hampir terlelap matanya. Hati ibu ini menjadi sayu melihat tubuh kecil yang tadi ummi tak pedulikan. Ummi datang padanya, kembali berbicara lembut dan menyatakan cinta. Ummi kira, Mussaab sudah lega dan terubat hatinya. Dia lena akhirnya di sofa itu.

Selepas zuhur, ummi dan Miqdad tidur di bilik. Anas juga tidur. Mussaab yang tadi tidur di bawah bangun dan masuk ke bilik. Tiada teman untuk bermain, keseorangan...

Ummi yang tadi lena terdengar esakan tangis yang kesayuan. Ummi buka mata. Mussaab! Ya Mussaab sedang menagis sayu. Bukan begini tangisan Mussaab yang biasa. Hati ummi tersentuh, dan sedih :( mungkinkah Mussaab masih memikirkan hal yang tadi? Ummi bangun dan bertanyakan hal Mussaab. Katanya dia rindu pada abi, katanya lagi dia takut kalau abi balik marah dan potong tangannya sebab rosakkan tv, katanya tak ada orang nak berkawan dengan dia, katanya lagi dia lapar.... ya tadi dia tak makan sebab tadi sibuk dengan 'aktiviti'

Ummi dan Mussaab turun ke bawah. Ummi masak nasi goreng dan suapkan Mussaab makan. Ummi mendengar cerita, celoteh dan luahan rasa Mussaab. Kemarahan ummi tadi membekas pada hatinya tanpa ummi sedar. Bicara Mussaab banyak menyentuh hati ummi. Lepas makan, Mussaab tanya macam mana nak baiki tv? Dia nak baiki sebelum abi balik. Risau sangat dia. Bila ummi cakap tak boleh baiki, agak kecewa dia mendengarnya.

Petang hari dapat video call abi. Abi juga dah tahu hal sebenar. Ummi harap sangat abi tak marah Mussaab. Cukuplah tadi ummi dah buat dia takut dan menangis. Ya, bicara abi baik-baik saja. Sebelum abi tanya Mussaab dah cakap dulu, dan dah minta maaf dulu. Alhamdulillah, abi cool and steady saja :)

Selepas berbuka puasa, Mussaab mencipta lagi kesedihan dan kesayuan dalam hati ummi. Mussaab tolong kemaskan rumah, Mussaab vakum lantai, susun buku, berbuat baik pada adik, dan banyak lagi. Mulut Mussaab tak berhenti berbicara tentang dirinya yang nak jadi baik, dia senaraikan satu-satu amalan dan sifat baik, semuanya yang pernah ummu dan abi sebutkan. Ummi tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan ummi. Ummi melihat Mussaab seorang anak yang sangat baik dan hebat. Mungkin ummi yang selama ini susah untuk datang dekat dan bicara hati ke hati dengan Mussaab. 

Ya Mussaab anak yang baik dan hebat! Anas dan Miqdad juga sama. Ada keistimewaan yang tersendiri. 

Mussaab, untuk hari ini dan yang sudah lepas, maafkanlah ummi atas segala kekurangan ummi. Seperti ummi nyatakan ummi sayang Mussaab, ummi tak berbohong! Ummi terlalu sayangkan Mussaab dan semua anak ummi. Tiada yang terlebih dan terkurang. Cuma mungkin ada kekurangan dari ummi dalam memberi yang terbaik untuk semua. Maafkanlah ummi. 

Segala bicara Mussaab hari ini memberi ruang untuk ummi berfikir dan bermuhasabah diri. Betapa ummi sedar bahawa ummi bukan ibu yang sempurna. Dari anak-anak ummi sendiri, ummi banyak belajar untuk menjadi yang lebih baik. Lebih baik untuk kalian. Maafkan ummi. Terlalu banyak khilafnya ummi :'( 

Semoga esok hari Mussaab sudah melupakan tentang kemarahan ummi.




Di petang hari Mussaab bersama abang dan adiknya


0 comments:

Post a Comment