Monday, 30 October 2017 By: Naemah

HARI YANG SEAKAN GELAP


Minggu ini Anas bersekolah sessi pagi. Maka hari ini seawal jam 8 pagi aku menghantar Anas ke sekolah bersama Mussaab dan Miqdad. Suamiku pula seperti biasa tiada di rumah kerana bertugas di laut. Dari semalam lagi kami tidak dapat berhubung. Jadi, tak tahu khabar masing-masing.

Sebaik balik ke rumah dan menikmati breakfast, terasa mataku berpinar-pinar, dan kepala sedikit pusing. Aku meneruskan suapan hingga habis. Lepas makan, Mussaab pula minta disuap bihun goreng. Walhal tadi sebelum hantar Anas ke sekolah dia sudah menikmati sarapan bersama abang dan adiknya. Aku suapkan Mussaab makan. Tapi hanya untuk beberapa suap sahaja kerana aku tak mampu nak teruskan. Terasa makin kuat rasa pening dan berpinar. Aku perlukan rehat. Aku minta Mussaab suap sendiri makanan yang masih berbaki. Aku segera baringkan badan di sofa. 

Miqdad yang tadi elok bermain sendiri mendekatiku dan menangis minta disusukan . Dalam kesukaran, aku susukan Miqdad dan Miqdad terlena. Alhamdulillah. Aku masih dalam keadaan seperti tadi. Kepala terasa pusing. Mata masih berpinar-pinar. Aku hanya mampu pejamkan mata, menenangkan diri. Sesekali membalas percakapan dan pertanyaan Mussaab. Ada juga rasa perut memulas dan loya di tekak. Sesekali aku rasa keadaanku ok, tapi ia hanya seketika. Rasa pening datang kembali. Agak sukar untuk diceritakan keadaanku. Terasa mahu menangis memikirkan aku hanya sendirian tiada tempat untuk mengadu keadaan diri. Apatah lagi mahu minta tolong. Berbagai kemungkinan aku fikirkan. Bagaimana kalau aku pitam atau pengsan. Siapa nak jaga anak-anak. Malah terkenang kes kematian seorang ibu muda yang tinggal di rumah bersama 2 anak kecilnya ketika itu. Apakah sama keadaan dia dengan keadaanku sekarang? Aku cuba bertenang. Aku berdoa dan berserah. Dalam hati seperti mahu jerit pada suamiku agar segera balik. Tapi aku tahu, ianya mustahil!

Lebih kurang 2 jam aku dalam keadaan begitu. Risau juga jika ia akan berterusan. Bagaimana aku nak ambil Anas dari sekolah. Nak berjalan pun tak mampu. Apalagi nak memandu. Risau yang amat! Alhamdulillah Miqdad tidur dengan sangat lena. Boleh aku rehatkan diri. Tapi kesian pada Mussaab. Langsung aku tak mampu nak melayannya. Aku hanya nyatakan aku sakit. Dia seakan mengerti. Malah dia yang ambilkan aku segelas air bila diminta. Tq sayang! Maafkan ummi yang tak mampu nak melayan Mussaab.

Hampir jam 11, keadaanku semakin baik. Mata yang berpinar tadi dah tiada. Cuma kepala masih terasa berat dan berdenyut ringan. Miqdad juga dah bangun dari tidur. Dalam susah payah, aku tukarkan pampers Miqdad sebelum ke sekolah Anas. Alhamdulillah sebaik tiba waktu untuk ambil anakku di sekolahnya, kekuatanku kembali. Tidak lemah dan lembik seperti tadi lagi. Sungguh, Allah Maha Kuasa. Dia tahu aku tiada sesiapa. Aku segera ke sekolah ditemani Mussaab dan Miqdad. Alhamdulillah.

Keadaanku selepas itu lebih baik dari sebelumnya. Cuma kepalaku masih terasa berat dan berdenyut. Aku cuba untuk berehat sebanyaknya. Aku tak buat kerja yang berat, hanya kerja ringan sahaja. Memasak untuk makan tengahari juga tidak. Hanya beli di kedai lepas ambil Anas tadi. Untuk makan malam, sekali lagi aku goreng bihun atas permintaan Mussaab. Anak-anakku juga aku biarkan mereka melakukan apa saja yang mereka mahu kerana aku tak mampu nak ‘berperang’ dengan mereka. Aku hanya mahu rehatkan badanku, walau hakikatnya tidaklah rehat sangat :) tapi Alhamdulillah anak-anakku masih dalam situasi terkawal. Mereka asyik dengan aktiviti sendiri. Hanya Miqdad yang sesekali menangis minta perhatian dan minta disusukan. 

Malam ini juga anak-anak tidur lebih awal dari kebiasaan. Jam 9, keadaan rumah sudah sunyi sepi. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Masa untuk aku mengisi perut dan merenung diri :)

Aku juga tidak tahu bagaimana perasaan ini. Dalam keadaan tiada daya, dan tiada sesiapa, aku dapat rasakan Allah benar-benar ada untukku. Allah yang datangkan ujian, Allah yang keluarkan aku dari kesulitan. 

Juga masa untuk aku lebih merenung pada dosa-dosaku yang terlalu banyak. Dalam ketidakupayaan, aku memikirkan ambang kematian yang semakin dekat. Sedang aku tak bersedia. Sedang aku masih diselimuti dosa dan hutang yang belum langsai. Bayangkanlah ketakutanku!

Namun. Alhamdulillah untuk hari ini yang telah aku tempuh. Aku sedar aku tak pernah sendirian. Kerana Allah sentiasa ada untukku setiap detik.





0 comments:

Post a Comment