Monday, 11 December 2023 0 comments By: Naemah

13 TAHUN TELAH KITA LALUI BERSAMA


11/12/2010-11/12/2023


13 tahun sudah berlalu. Masya Allah! Satu tempoh yang bukan singkat, dan bukan juga terlalu matang buat sepasang suami dan isteri yang telah Allah takdirkan bersama ini. 


Allah menghadirkan cinta, semoga kan selamanya akan terus cinta. Hingga syurga Allah hendaknya kita terus menikmati cinta.


Allah menghadiahkan cahaya mata, seorang demi seorang, semoga mampu kita mendidik dan membimbing mereka menuju reda Allah.


Allah meminjamkan harta dan kecukupan untuk menjalani hidup yang tenang dan selesa, semoga dapat kita gunakan semuanya di jalan yang Allah suka.


Allah menghadiahkan pertemuan pada setiap kali episod perpisahan kita, semoga kita mampu untuk saling menghargai selagi peluang bersama ini masih Allah izinkan.


Allah menghadiahkan kesihatan dan kesembuhan pada setiap sakit yang diuji, mudah-mudahan dapat kita jalani kehidupan ini dengan banyak beramal baik dan mencari redaNya. 


Allah masih mengizinkan doa ibu terus mengalir mengiringi kehidupan kita sehingga hari ini. Tanpa kita sedar, itulah azimat dan kunci pada kebahagiaan dan kemudahan hidup yang kita jalani sampai hari ini. Semoga Allah rahmati mereka dan menghadiahkan syurga tertinggi buat ibubapa kita.


Begitulah Allah menghadirkan buat kita pasangan, zuriat, kesihatan, harta, doa dan restu orang tua, dan kenikmatan hidup bersama-sama selama 13 tahun ini. Maha Baiknya Allah terhadap kita.


ALHAMDULILLAH.

Itulah kalimah terbaik untuk keseluruhan nikmat yang dikurniakanNya buat kita.


Ya, hidup kita bukan sempurna. Di balik kenikmatan, ada terselit juga ujian. Tetapi ujian itu hanya yang sekadar mampu kita lalui, dan yang lebih besar dari itu adalah kasih sayang Allah dan nikmat yang tak pernah putus.


Makin kita melangkah ke depan hari. Makin lanjut usia kita. Makin lemah-lemah badan kita. Makin membesar dewasa anak-anak kita. Semuanya nanti ada haluan dan tujuan sendiri. Dan kita tetap perlu meneruskan baki usia kita selanjutnya.


Semoga ikatan pernikahan kita selamanya menjadi ibadah buat kita. Semoga selama masa terus berjalan, semoga selama itu kita terus berusaha memperbaiki diri, mengejar reda dan pahala, mengharap pada syurgaNya yang menjadi tempat kembali yang kekal abadi.


Suamiku. Kamu anugerah terbaik yang Allah hadirkan buatku. Bersama kelebihan dan kekurangan kita harungi hidup bersama. Terima kasih seadanya menerima dan mencintaiku. 


Semoga matlamat kita ‘bercinta hingga ke syurga’ Allah makbulkan. Ameen. 




Pic: 11/12/2010 & 11/12/2023

Semoga Allah bimbing langkah dan cinta kita menuju syurgaNya
Ameen


Wednesday, 6 December 2023 0 comments By: Naemah

CERITA BAHAGIA KITA


Kisah kecurangan yang semakin menjadi-jadi (boleh dibaca di media sosial). Kisah kecurangan yang seakan datang bermusim, menjentik banyak hati, menzahirkan pelbagai reaksi, baik di kalangan para suami, apatah lagi para isteri. Kecoh!


Lebih gempar, bila ianya terjadi di kalangan ‘influencer’ yang dianggap sempurna dan bahagia hidup mereka. Kisah ‘sweet’ rumahtangga yang kerap ditayangkan, ternyata palsu. Begitulah agama melarang kita untuk terlalu menonjolkan nikmat dan kebahagiaan kita kepada umum. Bersederhana sudahlah.


Mengapa begitu ramai yang obses mempamerkan kebahagiaan di media sosial hingga meraih banyak ‘view’ dan komen yang pelbagai?


Ada satu kata yang melekat di hati; orang yang sebenarnya bahagia tak perlu memberitahu dunia bahawa dia sedang bahagia.


Satu lagi; apabila  kamu perlu membuktikan kepada dunia bahawa kamu bahagia, itu bermakna kamu belum bahagia.


Aku bersetuju dengan ungkapan itu. Cukup bahagia dirasakan, bukan ditayangkan. Dan kepada siapa pula kita nak buktikan bahawa kita bahagia?


Bagaimana aku? 


Berbalik kepada kisah ‘influencer’ yang dikatakan sangat matang, baik, cantik, dan dilihat hampir sempurna, terselit kisah lalunya yang dikatakan membesar dalam kehidupan berkeluarga yang sedikit ‘kurang’. Pendek kata, zaman kanak-kanaknya tak sebahagia kanak-kanak yang lain. 


Ditakdirkan dia menikahi seorang lelaki yang dianggap sangat mencintainya dan sangat memberi kebahagiaan dalam hidupnya. Banyak kisah ‘sweet’ mereka menjadi ‘viral’ dan mengundang cemburu banyak hati yang melihat. Wah! Begitu sempurna hidupnya. Betapa beruntungnya dia!


Tetapi akhirnya. Cerita lain pula yang timbul. Ya, itu bahagian ujian dalam hidupnya. Tak perlu bertepuk tangan, hanya kerana kita belum diuji sepertinya. 


Membaca kisahnya, aku seakan mengerti bagaimana rasanya. Menjalani kehidupan dari masa kecil yang tak sempurna (ayah meninggal ketika diri masih perlu), menjalani kehidupan yang tak sama dengan keluarga lengkap yang lain, dan juga di balik ujian yang lain, akhirnya Allah pertemukan dengan seorang lelaki yang mampu memberikan cinta dan kebahagiaan. Sukar juga untuk gambarkan bentuk kebahagiaan di hati. Dicintai, disantuni, dilayan sehabis baik, hadir pula cahaya mata yang melengkapkan lagi kehidupan, sudah tentu hati terlalu bahagia. Seperti ingin melaungkan pada dunia bahawa ‘aku sangat bahagia!’ Bahagia yang tak pernah aku rasa!


Kerana itu mungkin sekerap mungkin ingin bercerita kisah bahagia ini, hingga terlupa batas dan terlupa memikirkan tentang banyaknya hati dan mata yang memandang dengan pelbagai tafsiran dan rasa. Tak semua yang akan berbahagia dengan kisah bahagia kita. Tak semua! Malah mungkin hanya seberapa. 


Dan aku akui, begitu juga rasaku. Aku menikmati masa kecil yang berbeza berbanding teman-teman. Tanpa ayah, sejak 3 tahun. Adik-beradik yang jauh jarak usia dan membawa haluan bersama keluarga masing-masing ketika aku masih juga kecil, dan membesar dengan ibu tunggal yang gigih mencari rezeki. Lalu membesar dengan impian untuk memiliki keluarga sempurna yang membahagiakan.


Alhamdulillah. Allah hadirkan lelaki yang baik, dan anak-anak yang kuharapkan kehadiran mereka sejak sekian lama. Dan ya, aku bahagia dengan kurniaan Allah ini. Tersangat bahagia! Walaupun pada hakikatnya tetap tak sempurna, tetap jua diuji kiri dan kanan. Namun keseluruhannya adalah kebahagiaan kerana memiliki yang tak pernah aku punya sebelum ini.


Jadi bagaimana aku? Terasa mahu mencanang pada dunia bahawa aku bahagia? 


Ya! Ada rasa itu. Tapi mujur saja ada banyak sebab yang menghalang. Mujur saja, rasa malu dan rasa serba kurang ini menghalang aku untuk berlebih-lebihan berkongsi kisah bahagia.


Oleh kerana itu, kisah bahagiaku banyak berlegar di instagram (yang tak seberapa orang followers tu), di blog yang aku percaya masih tersembunyi, di whatsapp story (yang jumlah contact aku pun tak seberapa juga), dan aku cuba limitkan perkongsian agar tak berlebih-lebihan. Aku tahu, orang melihat dengan kacamata dan tafsiran yang berbeza-beza.


Pada aku yang tak ‘banyak mulut’ dan tak punya kawan untuk bercerita, perkongsian itu cara aku ‘meluah’. Biar yang baca atau lihat tak seberapa, sekurang-kurangnya aku lega setelah berkongsi di situ. Bukan niat untuk menunjuk, apatah lagi aku sedar diri, kehidupan aku juga tak sempurna. Yang elok aku share, yang tak elok aku sembunyikan. Macam tulah, hidup di media sosial kan? 


Oleh itu sebagai kesimpulan dan peringatan diri, semoga kita tahu dan sedar akan batas-batas dalam berkongsi kisah kita di media sosial. Tahan diri untuk selalu menayangkan kebahagiaan dan kesenangan hidup. Sesekali mungkin boleh. Sesekali, orang mungkin teruja nak baca dan tahu kisah kita. Kalau langsung tak dikongsi kepada umum, juga lebih baik untuk ketenangan hati sendiri. Tapi jangan pula banyak melihat kehidupan orang lain, yang akhirnya mengundang cemburu dan rendah diri.


Berwaspadalah di dunia tanpa sempadan ini. Semua orang menayangkan kehidupan yang seakan sempurna, padahal tidak! Banyak orang yang mula membandingkan kehidupan sendiri dengan dunia tipu-tipu yang mereka lihat di media sosial, hingga meretakkan hati dan kehidupan sendiri. Sangat menakutkan!


Jaga dan tahan diri. Untuk tak berlebihan berkongsi cerita peribadi. 

Jaga mata dan hati. Untuk tidak terlalu menilai kehidupan orang lain hanya melalui perkongsian mereka. 


Berbanding mengambil tahu kisah kehidupan orang lain, banyak lagi yang lebih penting dalam hidup ini yang patut kita pedulikan! 

Monday, 4 December 2023 0 comments By: Naemah

TENTANG JODOH KITA



Masuk bulan Disember, bererti ini adalah ‘bulan kami’. Bulan bersatunya aku dan dia hampir 13 tahun yang lalu (tanggal 11/12/2010).


Maka coretan kali ini berkisarkan tentang ‘jodoh’ yang sentiasa memberi rasa kagum aku pada takdir nan satu ini.


Ya, maklum setiap orang ada kisah unik tersendiri dalam bertemu jodoh. Segalanya adalah rahsia Allah dan sangat menakjubkan pada setiap jalan jodoh yang Allah pilihkan buat kita.


Ada yang mudah dan lurus saja jalan jodoh mereka. Ada pula yang berliku-liku. Namun itu juga rahsia dan hikmah Allah yang DIA saja tahu mengapa ianya berbeza buat setiap orang.


Dalam perjalanan jodoh aku ini, 3 perkara yang menjadi tunjang dan keutamaan pada persoalah ‘mengapa aku pilih dia’. 


Dan ya, aku ini juga tak ada kelebihan yang terlihat di mata untuk menjadikan aku seorang gadis pilihan, apalagi rebutan jejaka ;)


Dan tidaklah pula menjadikan aku pada ketika itu ‘terdesak’ untuk terima saja siapa yang datang tanpa berfikir panjang :)


Jadi kenapa aku terima dia?



Tentang Agamanya


Sebaik hadir pertanyaan tentang ‘dia’ yang tak pernah aku kenali, sudah tentu hati tak akan terus menerima. Terkejut, terpampam, was-was, semua ada. Yelah, apa-apa pun tentang dia aku tak tahu. Tapi sebaik diyakinkan tentang ‘agama’, aku melihat ‘sesuatu’ yang amat besar di situ. Tambahan pula, itulah kriteria utama di dalam pemilihan jodoh. Dalam beratnya rasa untuk memberi jawapan, sekurang-kurang faktor ‘agama’ itu menghapuskan sedikit ragu dan memberi ruang untuk berfikir dan seterusnya memberi jawapan pasti.


*aku juga melihat adik dan ahli keluarganya di kalangan yang baik-baik, walaupun tak kenal benar*



Tepat pada waktunya.


Ia hadir pada ketika aku sudah ‘layak’ untuk bergelar seorang isteri. Sebaik tamat pengajian, dan pada waktu aku sedang berkira-kira untuk melangkah ke alam kerjaya atau menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Walau ketika itu aku belakangkan dulu tentang jodoh (kerana aku tak pernah ada kekasih hati), rupanya jodoh itu bagai sekelip mata menyapa, mendahului keputusan aku untuk bekerja dan sambung belajar.


*betul-betul buntu waktu tu nak memilih. Rasa macam nak sambung belajar sebab belum yakin nak masuk kerja. Tapi nak rehat puas-puas dulu kat rumah sebab belajar pun penat ;)*



Ketetapan hati dari Istikharah.


Setelah melalui satu malam yang penuh tanda tanya, buntu, kelam dan tak nampak arah (kerana persoalan jodoh ini), sudah tentu Istikharah adalah tindakan utama untuk aku leraikan kekusutan di hati. Memang diakah jodohku? Baikkah dia untukku? Benar dan seriuskah aku ini mahu dijadikan calon isteri untuknya? Langsung tak kenal ni, boleh ke hidup bersama?


Lalu beristikharah aku dengan penuh pengharapan dan deraian air mata juga. Dan Allah hadirkan ketenangan dan kelapangan hati, seolah terlepas satu beban di pundak. Yang berat menjadi ringan. Itulah kemantapan hati yang membawa kepada langkah yang selanjutnya dalam urusan jodoh ini. 


Dan setelah itu, segalanya berjalan dengan lancar dan mudah saja, dari awal dibukakan jalan jodoh ini, hingga benar-benar berjodoh, dengan dia yang bukan rahsia lagi. 


Susunan takdir Allah itu cantik dan sempurna. Kini 13 tahun sudah berkongsi hidup dengan jodoh yang Allah pilihkan buatku ini. Ya, bukan aku yang memilih, tetapi Allah yang menghadirkan melalui jalan yang tak pernah aku sangka. Kerana itu aku terus mengkagumi akan takdirNya ini. Dan aku sangat bersyukur, atas takdir yang sangat manis ini. 


Soal jodoh ini, hanya satu bahagian dari keseluruhan takdir hidup kita. Banyak lagi bahagian lain yang segalanya di dalam aturan Allah. Tiada satu pun yang terlepas pandang olehNya. Dan percayalah, semuanya Allah susun dan atur dengan sangat sempurna. Untuk segalanya, kita akan lalui berbagai ujian dan kenikmatan, ada susah senangnya, ada liku dan ranjaunya, dan sudah pasti ada bersama petunjuk dan pertolonganNya.


Hadapilah hidup ini dengan sepenuh pergantungan pada Allah. Takdir kita semua berbeza. Laluan kita tak sama.  Namun kita semua menuju ke arah yang sama. Di hujungnya nanti destinasi kita sama.


Terus percaya dan yakin pada Allah. Terus bergantung hanya pada Allah. Maka satu hari akan kita perakui bahawa takdirNya adalah tersangat indah!

Friday, 1 December 2023 0 comments By: Naemah

BIASA ATAU LUAR BIASA?

Bagaimana ciri isteri dan ibu hebat dan luar biasa itu?


Allah yang pertama dan utama. 

Sentiasa patuh dan taat pada suami.

Yang reda hidup susah senang bersama.

Yang berbakti dalam rumahtangga tanpa mengeluh.

Yang mampu mendisiplinkan anak-anak dan menanam adab mulia.

Yang cekap menguruskan rumahtangga.

Yang mampu menyediakan air tangan sedap dan berkhasiat.

Yang penuh hikmah dalam mendidik dan memberi hukuman.

Yang baik-baik saja dari tiap nasihat dan tutur katanya.

Yang kebanyakan masanya bisa tersenyum dan banyak sabar.

Dan banyak lagi yang hanya mampu dibaca dalam buku tips rumahtangga dan kisah wanita tauladan masa silam.


Tetapi hakikatnya aku. Bukan yang luar biasa itu. Hanya yang biasa-biasa. Masih isteri dan ibu yang biasa. Ada jatuh bangun dan menempuh episod gagal yang terlalu banyak. 


Masih isteri yang tak menepati piawaian seorang isteri solehah dambaan syurga. Ya, mengeluh ada, bermasam muka ada, pentingkan diri sendiri ada, marah dan tak sabar ada, dan banyakkk lagi.


Masih juga ibu yang kurang matang dan kurang bijaksana mendidik. Tak cukup hikmah, pada kebanyakan masa emosi mengatasi kewarasan. Adab entah ke mana. Manis bicara mungkin hanya sesekali. Biar menyayangi sepenuh hati, tetap tak mampu membuktikan keseluruhannya dengan tingkah dan perbuatan. 


Ya, suami menilai. Anak-anak memerhati. Begini isterinya. Begini ibunya. Ya, beginilah, seperti hari ini. Jauh dari layak mendapat gelaran isteri atau ibu mithali. 


Tetapi terima kasih suami, untuk 13 tahun yang kau mampu sabar dengan segala sikapku. Kau cukupkan segalanya, kau mengalah pada kebanyakan masanya, kau memulakan senyuman dalam apa jua situasi dan keadaan, kau tak langsung meninggikan suara hingga saat dan ketika ini, kau terus berusaha menjadi ketua keluarga yang baik dan penuh tanggungjawab. Masya Allah! 


Terima kasih juga anakku, kerana masih memerlukan aku dalam hidupmu. Biar dimarah berkali, kau tetap datang untukku seperti tiada apa yang berlaku. Pasti dalam hatimu ada tersimpan rasa atau sesuatu. Pasti mungkin satu saat kau rasa ingin pergi jauh dariku. Namun moga satu saat juga hatimu kuat meyakinkan bahawa ibumu sentiasa mencintaimu. Jauh atau dekat, doa ibumu tak pernah menjauh darimu. Ibumu ini, sentiasa mengharapkan kalian menjadi insan dan hamba Allah yang sentiasa memperbaiki diri dan menjadi yang lebih baik dari hari semalam.


Oleh itu hidup ini, banyakkan merenung pada kehidupan sendiri yang tak sempurna. Jangan campuri urusan rumahtangga orang lain yang kau anggap sempurna, atau yang kau lihat banyak cacatnya. Kita dan mereka, diuji dengan hal yang berbeza. Semuanya atas kemampuan sendiri. Tak ada lebih dan kurang. Allah itu Maha Adil.


Perbetulkan salah sendiri, jangan cepat bersyak wasangka dengan pasangan. Serah urusan hatinya pada Allah. 


Perbaiki akhlak sendiri, jangan cepat menghukum anak-anak atas segala yang tidak baik yang kau lihat dari perbuatan mereka. Kerana yang menanam selama ini adalah kita, dan itulah hasil yang perlu kita tuai.


Aku ini. Bukan isteri dan ibu yang baik. Malahan juga bukan anak yang baik. Baik buruk yang perlu aku depani hari ini, bukan dari sesiapa tetapi dari yang telah aku perbuatkan selama ini. Allah membayar segalanya. Tapi Maha Baiknya Allah, yang aku terima ini ternyata jauh lebih baik dan lebih manis. 


Allah. Kau pasti mendengar doa dan taubatku. Walau tetap jua aku mengulangi dosa-dosa.


Allah. Izinkan aku jalani kehidupan bersama keluarga tercintaku dengan lebih baik, menuju keredaanMu, dan menuju cinta dan syurgaMu.


Bantu aku memperbaiki kelemahan diri ini.

Bantu aku untuk ‘upgrade’ diri yang terlalu biasa-biasa ini. 


Bimbinglah aku ya Allah!




Cinta hati yang -insya-Allah - masih belum terlambat untuk aku bentuk