Monday, 4 December 2023 By: Naemah

TENTANG JODOH KITA



Masuk bulan Disember, bererti ini adalah ‘bulan kami’. Bulan bersatunya aku dan dia hampir 13 tahun yang lalu (tanggal 11/12/2010).


Maka coretan kali ini berkisarkan tentang ‘jodoh’ yang sentiasa memberi rasa kagum aku pada takdir nan satu ini.


Ya, maklum setiap orang ada kisah unik tersendiri dalam bertemu jodoh. Segalanya adalah rahsia Allah dan sangat menakjubkan pada setiap jalan jodoh yang Allah pilihkan buat kita.


Ada yang mudah dan lurus saja jalan jodoh mereka. Ada pula yang berliku-liku. Namun itu juga rahsia dan hikmah Allah yang DIA saja tahu mengapa ianya berbeza buat setiap orang.


Dalam perjalanan jodoh aku ini, 3 perkara yang menjadi tunjang dan keutamaan pada persoalah ‘mengapa aku pilih dia’. 


Dan ya, aku ini juga tak ada kelebihan yang terlihat di mata untuk menjadikan aku seorang gadis pilihan, apalagi rebutan jejaka ;)


Dan tidaklah pula menjadikan aku pada ketika itu ‘terdesak’ untuk terima saja siapa yang datang tanpa berfikir panjang :)


Jadi kenapa aku terima dia?



Tentang Agamanya


Sebaik hadir pertanyaan tentang ‘dia’ yang tak pernah aku kenali, sudah tentu hati tak akan terus menerima. Terkejut, terpampam, was-was, semua ada. Yelah, apa-apa pun tentang dia aku tak tahu. Tapi sebaik diyakinkan tentang ‘agama’, aku melihat ‘sesuatu’ yang amat besar di situ. Tambahan pula, itulah kriteria utama di dalam pemilihan jodoh. Dalam beratnya rasa untuk memberi jawapan, sekurang-kurang faktor ‘agama’ itu menghapuskan sedikit ragu dan memberi ruang untuk berfikir dan seterusnya memberi jawapan pasti.


*aku juga melihat adik dan ahli keluarganya di kalangan yang baik-baik, walaupun tak kenal benar*



Tepat pada waktunya.


Ia hadir pada ketika aku sudah ‘layak’ untuk bergelar seorang isteri. Sebaik tamat pengajian, dan pada waktu aku sedang berkira-kira untuk melangkah ke alam kerjaya atau menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Walau ketika itu aku belakangkan dulu tentang jodoh (kerana aku tak pernah ada kekasih hati), rupanya jodoh itu bagai sekelip mata menyapa, mendahului keputusan aku untuk bekerja dan sambung belajar.


*betul-betul buntu waktu tu nak memilih. Rasa macam nak sambung belajar sebab belum yakin nak masuk kerja. Tapi nak rehat puas-puas dulu kat rumah sebab belajar pun penat ;)*



Ketetapan hati dari Istikharah.


Setelah melalui satu malam yang penuh tanda tanya, buntu, kelam dan tak nampak arah (kerana persoalan jodoh ini), sudah tentu Istikharah adalah tindakan utama untuk aku leraikan kekusutan di hati. Memang diakah jodohku? Baikkah dia untukku? Benar dan seriuskah aku ini mahu dijadikan calon isteri untuknya? Langsung tak kenal ni, boleh ke hidup bersama?


Lalu beristikharah aku dengan penuh pengharapan dan deraian air mata juga. Dan Allah hadirkan ketenangan dan kelapangan hati, seolah terlepas satu beban di pundak. Yang berat menjadi ringan. Itulah kemantapan hati yang membawa kepada langkah yang selanjutnya dalam urusan jodoh ini. 


Dan setelah itu, segalanya berjalan dengan lancar dan mudah saja, dari awal dibukakan jalan jodoh ini, hingga benar-benar berjodoh, dengan dia yang bukan rahsia lagi. 


Susunan takdir Allah itu cantik dan sempurna. Kini 13 tahun sudah berkongsi hidup dengan jodoh yang Allah pilihkan buatku ini. Ya, bukan aku yang memilih, tetapi Allah yang menghadirkan melalui jalan yang tak pernah aku sangka. Kerana itu aku terus mengkagumi akan takdirNya ini. Dan aku sangat bersyukur, atas takdir yang sangat manis ini. 


Soal jodoh ini, hanya satu bahagian dari keseluruhan takdir hidup kita. Banyak lagi bahagian lain yang segalanya di dalam aturan Allah. Tiada satu pun yang terlepas pandang olehNya. Dan percayalah, semuanya Allah susun dan atur dengan sangat sempurna. Untuk segalanya, kita akan lalui berbagai ujian dan kenikmatan, ada susah senangnya, ada liku dan ranjaunya, dan sudah pasti ada bersama petunjuk dan pertolonganNya.


Hadapilah hidup ini dengan sepenuh pergantungan pada Allah. Takdir kita semua berbeza. Laluan kita tak sama.  Namun kita semua menuju ke arah yang sama. Di hujungnya nanti destinasi kita sama.


Terus percaya dan yakin pada Allah. Terus bergantung hanya pada Allah. Maka satu hari akan kita perakui bahawa takdirNya adalah tersangat indah!

0 comments:

Post a Comment