Wednesday, 8 August 2018 0 comments By: Naemah

TENANGLAH DUHAI HATI



Dunia ini pentas ujian. 
Biasa dengar kan ayat ini? Ya, biasa sangat. Dan faham sangat, kerana kita masing-masingnya tiada yang terlepas dari menerima ujian. Kita diuji, dan mereka juga diuji.

Yang berbeza, adalah bentuk ujian yang kita terima. Yang berbeza, bentuk kekuatan yang kita masing-masing miliki. Yang berbeza, sejauh mana tahap redha dan sabar kita pada setiap ujianNya.

Jangan pernah mencemburui segala bentuk nikmat kesenangan dan kebahagiaan yang dimiliki oleh insan lain. Jangan pernah membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan mereka. Jangan pernah merasakan nasib dan kehidupan mereka lebih baik dari kita.

Kerana hakikatnya, kita dan mereka, ada ujian tersendiri yang perlu ditempuh. Kita berjuang mengharung segala ujian hidup, dan mereka juga sama, sedang berjuang menempuh ujian hidup mereka yang tersendiri. 

Syukur menjadi kunci untuk kita merasakan ketenangan dalam menjalani hidup. Merasa cukup dengan apa yang kita miliki dan dengan kehidupan yang sedang kita jalani. Bersyukur, takkan membuatkan kita rasa  ‘kurang’ meski melihat pada mereka yang ‘lebih’.

Ajarkan hati untuk bersyukur. Ajarkan hati untuk redha, agar tenang menempuh ujian. Tak ada ujian yang tak termampu untuk ditempuh. Tak ada ujian yang di luar kemampuan hamba. Tak ada ujian, melainkan bersamanya hikmah dan kasih sayang Allah.  

Tenanglah duhai hati.


Tuesday, 7 August 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 070818






Hari kedua abi di Bintulu. Pagi ini abi bertolak ke laut, bertugas seperti biasa. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun jam 6.30, mandi dan bersiap dengan pakaian mandi kerana hari ni ada aktiviti splash di sekolah. Miqdad juga berpakaian kemas nak hantar Anas dan Mussaab ke sekolah. 


Turun ke bawah, makan roti cheese dan makaroni goreng sambil ummi pasangkan bacaan surah dari juzuk amma. Lepas makan, buat hal masing-masing, sementara menunggu masa untuk ke sekolah. Menonton video ‘baby bus ‘ seketika dan berjalan ke sekolah. Agak kecoh sikit pagi ini bila Mussaab menjerit menangis di jalan kerana semua orang dah berjalan keluar, dia masih tak pakai selipar. Ummi ‘tangkap’ Miqdad yang laju berjalan dan balik semula ke rumah tunggu Mussaab keluar dengan berselipar. Dengar Mussaab ‘membebel’ sebab dia ditinggalkan. Itulah, ummi cakap siap cepat, dengar la lain kali. 


Lepas hantar Anas dan Mussaab, balik ke rumah. Miqdad sambung menonton video, ummi menyiram pokok di luar. Kemudian ummi sambung kemas dalam rumah, Miqdad masih leka menonton. Kemudian Miqdad minta perhatian, ajak duduk sekali dengannya. Ummi temankan Miqdad. Lepas tu baca ABC, main dan berjalan sana sini sambil-sambil menonton video ‘dream English’ pula. 


Jam 9, ummi sambung kerja. Miqdad bermain sendiri, membelek buku dan main mainan vehicles. Miqdad baik-baik saja sehingga selesai kerja ummi dari mengemas hingga memasak. Jam 11 dah siap kerja ummi. Ummi temankan Miqdad lagi. Kali ni menonton video ‘mother goose club’ pula sambil Miqdad menyusu. Miqdad kembali aktif. Ummi masuk semula ke dapur dan goreng ayam dan keropok untuk Miqdad. Miqdad ulang alik ke dapur meminta keropok dan air. Ummi duduk bersama Miqdad sementara menunggu masa untuk ambil Anas dan Mussaab di sekolah.


Jam 12, berkereta mengambil Anas dan Mussaab di sekolah. Balik rumah, makan nasi dan menonton tv. Miqdad dah mula meragam dan menangis kuat. Ada saja yang tidak kena. Menangis semahunya. Ummi bawa naik ke atas untuk tidurkan Miqdad yang mungkin penat dan mengantuk. Ummi tukarkan pampers Miqdad. Diam sekejap, kemudian sambung menangis lagi. Entah apa mahunya. Kemudian Miqdad minta nak mandi dengan Mussaab. Leka sebentar di bilik air, selang seli dengan suara menangis. Dah agak lama kemudian tangisnya reda. Lepas mandi, ambil buku dan leka pula dengan buku.


Mussaab sibuk nak print gambar. Ummi print untuk Mussaab gambar kek yang dipilih. Anas pula di bawah, menonton dan melukis. Ummi susukan Miqdad dan akhirnya terlena juga Miqdad. Mussaab juga terlena di sisi ummi. Kiri dan kanan sudah lena, ummi pun tidur sekali. Sempat ‘intip’ Anas melalui cctv. Tengah asyik lagi dia menonton dan melukis. Bila lapar, Anas buat roti cheese untuknya menggunakan microwave.


Tengah tidur, Anas naik dan ambil Hp ummi. Anas kejutkan ummi untuk print gambar ‘Yellowstone ‘ tajuk yang sedang dia belajar di YouTube. Ummi printkan untuk Anas dan Anas turun semula ke bawah. Dah bosan di bawah, naik semula ke atas. Kejut ummi, kacau adik, sengaja nak suruh bangun. Tapi adik-adik masih layan mengantuk. Ummi turun bersama Anas.


Tak lama kemudian Mussaab juga turun. Kemudian Miqdad pula menangis bila bangun dah tak ada orang. Anas naik dan ajak Miqdad turun. Miqdad dah tak menangis lagi. Sama-sama duduk di sofa dan menonton tv. 


Jam 5, ummi masuk ke dapur untuk masak bubur pulut hitam. Tapi ummi dah agak, ummi seorang saja yang makan ni. Anas minta ummi gorengkan donat. Anas dan Mussaab makan donat bersama. Miqdad juga makan, tapi sikit saja. 


Orang yang baiki kereta abi datang ke rumah,katanya kereta dah siap. Mungkin abi balik nanti barulah akan diambil kereta di bengkel. Jam 6, ummi suapkan Miqdad makan nasi. Sikit juga makannya. 


Kemudian menonton tv dan bermain dan berlarian 3 beradik di depan tv. 6.30, Anas makan nasi. Mussaab dan Miqdad menonton ‘mother goose club’. Jam 7, semua naik ke atas dan mandi.


7.30, turun semula ke bawah untuk membaca al-Quran, Iqra’ dan hafazan seperti biasa. Tv juga terpasang, untuk lekakan Miqdad yang kalau tidak, akan memanggil-manggil ummi untuk melayannya. Selesai membaca, melukis dan menonton, naik semula ke atas. Sudah hampir jam 9 malam. Masa untuk tidur.


Seperti biasa, sebelum lelap mata akan banyak celoteh dan pertanyaan. Hingga akhirnya ummi minta diam dan tidur. Miqdad yang pertama lena, diikuti Anas. Mussaab yang siang tadi sudah tidur, sukar untuk lelap. Pusing kiri, pusing kanan, hampir jam 10 malam barulah terlena dengan sendirinya. 


Selamat malam Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga bermimpi indah semuanya. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik untuk anak-anak ummi dan untuk kita semua. Tak lupa untuk abi yang jauh, semoga Allah menjaga dan melindungi abi sentiasa. Semoga jumpa lagi. Insya Allah.

Sunday, 5 August 2018 0 comments By: Naemah

KACANG PANJANG GORENG TELUR


Ok, ini adalah resepi kacang panjang. Manalah tahu ada orang yang tak pernah try masak kacang panjang, boleh la try resepi ni. Mudah, cepat dan sedap! Insya Allah :)





Saturday, 4 August 2018 0 comments By: Naemah

WAJIK/PULUT MANIS

Berkongsi resepi seterusnya :)

Resepi wajik ini diambil dari blog resepi seseorang, dah lupa blog yang mana satu.  Begitu juga tips untuk elakkan pulut lembik, juga dari blog seseorang. Mohon halalkan dan izinkan untuk di’share’ di blog ummu Anas ni ye.

Resepi ini dihasilkan untuk majlis sambutan hari jadi di sekolah Anas dan Mussaab, seperti yang pernah diceritakan dalam entri yang lepas :)

Baiklah, ini adalah resepinya;





Hari tu buat ada terkurang sikit sukatan gula melaka tu, so kurang manis sikitlah. Kalau ikut betul-betul rasanya menjadi sebab hari tu pun rasanya macam dah ok dah :D

Cuba-cubalah ye bagi yang teringin nak buat wajik tu :)

DAGING MASAK BEREMPAH


Idea untuk masakan daging, memandangkan raya korban sudah hampir :) seperti biasa, ummu Anas suka masak masakan yang simple dan pantas saja. Inilah antara masakan simple yang boleh dicuba :)



(Gambar screenshot video dalam Hp. Kabur sikit)


Bahan: daging-rebus dulu bagi empuk 

Bahan kisar: bawang merah, bawang putih, kunyit, serai, halia.

Sedikit rempah kurma

Asam keping, gula merah dan garam

Bawang besar dan cili padi

.


Cara: masukkan sedikit minyak untuk menumis, masukkan bahan kisar, rempah kurma dan daging. Bila kuah hampir kering, masukkan asam keping dan perasa. Akhir sekali masukkan bawang besar hiris dan cili padi. Kacau-kacau sebentar dah siap!



Senang kan?

Selamat mencuba :)


Thursday, 2 August 2018 4 comments By: Naemah

SYARAT PERMOHONAN SEKOLAH RENDAH AGAMA INTEGRASI (SRAI) NEGERI SELANGOR

Entri kali ini akan menerangkan serba ringkas tentang cara dan kelayakan untuk memohon ke Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) negeri Selangor.


Pengenalan kepada Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI)

SRAI telah diwujudkan oleh kerajaan negeri Selangor dengan tujuan untuk menggabungkan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) JAIS dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) di bawah kementerian pendidikan. Ini bermakna, anak-anak kita tak perlu lagi kepada 2 sessi pembelajaran di mana satunya sessi persekolahan biasa, dan satu lagi untuk sessi sekolah agama. Di SRAI, cukup dengan hanya satu sessi persekolahan (7.30 pagi-3.30 petang) sahaja kerana semua subjek pendidikan kebangsaan dan Agama sudah terangkum di sini.


Senarai SRAI di seluruh negeri Selangor





Gambar ini adalah dari buku contoh soalan Ujian Kelayakan SRAI yang diduduki Anas baru-baru ini. Berpandukan sekolah yang disenaraikan, terdapat hanya 11 buah SRAI di seluruh negeri Selangor. Tak banyak kan? Maka perlu kepada persaingan dan saringan ketat untuk mendapatkan tempat di sekolah ini.


Bagaimana untuk membuat permohonan ke SRAI

Secara umumnya, untuk memohon kemasukan SRAI, ibubapa perlulah warganegara Malaysia dan anak yang ingin memohon perlu terlebih dahulu mendaftar untuk kemasukan tahun satu di sekolah kementerian. Seperti tahun ini, pendaftaran untuk kemasukan tahun satu dibuka pada 1-31 Mac 2018, dan borang permohonan ke SRAI pula dikeluarkan pada bulan April. Jadi, ibubapa perlu peka pada tarikh penting yang diumumkan supaya tak terlepas masanya :)

Ok, sebaik sudah mendaftar di sekolah kementerian, dan selepas dikeluarkan borang permohonan SRAI, ibubapa perlu ke SRAI yang berdekatan rumah masing-masing untuk mengambil borang dengan bayaran sebanyak rm10. Di sekolah ini juga ibubapa boleh membeli buku Ujian Kelayakan SRAI untuk latihan dan persediaan anak-anak menghadapi Ujian nanti. 

Borang yang sudah lengkap diisi perlu diserahkan kembali kepada sekolah tadi dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Yang diperlukan bersama borang ini juga adalah 3 keping sampul surat siap dengan setem dan alamat lengkap tempat tinggal.  

Surat pertama akan sampai ke rumah untuk memaklumkan tarikh ujian kelayakan SRAI. Semua pelajar yang memohon wajib menduduki ujian kelayakan SRAI pada tarikh yang telah ditetapkan. Ujian ini diadakan serentak di semua SRAI di seluruh negeri Selangor. Pada tahun ini ujian diadakan pada 7/7/2018. 

Dalam tempoh lebih kurang 2 minggu kemudian, keputusan ujian diumumkan. Keputusan boleh disemak secara online di website JAIS atau boleh ke sekolah untuk tujuan semakan ini. Anas menerima keputusan ujiannya pada 26/7/2018, 19 hari selepas tarikh ujian tersebut. Dan 3 hari selepas keputusan, akan sampai pula surat kedua kepada calon yang berjaya. Pada tempoh masa yang telah ditetapkan, ibubapa perlu sekali lagi ke sekolah untuk menyerahkan borang persetujuan beserta maklumat lengkap pelajar dan ibubapa. Surat ketiga akan menyusul kemudian. 


Bagaimana bentuk ujian kelayakan SRAI dan apa persediaan yang perlu dibuat

Secara umumnya, ujian ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu lisan dan bertulis. Dalam ujian bertulis, anak-anak perlu menjawab soalan-soalan kefahaman asas dalam bahasa melayu, arab dan inggeris,  matematik, sains, jawi, iqra’ dan sirah nabi. Begitu juga untuk ujian lisan, anak-anak diminta untuk membaca petikan ringkas bahasa melayu dan inggeris, juga jawi dan asas iqra’ dan al-Quran.

Dari segi persediaan, tak dapat tidak, anak-anak perlu dilatih agar lancar membaca dan mempunyai pengetahuan asas dalam subjek tertentu seperti metematik, sains, jawi dan bahasa arab.

Oleh kerana saingan boleh dikatakan sengit, anak-anak perlu bersedia dengan sebaik mungkin untuk menempuh ujian tersebut. Ibubapa pasti maklum di tahap mana anak-anak kita, namun bak kata orang tak salah mencuba. Rezeki itu Allah yang tentukan. Tiada syarat ketat untuk memohon, cuma perlu cukup persediaan untuk bersaing merebut tempat yang agak terhad. Itu saja :)


Contoh soalan Ujian Kelayakan SRAI

Buku soalan Ujian kelayakan SRAI boleh dibeli di sekolah ketika mengambil borang permohonan. Anak-anak boleh cuba menjawab soalan yang terdapat di dalam buku tersebut untuk membiasakan mereka dengan soalan yang bakal dijawab di hari ujian nanti. 

Ini adalah contoh soalan yang terdapat di dalam buku tersebut :

























Baiklah, cukup penerangan serba ringkas tentang cara bagaimana untuk memohon kemasukan SRAI di negeri Selangor. Harapannya agar maklumat ini dapat membantu para ibubapa yang sedang mencari maklumat tentang sekolah ini dan berminat untuk membuat permohonan untuk anak-anak di masa akan datang. Untuk info lebih lanjut dan terperinci, boleh ke website JAIS dan boleh mendapatkan maklumat tambahan di blog-blog lain juga :)

Insya Allah Anas akan memasuki tahun satu pada tahun depan, 2019 di SRAI Pekan Beranang. Doakan semoga Anas akan seronok belajar dan berkawan di sekolah baru nanti, dan semoga menjadi tempat yang terbaik untuk Anas menimba ilmu sebanyaknya nanti. Insya Allah. 

Sebagaimana matlamat SRAI untuk seimbangkan ilmu dunia dan akhirat, begitu juga hendaknya anak-anak kita nanti terdidik baik sehingga mampu mencapai kecemerlangan dalam semua bidang termasuk akademik, akhlak dan sahsiah. Insya Allah :)












Wednesday, 1 August 2018 0 comments By: Naemah

CERITA PULUT MANIS/WAJIK




Sebelum ni ada cerita pulut kuning kan. Kali ni cerita pulut manis/wajik pula. Bak kata Anas; ummi ni pulut lagi! Hehe.

Alkisahnya, tadika Little Diamond mengadakan majlis sambutan hari jadi kali kedua pada 31/07/18 untuk meraikan pelajar yang lahir pada bulan April-Julai. Jika majlis sebelum ini Anas dan Mussaab antara yang diraikan, kali ini kawan-kawan yang lain pula :)

Seperti sebelum ini juga, ibubapa menyenaraikan menu yang akan dibawa ke sekolah untuk majlis tersebut. Dan kali ini, seperti yang sebelum ini juga abi tiada di rumah. Ketika dimaklumkan tentang majlis ini memang abi dah tak ada kat rumah, bekerja di Bintulu. Kalau tahu dari awal memang dah decide awal-awal apa yang nak dimasak, seterusnya mencari bahan yang diperlukan. Senang. Nak dijadikan cerita lagi, kereta sekarang berada di bengkel, maka tak ada kenderaan nak keluar. Nak tak nak, masak saja menggunakan bahan yang sedia ada di rumah. 

Pada mulanya nak masak bihun goreng saja. Tapi oleh kerana ‘terlambat’’, parents lain yang listkan dulu menu tersebut. So, terpaksa fikir menu lain. Banyak juga dapat idea masakan, dan semua yang terlintas adalah yang tak pernah dimasak pun sebelum ini :) Akhirnya decide nak masak wajik. Nak mencuba untuk pertama kali. Sebab tengokkan bahannya yang simple, dan ‘macam’ senang sangat caranya :)

Maka pada malam hari, selepas anak-anak tidur, bermulalah acara memasak wajik. Rupanya memang senang, satu jam dah siap. Cumanya, dek kekurangan bahan (gula melaka tak cukup), tahap ‘manis’ wajik tu pun kurang juga la. Tekstur pulut pun agak kurang cantik. Dan sebab dah pernah rasa yang sedap, yang ummi punya ni kira biasa-biasa saja :) tapi Alhamdulillah, sekurang-kurangnya terhasil juga satu menu air tangan ummi. Walaupun ummi tahu mungkin kurang sesuai dan kurang menarik minat kanak-kanak macam Anas dan Mussaab, tak apalah, sekadar ini saja yang ummi mampu dalam kekangan masa dan bahan yang ada :)

Apapun majlis sudah pun berakhir. Majlis yang bertemakan ‘garden party’ berlangsung dengan jayanya. Anak-anak sudah pasti happy meraikan bersama kawan-kawan. Satu lagi kenangan manis tercipta bersama. Anak-anak Little Diamond yang berpakaian ala ‘prince and princess’ kelihatan sangat comel semuanya.

Alhamdulillah. Terima kasih kepada guru Little Diamond yang berusaha meraikan setiap pelajarnya dan mencipta momen-momen indah di masa kecil mereka ini. 

Alhamdulillah :)


Antara gambar yang dikongsikan di fb Little Diamond Kindergarten;