Wednesday, 7 September 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 060916

Anas bangun jam 7 pagi. Lebih awal dari kebiasaan. Mungkin kerana semalam tidur awal, kerana demam dan tak tidur langsung di siang harinya. Bangun pagi, minta air dan roti butter gula. Kesian, lapar agaknya semalam langsung tak menjamah nasi. Alhamdulillah semalam lena tidur Anas dan pagi ini badan dah tak panas lagi. Ummi kelegaan. Hilang gusar di hati. 

Hari ini masuk hari kedua abi di KL. Ada urusan yang belum selesai. Anas, Mussaab dan ummi ditinggalkan sementara di kampung. Menanti kepulangan abi, seterusnya menyambut aidiladha dan terus berada di kampung hingga ummi selamat melahirkan adik Anas dan Mussaab. Insya Allah.

Mussaab pula bangun jam 8 pagi. Masuk ke dapur memegang tren mainan dan kembali ke luar dan bermain. Masih tak nak makan apa apa. Ummi menghadap laptop untuk update blog seketika. Anas dan Mussaab buat hal sendiri. Bermain apa yang ada. 

Jam 8.30, Anas dan Mussaab mandi. Lepas tu Anas minta nak menonton video 'Maya the bee'. Setiap hari menonton video yang sama. Entah apa yang best sangat :) sampai dialog pun dah hafal. Syarat untuk menonton,ummi minta Anas baca surah 'abasa (hafazan). Alhamdulillah, bacaan lancar. Hanya sesekali perlu dibetulkan. Very good Anas :) perlu gigih untuk bacaan dan hafazan surah an naziat pula. 

Anas dan Mussaab menonton video bersama. Ummi berikan sekeping kuih cakoi untuk Mussaab sarapan. Sambil makan, sambil menonton. Ummi menanti whatsapp abi yang masih tak berjawab. Semoga abi baik baik di sana, dan dipermudahkan urusan. Bosan menonton, Mussaab bermain kereta/truck mainannya. 




Jam 9.30, ummi ajar Anas baca surah an Nazia't. Alhamdulillah dah sampai 15 ayat (46 ayat semuanya). Ummi guna cara yang sama, menulis surah di atas kertas A4. Kali ni buat ayat by ayat pula. Bukan perkata lagi. Sebelum ni Anas dah pernah baca surah an Nazia't. Maka Anas lebih cepat menangkap bacaan setiap ayatnya. Ummi suka sangat kerana Anas mudah diajak membaca Quran sekarang. Malah, Anas tak sabar nak sambung ke surah yang lain. 

Ummi juga cuba buat ulangkaji huruf hijaiyyah dengan Mussaab. 2 huruf saja, Mussaab dah tak berminat. Itupun berulangkali ummi tanyakan soalan. Mussaab buat tak tahu, jeling Anas dan macam macam lagi. Sabar jelah anak ummi yang sorang ni. 




Jam 10 pagi, main magnetic wordplay di dapur mek. Anas fokus bermain dari awal hingga akhir. Bersemangat dan suka sangat. Maklumlah, dah pandai membaca. Permainan tu tak susah untuk Anas. Mussaab? Sekejap saja mainnya. Lepas tu bosan, pergi cari mainannya. Leka dalam dunia imaginasinya bersama mainannya :) 





Anas terus tekun bermain wordplay sendiri, meskipun dah main tadi dengan ummi. Tengah ummi memasak, Anas terus menyusun word di peti ais. Mussaab pula masih leka dengan mainannya. Masing masing dalam dunia sendiri. Ummi masak kueteow goreng untuk Anas dan Mussaab. Selesai masak, makan bersama. Anas masih kurang berselera. Badan dah kembali panas. Batuk juga sering mengganggu. Ummi mula risau. Tapi Anas masih aktif, meski tak terlalu aktif. 

Jam 11.30, rehat di ruang tamu. Kak Zana datang untuk main dengan Anas dan Mussaab. Anas dah tak berapa nak main sangat. Batuk dan kurang selesa. Mussaab teman kak Zana menyusun word tadi. Sambil main juga. Anas tidur di riba ummi. Tak larat dah nak main apa apa. Abi on the way balik. Sekali lagi menguji Mussaab huruf hijaiyyah bersama baris. Ummi tanya, dia nyanyi. Nak jawab satu huruf pun sampai 5 minit :') Mussaab dan Anas sangat berbeza. Maksud ummi, berbeza cara belajar. Bermakna ummi perlu fikirkan cara yang berbeza juga untuk mengajar Mussaab. 




Jam 12.30, Anas dan Mussaab main air dan mandi lagi. Ummi biarkan saja, daripada tengok Anas berguling lemah. Lama juga dalam bilik air. Lepas tu keluar dan ambil bantal untuk tidur. Penat agaknya. Mussaab sambung main mainanan. Lepas tu ambil buku umizoomi. Lepas solat zohor, ummi baring untuk tidur. Anas minta nak main track car yang abi simpan di rak kain. Ummi lena dulu. Kemudian Mussaab dan Anas. 

Ummi bangun jam 3.15, Anas juga bangun. Dah tak mengantuk lagi. Ummi sambung tidur di sisi Mussaab. Anas terus berbaring hingga ummi bangun. Badan masih panas. 

Ummi solat asar. Anas tunggu hingga unmi selesai dan minta nak makan roti sosej. Abi sampai kemudiannya. Alhamdulillah. Ummi buatkan 4 keping roti sosej. Mussaab juga bangun. Makan sama sama. Abi layan Anas dan Mussaab main, meski dalam kepenatan. 

Jam 5.30, Anas teman abi buat roti. Ummi siapkan makan malam. Ummi dan abi makan, Anas dan Mussaab tak nak makan. Main dan menonton video lagi. Petang ni menonton video science. 

Jam 7 petang, Anas dan Mussaab mandi bersama abi. Siap berpakaian tidur, menonton video dan main lagi. Sekejap duduk, sekejap main, sekejap minta air. Makan langsung taknak. Dah 2 harinAnas dan Mussaab tak menjamah nasi. Anas tak ada selera. Mussaab juga tak nak makan bila Anas tak makan bersama. Badan Anas masih panas, tapi masih ingin bermain.

Jam 8.30, abi siapkan tempat tidur. Abi yang kepenatan terlena dulu. Anas dan Mussaab masih tak mahu tidur. Hingga jam 9.40 malam, Anas lena lepas ummi lapkan badan Anas dengan kain lembap. Mussaab masih aktif bermain dalam gelap. Dari tadi asyik dengan tractor mainannya. Malam ni tidur dengan tractor lah jawabnya :) sempat minta bak minum air dalam gelap tu. 

Mussaab akhirnya lena jam 10.30 malam, bersama tractornya. Alhamdulillah. Ummi yang tadi niatnya nak buat kerja sikit lepas Mussaab tidur, akhirnya tertidur juga, tak tahan mengantuk dah. 

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini bersama anak soleh ummi yang sangat dicintai. Semoga hari esok akan lebih baik. Anas akan sihat kembali, Mussaab tetap terus ceria dan happy bermain dan berkawan bersama. Insya Allah. 
Monday, 5 September 2016 0 comments By: Naemah

BAGAIMANA MASA TUA KU

Bila usia makin bertambah, mula nak terkenang masa tua yang bakal menjengah. Sekejap je masa berlalu. Kita tak selamanya muda belia. Umur meningkat tiap detik. Kulit yang tegang lama kelamaan mengecut dimamah usia. Tua akan tiba. Tak siapa mampu menolak. Kecuali jika ajal terlebih dahulu datang menjemput.

Aku terfikir bagaimana masa tuaku. Tak tergambar dan tak boleh nak bayangkan. Apakah ketika itu masih ada suami yang setia menemani? Anak anakku dimana? Jauh atau dekat? Kesihatanku bagaimana? Masih cergas beramal ibadat atau terlantar sakit mengharapkan ubat ubatan? Bagaimana pula penerimaan masyarakat terhadapku? Apakah aku layak untuk hidup mulia atau sebaliknya?

Entah.. Tak terjangkau dek fikiran. Allah saja yang tahu bagaimana masa depan kita. Namun satu yang aku percaya, bagaimana sikap dan gaya hidup kita hari ini, mencerminkan bagaimana kelak masa tua kita. 

Mungkin, menjadi ibu yang sabar dan sering menekankan agama pada anak anak, menjadikan kita 'orang tua' yang akan terus disayangi, dihormati dan dimuliakan anak cucu. 

Mungkin, dengan memuliakan orang tua kita,menjadikan kita 'orang tua' yang layak dimuliakan. Dengan menjalinkan hubungan baik dengan jiran tetangga dan rakan rakan, menjadikan kita 'orang tua' yang sentiasa diingati. 

Mungkin juga, dengan menjaga pemakanan dan kesihatan kita di masa muda ini menjadikan kita 'orang tua' yang tak mempunyai masalah kesihatan yang kronik sehingga membuat kita lemah dan terlantar.  

Sesungguhnya kita takkan mampu menduga masa depan kita bagaimana. Segalanya terserah pada takdir Allah. Namun mungkin kita boleh persiapkan diri kita sebaiknya untuk menghadapi masa tua yang tak memilih siapa. Di samping doa kita padaNya agar masa tua kita tetap baik, dan tak menyusahkan sesiapa. 

Melalui masa tua itu satu kemungkinan. Namun yang pasti, mati itu pasti datang menjemput. Tak kira tua atau muda. Dalam memikirkan bagaimana masa tua, jangan dilupa, bagaimana pula dengan kehidupan selepas kematian. Gentar memikirkan diri yang penuh dengan dosa. Persediaan tiada, malah sering lalai dan alpa pula.

Renungan buat diriku... 
Diri akan tua, akan mati juga...



Semoga Allah merahmati ibuku dan ibu mertuaku. Kurniakan mereka kemuliaan di dunia dan akhirat



CATATAN KEHAMILAN: SOKONGAN SUAMI

Mengimbas kenangan bersalin anak pertama dan kedua bertemankan suami tercinta. Pernah aku nukilkan kisahnya di sini: PENGALAMAN TERINDAHKU: SAAT MELAHIRKAN ZURIATKU

Hampir semua isteri mengharapkan suami ada di sisi saat melahirkan si kecil. Aku juga tak terkecuali. Betapa kehadiran seorang suami di saat getir begitu, memberi makna yang besar kepada seorang isteri. Syukur, kelahiran lepas suami ada di sisi menemani. Doa dan harapanku, saat melahirkan yang ketiga ini juga dia akan ada bersama, setia menemani bersama sokongan dan doa.

Memang sakit melahirkan itu tak mampu dikongsi bersama suami, namun kehadirannya membuat kita merasa lebih kuat dalam menanggung rasa sakit itu. Apatah lagi mendengar ungkapan kata semangat darinya, dan belaian lembut darinya, kita menjadi lebih positif meski sakit itu hanya kita seorang yang menanggungnya. 

Namun bukan semua isteri yang bernasib baik untuk melahirkan anak bersama kehadiran suami. Boleh jadi masih ada hospital yang tak benarkan suami masuk ke labor room, mungkin juga suami jauh bertugas, atau mungkin ada suami yang takut darah, atau tak sihat badan. Segalanya mungkin. Namun semoga isteri tetap tabah dan kuat, berjuang demi anak yang bakal dilahirkan ke dunia.

Saatnya semakin tiba. Dalam penuh pengharapan dan doa agar suami ada di sisi ketika melahirkan anak ini, aku juga perlu bersedia untuk menerima, andai takdir Allah menginginkan selainnya. Aku maklum akan kerja suamiku yang perlu merantau jauh. Aku faham, dua anakku yang masih kecil dan sukar untuk ditinggalkan. Namun masih, aku meletakkan harapan dan doa, agar segalanya akan dipermudahkan. Agar diizinkan Allah, untuk suamiku menemaniku di saat melahirkan anak kami ini.

Suami, dalam menghadapi saat perjuangan melahirkan si kecil ini, redha seorang suami amat didambakan oleh seorang isteri. Redha Allah pasti hadir bersama redha seorang suami. Insya Allah.

Semoga dipermudahkan. 

Aameen


Sunday, 4 September 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: PERSEDIAAN MENTAL

Alhamdulillah, kandungan genap 34 minggu. Penantian lebih kurang 6 minggu lagi. Hadir pelbagai rasa. Rasa tak sabar menanti kelahiran si kecil, gembira, gentar dan takut juga. 

Walaupun sudah melalui 2 pengalaman melahirkan, tetap rasa takut itu hadir. Apatah memikirkan kesakitan yang bakal dilalui. Aku bersedia untuk menempuhnya, namun aku tetap perlu membina kekuatan diri. 

Di samping berdoa pada Allah, dan mengharapkan redha suami, aku kembali menyelak helaian buku membaca hal berkaitan dengan saat menempuh kelahiran. Aku ingin mencari motivasi dan kekuatan, agar rasa takut terhapus dan terpujuk. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketenangan untuk menempuh detik itu. 

Antara buku yang menjadi pilihan ialah buku tulisan seorang ibu yang berpengalaman melahirkan anak seramai 9 orang (Nikmatnya Sakit Bersalin; Isyah Radhiah Idris). Pernah khatam sekali buku ini. Cuba hadam untuk kali kedua, membaca perkongsian dan tips yang diberikan sepanjang menempuh saat bersalin. Saat saat menanti kelahiran seperti ini, feel dia pun lain sikit ketika membaca :)

Antara buku lain yang menjadi rujukan, Ibu Dibelai Anak Dibuai oleh Dr Ariza Mohamed (pakar O&G). Buku dari seorang doktor berpengalaman yang penuh dengan informasi. Dah banyak kali mengulang baca buku ini. Bersemangat nak melahirkan si kecil ini :)

Memikirkan tentang sakit bersalin, tak dapat tidak, sakit itu menjadi 'syarat' untuk bertemu anak yang sedang dikandung ini. Mahu atau tidak, tetap perlu melalui kesakitan ini sebelum dapat menatap wajah suci yang dirindui :)

Kerana proses bersalin itu umpama pertarungan hidup dan mati, aku tak terlepas dari memikirkan tentang kematian. Banyak kita mendengar berita gembira sebuah kelahiran. Ada ketika terdengar juga berita sedih yang membawa kepada kematian kerana sebuah kelahiran. Na'uzubillah.. Aku mohon Allah melindungiku dan anak yang sedang kukandung ini. Aku mengharapkan segalanya akan mudah dilalui.

Pengalaman lepas, melahirkan anak kedua dirasakan lebih mudah berbanding anak pertama. Diharapkan yang ketiga ini akan lebih mudah lagi. Insya Allah. 

Menanti hari... Dalam kegelisahan, tetap tidak sabar menanti. Semoga detik itu dapat kulalui dengan tenang dan mudah. Aameen.




antara bahan bacaan yang menjadi pilihan di saat menanti kelahiran cahaya mata :)

NIKMAT LUAR BIASA

Malam ini suamiku menaiki bas menuju ke KL buat kesekian kalinya. Ingatkan boleh berada di kampung lebih lama, rupanya tak juga. Ada urusan penting yang perlu diselesaikam di sana. Berpisah lagi buat sementara. Semoga Allah menjaganya, dan semoga segala urusan dipermudahkan. Insya Allah.

Malam ini, di saat anak anak sudah lena tidur, aku menonton video sendirian. Dah lama tak menonton. Lagipun tak best layan cerita seorang diri. Kalau suami menonton sekali, best la juga :) 

Cerita yang bertajuk 'Maafkan saya cikgu' menjadi pilihan. Cerita sedih lakonan Zamarul Hisyam, Sherli Merlis, dll (tak kenal sangat pelakonnya). Cerita berkisarkan dua beradik yang hanya tinggal bersama ibu mereka yang tidak sihat, hidup dalam kemiskinan, dan ibu hanya meniaga nasi lemak untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Anak anak pula bergilir pakaian sekolah (abang sekolah sesi pagi, adiknya sesi petang). Kerap pula si adik dirotan guru  disiplin kerana lewat sampai ke sekolah gara gara menunggu abang balik dari sekolah untuk menukar pakaian sekolah.




Sedih, melihat kepayahan si ibu membesarkan dua anak sendirian tanpa suami. Menanggung segala derita sendirian. Berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang ada. Dalam masa yang sama, cuba mendidik anak anak menjadi manusia yang mengerti tentang kepayahan dan ujian hidup. Aku meletakkan diri di tempat si ibu. Terasa lemahnya diri mengharungi ujian seperti itu. Tak sedar air mata mengalir :'(

Terkenang kehidupanku hari ini bersama suami dan anak anak. Alhamdulillah, satu nikmat yang tidak terungkap dengan tulisan atau kata kata. Aku sedar betapa besarnya nikmat Allah padaku. Nikmat yang jarang disyukuri, nikmat yang jarang disedari. Melihat kepayahan dari cerita itu, hatiku bagai dijentik sayu. Realiti hari ini, masih ada yang bersusah payah dan hidup dalam kesempitan seperti itu. 

Aku menginsafi diri. Nikmat yang aku kecapi hari ini, bukan semua orang dapat mengecapinya. Terima kasih atas kehidupan hari ini ya Allah. Ada suami dan anak anak, teman sepanjang masa. Ada harta, meski bukan terlalu mewah. Dikurniakan kesihatan, meski ada ketikanya diuji dengan sakit demam, pening yang biasa. Banyak masa yang dipenuhi dengan kegembiraan, hanya sesekali teruji dengan kesedihan. 

Allah.. Jarangnya hamba nak berfikir tentang nikmatMu yang luar biasa. Apalagi nak bersyukur saban masa. Ampunkan hamba ya Allah. Sesekali Engkau menjentik hatiku, membuat aku tersentak dan sedar akan kealpaan diri. 

Terima kasih ya Allah. Bagaimana ingin aku lafazkan syukur, dan buktikan syukur.. Semoga hidupku dan keluargaku terarah kepada petunjukMu. Semoga di hati kami sentiasa merasakan cinta padaMu ya Allah. Aameen. 



Saturday, 3 September 2016 0 comments By: Naemah

TIKA DIRI DIUJI

1/9/16

Hari ini masuk hari ke-3 kami sekeluarga berada di kampung. Akan berada lama di kampung, untuk m enyambut aidiladha seterusnya menanti kelahiran anak ketigaku tidak lama lagi. Insya Allah.

Hari ini juga suamiku terpaksa memandu balik ke KL kerana ada mesyuarat yang baru dimaklumkan semalam. Kesian suamiku, belum hilang penat memandu balik kampung, terpaksa memandu jauh lagi seorang diri. Lepas meeting, akan patah balik ke kampung semula memandangkan cutinya masih banyak berbaki. 

Ah, kalaulah boleh tunggu sebentar... Dan tak tergesa membuat keputusan untuk balik ke kampung. Pastinya suamiku tak perlu susah payah begini. Kl- kelantan.. Bukannya makan sejam dua. 

Tapi.. Segalanya dah berlaku, dan segalanya terjadi kerana takdirNya. Berdosanya masih nak menyesali takdir dan masih nak ber'kalau-kalau' lagi. Memang agak kecamuk juga aku semalam bila dapat tahu dia perlu balik ke KL pagi ni. Entahlah.. Aku paling risau nak lepaskan dia memandu jauh seorang diri. Aku cadangkan naik flight saja, dia menolak. Nak drive juga, atas alasan alasan tertentu...

Suamiku, memang sentiasa positif. Katanya memang kerja dia begitu. Bila bila masa kena bersedia. Tak mungkin dia akan memberi alasan demi untuk tidak menghadiri mesyuarat itu. Dia yang ku kenal, sangat komited pada kerjayanya. 

Ditakdirkan juga aku terjatuh hari ni, ketika sedang sarat mengandung 34 minggu. Sakitnya usah cakap. Sampai menangis aku dibuatnya. Nangis seorang sajalah, tak tunjuk pada sesiapa. Gara gara lantai licin, dan aku juga tak beringat. Paling aku risau ialah pada kandunganku. Tapi Alhamdulillah jatuhku tak sampai menghempas punggung dengan kuat. Jatuh menghempap kaki, dan jari terasa sakit dan perit. Bengkak, dan tak boleh disentuh dan dilipat. Masih terasa sakitnya. 

Dalam menanggung sakit ini, aku tetap bersyukur dan percaya, Allah menjaga kandunganku ini. Insya Allah tiada mudarat padanya. Tak mengapa ummi seorang yang sakit, jangan kamu duhai anak..

Sedikit ujian yang menguji hati. Betapa hatiku ini begitu mudah terusik. Sedikit ujian pun dah buat jiwa jadi kusut. Astaghfirullah... Betapa aku belum cukup bersangka baik pada Tuhan. Segala perancanganNya, baik kita suka atau tidak, tetap yang terbaik buat kita dan pasti terkandung rahsia dan hikmah yang belum kita tahu. 

Ya Allah.. Berikan ketenangan pada hati yang sering berkeluh kesah ini. Ampunkan dosa hambaMu.

CATATAN KEHAMILAN: MENGANDUNG SELEPAS KEGUGURAN

Aku pernah mengalami dua kali keguguran. Dan dua kali juga mengandung selepas keguguran. Keguguran pertama, diganti dengan kehadiran anak sulungku Anas Zaydan yang kini berusia 4 tahun lebih. Keguguran kedua, kini diganti dengan anak ketiga yang sedang kukandung ini. Alhamdulillah, di atas sebuah kehilangan yang diganti. Insya Allah, yang lebih baik. 

Tak dinafikan, keguguran adalah sebuah cerita duka bagi seorang ibu. Apatah lagi pada yang sangat mengharapkan kehadiran si kecil. Aku juga sama. Kandungan pertama lebih melukakan, kerana ketika itu aku dan suami sangat mengharapkan hadirnya zuriat selepas kami diijabkabulkan. Keguguran kedua juga, menyedihkan kerana ketika itu juga aku dan suami sedang bersedia untuk mempunyai anak lagi. Namun lukanya tak seperti kehilangan yang pertama dulu, kerana hati terubat melihat dua permata hati yang sudah ada di depan mata :)

Ada ibu, yang diduga dengan keguguran berkali kali sebelum akhirnya menikmati kandungan yang selamat. Ada juga yang masih menanti dan terus menanti, dengan penuh harapan. Aku pula, penuh syukur aku panjatkan kerana Allah cepat menggantikan sebuah 'kehilangan' itu.

Setiap orang ujiannya berbeza. Kerana Allah tahu sejauh mana kekuatan kita. Keguguran itu juga 'sakit'. Hanya yang pernah mengalaminya saja yang faham. Sakit fizikal, dan sakit emosi juga :) namun percayalah, Allah takkan sia siakan segala kesakitan yang kita tempuh itu. Simpati Allah pasti ada bersama. Kita perlu belajar untuk redha menerima, dan sabar dengan ujian ini.

Saat menanti kelahiran yang ketiga ini, terimbas kenangan mengandungku yang lepas lepas. Termasuk kandungan yang membawa kepada keguguran. Ada rasa sayu menyusup ke hati. Aku pernah melalui detik sedih itu. Namun hati tak lepas dari rasa syukur. Hakikatnya hari ini aku sudah punya 2 anak yang sudah diganti. Malah akan hadir lagi seorang anak tidak lama lagi. Allah.. Sungguh besar nikmatMu. Nikmat hari ini jauh lebih besar dari cebisan kenangan sedih yang lalu. Allah sudah ganti.. Allah sudah memberikan yang terbaik!!

Nasihatku pada wanita yang berhadapan dengan kisah sedih kerana sebuah keguguran, percayalah Allah pasti memberikan yang lebih baik pada kita di masa yang akan datang. Walau diuji dengan keguguran berkali kali, tetaplah tabah menerima dugaan ini. Allah takkan biarkan kita terus bersedih. Pasti ada berita gembira di masa yang akan datang. Insya Allah. Yakinilah bahawa Allah tak akan biarkan kita sendiri menempuh kesedihan ini. Pasti simpatiNya ada bersama. Pasti ada perancangan yang lebih hebat dariNya buat kita, seorang ibu :)