Sunday, 30 June 2019 0 comments By: Naemah

WEEKEND: AISHA KIDZ PLANET, SETIA ECOHILL TAIPAN

Kali ke-5 membawa anak-anak ke Aisha Kidz Planet (2017 adalah kali yang pertama). Kali ke-6 untuk Anas dan Mussaab yang pernah datang bersama rombongan sekolah mereka. 

Kini Aisha Kidz dah berpindah tempat. Dari Beranang kini ke Ecohill Taipan, Bandar Rinching. Lebih dekat dengan rumah (seksyen 6). Kali kedua lah kiranya untuk tahun ini, yang terakhir pada bulan Januari lepas. Bayaran masih sama, rm 10/seorang untuk 1 jam dan rm 15/seorang untuk unlimited time.

Time abi tak ada dan tak tahu nak ke mana, Aisha Kidz Planet jadi pilihan yang terbaik. Nak bawa pergi taman (outdoor), tak larat pula nak melayan 3 hero yang tengah melasak, dalam keadaan diri yang tengah sarat ni :D

Hari ini keluar rumah tepat jam 10 pagi, 5 minit saja perjalanan, dekat sangat kan. Jadi orang first yang sampai, bukan main seronok anak-anak, sebab dah lama tak datang. Dah janji banyak hari dengan mereka nak bawa ke sini, dan setiap hari juga dok sebut dan tanya. Kalau tak bawa juga, dapat bayangkan la macam mana frustnya mereka :)

Seperti biasa, bila di sini mereka bermain dengan riang dan seronok sekali. Tambahan pula satu jam pertama belum ada kanak-kanak lain yang datang, maka semua yang kat dalam tu mereka yang ‘punya’ :) 

Sehingga jam 11.30, Anas dah mula ajak balik. Lapar dah katanya. Mussaab dan Miqdad masih leka bermain. Masih tak puas-puas. Main pasir, main bola, trampoline, dan lain-lain. Anas sabar menunggu sampai adik-adik mahu diajak balik. Dia pun sambung bermain juga.

Hampir jam 12, semakin ramai ibubapa yang datang membawa anak-anak. Perlahan-lahan aku memujuk anak-anak untuk meninggalkan tempat ini. Nampaknya masih belum puas bermain, tapi Alhamdulillah masing-masing akur bila berkali diajak balik. Sekitar jam 12.30, kami meninggalkan Aisha Kidz Planet. 

Tak terus balik ke rumah, Anas pula request nak makan KFC. Dalam berat hati (takut ramai orang kat KFC sebab hari Ahad), tunaikan juga permintaan Anas yang disokong Mussaab dan Miqdad :) Alhamdulillah tak ramai sangat orang. Tak perlu beratur panjang, order sekejap je dah dapat. Di situ jugalah aku dan anak-anak menikmati hidangan tengahari bersama hari ni.

Alhamdulillah untuk kegembiraan anak-anak hari ini. Sudah 3 weekend abi tak dapat bersama kerana perlu bertugas. Kesian asyik terkurung dalam rumah saja walaupun tak sekolah. Hari ni, dapat penuhi janji untuk bawa anak-anak ‘bersukaria’ di luar :D

Insya Allah nanti ummi bawa ke Aisha Kidz Planet lagi ye. Lepas baby dah besar :D


Foto hari ini di Aisha Kidz Planet 

































Monday, 24 June 2019 0 comments By: Naemah

MIQDAD: AKHIRNYA BERCERAI SUSU



Akhirnya, ummi dah boleh declare dah kot yang Miqdad kini sepenuhnya sudah bercerai susu badan :D

Ummi lupa tarikh yang setepatnya, tapi seingat ummi pada awal Ramadhan lepas (May 2019) sehingga ke tarikh ini Miqdad sudah berjaya ‘lupakan’ susu. Sudah sebulan lebih kira-kiranya, pada usia Miqdad sekitar 2 tahun 7 bulan. 

Tiada sebarang helah yang ummi lakukan untuk stopkan Miqdad dari menyusu badan, cuma ummi rasa sudah tiba masanya, tambahan pula ummi sedang mengandung, jika tak hentikan sekarang, lagi mencabarlah nanti bila dah ada baby :)

Ya, sebab dah ada pengalaman di mana dulu semasa mengandungkan Mussaab, Anas masih setahun lebih usianya. Oleh sebab masih kecil, tetap teruskan penyusuan badan sepenuhnya pada Anas, tambahan pula mengandungkan Mussaab memang tiada alahan dan masalah langsung. Elok saja menyusukan Anas sampailah melahirkan Mussaab (usia Anas tepat 2 tahun). 

Walaupun dah ada adik, Anas masih meneruskan penyusuan badan. Bergilir dengan adik, sampailah umur Anas 3 tahun setengah. Itupun selepas puas dipujuk-pujuk. Diingat-ingat balik, masa tu memang penat juga bila bergiliran menyusukan anak. Ada juga sampai tahap stress, Allah saja yang tahu.

Mussaab pula sempat menyusukan dia sehingga usianya 2 tahun 2 bulan. Masa ni memang terpaksa, sebab tengah alahan mengandungkan Miqdad pula. Penat sangat, tak sanggup nak teruskan penyusuan Mussaab. Terpaksa ‘berhelah’ sikit, tapi memang mudah sangat, tak lama lepas tu Mussaab memang dah tak menyusu lagi. Tak ada drama menangis meraung, Mussaab bercerai susu badan dengan senang dan tenang sekali :) Alhamdulillah, dapat juga 2 tahun. 

Kini turn Miqdad pula. Episod mengandungkan yang ini, alahan tak seberapa sangat seperti yang lepas, jadi biarkan dulu Miqdad menyusu badan selagi dia mahu. Pujuk-pujuk juga, tapi hasilnya baru sebulan inilah baru dapat :) fuh, lega. Berbaloi juga memujuk hampir setiap hari :) 

Bila anak dah tak menyusu, pada awalnya memang terasa janggal. Rasa dia dah jauh, walaupun sebenarnya kat depan mata je. Sebab tak ada lagi momen dia datang dekat dan minta susu. Dah tak ‘melekat’ lagi dengan kita. Sedih juga, tapi begitulah lumrahnya. Baru sedar selama ini anak sangat dekat dengan kita, perlahan-perlahan belajar melepaskan dia, dan akur yang dia dah ‘besar’ dan akan semakin dewasa. 

Alhamdulillah, syukur diberi peluang menyusukan 3 anak dengan penyusuan sempurna (2 tahun dan lebih). Ia detik berharga bagi seorang ibu. Masa emas bersama anak-anak yang tak akan dapat diganti balik. 

Semoga semua ibu menyimpan harapan dan cita-cita untuk melakukan hal yang sama, semoga dipermudahkan oleh Allah untuk urusan ini, dan semoga diganjari dengan kebaikan di atas mujahadah seorang ibu untuk menyempurnakan penyusuan anaknya, insya Allah :)


Catatan lama; kisah yang sama







Sunday, 23 June 2019 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: MENERIMA REPORT CARD MUSSAAB


22/6/19: menghadiri majlis jamuan raya Little Diamond Kindergarten, dan pada hari ini juga ibubapa berpeluang bertemu dengan guru kelas anak-anak untuk menerima report card mereka. Suamiku tak dapat hadir bersama kali ini, hanya aku dan anak-anak yang hadir pada hari tersebut. Dan kami antara yang terawal hadir untuk tujuan ini. 

Tahun ini bertemu dengan guru kelas Mussaab (Teacher Sya) untuk menerima report card di samping mendengar komen yang berkaitan dengan Mussaab sepanjang hampir 6 bulan belajar di Little Diamond Kindergarten (sessi 2019).

Seperti kebanyakan ibubapa juga, ini antara momen yang paling ditunggu, iaitu untuk mengetahui tentang perkembangan dan tahap pencapaian anak-anak di sekolah :)

Apa yang dapat dirumuskan daripada pertemuan ini ialah; 

’Pencapaian keseluruhan untuk Mussaab adalah di tahap SEDERHANA.. Berpandukan apa yang disenaraikan: ada yang di tahap Outstanding, banyak pada tahap Good, dan  ada juga di tahap Weak, antaranya bab confidence. Kata teacher, Mussaab sukar nak bercakap di depan kelas, suara pun perlahan.. tapi berbeza bila bersama kawan2, banyak pula cakap, main dan ceritanya... Anas yang turut mengikuti sessi pertemuan ini beriya mengiyakan ‘kekurangan’ adiknya. Amboi.. (Anas kena support dan bantu adik ya!)

Dari segi akademik, Mussaab dapat ikut dengan baik, tak lebih tak kurang. Masih lemah bab tambah dan tolak (matematik), tapi teacher kata sebab  baru masuk bab ni, so takdelah teruk sangat pun..

Bab hafazan, doa, bacaan dan praktikal solat, pun seberhana, tapi boleh ikut, adalah terlebih kurang. Ummi perlu fokus lebih la lepas ni bab yang ni.’

Lepas jumpa guru, sikit sebanyak nampaklah apa yg dia belajar kat sekolah, dan macam mana dia di sekolah selepas ‘ketiadaan’ abangnya. Kalau ditanya pada dia, dijawab pun tak memuaskan hati. .

Tak akan dibanding -bandingkan dengan Anas (takkan serupa), cepat atau lambat, Mussaab akan dapat juga apa yang Mussaab perlu dapat. Insya Allah. Yang penting, mana yang nampak lemah akan cuba diperbaiki. 

Dan Teacher Sya juga ada cakap, tak boleh nak bandingkan Mussaab dengan abangnya, kerana setiap anak takkan sama. Ya, Terima kasih teacher kerana tak membandingkan mereka. Sebagai ibu, aku yakin setiap mereka ada potensi dan kelebihan yang tersendiri. Ada sisi tersendiri yang pasti menyerlah pada setiapnya. 

Tahun depan mungkin masih di sekolah yang sama. Insya Allah akan lebih baik, dalam semua aspek dan makin bersedia untuk melangkah ke tahun 1 (2021). Yang paling ummi harapkan, Mussaab akan lebih yakin pada diri dan berani bersuara. Cuba ya Mussaab!

Semoga yang terbaik sentiasa untuk Mussaab. Doa ummi akan sentiasa mengiringi. Ummi akan cuba sebaik mungkin, agar tak serahkan hanya pada sekolah untuk jadikan Mussaab ‘pandai’. Ummi sedar peranan ummi lebih besar. Maaf pada yang terkurang selama ini, kerana ummi akui tak berupaya untuk sepenuhnya memberi tumpuan dan perhatian. 

Moga akan lebih baik Mussaab. Ummi tetap percaya dan berdoa, Mussaab akan pergi lebih jauh. Menjadi insan cemerlang dan berjasa di masa akan datang. Insya Allah.


Saturday, 22 June 2019 0 comments By: Naemah

SRAIPB & LD KINDERGARTEN: JAMUAN HARI RAYA

Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap sekolah, untuk mengadakan jamuan hari raya di sekolah masing-masing. Tak terkecuali sekolah Anas (SRAI Pekan Beranang) dan sekolah Mussaab (Little Diamond Kindergarten). Mereka meraikan syawal bersama guru dan kawan-kawan di sekolah, menikmati juadah raya dan berpakaian raya :)


Beraya di SRAI Pekan Beranang 

Majlis hari raya SRAI Pekan Beranang diadakan pada 14/6/19. Hari ini Anas berpakaian raya, baju yang sama yang dipakai pada 1 Syawal. Kali ni siap bersampin (mengikut syarat), itupun sampin yang dibeli last minute oleh abinya secara online. Ngam-ngam dihantar ke rumah sehari sebelum majlisnya. Kalau tak, mungkin pakai baju melayu dan sampin sekolah saja :D

Untuk majlis ini, kelas Anas diminta membawa biskut raya/kerepek/kek. Mujurlah ada kerepek di rumah, dapatlah bawa ke sekolah. Hari ni abi tiada di rumah, ummi uruskan semua, macam biasalah :) Hari jumaat, ikut waktu persekolahan biasa (7.30am-12pm). Kata Anas majlis berjalan lancar, seronok menjamu selera dengan pelbagai juadah yang disediakan oleh pihak sekolah dan yang dibawa oleh setiap pelajar. Alhamdulillah :)










Beraya di Little Diamond Kindergarten 

Majlis hari raya Little Diamond Kindergarten pula diadakan pada 22/6/19. Raya kali ke-2 Mussaab bersama kawan-kawan Little Diamond. Excited dia nak beraya di sekolah, orang pertama bangun pagi, dan tak sabar-sabar nak ke sekolah. Juga siap berpakaian raya untuk majlis hari ini.

Hari ini juga hari untuk ibubapa menerima report card anak, sambut birthday student yang lahir bulan April hingga Jun, makan-makan dan ibubapa juga turut dihiburkan dengan persembahan pelajar Little Diamond Kindergarten. 

Tak banyak gambar yang ummi dapat snap hari ni. Sorang-sorang kena pantau anak-anak (yelah, abi tak dapat datang untuk majlis hari ni), tak dapatlah nak fokus bergambar. Pagi datang ambil report card dan menjamu selera, balik semula ke rumah dan datang balik hampir jam 12 untuk menyaksikan persembahan pelajar Little Diamond Kindergarten, dan balik ke rumah bila majlis hampir berakhir. Oh ya, masing-masing bawa balik duit raya dan goodies juga, Alhamdulillah :)















Selesai sudah majlis raya di sekolah Anas dan sekolah Mussaab. Seterusnya menyambung persekolahan dan pengajian seperti biasa. Perlu fokus, perlu rajin dan tekun, perlu sentiasa bersemangat untuk ke sekolah setiap hari. 

Anas dan Mussaab akan baik-baik saja, dan seronok kembali ke sekolah lagi, insya Allah :)

DIARI ANAKKU: 220619



Hari ke-3 abi di Bintulu. Esok insya Allah akan balik untuk beberapa hari dan akan kembali bekerja. Ya, selepas cuti hari raya Aidilfitri, jadual kerja abi padat. 3 kali weeekend abi tak dapat bersama anak-anak di rumah. Dan sudah tentunya tak dapat nak berjalan ke mana-mana :)

Hari ni diadakan jamuan hari raya di sekolah Mussaab, di samping untuk mengambil report card Mussaab. Excitednya Mussaab menanti hari ini, dia jadi yang pertama bangun dari tidur (sebelum azan subuh lagi), ke bilik ummi untuk bangunkan semua orang. Ummi bangun selepas Mussaab, diikuti Miqdad dan Anas yang terakhir. Semua mandi dan berpakaian. Breakfast roti canai segera, tapi hanya Mussaab dan Miqdad saja yang makan, Anas katanya nak makan di sekolah Mussaab. Sementara menunggu masanya (jam 9 pagi), tv menjadi pilihan. Ketiganya menonton video pilihan.

Sekitar jam 9.15 pagi, berjalan ke sekolah Mussaab. Jumpa guru kelas Mussaab untuk ambil report card Mussaab, dengar serba sedikit komen teacher pasal Mussaab, then lepas tu menjamu selera dengan juadah yang disediakan. 

Sejam kemudian balik semula ke rumah. Tak daya nak tunggu sehingga jam 12 untuk persembahan Mussaab, Anas, Mussaab dan Miqdad bermain langsung tak ingat ummi dah.  Semua balik ke rumah, dan akan kembali lagi ke sekolah untuk saksikan persembahan Mussaab dan kawan-kawan. Kawan Mussaab, Hafiz (abang dan kakaknya sekali) ikut balik ke rumah. Ibubapa mereka tak dapat hadiri majlis sekolah hari ini kerana bekerja. Semua masuk ke dalam rumah dan menonton tv bersama.

Jam 11.45 kembali ke sekolah Mussaab, menyaksikan persembahan pelajar Little Diamond Kindergarten, dan meraikan majlis birthday kawan-kawan Mussaab. Duit raya juga dapat, Alhamdulillah :) hampir jam 1 petang, terus balik ke rumah. Masing-masing pun sudah kepenatan, bermain tak henti. Kali ini Hafiz, kakak dan abangnya juga ikut balik ke rumah. Bila masuk waktu zohor, mereka balik ke rumah.

Lepas zohor, Miqdad tidur bersama ummi di bilik atas. Mussaab dan Anas bergiliran menonton video di bawah. Sesekali naik juga ke atas dan turun balik ke bawah dan leka dengan hal sendiri. 

Jam 4.30 ummi dan Miqdad turun ke bawah. Miqdad tadi menangis, dipujuk oleh abang dengan video Blippi. Lepas solat asar ummi masak mee goreng, semua sudah kelaparan. Yelah, lepas makan di sekolah Mussaab tadi dah tak makan apa-apa dah kat rumah. Ummi pun tak masak, tengok semua dah kekenyangan. Tengah masak, Hafiz, kakak dan abangnya datang ke rumah lagi. Ibubapa mereka masih belum balik dari kerja. Ummi ajak semua makan bersama. Rupanya tak cukup sebungkus mi goreng. Semuanya kelaparan :) nasib baik ada lebihan nasi semalam dalam peti ais. Goreng nasi pulalah. Sekali lagi menjamu selera bersama. Alhamdulillah kenyang semua. Masing-masing kembali menonton tv dan bermain.

Hampir jam 6.30 petang, Hafiz, abang dan kakaknya balik dijemput ibu dan abang sulung mereka. Tinggallah Anas, Mussaab dan Miqdad di rumah seperti kebiasaan. Sambung menonton tv sekejap, lepas tu kemas rumah sama-sama, dan naik ke atas untuk mandi. Lepas solat Maghrib, baca Quran seperti biasa. Mussaab mengulang hafazan yang dah lama ditinggalkan. Tadi teacher ada cakap Mussaab banyak lupa hafazannya yang dulu, so kena ulang balik. 

Lepas isyak, Anas, Mussaab dan Miqdad bersedia untuk tidur. Sekejap saja, semua sudah lena dibuai mimpi. Alhamdulillah. Semoga bermimpi indah semuanya. 

Semoga hari esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Insya Allah. Ummi sayang semuanya. Kerana Allah. Maafkan ummi atas segala kekurangan dan kesilapan ummi untuk hari ini dan yang sudah. Ummi akan cuba jadi yang lebih baik untuk kalian. Insya Allah :’)

Friday, 21 June 2019 0 comments By: Naemah

BERSYUKUR ATAS ANUGERAH INI



Menghadiri hari terbuka bersama ibubapa di sekolah Anas semalam , sebelum bermula sessi yang ditunggu, sempat bersuai kenal dengan seorang ibu kepada pelajar darjah 5. Dia datang bersendirian, suami bekerja, anak yang lain dah besar dan bersekolah. Sempat berborak bersama ketika menunggu di kantin sekolah. Ramah orangnya, suka berkongsi cerita. Katanya dia ada 4 orang anak, 3 perempuan dan seorang lelaki. Yang darjah 5 ini lelaki dan merupakan anak ketiganya. Yang bongsu pun dah darjah 3 (sekolah lain).

Katanya, cukuplah 4 anak yang dia ada. Penat! Beza antara anak 2 tahun setiap orang, rapatlah kiranya tu. Katanya penat nak handle sorang-sorang, di masa kecil mereka. Nak hantar si kakak ke sekolah, yang adik-adik perlu angkut sekali. Menjerit, bergurau, menangis dalam kereta, memang sangat mencabar setiap kalinya. Belum lagi cerita bab lain. Hai, penat sangat katanya sampai rasa tak nak tambah anak dah, dah tak larat. Tapi syukurlah, empat pun dah banyak kan :)

Mendengar kisah dia, teringat pada situasi sendiri. Itu jugalah yang sedang aku lalui sekarang. Penat? Ya, aku akui penat. Tak perlu aku luahkan. Yang faham, hanya akan faham. 

Tapi.. aku masih mahu punya anak lagi, jika diizin Allah. Selepas yang ke-4 ini, aku teringin untuk punya lagi. Moga aku dapat bertahan pada ‘penat’ yang seketika ini.

Ketika menunggu giliran untuk bertemu guru kelas Anas, bersembang pula dengan seorang ibu kepada kawan sekelas Anas. Dia juga datang bersama seorang anak, tanpa suaminya. Katanya anaknya 2 orang saja, 7 tahun dan 4 tahun. Actually 3 orang, tapi abang kepada yang 7 tahun ini dah meninggal semasa umurnya setahun lebih (sekitar tahun 2011). Meninggal di rumah pengasuh katanya. Allah, simpati dan sedih rasanya hati mendengar ceritanya. Tapi nampak dia jelas redha dengan ketentuan Allah. Mungkin juga kehadiran 2 anak selepas itu menjadi pengubat luka hatinya. 

Ceritanya lagi, ketiga anaknya dilahirkan secara pembedahan. Dan selepas yang ketiga ini dia tidak boleh mengandung lagi (kerana peranakan sudah diikat). Hatinya teringin untuk ada anak lagi, tapi apakah daya, sudah takdir untuknya , berisiko untuk dia mengandung lagi. Aku percaya, takdir ini juga diterima olehnya dengan hati yang redha dan syukur. Ya, syukur kerana sekurang-kurangnya sudah ada dua ‘anugerah’ yang kini sedang mendampingi hidupnya. 

Aku insaf mendengar cerita dan perkongsian. Aku perlu kembali memikirkan tentang aku. Aku dan anak-anakku. Sudah cukupkah syukurku pada Allah yang terlalu baik buatku? Zuriat yang aku impikan, seorang demi seorang hadir dalam hidupku. Pernah juga aku kehilangan (keguguran), tapi Allah ganti yang lebih baik, sudah pasti. Dalam kepayahan mengandung dan membesarkan anak-anak, masih aku diizinkan untuk mengandung lagi, untuk melahirkan lagi. Dalam setiap penat juga, tak pernah aku dibiar sendiri mengharung segala. Sentiasa dengan pertolongan DIA. Kerana itu semuanya dapat ku tempuh. Biar dalam susah dan payah sesekalinya.

Bahagia? Ya, yang penting dan pasti aku bahagia dengan anak-anak di sisi. Aku syukuri  di atas kehadiran mereka yang sudah ada di depan mataku hari ini. Dan aku menanti pada kehadiran yang seorang lagi, yang sedang ku kandung ini. Semoga dipermudahkan kelahirannya nanti, dan dapat berkumpul bersama abang-abang yang juga setia menanti kehadirannya.

Ya Allah, moga Kau tetap memandu hatiku, untuk sentiasa mensyukuri nikmat dan anugerah ini. Cahaya Mata yang aku damba sejak sekian lama dalam hidupku. Bahagiakan aku bersama suami dan bersama mereka, ya Allah. Kumpulkan kami bersama di dunia dan di akhirat.   

آمين


SRAI PEKAN BERANANG:HARI TERBUKA BERSAMA IBUBAPA (1)



Pada hari ini (21/6/19) diadakan hari terbuka bersama ibubapa di sekolah Anas, SRAI Pekan Beranang. Hari ini ibubapa perlu hadir untuk menerima laporan penilaian bilik darjah anak-anak. Waktu yang ditetapkan untuk ibubapa hadir adalah antara jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.

Oleh kerana suamiku tiada di rumah, aku perlu bersendirian (ditemani Miqdad) untuk tujuan ini. Seperti biasa, Mussaab dihantar terlebih dahulu di sekolahnya, dan kemudian terus ke sekolah Anas. Sampai di sekolah sudah pukul 7.30 pagi, sudah lewat dari kebiasaan menghantar Anas setiap hari. Tapi memang plan nak sampai lambat sikit, nanti tak perlu tunggu lama sangat untuk ke jam 8 pagi. Nasiblah boleh masuk ke dalam sekolah bersama anak, tak perlu menunggu di luar dulu.

Pukul 8 bermula sessi pertemuan guru-ibubapa mengikut giliran (di dalam kelas). Alhamdulillah oleh kerana datang awal, dapatlah giliran yang ke-5. Sama seperti sessi perjumpaan dengan guru masa Anas di sekolah tadika itu juga, guru menerangkan progress dan pencapaian anak-anak di dalam darjah. Dan saat seperti ini memang sangat dinantikan oleh aku dan mungkin ibubapa yang lain juga :)

Dan syukur Alhamdulillah juga, komen dari guru kelas (teacher Ain dan ustazah Roslinda) tentang pencapaian Anas semuanya ok dan baik saja. Baik dalam akademik, Agama, akhlak, dan lain-lain. Antara komen guru kelas, Anas seorang yang berani untuk ke depan, berani bercakap dan menjawab soalan di dalam kelas, bacaan jawi baik, banyak vocab English, dan lain-lain lagi. Oleh kerana Anas tak ada masalah di dalam kelas, singkat saja sessi bersama guru. Nak tanya lebih pun tak terfikir dah apa soalan yang nak ditanya :D 

Jam 8.30 pagi, dah selesai urusan pagi ini. Anas juga dibenarkan balik bersama sebab hari ni memang dah tak belajar. Sebelum balik teman dulu Anas menjamu selera dengan nasi lemak di kantin sekolah. Itulah yang dibelinya hari-hari di kantin sekolah :)

Alhamdulillah untuk pertemuan pertama ini, selepas hampir 6 bulan Anas belajar di sini. ‘Bahagia’ mendengar komen yang baik-baik dari guru kelas Anas. Namun sudah pasti, ini belum yang terbaik, kerana Anas tetap perlu mencuba lagi, jadi yang lebih baik lagi. Insya Allah, di masa akan datang akan lebih cemerlang. Doa ummi akan sentiasa mengiringi. Sebagaimana setiap hari Anas seronok dan tiada masalah/alasan untuk ke sekolah, moga hari-hari yang mendatang pun begini juga. Moga sentiasa diterangkan hati Anas dalam menuntut ilmu, diberi kesihatan yang baik, seronok belajar dan berkawan, sentiasa didampingi kawan-kawan yang menyenangi, dan guru-guru yang menyayangi, insya Allah.

Ya, langkah Anas masih baru bermula. Masih jauh lagi mahu pergi. Moga Allah sentiasa mempermudahkan. 


آمين










Wednesday, 19 June 2019 0 comments By: Naemah

UPDATE PENGAJIAN DI RUMAH: 2019


Teman saban malam


Update pertama tahun ini tentang pembelajaran anak-anak di rumah. nampak  sangatlah betapa ‘malas’nya ummi nak menulis di blog ni kan ,:) 

Update terakhir:

NOVEMBER: IQRA’, AL-QURAN DAN HAFAZAN


Tahun lepas (Anas dan Mussaab masih tadika), fokus utama pada pelajaran al-Quran, Iqra’ dan hafazan dan (tambahan) mental Arithmetic untuk Anas. Tahun ni sedikit berbeza (kurang fokus pun ya juga). Sejak Anas masuk darjah 1 dah tak praktis lagi Mental Arithmetic. Terasa ruginya, tapi memang tak ada masa nak fokus pada MA tahun ni. Makin sarat ni, makin rasa tak sempat. Haih.. insya Allah ada rezeki nanti praktis dengan Mussaab. Next year mungkin...

Alhamdulillah Al-Quran, iqra’ dan hafazan masih diteruskan setiap malam, pada tahun ini. Anas semakin lancar bacaan al-Quran, kini sedang membaca surah al-ana’m (juzuk ke-8) Satu page setiap hari, dan masih perlu diperbaiki dari segi kelancaran dan panjang pendek bacaan. Hafazan pula, masih meneruskan walaupun agak ‘slow’ sedikit. Kini sedang meneruskan hafazan surah al-Infithar, di samping tak lupa tasmik surah yang lepas.

Mussaab pula, baru saja khatam buku al-Barqy. Sudah mula masuk muqaddam/bacaan juzuk amma. Masih merangkak-rangkak juga membaca surah, tapi dah improve banyak. Alhamdulillah. 

Setiap malam juga fokus pada latihan ‘reading’ pada Mussaab. Buku ‘I Can Read’ menjadi pilihan sejak tahun lepas. Kini sedang membaca buku jilid kedua. Alhamdulillah, semakin baik juga. Banyak perkataan ringkas sudah boleh dibaca. Dan tetap perlu kepada praktis berterusan. 

Membaca bahasa melayu juga sudah boleh, perkataan (yang simple), di rumah kurang difokuskan sangat bacaan bahasa melayu, mungkin sekolah banyak membantu hingga Mussaab sudah lebih cepat tangkap mengeja. Alhamdulillah juga untuk pencapaian yang ini. 

Setakat ini penekanan hanya untuk Anas dan Mussaab saja. Miqdad masih kecil, belajar seadanya, sambil bermain, membelek buku, menonton dan melalui abang-abang secara tak langsung. Alhamdulillah setiap hari tetap ‘belajar’ sesuatu yang baru. Baik Anas, Mussaab dan juga Miqdad.

Setakat ini dululah update terkini tentang pengajian anak-anak di rumah. Walaupun mungkin tak banyak, tapi sekurang-kurangnya tak lepas tangan terus, walaupun dalam keadaan tak berapa larat dah sekarang ni :) semoga akan istiqomah mendidik anak-anak di rumah. Ya, biarpun tak banyak, tapi berterusan. Insya Allah, akan ada manfaatnya untuk a anak-anak dalam proses menjadi insan berilmu dan beramal soleh. Mudah-mudahan.. 

آمين

Sunday, 16 June 2019 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: GENAP 30 MINGGU


Sudah masuk 30 minggu usia kehamilanku. Sudah di trimester terakhir dalam episod kehamilan ini. Hanya tinggal lebih kurang 2 bulan untuk aku melahirkan si kecil ini. Dah tak lama. Pejam celik pejam celik, sampailah masanya yang penuh dengan debaran itu.

Biar kali ke-4, jujurnya aku tetap rasa berdebar untuk mendepani saat melahirkan sekali lagi. Makin difikir, makin berdebar. Tapi bila dipujuk-pujukkan hati, tenang kembali. Bahagianya pasti lebih besar selepas kehadiran cahaya mata yang ditunggu ini. Insya Allah.

Minggu ini kesihatanku agak kurang memuaskan. Baru memenuhi temujanjiku di klinik desa Rinching Tengah. Hb terlalu rendah, patutlah aku rasa penat dan lesu yang teramat sejak akhir-akhir ini. Buat kerja semua dalam ‘terpaksa’. Aku rasa mahu tidur dan baring saja. Badan rasa berat. Sakit pinggang menjadi-jadi. Nak berjalan lurus pun terasa sukar. Kaki pula kerap diserang cramp, juga pening kepala yang boleh datang tiba-tiba ketika tengah sibuk buat kerja rumah. Bukan tak biasa semua ni, tapi rasa lebih teruk dari biasa.

Mungkin juga ‘raya’ dan balik kampung jadi faktor utamanya. Makan tak terjaga. Asal apa yang ada. Dah tak fikir panjang, yang aku ini perlu berwaspada bab makan minum. Di kampung, makan saja apa yang dihidang. Memang tak masak sendiri dah. Tambahan pula bila di kampung, semuanya nampak sedap. Bulan puasa pula tu. Semua hidangan menyelerakan. 

Kini tanggunglah akibat. Mungkin juga sudah di akhir-akhir kehamilan. Perut makin membesar. Diri tak mampu nak secergas biasa. Bangun duduk amatlah terasa payah. Menukar posisi badan amatlah terasa sukar. Apatah lagi ada anak-anak yang perlu aku uruskan semuanya, rumahtangga yang aku perlu maintain, sekurang-kurangnya tak nampak semak dan bersepah sangat, makan minum yang perlu aku sediakan, takkan nak beli di kedai setiap hari, belum masuk bab kain baju, pinggan mangkuk, dll.. semua ini menjadi tugas aku, bila suami tiada di rumah. 

Allah.. aku penat. Aku rasa tak berupaya. Tapi setiap masa aku pohonkan kekuatan dari DIA. Sekurang-kurangnya urusan anak-anak tak terabai. Kerja rumah pun Alhamdulillah, yang sulung dah banyak boleh bantu. Especially bab kemas rumah. Masak pun sekadarnya, yang simple-simple saja. Kadang-kadang keluar membeli di luar juga :)

Saat dan ketika ini, aku tiada pilihan lain. Perlu untuk selalu positifkan diri. Redha ini hanya ujian kecil dari Dia. Hamba Allah yang lain, lebih besar ujian mereka. Insaf.. aku usah terlalu mengeluh, yakinkan hati bahawa aku mampu tempoh segala, dengan pertolongan Dia. Aku sedar ada ketika aku seakan meratap dan berkeluh kesah. Moga Allah ampunkan aku, hamba yang tak lepas dari dosa ini. Yang sering lemah berdepan dengan ujian. 

Semoga aku kuat untuk tempuh semua. Insya Allah, tak lama lagi akan melahirkan anakku ini. Insya Allah, bahagia itu ada di setiap penjuru pada hati yang sentiasa redha dengan ujianNya, dan syukur sentiasa atas nikmatNya.




Friday, 14 June 2019 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: BERAKHIR TRIMESTER KEDUA

(Walaupun sebenarnya tiada mood nak menulis dan mencatat), Alhamdulillah diberi peluang untuk menyambung catatan kehamilan yang seterusnya. Sambungan kepada 



Trimester ke-2 berakhir

Telah berlalu trimester kedua kehamilan (12/2/19-3/6/19) Kini sudah masuk ke trimester ke-3, juga yang terakhir sebelum menyambut kelahiran anak keempatku. Masya Allah, dah tak lama. Berbaur pelbagai rasa, tak sabar, berdebar, takut, dan macam-macam. Biasalah tu...


Masalah ketika mengandung

Seperti pengalaman mengandung yang lepas juga, ‘masalah utama’ aku ialah GDM (kencing manis ketika mengandung). Membuat ujian MOGTT pada minggu ke-15, mendapat result 2 minggu kemudiannya. Bermulalah episod rutin membuat bsp (seminggu atau 2 minggu sekali bergantung pada result bsp cantik atau sebaliknya). 

Kemudian buat pertama kalinya juga dalam tempoh kehamilan perlu mengambil insulin sekali sehari pada waktu malam bermula 11/4/19. 

Dalam trimester ke-2 ini sudah membuat bsp sebanyak 9 kali, dan result pada waktu pagilah yang selalunya ‘teruk’. 

Tiada masalah lain, sesekali penat, lemah dan lesu, sakit kepala, sakit pinggang, lenguh dan cramp kaki, keputihan, tapi tak teruk sangatlah semuanya. Biasalah, ujian masa mengandung :)


Berpuasa di bulan ramadan 

Pada minggu ke-24, menyambut Ramadhan dan berpuasa seperti kebiasaannya. Ini kali ke-4 menyambut puasa ketika hamil. Tiga anak yang lepas juga melalui pengalaman yang sama. Cuma berbeza usia kandungan. Alhamdulillah, seperti pengalaman lepas, dapat sempurnakan puasa tanpa sebarang keuzuran. Syukur kupanjatkan pada Allah :)

Kemudian menyambut hari raya pada usia kandungan 28 minggu (sudah masuk trimester ke-3) Alhamdulillah :)


Scan kandungan

Di trimester kedua ini juga berkesempatan membuat scan kandungan sebanyak dua kali (selepas yang pertama dan kedua pada trimester pertama). 

Pada 5/5/19 melakukan scan di klinik Perdana Kota Bharu, Alhamdulillah kandungan baik-baik saja. Jantina anak? Macam biasalah, tak dapat nak confirm dan tak boleh nak confident sangat, doktor just bagitau ‘mungkin’ girl berdasarkan pemerhatiannya :) jadi hati pun tak berapa nak tentu sangatlah. Yang pasti, boy ke girl, tetap aku syukuri dan nantikan kehadirannya. 

Scan kedua dilakukan pada 4/6/19, sehari sebelum raya puasa (genap usia kandungan 28 minggu). Alhamdulillah tiada masalah pada kandungan, ia membesar dengan baik dan sihat, insya Allah. Tapi sedikit hampa tak dapat tahu baby girl ke, atau baby boy... entahlah.. tak tertanya. Nak cepat punya pasal.. 



Scan sehari sebelum Aidilfitri 

(28 minggu kandungan)


Berakhir sudahlah trimester kedua kehamilan kali ini. Alhamdulillah, aku dan anakku baik-baik saja. Sedikit ujian itu lumrah. Masing-masing ada bahagian, diuji dengan ujian yang tersendiri. Namun insya Allah, semuanya dalam kemampuan diri untuk mendepaninya.

Kini di trimester terakhir, makin hampir tarikh kelahiran anakku. Semoga Allah permudahkan untuk melalui hari-hari terakhir ini. Semoga dipermudahkan kelahiran anakku ini. 


آمين

Tuesday, 11 June 2019 0 comments By: Naemah

PUASA PERTAMA: MABROOK ANAS ZAYDAN!



Berlalulah sudah sebulan Ramadhan 1440h. Alhamdulillah, ini tahun pertama Anas berpuasa di usianya 7 tahun. Sebelum ini memang tak pernah berpuasa, tak pernah diajak/dipaksa berpuasa, sekadar bertanya kalau-kalau dia nak cuba berpuasa. Tapi selalunya jawapan dia Tak Nak! :D ummi dan abi pun biarkan sajalah, rasa macam belum masanya lagi untuk Anas berpuasa (pada ketika itu) walaupun hakikatnya dah ada rakan sebaya Anas yang dah mula berpuasa pada awal usia mereka :)

Tahun ini, oleh sebab dah masuk 7 tahun usia Anas ummi dan abi mahu Anas mula belajar berpuasa (menahan lapar dan dahaga) di samping cuba mengerti makna puasa itu sendiri.

Antara langkah, ummi dah siap remind pada Anas tentang puasa beberapa bulan lagi sebelum Ramadhan. Beritahu Anas yang Ramadhan akan kunjung tiba, dan Anas perlu mula berpuasa pada tahun ini. Ummi cuba ingatkan Anas sekerap mungkin, hingga Anas jadi bersedia untuk berpuasa. Tak lupa ummi bacakan buku tentang puasa yang dibeli tahun lepas. Memang niat, nak ‘bercerita’ tentang puasa pada Anas.

Dan Alhamdulillah, tahun ini menjadi tahun pertama Anas berpuasa. Tak cukup 30 hari, tapi 27 hari pun kira dah cukup besar maknanya, untuk Anas yang baru mula belajar berpuasa. 3 hari yang miss itupun, disebabkan Anas kurang sihat, muntah dan sakit perut. Tak apalah, ummi bangga dan syukur sangat walaupun tak sempurna 30 hari puasa Anas.

Dari pengalaman berpuasa Anas, hari pertama adalah hari yang paling mencabar kerana baru Anas ‘rasa’ macam mana puasa yang sebenar. Lapar, dahaga... asyik mengadu dan tubuh pun lemah saja. Tapi dipujuk-pujuk, sempurna juga puasa di hari pertama. Cabaran yang lain ialah bila hari cuti sekolah/weekend, bila ada adik-adik yang tak berpuasa, memang jadi ‘dugaan besar’ untuk Anas. Asyik mengadu lapar dan haus. Alhamdulillah,tetap Anas bertahan meneruskan puasa. Kalau hari sekolah, tak ada masalah sangatlah, sebab di sekolah (mungkin) semua kawan berpuasa, kantin pun tak beroperasi. Balik rumah pun, dah tak perlu tunggu lama sangat untuk berbuka :)

Dalam meminta anak berpuasa, ummi juga perlu sentiasa pantau keadaan Anas, risau juga kalau-kalau nampak lemah semacam, takut memudaratkan pula. Kalau nampak riang, aktif senyum, ketawa dan bermain dengan adik-adik, legalah sikit rasa hati :)

Alhamdulillah semakin hari semakin Anas ‘biasa’ dengan lapar dan dahaga. Anas tempuh semuanya dengan baik. Harapan ummi, tahun depan Anas lebih bersedia untuk menjalani ibadah puasa ini sekali lagi, di samping lebih menghayati makna puasa yang sebenarnya. Ya, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Perlahan-lahan ya Anas, hingga Anas sedikit pun tak rasa Ibadah ini satu ‘beban’ untuk Anas. Ya, belum tahap wajib lagi untuk Anas berpuasa, ummi cuma mahu Anas belajar, dan cuba untuk mengerti dan menghayati erti puasa ini. Kalau bukan sekarang, di masa akan datang tetap Anas perlu mencuba dan membiasakan diri dengan Ibadan yang satu ini, kan?

Alhamdulillah Ramadhan sudah berlalu meninggalkan. Ternyata Anas kelihatan lebih seronok dan excited untuk menyambut raya tahun ini. Perasaan luar biasa yang tak mampu digambarkan, kan? Salah satu sebabnya, kerana Anas sudah berusaha untuk sempurnakan puasa Anas selama sebulan ramadan. Maka raya ini memberi makna yang besar untuk Anas. Alhamdulillah :)

Doakan semoga dapat bersua lagi dengan Ramadan yang akan datang, semoga kita semua dapat melaksanakan sekali lagi ibadah puasa yang telah diwajibkan ke atas Muslim. Dan insya Allah tahun depan akan sambut raya berenam pula, kerana adik kecil ini juga akan menjenguk dunia tak lama lagi. Semoga Allah terus memberkati dan merahmati keluarga kita ini. 


آمين

Thursday, 6 June 2019 0 comments By: Naemah

CATATAN AIDILFITRI 2019



Ramadan sudah pun berlalu. Hari raya Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran.

Tahun ini giliran kami menyambut hari raya di kampung halamanku di Jeli. Seperti biasa, rumah ibuku menjadi tempat berkumpul selepas masing-masing menunaikan solat sunat aidilfitri. Hari ini aku dan suami menyediakan juadah nasi himpit, kuah kacang dan sate untuk ahli keluarga. Oh ya, di rumah ini hanya ada aku, suami, anak-anak dan ibuku. 2 abang dan kakak masing-masing hanya tinggal berhampiran, dan masing-masing juga mempunyai keluarga besar mereka sendiri. Abang ke-3 pula beraya di rumah ibu mertuanya di Pasir Mas. Itulah saja 5 beradik kami :)

Selepas berkumpul, bersalaman, bermaafan dan menikmati juadah raya di rumah ibuku, kami bergambar sekeluarga. Masih tidak cukup ahli keluarga kami, anak-anak saudara yang sudah berumahtangga ada yang beraya di rumah mertua mereka, dan ada seorang yang sedang belajar di Mesir. Walaupun tak cukup ahli, tapi masih meriah :)

Selepas itu kami beraya di rumah kakak dan abang-abang pula. Tak lupa singgah di rumah jiran yang dekat. Itu saja, di sini tak banyak rumah yang kami kunjungi. Saudara mara banyak berada di Tumpat.

Hari raya ke-2 kami bertolak pagi ke rumah ibu mertua abangku di Pasir Mas. Niat utamanya nak ziarah kakak iparku yang baru lepas melakukan pembedahan sehari sebelum raya. Selepas itu kami ke Tumpat mengunjungi rumah mak saudara dan bapa saudaraku di sana. 

Lebih kurang jam 3 petang, kami bertolak balik ke rumah ibu mertuaku pula di Kota Bharu. Hari ini menikmati juadah raya yang bermacam jenis. Dalam keadaan sarat mengandung ini aku perlu lebih beringat agat tak ‘terlebih’ makan. Manakala suamiku pula, memang dugaan buat dia yang sudah mula berpuasa enam :) tapi dia ok je :D

Begitulah hari raya pertama dan kedua berlalu. Nak kata meriah, ye meriah juga, terutamanya pada hari raya pertama. Tapi entah kenapa rasa macam ‘kurang’ sedikit berbanding tahun-tahun yang lalu. Entahlah, perasaan je kot. Dah makin tua ni, dalam keadaan mengandung ni pula, mungkin lain macam sikit rasanya :) tapi seronok tengok anak-anak excited sambut raya, especially Anas yang dah mula berpuasa tahun ni. Lain macam dia punya seronok tu :)

Hari raya ke-3 di rumah ibu mertuaku. Dah makin sunyi, tinggal anak-anakku dengan kakak ipar saja. Yang lain dah balik dan beraya di tempat lain. 

Alhamdulillah masih berkesempatan menyempurnakan puasa tahun ini dan menyambut hari raya bersama keluarga tercinta. Semoga segala amalan diterima oleh Allah, dan semoga ikatan kekeluargaan ini makin terjalin erat hendaknya. Insya Allah.