Monday, 30 October 2017 0 comments By: Naemah

HARI YANG SEAKAN GELAP


Minggu ini Anas bersekolah sessi pagi. Maka hari ini seawal jam 8 pagi aku menghantar Anas ke sekolah bersama Mussaab dan Miqdad. Suamiku pula seperti biasa tiada di rumah kerana bertugas di laut. Dari semalam lagi kami tidak dapat berhubung. Jadi, tak tahu khabar masing-masing.

Sebaik balik ke rumah dan menikmati breakfast, terasa mataku berpinar-pinar, dan kepala sedikit pusing. Aku meneruskan suapan hingga habis. Lepas makan, Mussaab pula minta disuap bihun goreng. Walhal tadi sebelum hantar Anas ke sekolah dia sudah menikmati sarapan bersama abang dan adiknya. Aku suapkan Mussaab makan. Tapi hanya untuk beberapa suap sahaja kerana aku tak mampu nak teruskan. Terasa makin kuat rasa pening dan berpinar. Aku perlukan rehat. Aku minta Mussaab suap sendiri makanan yang masih berbaki. Aku segera baringkan badan di sofa. 

Miqdad yang tadi elok bermain sendiri mendekatiku dan menangis minta disusukan . Dalam kesukaran, aku susukan Miqdad dan Miqdad terlena. Alhamdulillah. Aku masih dalam keadaan seperti tadi. Kepala terasa pusing. Mata masih berpinar-pinar. Aku hanya mampu pejamkan mata, menenangkan diri. Sesekali membalas percakapan dan pertanyaan Mussaab. Ada juga rasa perut memulas dan loya di tekak. Sesekali aku rasa keadaanku ok, tapi ia hanya seketika. Rasa pening datang kembali. Agak sukar untuk diceritakan keadaanku. Terasa mahu menangis memikirkan aku hanya sendirian tiada tempat untuk mengadu keadaan diri. Apatah lagi mahu minta tolong. Berbagai kemungkinan aku fikirkan. Bagaimana kalau aku pitam atau pengsan. Siapa nak jaga anak-anak. Malah terkenang kes kematian seorang ibu muda yang tinggal di rumah bersama 2 anak kecilnya ketika itu. Apakah sama keadaan dia dengan keadaanku sekarang? Aku cuba bertenang. Aku berdoa dan berserah. Dalam hati seperti mahu jerit pada suamiku agar segera balik. Tapi aku tahu, ianya mustahil!

Lebih kurang 2 jam aku dalam keadaan begitu. Risau juga jika ia akan berterusan. Bagaimana aku nak ambil Anas dari sekolah. Nak berjalan pun tak mampu. Apalagi nak memandu. Risau yang amat! Alhamdulillah Miqdad tidur dengan sangat lena. Boleh aku rehatkan diri. Tapi kesian pada Mussaab. Langsung aku tak mampu nak melayannya. Aku hanya nyatakan aku sakit. Dia seakan mengerti. Malah dia yang ambilkan aku segelas air bila diminta. Tq sayang! Maafkan ummi yang tak mampu nak melayan Mussaab.

Hampir jam 11, keadaanku semakin baik. Mata yang berpinar tadi dah tiada. Cuma kepala masih terasa berat dan berdenyut ringan. Miqdad juga dah bangun dari tidur. Dalam susah payah, aku tukarkan pampers Miqdad sebelum ke sekolah Anas. Alhamdulillah sebaik tiba waktu untuk ambil anakku di sekolahnya, kekuatanku kembali. Tidak lemah dan lembik seperti tadi lagi. Sungguh, Allah Maha Kuasa. Dia tahu aku tiada sesiapa. Aku segera ke sekolah ditemani Mussaab dan Miqdad. Alhamdulillah.

Keadaanku selepas itu lebih baik dari sebelumnya. Cuma kepalaku masih terasa berat dan berdenyut. Aku cuba untuk berehat sebanyaknya. Aku tak buat kerja yang berat, hanya kerja ringan sahaja. Memasak untuk makan tengahari juga tidak. Hanya beli di kedai lepas ambil Anas tadi. Untuk makan malam, sekali lagi aku goreng bihun atas permintaan Mussaab. Anak-anakku juga aku biarkan mereka melakukan apa saja yang mereka mahu kerana aku tak mampu nak ‘berperang’ dengan mereka. Aku hanya mahu rehatkan badanku, walau hakikatnya tidaklah rehat sangat :) tapi Alhamdulillah anak-anakku masih dalam situasi terkawal. Mereka asyik dengan aktiviti sendiri. Hanya Miqdad yang sesekali menangis minta perhatian dan minta disusukan. 

Malam ini juga anak-anak tidur lebih awal dari kebiasaan. Jam 9, keadaan rumah sudah sunyi sepi. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Masa untuk aku mengisi perut dan merenung diri :)

Aku juga tidak tahu bagaimana perasaan ini. Dalam keadaan tiada daya, dan tiada sesiapa, aku dapat rasakan Allah benar-benar ada untukku. Allah yang datangkan ujian, Allah yang keluarkan aku dari kesulitan. 

Juga masa untuk aku lebih merenung pada dosa-dosaku yang terlalu banyak. Dalam ketidakupayaan, aku memikirkan ambang kematian yang semakin dekat. Sedang aku tak bersedia. Sedang aku masih diselimuti dosa dan hutang yang belum langsai. Bayangkanlah ketakutanku!

Namun. Alhamdulillah untuk hari ini yang telah aku tempuh. Aku sedar aku tak pernah sendirian. Kerana Allah sentiasa ada untukku setiap detik.





Saturday, 28 October 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 291017





Hari kedua abi di Bintulu. Mussaab bangun paling awal hari ni, ketika ummi nak tunaikan solat subuh. Mussaab turun ke bawah bersama ummi. Tengah ummi masak untuk breakfast, Miqdad pula bangun. Ummi ambil Miqdad di bilik dan sambung memasak. Alhamdulillah Miqdad baik-baik je main dengan Mussaab. 

Lepas masak, ummi suapkan Miqdad mi goreng. Mussaab pula makn burger. Lepas makan, menonton ‘magic school bus’. Anas masih belum bangun. Ummi ambil masa layan Miqdad sekejap sebelum mengemas dapur dan tempat makan. 

Jam 8 lebih, Anas baru munculkan diri. Ummi dan adik-adik berada di luar menjemur kain. Mussaab berbasikal, dan Miqdad berjalan dan merangkak ke sana sini dengan girangnya. Anas juga menyertai adik-adiknya. Kemudian masuk ke dalam rumah. Anas makan nugget. Mi yang digoreng tidak disentuhnya. 

Anas minta nak menonton ‘magic school bus’ juga. Sambil menonton sambil mewarna. Ummi dah daftarkan nama Anas dan Mussaab untuk sertai coloring contest petang ni. So, practice dulu kat rumah. Miqdad juga sibuk nak color dengan abang-abangnya. Banyak pensel warna patah digigit Miqdad. Satu kerja pula nak mengasah nanti.

Jam 10, ummi tinggalkan Anas dan Mussaab bersama tv dan pensel warna. Ummi tidurkan Miqdad yang dah mengantuk. Lepas tidurkan Miqdad ummi memasak untuk lunch. Mussaab minta nak makan roti butter gula. Ummi buatkan satu untuk Mussaab. Mussaab yang sudah kelaparan ada saja yang tidak kena. Menangis dan menjerit. Lepas masak, ummi suapkan makan. Miqdad juga sudah bangun.

Lepas makan, Anas, Mussaab dan Miqdad mandi bersama. Ummi kemas ruang makan dan ruang tamu yang dah macam kapal pecah. Biarkan Anas, Mussaab dan Miqdad mandi dan main air sepuasnya sampai selesai kerja ummi. Siap mandi, naik ke atas dan pakai baju. Bersiap untuk coloring contest. Ummi solat zohor, angkat kain di jemuran dan tidurkan Miqdad dulu. Anas dan Mussaab juga bermain sebentar di luar dan kemudian masuk menonton ‘magis school bus’ lagi sementara menunggu masa untuk ke tadika little diamond untuk pertandingan mewarna.

Jam 3, bersiap untuk ke tadika little diamond yang jaraknya hanya beberapa buah rumah. Mussaab yang tertidur di sofa dikejutkan. Anas pula sedang asyik mewarna buku mental arithmetic. Kemudian ummi angkat Miqdad turun ke bawah. Miqdad juga dah terjaga dari tidurnya. Terus ke tadika untuk pertandingan mewarna.

Di tadika little diamond, Anas, Mussaab dan Miqdad asyik bermain dengan permainan yang ada, sebelum pertandingan bermula. Lebih kurang jam 3.30, pertandingan mewarna dimulakan. Hanya lebih kurang 10 orang sahaja yang menyertai. Anas mendapat hadiah di tempat kedua dan Mussaab mendapat saguhati. Masing-masing happy dapat hadiah. Alhamdulillah :)

Hampir jam 5 petang, balik ke rumah. Anas dan Mussaab masing-masing bermain dengan hadiah yang mereka dapat tadi. Miqdad juga tumpang sekaki. Ummi masak dan suapkan Anas dan Miqdad makan. Mussaab hanya makn roti butter gula. 

Lepas makan, mandi bersama. Riuh rendah lagi bilik air jadinya. Sempat ummi kemas dan basuh pinggan mangkuk sebelum memanggil keluar semuanya. Lepas mandi siap berpakain tidur dan naik ke atas. Anas, Mussaab dan Miqdad masih riang bermain dan ketawa. Ummi solat maghrib dan ajar Anas al-Quran. Kemudian tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab bermain bersama di luar bilik.

Lepas tidurkan Miqdad ummi ajak Anas kemas ruang membaca yang bersepah dengan mainan dan buku. Dah kemas, turun ke bawah. Mussaab minum air dan kutip word puzzle (hadiah tadi) yang berterabur di lantai. Dah kemas semua naik ke atas. Anas dan Mussaab menonton video blippi. Lepas solat isyak, ummi teman Anas dan Mussaab tidur. Mussaab tidur sambil mendakap kotak hadiahnya. Jam 9 malam, suasana dah sunyi sepi. Anas, Mussaab dan Miqdad tidur lebih awal berbanding kebiasaan. Sengaja ummi minta tidur awal kerana esok Anas akan bersekolah pada sesi pagi. Perlu bangun lebih awal juga. 

Alhamdulillah. Hari ini sudah berlalu untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Tidur lena ya sayang ummi. Moga esok akn lebih baik untuk kita semua. Tak lupa doa untuk abi di kejauhan. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah. 

Love u all

DARI INSTAGRAM UMMU ANAS

Kering idea untuk menulis di blog. Macam biasa, aku tampal status instagram di sini. Moga-moga ada manfaatnya juga pada sesiapa yang membaca :)


























Friday, 27 October 2017 0 comments By: Naemah

MY IPHONE 7

25.10.16-25.10.17

Genap setahun aku menggunakan iphone 7, hadiah dari suami tercinta. Sebelum tu juga dah pakai iPhone 6, maknanya sudah mula menggunakan iphone pada tahun 2015. 

iPhone 7 ni sebenarnya tak terlintas pun di hati nak milikinya. Maklum sajalah harga iphone bukannya murah. Nak dijadikan cerita, hp suamiku yang sebenarnya bermasalah (iphone juga). Dia yang selalu cakap nak tunggu iphone 7 keluar dan nak tukar hp dia tu. 

Maka pada tarikh tersebut dia belikan iphone 7. Waktu tu aku baru lepas melahirkan Miqdad. Dia tunjukkan hp baru, dan tanpa disangka dia kata hp tu untuk aku. Terkejut dan serba salah jugalah aku. Aku rasa aku tak perlukan hp baru memandangkan hp aku masih boleh digunakan. Yang rosak cuma camera. Masih boleh dibaiki. 

Tapi dia kata hp ni memang untuk aku. Katanya tak sesuai untuk dia yang selalu turun naik kapal. Maklumlah saiz hp ni lebih besar. Happy tu, happylah. Tak sangka pula dapat iphone baru :) hadiah dari suami sempena kehiran anak ketiga kami, mungkin. 

Dah setahun berlalu. iPhone 7 masih berfungsi dengan baik. Cuma cermin dah retak sikit dek terjatuh. Itupun sebab anak yang main. Alhamdulillah masih boleh digunakan. 

Sepanjang menggunakan iphone, kami agak berpuas hati kerana kualitinya. Bak kata suami, alah membeli menang memakai. Dia pun masih menggunakan iphone yang lama, walaupun keadaannya dah agak menyedihkan. Katanya nak tukar baru, tapi masih belum ada rezeki untuk tukar. Insya Allah nanti tukar yang lebih baik. Sekarang pakai dulu sampai dah memang tak boleh pakai :)

Sayang sangat iphone ni. Selain ianya hadiah dari suami tercinta, aku sukakan kualiti gambarnya. Maklumlah, aku jenis suka tangkap gambar dan blogging. Sangat sesuailah rasanya. Di samping itu aku sukakan aplikasi imovie yang memang khas untuk pengguna iphone. Boleh buat video sendiri. Memang best dan enjoy sangat. Dan lain-lain keistimewaan lagi. 

Tapi tak katalah hp lain tak bagus. Sebelum ni pun dah pernah pakai hp samsung, lenovo dan lain-lain. Ok je. Tapi mungkin kerana iPhone ni lebih mahal, maka perlu penghargaan lebih la kan :D lagipun Suami dah pesan, kalau rosak iPhone ni kita tukar hp jenama lain lah pulak. Yang lebih murah. Hmm...yelah. Insya Allah aku akan hargai dan jaga sebaiknya hp ku ini. Aku tahu kalau rosak, kos nak baiki pun bukan murah. Semoga Allah menjaga ‘harta’ kami ini. Sungguh, tak mahu habiskan wang untuk hp lagi. Cukuplah dengan yang ada. 

Sekian, kisah iphone 7 :)
Oh ya. iPhone 8 pun dah keluar. Kita tunggu iphone 9 lah pulak :D



Aku punya color pink :)
Tq so much syg!
(Gambar google)
Sunday, 22 October 2017 0 comments By: Naemah

PLAYTIME: AISHA KIDZ PLANET

Hari ini hanya tinggal aku dan anak-anak di rumah. Suamiku seperti biasa jauh di lautan menyambung tugasannya. Masuk hari kedua dia di sana. Semoga Allah melindungi suamiku.

Kebiasaannya aku dan anak-anak hanya tinggal di rumah saja. Tapi hari ini, tambahan pula weekend, aku memberanikan diri membawa anak-anak ke Aisha Kidz Planet yang terletak di Beranang. Jaraknya kira-kira 4km dari rumah kami. Kiranya ini first time aku memandu ‘jauh’ bersama anak-anak. Sudah pastinya dengan izin suamiku.

Seperti yang aku jangka, anak-anakku begitu teruja berada di situ. Bermain dengan sepuasnya, hingga berkali aku mengajak untuk pulang memandangkan sudah hampir masuk waktu zohor. Hampir 2 jam kami berada di situ (10.40 pagi-12.30 tghr), dengan bayaran sebanyak rm15 seorang (free untuk Miqdad). Rm15 untuk unlimited time, maknanya boleh berada di situ selama mana yang kita nak. 

Aku agak berpuas hati memandangkan tempat itu mampu memberi keseronokan pada anak-anakku termasuk Miqdad. Asyik sekali bermain ketiganya. Miqdad langsung lupa pada ummi :)

Satu jam pertama, hanya kami yang berada di situ. Selepas sejam, kanak-kanak lain pula sampai dan suasana menjadi lebih riuh dengan suara girang kanak-kanak. Anak-anakku juga semakin rancak bermain. Tambahan pula dapat kawan baru, makin seronok jadinya :)

Jam 12.30, paksa juga anak-anak tinggalkan tempat tersebut walaupun masing-masing belum puas bermain. Kalau ikutkan, boleh datang lagi bila-bila masa pada hari ini, tapi fikirkan susah, maka setakat ini dululah. Insya Allah nanti kita akan datang lagi di lain hari.

Turun dari Aisha Kids Planet, kami menjamu selera di kedai makan nasi kukus Tok We yang letaknya di tingkat bawah bangunan tersebut. Teragak-agak juga nak makan kat kedai tanpa suamiku. Mana tahu nanti tak boleh control anak-anak. Kecoh jadinya nanti :) tapi Alhamdulillah segalanya ok je, walaupun ada juga sesekali Mussaab menjerit dan berang bila ada yang tak kena. Dah kenyang kami meninggalkan tempat itu dan menuju pulang.

Balik ke rumah, Anas dan Mussaab asyik sebut nak ke sana lagi. Dari siang bawak ke malam. Betul-betul excited dan masih belum puas nampaknya. Ya, insya Allah nanti kita pergi lagi :)

Alhamdulillah untuk kegembiraan anak-anak hari ini :)














Friday, 20 October 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 211017





Hari ini abi kembali ke Bintulu lagi. Meninggalkan rumah seawal jam 5 pagi ketika Anas, Mussaab dan Miqdad masih hanyut dibuai mimpi. Tak lupa abi memberi kucupan kasih pada anak-anaknya sebelum pergi. Ummi yang sedang tidur memangku Miqdad juga tak mampu nak bangun hantar abi ke pintu. Maafkan ummi abi :/

Miqdad bangun sebaik ummi selesai solat subuh. Ummi bawa Miqdad turun ke bawah. Tengah cari handphone ummi, terambil hp abi yang sedang dicas. Ya Allah, abi tertinggal hp rupanya. Ummi whatsapp rakan sekerja abi untuk maklumkan yang abi tertinggal hp. Nak balik ambil memang dah tak sempat.  Nampaknya mulai hari ni tak dapat tahu berita abi di sana. Allah. Lagi menyiksakan. Semoga abi baik-baik je di sana.

Mussaab juga bangun dari tidurnya dan turun ke bawah. Tinggal Anas yang masih layan mengantuknya. Ummi suapkan Mussaab dan Miqdad nasi goreng. Mussaab juga makan roti canai yang ummi panaskan. Kemudian sambung main train. Miqdad sudah siap mandi dan berpakaian. 

Jam 7.30, keluar ambil angin pagi di halaman rumah. Jam 8, masuk semula ke dalam rumah. Naik ke atas untuk kejutkan Anas. Anas dah bangun, ready nak menonton video tech insider yang menjadi kesukaannya. Ummi minta Anas dan Mussaab mandi dulu. Anas dan Mussaab mandi dan main air seperti biasa. Miqdad layan video a ba ta. Sudah mandi, Anas menonton video dan Mussaab main mainannya. Ummi susukan Miqdad di bilik. Dah kenyang, cergas dan kembali bermain.

Jam 9, ummi keluar jemur kain. Tinggalkan Miqdad dengan video a ba ta. Anas dan Mussaab riang bermain dan makan tortilla cheese. Kemudian semua keluar ke porch. Anas dan Mussaab panjat kereta, sampai tercabut antenna radio kat atas. Siaplah nanti abi marah :/ Miqdad main di sekeliling kereta. Kalau boleh panjat mesti join sekali tu :)

Lepas ummi jemur kain dan siram pokok, terus masuk ke rumah. Layan video a ba ta lagi. Miqdad dah mengantuk. Ummi susukan Miqdad untuk tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab ditinggalkan dengan video tech insider. Tapi tak boleh tidurkan juga, bila abang-abang masuk bermain dalam bilik. Ummi tinggalkan Miqdad bersama Anas dan Mussaab. Ummi siapkan bahan untuk memasak. Lepas tu buka video ‘magic school bus’ untuk Mussaab. Anas di atas buat kerjanya sendiri. 

Jam 10, cuba tidurkan Miqdad lagi. Alhamdulillah berjaya. Sementara abang-abang busy dengan hal masing-masing, dapatlah adik tidur tenang :) ummi boleh sambung masak. 

jam 11, Miqdad bangun dari tidur. Ummi juga dah hampir siap memasak. Alhamdulillah. Miqdad bermain dan menonton ditemani Anas dan Mussaab. Lepas tu ummi suapkan nasi. Alhamdulillah dapat video call dari abi yang menggunakan fb messenger. Dapat juga bercakap dengan abi dan tengok muka abi :) ingatkan dah tak boleh. Syukur teknologi yang sangat membantu. 

Lepas makan, keluar lagi ke halaman. Anas, Mussaab dan Miqdad bermain di porch kereta sementara ummi jemur kain dan angkat yang sudah kering. selesai kerja ummi masuk semula ke dalam rumah dan menonton a ba ta lagi. Anas dan Mussaab bermain hingga berselerak segala barang. Ummi bawa Miqdad naik ke atas. Anas dan Mussaab juga ikut.

Jam 1, dapat video call dari abi sekali lagi. Ummi tolong scan code untuk abi install whatsapp di laptop Alhamdulillah abi dah boleh pakai whatsapp. Anas, Mussaab dan Miqdad riuh bermain air di bilik air. Selesai urusan abi, ummi panggil semua keluar. Ummi pula mandi dan solat. Lepas tu buatkan roti butter gula untuk Mussaab dan roti cheese untuk Anas. Sebelum makan perlu kemaskan dulu buku yang berterabur di lantai. Lepas kemas dan makan, Anas dan Mussaab naik ke bilik. Ummi cuba tidurkan Miqdad. 

Masing-masing seronok bermain di bilik. Kecoh sampai Miqdad pun join main sekali. Akhirnya jam 3 baru tertidur bila Anas dan Mussaab keduanya melayan video magic school bus di bawah. Sekali lagi buatkan roti untuk Anas dan Mussaab yang masih kelaparan. Ummi tidur bersama Miqdad. 

Ummi bangun bila masuk waktu asar. Miqdad turut terjaga bila ummi bangun. Mussaab pula lena di sebelah ummi. Anas masih di luar melayan perasaan. Nampaknya seperti mengantuk juga. Tapi seperti biasa, sukar untuk dia tidur di siang hari. Lepas solat ummi bawa Miqdad turun ke bawah. Anas juga ikut. Ummi keluar angkat kain dan siram pokok. Anas dan Miqdad juga keluar. Miqdad cuba berjalan di atas rumput. Berjaya juga untuk beberapa langkah. Alhamdulillah Miqdad dah makin berani.

Kemudian masuk ke dalam rumah. Kemas buku dan mainan yang masih bertaburan di lantai. Mussaab juga baru bangun dari tidur. Sambung tidur di sofa pula. Jam 6, ummi suap Anas dan Miqdad makan. Mussaab masih tidur. Lepas makan, ummi buka video a ba ta untuk Miqdad. Ummi makan dan kemas apa yang patut. Mussaab bangun minta susu strawberry. Makan tak mahu. Anas, Mussaab dan Miqdad menonton video sama-sama. Ummi selesaikan kerja di dapur.

Jam 7, naik atas dan mandi. Lepas maghrib, ummi ajar Anas dan Mussaab al-quran. Miqdad juga menangis mahu disusukan. Lepas tu sambung bermain dan cuba melangkah demi langkah. Anas menangis rindukan abi. Ummi cuba call abi tapi tak dapat. Mungkin abi di luar. Lepas tu turun ke bawah. Ummi suapkan Anas dan Mussaab makan nasi goreng. Mussaab cuma makan sedikit. Miqdad bermain dengan riangnya bersama abang-abang. 

Jam 8.15, dapat call sekali lagi dari abi. Anas dan Mussaab sibuk berebut hp. Dari bawah sampai ke atas. Lama juga bercakap dengan abi. Dekat nak akhiri perbualan dengan abi, Mussaab jatuh dari katil. Ya Allah. Dah la katil tinggi. Berdarah gusi, bibir dan hidung Mussaab. Panik ummi seketika. Bimbang kalau-kalau pendarahan teruk. Ummi tak tahu nak bertindak macamana. Ummi berikan kain untuk Mussaab tekup ke mulutnya. Darah tak mengalir lagi. Tapi bengkak jadinya bibir Mussaab. Kesian Mussaab. Ummi rasa nak menangis tengok keadaan Mussaab. Mussaab cuma menangis sebentar. Ummi lega bila darah dah tak keluar lagi. 

Ummi solat isyak dan maklumkan pada abi keadaan Mussaab. Abi call sekali lagi bertanyakan keadaan Mussaab. Abi pesan agar ummi pantau keadaan Mussaab. Mussaab dan Anas bersedia untuk tidur. Ummi tidurkan Miqdad dulu, jam 9.30 Miqdad dah lena. Anas juga sudah lena terlebih dulu. Ummi temankan Mussaab yang masih belum pejamkan mata. Sayu hati ummi melihat rupa Mussaab malam ini. Ummi doakan Mussaab akan cepat baik dan tak sakit lagi :’(

Mussaab menyusul tidur tepat jam 9.40. Alhamdulillah keadaan Mussaab baik-baik saja walaupun bibir agak nampak bengkak dan lebamnya. Ummi suluh ke dalam hidung Mussaab. Ummi agak hanyak luka kecil di bahagian tepi hidung Mussaab. Insya Allah, tidak lebih dari itu. Semoga sihat sayang ummi.

Ummi mendoakan setiap anak ummi seperti kebiasaan. Mengusap kepala dan melafazkan doa khusus. Ummi sayangkan Anas, Mussaab dan Miqdad. Tapi ummi juga tak lepas dari kesilapan. Ada ketika ummi tak sabar dan marah, ummi mengeluh dan berang. Moga Allah ampunkan dosa-dosa ummi. Moga Allah berikan peluang lagi untuk ummi memperbaiki diri dan menjadi ummi kalian yang lebih baik.

Selamat malam sayang ummi semua. Moga esok akan lebih baik. Moga Allah sentiasa menjaga dan menyayangi Anas, Mussaab dan Miqdad. Tak lupa untuk abi di kejauhan. Ummi sangat rindu. Moga Allah menjaga abi untuk kita. Dan Allah menjaga kita untuk abi. Moga kita akan bahagia selamanya. Insya Allah.
Sunday, 15 October 2017 0 comments By: Naemah

ILHAM MIQDAD TURNS 1





13/10/16-13/10/17

Alhamdulillah.
Genap setahun sudah usia anak ummi Ilham Miqdad bin Mohd Suzainizam.

Setahun sudah mengenal dunia. Dari berbaring tak mampu buat apa-apa, kini dah tegap berdiri dan riang bermain dan ketawa. Miqdad masih belum boleh berjalan dengan baik, tapi sudah ada usaha melangkah. Hanya beberapa langkah, kemudian sambung merangkak. Takpelah, Miqdad masih belum ready sepenuhnya. Insya Allah, nanti cuba lagi ye. 

Seperti Anas dan Mussaab, ummi dan abi tak buat sebarang majlis atau beli hadiah. Maaf ya sayang. Yang pasti ummi dan abi tak lupa. Ummi tak pernah lupa hari lahir anak-anak ummi. Tiada sambutan bukan bererti tidak sayang, lebih dari itu adalah ingatan dan doa yang tak pernah putus. Moga anak-anak ummi sentiasa dikurniakan kesihatan dan kebaikan dalam hidup. Insya Allah.

Sempena hari kelahiran Miqdad ini juga, ummi doakan semoga Miqdad membesar dengan sihat, cerdas dan cerdik, dan disayang Allah sentiasa. Ummi dan abi sayangkan Miqdad. Sama seperti sayang Anas dan Mussaab. Semoga baik-baik saja hidup kalian. Saling menyayangi dan saling mendoakan sesama adik beradik ya.

Selamat hari lahir Miqdad. Ummi love you very much!
Tuesday, 10 October 2017 0 comments By: Naemah

WASPADA SENTIASA MENJAGA ANAK KECIL

Antara sifat yang perlu ada pada ibubapa ialah, waspada. Sentiasa berwaspada menjaga dan mengawasi anak-anak. Kerana sedikit kecuaian, boleh membawa padah dan penyesalan.

Bukan sedikit kisah yang kita dengar tentang kecuaian ibubapa yang akhirnya memberi kemudaratan pada anak-anak. Sedikit alpa, anak hilang dari pandangan, anak terjatuh dan cedera, anak kelemasan, terkena objek tajam, terpercik minyak panas, hingga ada kes yang akhirnya membawa kepada maut. Nau’zubillah. Semoga Allah memelihara anak-anak kita.

Tak dinafikan, bila di rumah, tumpuan kita bukan hanya pada anak-anak kita. Banyak kerja yang kita nak buat, hingga ada ketika terpaksa biarkan anak sendirian. Ya, sebolehnya kita tetap awasi anak kita, sambil membuat kerja. Perlu pastikan sentiasa tiada objek berbahaya yang berdekatan dengan anak kita, dan seumpamanya yang mengundang bahaya. Apatah lagi jika kita tinggalkan adik dengan abang-abangnya yang juga masih kecil. Perlu sentiasa jenguk. Kalau tiba-tiba diam, adalah yang tak kena tu :) 

Apatah lagi di luar, perhatian pada anak-anak perlu lebih rapi lagi. Jangan biar lepas dari pandangan dan pegangan kita, sebolehnya. Lupakan hal lain, kerana keselamatan anak-anak lebih utama. Sering aku ‘dimarah’ suami kerana kelekaanku. Pantang dia melihat aku mengelamun atau fokus pada perkara lain bila berada di luar. Ya, memang salah aku. Aku perlu lebih berwaspada dan berhati-hati memandangkan anak masih kecil dan 3 orang sekaligus nak kena jaga dan awasi. Tidak sepatutnya aku leka.

Kelekaan sering membawa kepada penyesalan. Peringatan ini tak lain untuk diriku juga. Aku akui aku juga insan lemah yang sering alpa dan ambil mudah. Sesungguhnya aku gerun mendengar cerita tentang kelekaan ibubapa yang akhirnya mengundang padah pada anak-anak. Aku jadi takut, jika aku juga tergolong kategori ibu yang lalai dalam menjaga anak. Nau’zubillah. Ya Allah, pelihara anak-anakku. Ampunkan di atas kealpaanku selama ini. 

Terima kasih suamiku yang sering mengingatkan diriku. Insya Allah, kita sama-sama menjadi ibubapa yang sering berwaspada dan sebaiknya menjaga anak-anak kita. 


Yang perlu diawasi setiap masa :)


Sunday, 8 October 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 091017





Hari ini abi kembali ke Bintulu. Seperti biasa, menyambung kerja demi sesuap rezeki. Abi menaiki teksi seawal jam 5.30 pagi. Peluk cium anak-anak yang masih lena sebelum melangkah pergi. Ummi juga tak sempat hantar ke pintu :( really miss him :’

Miqdad bangun jam 6.30. Kemudian Mussaab, dan akhir sekali Anas. Hari ni breakfast dengan pizza lebihan semalam. Seorang sekeping :) Miqdad pula makan nasi, lauk semalam juga. Semuanya baik-baik dan happy bermain pagi ni. Banyak kerja yang dapat ummi selesaikan bila Miqdad asyik bermain sendiri dan bermain dengan abang-abang. Flight abi berlepas jam 8.30 pagi.

Anas dan Mussaab menonton video dan melukis. Miqdad teman ummi jemur kain dan siram pokok di luar. Jam 10, ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab melayan ‘the peanuts movie’ di luar. 

10.30, Miqdad dah bangun dan menangis. Main sekejap, dan menangis juga. Ummi buka video a ba ta untuk Miqdad dan Mussaab. Anas di atas, melukis dan menonton video kesukaannya. 

Jam 11.30, makan mi goreng. Mussaab seperti biasa, tak nak makan sekali. Hanya Anas dan Miqdad makan berselera. Lepas makan, Anas dan Mussaab naik ke atas, sambung melukis. Habis lantai, cermin dan dinding diconteng Mussaab ,:) 

Jam 12, mandi dan bersiap untuk ke sekolah Anas. Sementara menunggu pukul 1, Anas dan Mussaab bermain bersama. Riuh rendah, dan bersepah segala barang. Tak larat ummi nak tegur dan larang. 

Jam 1, terus hantar Anas ke sekolah. Kena angkut adik-adik sekali, memandangkan abi dah kembali bekerja. Lepas hantar Anas, terus balik ke rumah. Mussaab dan Miqdad bermain seketika di bilik, dan kemudian tidur.

Jam 4, Miqdad bangun bersama ummi dan turun ke bawah. Mussaab juga bangun dan baring di sofa pula. Miqdad mengusik Mussaab yang masih mengantuk. Jam 4.20, ke sekolah untuk ambil Anas. Sebelum balik, pusing cari keropok goreng untuk Anas, tapi dah habis semua. Balik rumah dan makan mi goreng saja. Lepas mi goreng, makan nasi goreng dengan ayam goreng pula. Alhamdulillah, kenyang semua anak-anak ummi. Mussaab juga makan berselera. 

Sudah makan, menonton tv. Miqdad berkali-kali naik tangga sampai ke atas. Lepas dari pandangan, dah sampai ke atas. Sekali jatuh, dan menangis. Alhamdulillah, mujurlah jatuh dari 2 anak tangga saja. Itupun agak merisaukan ummi.

6.30, naik atas. Anas, Mussaab dan Miqdad mandi sama-sama. Sudah mandi, Anas buka video lagi. Ummi tinggalkan Miqdad dalam jagaan Anas, sementara ummi mandi. Dah mandi, ummi ajarkan Anas al-Quran dan ajar Mussaab Iqra’. Miqdad seperti biasa akan tumpang sekaki. Berebut dengan abang nak baca juga :)

Lepas tu sambung video lagi. Ummi tidurkan Miqdad jam 8. Kemudian facetime dengan abi sekejap. Ummi turun ke bawah untuk makan. Anas dan Mussaab turut serta. Bermain dan bergurau di bawah. Miqdad pula menangis terjaga dari tidur. Dua kali ummi ulang naik ke atas, menyusukan Miqdad. Kerja di bawah masih belum selesai. Kemudian teman Anas dan Mussaab hingga tertidur keduanya hampir jam 10 malam. Alhamdulillah.

Ummi dah tak larat nak sambung kerja mengemas di bawah. Kaki terasa lenguh, dan mata juga dah mengantuk. Sambung esoklah jawabnya. Ummi perlukan rehat. Insya Allah esok kembali cergas dan bertenaga untuk uruskan anak-anak ummi dan uruskan rumah ini keseorangan tanpa abi :)

Semoga lena tidur anak-anak ummi. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk kita semua. Semoga Allah menjaga Anas, Miqdad dan Miqdad . Tak lupa abi di kejauhan. Moga dalam rahmat dan ksihNya juga. Insya Allah.
Saturday, 7 October 2017 0 comments By: Naemah

DIA SYURGAMU

Isteri,
Ada ‘sesuatu’ yang perlu direnung sedalamnya.
Melihat jauh ke dalam diri.

Bila suami tak lagi mesra seperti dulu.
Tidak pandai lagi bergurau jenaka.
Tidak sudi lagi berborak kosong mengisi masa lapang.

Bila dia lebih suka menyendiri.
Bila hp atau tv lebih dia senangi.
Berbanding menatap wajah isteri yang dinikahi.

Bila tiada lagi sentuhan mesra.
Bila tiada lagi pelukan yang memberi ketenangan.
Bila hilang sudah senyuman yang selama ini memberi keriangan pada hati isteri.

Bila keluarnya tak tahu ke mana.
Bila urusannya bukan lagi urusan kita.
Bila tidur malam terasa jauh.
Seolah dia tiada, walau hakikatnya sangat dekat.

Suami,
Mungkin hal itu kecil bagi suami.
Tapi sangat besar pada isteri.
Kerana dunia seorang isteri hanyalah suami dan anak-anak.
Tanpa kalian, hidup isteri kosong.
Tiada bermakna.

Namun amatlah parah.
Jika isteri juga seolah tidak merasa apa-apa.

Isteri,
Hakikatnya sukar untuk menjadi ‘bidadari’ pada seorang suami.
Apatah lagi bersama kekurangan dan keegoan diri.
Sukar menjadi yang terbaik.
Sukar memenangi hati.

Isteri, 
Muhasabah ini untukmu.
Kamu yang perlu sentiasa mengingatkan diri.
Bahawa syurgamu ada pada seorang suami.
Luka hatinya. Awaslah kamu!

Isteri,
Bukan mudah memburu syurga.
Mujahadah yang tak pernah sudah.
Kerana kita punya hati.
Dan dia juga punya hati.
Ada ketikanya tak sejiwa.
Kita mahu tunduk, atau kita mahu lawan?

Ya Allah.
Bimbinglah langkah isteri.
Agar tak kecundang memilih murka suami
Kerana hanya pada redhanya.
Akan hadir bersama redhaMu.
Kerana dia syurga.
Yang kau tetapkan untuk isteri agar taat setiap masa.