Sunday, 10 April 2016 0 comments By: Naemah

DIA YANG PERTAMA BUAT SUAMI


picture: here


Saat sah bergelar isteri, kita bukan hanya ada suami, malah dikurniakan bersama ibubapa mertua dan ahli keluarga yang lain.

Wahai isteri,

Ketahuilah, meskipun kini dirimu adalah isteri buat suamimu, namun ibunya adalah yang paling berhak ke atas suamimu. Ibunya adalah yang pertama, maka jangan cuba untuk menyaingi ibu mertuamu.


Wahai isteri,

Jika ibu mertua kerap meminta tolong dari suamimu, maka jangan dihalang suami memenuhi hajat ibunya. Mungkin dia berhajat untuk dibawa ke sesuatu tempat, atau minta membelikannya sesuatu, atau minta membuat sesuatu, atau sebagainya. Biarkan suamimu memenuhi hasrat ibunya meski di saat dan ketika mana sekalipun.


Wahai isteri,

Jangan dilarang suami untuk menghulurkan wang ringgit pada ibunya meski kau tahu si ibu tidak memerlukannya. Asalkan nafkah buatmu cukup, mengapa tidak yang selebihnya dihulurkan buat ibu mertuamu. Mungkin dia tidak perlu, tetapi itu adalah sedikit tanda penghargaan dari suami buat ibunya. Rezeki yang hadir itu juga, datang kerana berkat si ibu meski kita jarang menyedarinya.


Wahai isteri, 

Jangan diambil hati jika melihat ibunya lebih tahu dan memahami suamimu. Saat kamu mahukan yang berbeza untuk suamimu, sedang ibunya mahukan yang lain, maka turutilah dengan rela, kerana hakikatnya ibunya lebih memahami anaknya itu. Atau mungkin ada situasi di mana suami lebih selesa bercerita masalahnya kepada ibunya berbanding dirimu, maka jangan rasa kecil hati kerana mungkin di situ suami beroleh ketenangan melalui kata nasihat ibu yang melahirkannya.


Wahai isteri, 

Jangan pernah ada rasa cemburu pada ibu mertuamu meski secebis. Dia seorang ibu yang mulia yang tidak wajar dicemburui. Jangan merasa suami terlalu melebih lebihkannya, dan jangan pula meminta perhatian yang lebih dari suami. Tak perlu juga untuk bersaing dengan ibu mertua sendiri demi meraih lebih perhatian dari sang suami. Berlapang dadalah, menyokong bakti suami buat ibunya, dan seadanya menikmati cinta ikhlas dari suami.


Wahai isteri,
Jangan biarkan dirimu menjadi penghalang buat suamimu berbakti kepada ibu yang telah melahirkannya. Meskipun dirimu adalah isteri, namun ibu  itu tetap adalah ibunya yang tak perlu dinafikan betapa besarnya pengorbanan si ibu buat anaknya ini. Dia yang melahirkan dan membesarkan dengan susah payah, dia yang saban hari mendoakan anaknya tanpa pernah jemu.

Wahai isteri,

Sedarlah di mana letakmu di sisi suami. Meski kamu seorang isteri yang sangat dicintai, sedarlah bahawa ibu mertua adalah yang paling penting buat suami untuk diutamakan dan dimuliakan. Kerana di situ letak syurga suami, di situ ada keredhaan buat suami. Biarkan sang suami terus berbakti buat ibunya, bersama sokonganmu. Jadilah isteri yang memahami, bukan hanya minta difahami.


Wahai isteri, 

Biarkan suami menjalani hidup ini dengan penuh ketenangan. Tidak berbelah bagi antara keutamaan buat ibunya dan cinta buat isterinya. Biarkan dia berbakti pada ibunya tanpa jemu dan tanpa halangan, dan terus mencintaimu tanpa rasa berdosa.


Hanya setitis peringatan buatku yang bergelar isteri. Semoga diri ini tidak menjadi penghalang buat suami untuk berbakti pada ibu yang melahirkannya. Semoga suami mendapat keredhaan ibu dan keredhaan Allah. Kerana dari situ juga akan lahir keberkatan di dalam rumahtangga yang sedang dijalani bersama suami tercinta. Insya Allah.
Saturday, 9 April 2016 0 comments By: Naemah

KEHADIRAN YANG DINANTI

Kehamilan...
Kerap pula aku menulis tentang kehamilan di laman blog ini.
Ya, kerana keadaan diri yang sedang hamil, bercampur rasa syukur dan gembira di atas kehamilan ini. Ia kehamilan yang dinanti, kehadiran si kecil yang sangat diharapkan..


Aku bahagia dengan kehamilan ini. Walau ku tahu aku bukan ibu yang sempurna. Malah banyak khilaf pula sepanjang menjalankan tugas sebagai ibu. Khilaf yang sering ku kesali. Khilaf yang tak pasti mendapat pengampunan Allah atau sebaliknya. Ia sangat menggusarkan hatiku.

Malah dalam gembira dan tak sabar menanti kelahiran ini, aku sering dihimpit rasa bersalah dan berdosa pada anak anak yang dah ada di depan mata. Konon penat mengandung, aku abaikan mereka, dan sering pula marah marah mereka. Maka apa maknanya seorang anak padaku? Jika lahirnya dinantikan, kewujudannya sering diabaikan. Bimbang dan gusar, yang sedang dikandung ini juga diperlakukan yang sama. Betapa aku insan yang tidak bersyukur. Semoga Allah memberiku peluang untuk memperbaiki diri.

Di kehamilan ini juga, aku tak jemu mencatat tentang kandungan dan keadaan diriku saban hari. Sama seperti pengalaman mengandung yang lepas2 juga. Betapa aku bersyukur dan menghargai setiap kehamilanku. Betapa aku menanti kehadiran setiap anak anakku.

Dan kerana aku pernah merasakan kesedihan kerana sebuah kehilangan. Dua kehilangan akibat keguguran. Hanya aku yang merasakan betapa sedihnya, dan betapa sakitnya.. Maka aku perlu lebih menjaga, perlu lebih memerhati keadaan diri.

Pengalaman bersalin juga 'sakit' dan 'perit'. Tapi ia satu jalan kepada sebuah kebahagiaan. Bahagia menatap anak kecil yang dilahirkan. Comel dan sihat... Itu sudah memadai. Kesakitan itu mampu dilenyapkan oleh sebuah kebahagiaan. Ya, sangat bahagia dengan kehadiran si kecil.

Sudah dua kali mengecapi bahagia itu. Kini yang ketiga pula. Dalam gembira, hati tetap ada gusar. Kerana apa yang bakal terjadi di masa depan tak siapa yang tahu. Hanya berbekalkan harapan dan doa. Agar Allah sentiasa menjaganya untukku. Walau aku juga tak terlalu menjaga. Terutamanya bab makan dan bab mengawal emosi. Aku sering tewas dan sering tersilap. Dan pastinya... Hati tak lepas dari rasa berdosa pada janin di dalam rahim ini.

Ya Allah... Hanya padaMu aku memohon dan berserah. Aku terlalu banyak dosa dan khilaf. Aku pohon agar dilindungi kandunganku ini. Jadikan dia anakku yang sihat sempurna dan membesar sebagai hambaMu yang soleh. Aameen



PERTAMA DAN SETERUSNYA

Saat berbadan dua..
Saat kamu diberi perhatian, dibelai dan dimanja.


Ya, saat pertama kali mengandung itulah yang kamu rasakan.
Dapat berehat sepenuhnya, tiada yang marah kerana semua orang pun faham.


Bila kehamilan seterusnya, dan seterusnya...
Saat ini kamu juga mengharapkan situasi yang sama.
Dapat berehat, dapat 'bercuti' dari rutin harian, atau sekadar dapat merasakan keadaan diri difahami.


Tambahan pula mengandung dalam keadaan diri yang lebih 'berusia'.. 
Kadang sakit di situ, lenguh di sini.
Kadang lemah badan, sakit kepala.
Nak kerap mengadu, terasa dah bukan masanya untuk bermanja2,
Kadang bimbang dianggap mengada2,
Maklumlah... Bukan pertama kali.


Walau dalam hati merindui layanan seperti dulu,
Tetap perlu 'sedar diri' dan ingatkan diri,
Tak boleh nak senang lenang dan minta dibelai,
Anak anak yang ada harapkan perhatian dan layanan, 
Dulu tak mengapa hanya sendiri dilayan bak permaisuri.
+

Sedarlah diri...dulu dan kini dah tak serupa. 
Syukur andai masih ada yang sudi memahami dan mengambil berat tentang diri..
Friday, 8 April 2016 0 comments By: Naemah

APRIL DAN REJAB UPDATE

Berada di kampung..
Entah kali ke berapa balik kampung tahun ni. Agak kerap juga, atas pelbagai sebab. 
Kali ni pulang agak lama memandangkan suami akan bertugas di Labuan selama seminggu.


Alhamdulillah kandungan dah masuk 13 minggu. Syukur pada yang ESA atas anugerah dan nikmat ini. Semoga Allah sentiasa menjaga kandunganku.

Anas dan Mussaab makin membesar, sihat dan cerdik. Alhamdulillah.. Dah terlalu lama tak update tentang aktiviti dan pencapaian mereka di dalam blog ini. Tak dapat nak catatkan tentang mereka dek kerana kekangan demi kekangan. Tambahan pula menghadapi 3 bulan pertama mengandung yang penuh cabaran. Langsung tiada mood untuk menulis di blog.

Kini keadaan diri semakin baik. Tiada morning sickness yang mengganggu lagi. Makan pula bertambah2 seleranya. Excited nak teruskan minggu2 yang berikutnya. Insya Allah segalanya akan lebih baik.

Kini di bulan April 2016. Dah masuk 1 Rejab, Subhanallah. Bererti kian mendekati Ramadhan yang seterusnya. Ramadhan yang dinanti, semoga dapat bersua. Ramadhan kali ini akan ditempuhi dalam keadaan diri berbadan dua. Insya Allah dapat sempurnakan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Lagipun sudah ada pengalaman berpuasa ketika mengandung. Ketika mengandungkan Anas dan Mussaab juga sempat melalui Ramadhan yang berkat. Alhamdulillah segalanya baik.

Semoga Allah menjaga kesihatanku dan anak yang sedang kukandung. Semoga Allah sentiasa menjaga kekuargaku, suami dan anak anakku. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya. Aameen


Monday, 28 March 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: TRIMESTER 1

Trimester pertama kehamilan bermula minggu pertama hingga minggu ke 12 (3 bulan pertama).

Alhamdulillah berakhir sudah trimester pertama kehamilanku. Kehamilan ke 5, anak ke 3. Pernah keguguran 2 kali pada March 2011 dan December 2015.

Sedikit catatan pengalamanku sepanjang trimester pertama, bermula Januari hingga Mac 2016.

Mula membuat ujian kehamilan (upt) selepas seminggu lewat period. Period yang teratur setiap bulan memudahkan aku untuk mengagak yang aku sebenarnya sudah hamil. Tapi perlu buat pengesahan juga memandangkan baru 2 bulan lepas mengalami keguguran. Bimbang juga, kalau sebenarnya bukan mengandung. Bila cek positive, rasa lega dan syukur Alhamdulillah. Khabarkan pada suami, dia pun sebenarnya sudah dapat agak yang aku mengandung lagi :)

Gembira, dalam masa yang sama risau juga. Takut sejarah berulang kembali. Apatah lagi baru 2 bulan lepas aku keguguran. Rasa cepat sangat Allah ganti. Alhamdulillah syukur padaMu ya Allah.

Awal kehamilan, tiada apa sangat perubahan yang aku rasakan. Ingat sama seperti pengalamanku yang lepas lepas. Pengalaman mengandung yang mudah dan tiada sebarang alahan atau morning sickness.

Tapi bermula minggu ke6 perlahan lahan simpton morning sickness datang. Bermula mual mual dan nak muntah, dan alah pada bau bauan. Ingatkan untuk seketika, tapi rupa rupanya makin kuat dari minggu ke minggu seterusnya. Badan lesu, mata mengantuk, malas nak buat kerja, tak lalu makan, sakit kepala dan lain lain lagi. Alah pada bau nasi, tumisan, peti ais, lemon dan wangian.

Alhamdulillah kebetulan suami banyak cuti dan banyak masa di rumah. Hampir semua kerja rumah dan anak anak diuruskannya. Aku lebih banyak berehat kerana badan pun dah tak bermaya. Suami memasak, membasuh kain, hingga menjemur dan melipat juga. Dia juga yang uruskan anak anak, bermain dengan mereka dan mengemas rumah setiap hari. Sangat berterima kasih pada suamiku yang tercinta.

Morning sickness adakala terasa teruk sangat terutamanya bila berada di rumah. Segala bau dalam rumah membuat aku tak selesa. Walaupun suami yang masak, aku tetap tak berselera makan. Kerana bau masakan memang mematikan selera. Selera ok sikit kalau makan kat luar, atau bila balik kampung. Rasa lebih sihat kalau bukan di rumah sendiri. Entah..aku pun tak faham :)

Buka buku mengandung di klinik desa rinching tengah pada usia kandungan 9 minggu. Sempat lakukan scan 2 kali dan syukur janin membesar dengan baik. Semoga Allah memeliharanya.

Masuk minggu ke 12 keadaan diri makin baik. Morning sickness makin berkurangan walaupun masih terasa. Makan kembali berselera dan dah mula memasak.
Kebetulan juga suami kembali bekerja bila trimester pertamaku berakhir. Tak perlu minta dia hantar ke kampung lagi memandangkan aku dah boleh uruskan anak anak dan hal rumahtangga sendiri tanpanya.

Trimester pertama berakhir juga. Syukur kandungan ini tiada masalah. Dan syukur morning sickness semakin berkurangan, badan juga lebih bertenaga. Trimester kedua sedang menanti. Semoga anak yang ku kandung ini sentiasa sihat di dalam kandunganku. Aku rindu untuk menatap wajahnya, dan tak sabar menanti kehadirannya.

Tahun ini juga menerima 2 kelahiran dalam keluarga suamiku. Pertama ialah kelahiran anak sulung adik iparku Asma dan Afif pada 20/03/16 dan kedua ialah kelahiran anak ke 4 abang iparku Sujairi dan Kak Yati pada 01/04/16. Tumpang bahagia di atas kelahiran puteri dan putera ini :)

Giliran aku pula menanti dan menghitung hari. Masih jauh perjalanan ini. Semoga anak syurgaku ini akan selamat dilahirkan. Insya Allah.
Sunday, 27 March 2016 0 comments By: Naemah

DI AKHIR TRIMESTER PERTAMA

Hari ini 28/03/16

Entri ke2 untuk bulan ini selepas sekian lama menyepikan diri dari dunia blog ini :)

Alhamdulillah hari ini rasa lebih bertenaga dan sihat. Rasa rajin pula nak menulis di sini.

Kandunganku masuk ke minggu ke 12. Alhamdulillah, minggu terakhir sebelum masuk ke trimester kedua. Trimester pertama telah dilalui dengan jayanya meski dalam keadaan yang mencabar. Terasa seperti pertama kali mengandung pula :) badan lemah dan lesu.  Mual muntah, sakit kepala semua ada. Tak sama seperti mengandungkan Anas dan Mussaab. Pendek kata, kerana keadaanku yang sedemikian, rutin harianku juga turut berubah. Hampir semua kerja rumah tak mampu aku lakukan. Dan semuanya diambil alih oleh suamiku. Aku hanya mampu tidur dan rehat saja.

Alhamdulillah ditakdirkan bulan ini suamiku banyak cuti, dan banyak masa di rumah. Dia yang membuat segala tugasan di rumah. Memasak, mengemas rumah, membasuh kain baju, menjemur dan melipat juga. Anak anak juga dia yang uruskan. Terima kasih suami :) dikau memang suamiku yang terbaik dan tiada ganti.

Hari ini aku seperti bertenaga semula. Dari pagi aku banyak melakukan kerja, termasuk memasak. Dah lama suami dan anak anak tak merasa air tanganku. Hari ini ummi kembali masuk ke dapur menyediakan hidangan simple, namun berjaya memikat selera semua :)
Semoga dengan berakhirnya trimester pertama ini, aku juga akan kembali sihat bertenaga. Dapat berbakti lagi pada rumahtanggaku ini. Dapat melakukan rutin harianku seperti biasa, meskipun dalam keadaan berbadan dua.

Tak lupa doa buat anak di dalam rahimku ini. Semoga sentiasa sihat dan dilindungi Allah. Meski masih lama perlu menanti, ketahuilah ummi dan abi sangat merindui kehadiranmu.
Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati keluargaku ini. Ameen




image: here
Wednesday, 2 March 2016 0 comments By: Naemah

MY PHOTOBOOK




Alhamdulillah photobook yang aku order dari anak saudaraku Hamizah sampai ke tangan juga akhirnya. 3 buah photobook semuanya. Suka sangat , kerana dah lama tak mencuci gambar macam dulu dulu. 

Tak taulah, rasanya sekarang orang dah tak cuci gambar macam dulu lagi dah. Semua gambar hanya menjadi simpanan peribadi di dalam handphone atau komputer/laptop atau pendrive/hard disk.  Samalah macam aku, sejak menamatkan pengajian aku dah tak rajin mencuci gambar lagi. Gambar kawin, gambar percutian, gambar anak anak, semuanya hanya disimpan di dalam komputer dan hard disk. 

Tapi baru baru ini anak saudaraku buat bisnes photobook yang berjaya menarik minat aku untuk satukan gambar gambar yang banyak ni di dalam satu buku/album. Tapi takdelah sampai semua gambar. Kosnya agak mahal juga, tapi berbaloilah..

Satu photobook aku kumpulkan gambar keluargaku, satu lagi gambar keluarga mertuaku, dan satu lagi gambar anakku sejak dari umur mereka satu hari hingga sekarang. Rasa gembira sangat tengok hasilnya. Tak puas membelek dari awal hingga akhir. Rindu dan asyik.. Maklum saja, gambar tersimpan seribu satu kenangan :) tambahan pula tengok gambar anak anak yang dulunya kecil dan comel sangat, kini dah besar dan cerdik.. Siapa tak rindu :,)

Apapun semoga ia menjadi simpanan dan kenangan untuk masa yang akan datang. Boleh juga disimpan untuk tatapan generasi yang akan datang :)